Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Gempa bumi: Bomba Selangor terima panggilan bangunan bergegar, tiada kecederaan dilapor

SHAH ALAM, 25 FEB: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima enam panggilan kecemasan susulan gempa bumi yang melanda Sumatera, Indonesia pagi ini.

Penolong pengarah operasinya berkata empat laporan gegaran bangunan diterima pada jam 9.48 pagi melibatkan Mahkamah Telok Datok, Banting; Jalan TPP2 Taman Perindustrian Puchong; Jalan PJS 5/27 Taman Medan dan Jalan Zamrud 1 Kajang.

Hafisham Mohd Noor memaklumkan pihaknya turut menerima panggilan kecemasan pada jam 9.49 dan 9.50 pagi melibatkan kawasan di USJ 10/1, Subang Jaya serta Hotel Hilton Petaling Jaya.

“Setakat ini tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan pihak bomba akan membuat pemantauan di lokasi kejadian dari semasa ke semasa,” katanya menerusi kenyataan.

Gempa bumi berukuran 6.1 magnitud menggegarkan utara Sumatera, Indonesia pagi ini.

Jabatan Meterologi memaklumkan kejadian pada 9.39 pagi menyebabkan negeri barat Semenanjung Malaysia melibatkan Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor turut mengalami gegaran.

Bagaimanapun tiada ancaman tsunami dilaporkan berlaku di negara ini.

Gempa berkenaan berlaku di kawasan 76 kilometer (km) Barat Laut dari Payakumbuh, Indonesia dengan kedalaman 10 km.