Categories
AGENDA NASIONAL

Wakil rakyat perlu bekerjasama, ketepi beza politik demi negara

SHAH ALAM, 28 JULAI: Ahli Parlimen Bangi mencadangkan semua wakil rakyat ‘merentas’ parti dengan mengetepikan perbezaan pendapat supaya negara memiliki hala tuju lebih jelas berdepan wabak Covid-19.

Dr Ong Kian Ming berkata ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang perlu berganding bahu serta bersama-sama memainkan peranan ketika waktu genting ini.

“Saya rayu kepada semua ahli berhormat supaya perlu ada rancangan dan hala tuju yang berbeza daripada sebelum ini oleh kerana masa yang luar biasa ini memerlukan kepimpinan yang luar biasa bagi semua kita di dewan yang mulia ini.

“Ini bukan bermaksud kami tidak berperanan sebagai semak imbang kepada kerajaan sedia ada tetapi kita perlu ada penyelesaian terhadap wabak Covid-19 yang melanda dunia,” katanya dalam Mesyuarat Khas Parlimen Ke-14 penggal ketiga di Dewan Rakyat hari ini.

Wakil rakyat DAP itu turut memberikan contoh hasil kerjasama kerajaan persekutuan dan Kerajaan Selangor menerusi Operasi Lonjakan Kapasiti (OCS) yang menyaksikan jumlah individu mendaftar vaksin di Lembah Klang meningkat sekitar 500,000 individu.

“Program ini menggalakkan rakyat yang belum menerima janji temu untuk pergi terus  ke pusat pemberian vaksin di Lembah Klang bermula 1 Ogos.

“Usaha ini telah menaikkan kadar penerima vaksin. Ini sesuatu yang baik dan perlu dilakukan di negeri lain,” katanya.

Mengenai dakwaan Kerajaan Selangor mahu melawan kerajaan pusat menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), beliau berkata perkara itu tidak tepat.

“Individu yang mendapat janji temu MySejahtera boleh menerima vaskin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang diusahakan Kerajaan Selangor menerusi SELangkah,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pusat vaksin OKU dibuka di Bangi Isnin depan

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Sebuah lagi pusat pemberian vaksin (PPV) khusus untuk golongan orang kurang upaya (OKU) akan dibuka di Bangi pada 21 Jun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata pembukaan PPV Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi pada Isnin depan itu, adalah untuk mempercepatkan proses vaksinasi golongan tersebut.

“Ini usaha yang dijalankan pihak kerajaan, saya menyeru sektor swasta untuk bersama-sama membantu kita (untuk proses vaksinasi OKU).

“Kita juga bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta untuk membuka lebih banyak lagi PPV khusus untuk OKU,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan vaksinasi OKU pendengaran di PPV Kompleks MAB (Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia) hari ini.

PPV itu memberikan vaksin kepada hampir 300 OKU pendengaran semalam dan dijangka 200 lagi akan menerima suntikan vaksin pada hari kedua pelaksanaan pemberian vaksin buat OKU pendengaran.

Rina berkata permohonan vaksinasi untuk golongan OKU penglihatan di PPV yang mula dibuka pada 4 Jun itu meningkat daripada 1,600 kepada 2,200 permohonan vaksinasi, setakat hari ini.

“Kapasiti pemberian vaksin di PPV ini juga meningkat daripada 200 kepada 300 orang setiap hari, ini perkembangan yang sangat baik jadi boleh kita mempercepatkan pemberian vaksin kepada warga OKU,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tren komuter terkeluar landasan di Bangi, perjalanan tergendala

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Sebuah tren komuter yang membawa 70 penumpang terkeluar daripada landasan di KM421.168 berhampiran Stesen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) petang semalam.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan kejadian itu mengakibatkan perkhidmatan komuter mengalami kelewatan bagi perjalanan dari Stesen Batu Caves menuju ke Stesen Sungai Gadut, dan sebaliknya.

Menurut Ketua Pegawai Operasi KTMB Mohd Zain Mat Taha, tiada kemalangan jiwa yang melibatkan kakitangan mahupun orang awam dalam insiden itu.

Beliau berkata roda koc terakhir dan koc kedua terakhir tren itu terkeluar dari landasan menyebabkan laluan tren komuter dan perkhidmatan tren elektrik (ETS) terhalang sepenuhnya.

“Perkhidmatan KTM Komuter dan ETS laluan Gemas ke Padang Besar dan sebaliknya yang melalui laluan tersebut akan mengalami kelewatan ekoran insiden itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, perkhidmatan tren komuter dari Sungai Gadut/Pulau Sebang akan ditamatkan di Stesen Bangi manakala tren dari Stesen Batu Caves tamat di Stesen Kajang.

