Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiga pelan teras bangunkan ATM

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Kementerian Pertahanan bersedia untuk melaksanakan tiga pelan teras untuk memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibangunkan dengan baik melalui Kertas Putih Pertahanan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berkata, tiga pelan teras itu adalah Pelan Pelaburan Pertahanan Negara (3PN), Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) dan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), yang merupakan perubahan komprehensif dan mengatasi cabaran pentadbiran sebelum ini demi pertahanan negara.

“3PN dijangka akan dikemukakan pada 2021 dan dilaksana sehingga 2030, iaitu pelan terperinci yang menumpukan usaha pelaburan pertahanan secara strategik agar ATM menjadi angkatan tentera yang bersepadu, cekap dan fleksibel.

“RTKP pula berkenaan pembangunan modal insan di Kementerian Pertahanan dan ATM supaya tenaga kerja kita sentiasa berkemahiran tinggi dan menepati keperluan cabaran semasa,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 kementerian itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, DIPN pula akan mentransformasikan industri pertahanan tempatan yang sekian lama hanya dipenuhi dengan orang tengah yang tidak menambah nilai kepada ekonomi negara. Kedua-dua pelan ini akan dikemukakan dalam tempoh 2020 hingga 2021 dan akan dilaksanakan sehingga tahun 2030.

Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith ketika menggulung RUU berkenaan bagi kementeriannya berkata,CybersecurityMalaysia (CSM) sedang merangka Inisiatif Etika Siber Kebangsaan – National Cyber Etiquette Initiative (NCEI) bagi mewujudkan struktur dan pelan untuk komuniti siber yang mampan dan harmoni.

Katanya, ia juga bertujuan memupuk prinsip-prinsip negara Malaysia serta memangkinkan perubahan tingkah laku kalangan netizen seiring dengan langkah pihak kerajaan dalam menangani pelbagai isu keselamatan siber bagi memastikan ekosistem siber dan kedaulatan negara sentiasa terjamin dan sejahtera.

“Ini merupakan inisiatif di bawah Program Outreach CyberSecurity Malaysia iaitu Program CyberSAFE (Cyber Security Awareness for Everyone) untuk memupuk dan memberi kesedaran keselamatan siber serta amalan terbaik mengenai penggunaan ICT termasuk internet secara selamat dan positif,” jelasnya.

Persidangan Dewan Negara bersambung hari ini.

– BERNAMA