KLANG 4 MEI : Penyandang Parlimen Shah Alam, Khalid Samad(PAS) mengingatkan rakyat bahawa pemimpin Pakatan Rakyat(PR) masuk ke bidang politik bukan kerana mahu menjadi kaya.
Tetapi mahu memberi perkhidmatan kepada rakyat dan mendedahkan segala penipuan Umno-BN selama ini.
“Jangan takut untuk memilih pada 505 nanti. Jika menang, ingatlah kerajaan yang memerintah itu adalah Kerajaan Pakatan Rakyat, bukannya kerajaan PAS, DAP mahupun PKR.
” Ia kerajaan gabungan ketiga-tiga parti. Kita sudah perintah Selangor lima tahun, kita boleh perintah bersama, kerana PR bersetuju untuk memerintah dengan adil bagi semua kaum dan menolak rasuah,” katanya dalam ucapannya di Bangunan Persatuan Hokkien, di sini.
Beliau menambah tiada seorang pemimpin PR didakwa di atas kesalahan rasuah kerana pemimpinnya mentadbir dengan telus.
“Ia berbeza dengan BN yang hanya pentingkan kroni.
” Dia (BN) bagi kayakan kroni saja. Dia bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) satu dan dua, tetapi dia bagi harga barang lain naik. Contoh harga minyak.
” Sekarang cakap mahu bagi RM1,000 pula, tetapi kita tidak tahu apa yang akan naik selepas ini. Berbeza dengan Pakatan kita turun harga minyak, kereta dan lain-lain.
Oleh itu, Khalid berharap rakyat dapat menolak Umno-BN.
” 505 kita turun dengan matlamat yang jelas. Kita pastikan BN adalah kerajaan yang terakhir.