Sementara, prekhidmatan tren ETS akan ditamatkan di Stesen Batang Benar dan penumpang akan dipindahkan menaiki bas ke Stesen KL Sentral.

Bagi pengguna KTM komuter, KTMB memaklumkan pihaknya menyediakan bas perantara kepada penumpang terlibat dari Stesen Kajang ke Stesen Bangi dan sebaliknya, bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

KTMB juga sedang giat menjalankan kerja pengalihan gerabak ke lokasi lebih selamat dan siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian itu, menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-22671200 atau menerusi saluran media baharu KTMB.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasangan kekasih cuba cederakan polis berdepan penjara tiga tahun

BANGI, 12 MAC: Remaja yang tular di media sosial apabila videonya melarikan diri semasa pemeriksaan polis sehingga seorang anggota polis terpaksa berpaut pada bonet hadapan kereta yang dipandunya sejauh 150 meter, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini.

Muhammad Asraf Zulkefli, 19, mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencederakan dan merosakkan motosikal milik anggota polis itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Effandi Nazila Abdullah yang bertindak sebagai majistret.

Bagi pertuduhan pertama, Muhammad Asraf didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Mohamad Amirul Yahya seorang penjawat awam yang menjalankan kewajipan, di tempat letak kenderaan di sebuah restoran makanan segera di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi pada 10.30 malam, 9 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa melakukan khianat iaitu dengan sengaja merosakkan handle bar, ekzos, sport rim dan nombor pendaftaran belakang motosikal Mohamad Amirul sehingga kerugian RM1,060 di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan kedua mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, teman wanita tertuduh, Umiezatul Asyikin Nasrun, 20, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan bersubahat dengan Muhammad Asraf bagi kesalahan sama di tempat dan masa serupa.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 332 dan Seksyen 427 yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzan Mohd Nor menawarkan jaminan RM10,000 terhadap Muhammad Asraf sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat memandangkan tertuduh pesalah muda di bawah 21 tahun.

Jumlah sama turut ditawarkan kepada Umiezatul Asyikin.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu masing-masing diikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 12 April untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, tular di media sosial video rakaman orang awam menunjukkan detik cemas apabila seorang anggota polis terpaksa berpaut pada bonet kereta sejauh kira-kira 150 meter setelah pemandu kereta bertindak memecut kenderaan ketika polis ingin melakukan pemeriksaan dalam kejadian di Bandar Baru Bangi.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pembersihan pascabanjir diteruskan, babit ramai NGO – MB

AMPANG, 19 JULAI: Pembersihan di kawasan banjir di beberapa daerah negeri ini diteruskan esok dengan penglibatan lebih ramai wakil kerajaan termasuk badan bukan kerajaan (NGO), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini petugas pihak berkuasa tempatan (PBT) giat membantu menurunkan jentera dan kenderaan sedia ada untuk membersihkan lokasi berkaitan yang kebanyakannya dipenuhi lumpur.

“Petugas terbabit bukan sahaja mencuci premis di kawasan majlis tetapi bekerjasama membersihkan sekolah selain beberapa lokaliti yang memerlukan.

Mangsa banjir membersihkan semula kediaman mereka selepas air mulai surut di Jalan Reko Taman Hijau, Kajang pada 19 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Esok juga beberapa NGO dan wakil kerajaan turun padang untuk bergotong-royong bagi mempercepatkan proses pembersihan serta pemulihan kerana banjir kilat kali ini sangat luar biasa berbanding sebelumnya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Wanita KEADILAN Selangor Bersama Wanita Ampang di Dewan MPAJ Kampung Ampang Indah di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata semua pusat pemindahan banjir di Hulu Langat sudah ditutup petang tadi manakala di Sepang masih dibuka susulan terdapat keluarga yang masih ditempatkan di situ.

“Kita terus mengambil langkah yang padu dengan Pejabat Daerah dan PBT bagi memastikan semua mangsa banjir selamat,” katanya.

Sebanyak 41 kawasan di lima daerah mengalami banjir kilat sejak petang semalam.

Hulu Langat mencatatkan jumlah kawasan tertinggi dengan 22, diikuti Sepang (12), Hulu Selangor (empat), Gombak (dua) dan satu di Klang.

Categories
SELANGOR

Industri busana santun di Bandar Baru Bangi semakin jadi tumpuan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 NOV: Kerajaan Negeri disarankan supaya memberi perhatian terhadap pembangunan industri tekstil bagi segmen busana santun kerana mampu memberi pulangan yang baik untuk ekonomi negeri.

Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal, Mazwan Johar berkata, perkara ini dapat dilihat terhadap sambutan orang ramai di kawasan perniagaan busana santun di Bandar Baru Bangi.

“Bandar Baru Bangi semakin sesak dengan kehadiran orang ramai termasuk daripada luar kawasan di mana ini sedikit menyukarkan penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Beliau yang merupakan pembahas terakhir berkata, antara premis yang menjadi tarikan di Bandar Baru Bangi termasuklah perniagaan Jakel Trading.

Katanya, industri busana santun di negara Asia khasnya di Bandung, Indonesia mendapat perhatian sehingga menjadi salah satu tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Katanya, industri ini mempunyai potensi dibangunkan sekaligus menjadi salah satu sumber ekonomi negeri itu.

Categories
PBT SELANGOR

Bangi sasar bandar ilmu dan rendah karbon menjelang 2035

OLEH SABIRAH AZIZ

KAJANG, 1 FEB: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berhasrat untuk menjadikan Bandar Baru Bangi sebagai bandar ilmu dan bandar rendah karbon menjelang 2035.

Yang Dipertuanya, Mohd Sayuthi Bakar berkata, bandar itu akan menjadi pusat bandar utama yang diperkukuhkan fungsinya sebagai bandar pendidikan selain menggalakkan penggunaan tanah optimum.

“Ini adalah antara idea Majlis untuk menjadikan Bandar Baru Bangi sebagai bandar rendah karbon dan ilmu.

“Antara cadangan yang akan dilaksanakan adalah menjadikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai hab penerokaan dan percambahan ilmu serta mengadakan kuliah dan majlis ilmu di masjid dan surau.

“Di samping itu, karnival dan pameran pendidikan juga akan dijadikan sebagai aktiviti tahunan di Bandar Baru Bangi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam mesyuarat penuh MPKj Bil 1/2018 di Menara MPKj baru-baru ini.

Mohd Sayuthi berkata, kewujudan institusi pendidikan di bandar itu dapat memastikan kelestarian dan penerokaan ilmu sekali gus melahirkan modal insan berkualiti di bandar itu.

=EZY=

Pinjaman perniagaan, HIJRAH lebih mudah berbanding bank

Kesukaran rakyat khususnya peniaga kecil mendapatkan pinjaman bank mendorong Kerajaan Negeri mewujudkan program mikrokredit bersepadu, HIJRAH. Pinjaman perniagaan tanpa faedah.

Categories
SELANGOR

Tapak Surau Al Islah diwartakan, tak timbul isu roboh

Oleh: NORHAYATI UMOR

BANGI, 11 FEB: Surau Al Islah di Taman Langat Jaya, Seksyen 5, di sini akan diwartakan sekaligus menafikan perobohan surau itu akan berlaku.

Adun Bangi, Shafei Ngah berkata cadangan itu diutarakan selepas mengadakan perbincangan dengan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Pegawai Daerah dan Pengerusi Surau.

shafie ngah“Tapak tanah dijadikan surau itu rizab sungai milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), oleh itu notis dikeluarkan. Selepas diukur, tanah itu mempunyai lebihan keluasan membolehkan tapak surau diwartakan.

“Sebenarnya tiada sebarang notis perobohan dikeluarkan, jadi jangan politikan isu ini,” katanya kepada SelangorKini.

Shafei berkata selain surau, beberapa premis lain termasuk kuil, pusat pengumpulan sampah haram dan pusat pemeliharaan ikan juga diberikan notis.

Sebelum ini, timbul dakwaan Kerajaan Negeri mengeluarkan arahan untuk perobohan surau dilakukan.

Sementara itu, Pengerusi Surau, Ramlan Md Yusof berharap isu terbabit tidak dipanjangkan dan semua pihak memberi peluang untuk menyelesaikan perkara itu.

“Semasa pemerintahan Datuk Seri Khir Toyo perkara yang sama juga berlaku. Jadi jangan penjangkannya, surau ini telah dibina dan diimarahkan lebih dari 20 tahun.

“Malang sekali, semasa taman perumahan ini dibuka, tiada tapak dikhaskan sebagai tapak surau oleh pemaju, sehingga penduduk atas inisiatif mereka sendiri, membina sebuah surau di suatu kawasan lapang yang merupakan tanah rizab sungai,” katanya.

EZY

JURNAL BERITA – Turunkan harga kereta: PKR ulangi desakan hapus cukai eksais

Sinopsis

1. MB: Dua pegawai PKNS ditukar sementara untuk siasatan dalaman –

2. Isu PKNS: SUK minta semua pihak tidak sebar khabar angin –

3. Selangor sasar bina 35,000 rumah mampu milik dalam tempoh 4 tahun –

4. LZS kutip zakat RM517.4 juta, sasar RM530 juta pada 2014

5. Anwar dihalang masuki Jepun, Kerajaan Jepun patut mohon maaf, tidak ulangi kesilapan

6. AMK hantar memo bantahan ke Kedutaan Jepun

7. PKR ulangi desakan hapus cukai eksais bagi turun harga kereta

8. Chegubard buat laporan polis terhadap fitnah Amar Singh

9.Tuduhan DAP sabotaj BN, mentaliti menteri kekampungan

10.AKTIVITI YB: Ziarah, agih limau mandarin sekitar Bangi

Categories
SELANGOR

AKTIVITI YB: Edar risalah kempen anti-zina

BERSEMPENA sambutan tahun baru,  Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bangi dan Pemuda PAS Serdang mengadakan kempen anti-zina selama dua hari bermula 30 Diember lalu.

Ia juga bekerjasama dengan Gabungan Surau/Masjid DUN Bangi, Nisa’ Serdang, Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dan Ikatan
Studi Islam (ISIUKM).

kempen anti zina_1Lebih dari 50 sukarelawan lelaki dan perempuan, kebanyakannya
terdiri dari golongan muda terlibat dalam kempen ini.

Pelancaran kempen disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, Ustaz Shafie Ngah di Masjid Al-Hasanah Banfdar Baru Bangi jam 9.30 malam pada 30 Disember lalu.

“Usaha menyedarkan orang ramai supaya menghindari judi, menjauhi zina, mengelak budaya berpacaran dan menutup aurat, harus bermula dengan orang paling hampir iaitu keluarga, sahabat, dan jiran,” katanya.

kempen anti zina_5Kempen dibuat dengan mengedar risalah anti zina, menutup aurat, pelekat khas dan button batch di fun fair di Southville City, kedai di Seksyen 7 dan Seksyen 15 Bandar Baru Bangi.

Ia diteruskan keesokannya dengan menggunjungi Pasar Malam
di Seksyen 16 Bandar Baru Bangi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MPKj Muktamad Tutup Bazar Ramadan Di Reko Sentral Kajang

MPKj 01

SHAH ALAM 11 JULAI : Keputusan untuk tidak membenarkan bazar Ramadan di Reko Sentral Kajang, Bangi adalah untuk mengelak daripada perselisihan faham antara pemilik kedai dan penganjur bazar selain kesesakan lalulintas di kawasan itu.

Pegawai Korporat Dan Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Kamarul Izlan Sulaiman berkata pihaknya membuat  keputusan tersebut setelah mendapat aduan daripada peniaga pasaraya di situ.

MPKj juga membuat keputusan itu setelah merujuk kepada Kerajaan Negeri tetang bazar itu yang diadakan di situ sejak tiga tahun lalu.

“Kita ada membuat rujukan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang tidak menyokong untuk membenarkan Karnival Bazar Ramadan di situ kerana beberapa isu.

“Antaranya aduan daripada peniaga di kawasan tersebut dan adanya pasar raya besar di kawasan itu.

“Faktor-faktor inilah yang menjadi asas kepada penutupan bazar tersebut,” kata Izlan ketika dihubungi.

Beliau menambah penutupan itu juga kerana masalah aliran trafik di kawasan itu yang mengganggu kedai yang sedia ada.

Bazar Ramadan tersebut adalah anjuran Persatuan Penduduk Langat Jaya. Keputusan penutupan bazar tersebut dikecam oleh peniaga bazar dengan ada yang menyatakan mereka telah mengeluarkan modal untuk membeli barangan untuk berniaga.

“Keputusan ini adalah muktamad yang berdasarkan kepada keputusan mesyuarat dan sebarang keputusan sudah diputuskan dalam mesyuarat dan kita berpegang kepada keputusan itu,” kata Izlan.

Sementara itu, ADUN Bangi, Mohd Shafie Ngah merayu agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan nasib kira-kira 200 pejaja yang ingin menyertai bazar itu.

Katanya, peniaga tersebut sudah mengeluarkan modal yang besar untuk meniaga di kawasan itu dan penutupan itu akan menjejaskan peluang pendapatan mereka.

Ujarnya, masalah aliran trafik yang menjadi isu boleh diatasi kerana wujud jalan alternatif di kawasan itu.

Tambahnya, karnival ini sudah berjalan selama tiga tahun dan tapak perniagaan alternatif sudah penuh.

“Saya mohon dipertimbangkan dan diadakan perbincangan dengan para peniaga,” kata beliau.