Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Kedah menurun

ALOR SETAR, 11 NOV: Jumlah mangsa banjir di Kedah menurun kepada 287 orang daripada 79 keluarga setakat pukul 8 pagi ini berbanding 290 orang daripada 80 keluarga, malam tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata kesemua mereka masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Pendang dan Kubang Pasu setakat pagi ini.

“Di daerah Pendang, terdapat seramai 147 mangsa daripada 36 keluarga masih ditempatkan di Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah, manakala di Dewan Cenderawasih pula terdapat seramai 55 mangsa daripada 19 keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Muaz berkata PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tradisi Lembah Keriang di daerah Kubang Pasu pula terdapat seramai 85 mangsa daripada 24 keluarga sehingga pagi ini.

Beliau berkata sebuah lagi PPS di daerah Kubang Pasu iaitu SK Malau masih diaktifkan meskipun semua mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kerana sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan banjir selepas ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Kedah terus berkurang

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Jumlah mangsa banjir di Kedah setakat pukul 8 pagi ini semakin berkurangan apabila angka itu menurun kepada 681 orang daripada 177 keluarga, berbanding 797 mangsa daripada 212 keluarga pada petang semalam.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata sebanyak lapan pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif di daerah Kota Setar dan Pendang.

“Seramai 400 mangsa daripada 103 keluarga masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Darul Hikmah, SK Convent, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent dan SMK Simpang Kuala.

“Dua lagi PPS di daerah Kota Setar iaitu SK Langgar dan SK Suka Menanti yang dibuka pada 31 Oktober dan 1 November lalu masih aktif, walaupun tiada mangsa ditempatkan di situ selepas mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Ia sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku banjir lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Muaz berkata di daerah Pendang seramai 281 mangsa daripada 74 keluarga masih ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah dan Dewan Cenderawasih.

“Berlaku banjir juga di daerah Kuala Muda berikutan fenomena air pasang, tetapi sehingga kini tiada PPS yang dibuka manakala beberapa kawasan di daerah Bandar Baharu juga turut mengalami banjir kilat dan tiada pusat pemindahan yang dibuka setakat ini,” katanya.

Di Perak, fenomena air pasang besar telah menyebabkan kawasan Lorong Kedah Kampung Changkat Jong di Teluk Intan dilanda banjir kilat sedalam 0.3 meter tengah malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata pihaknya menerima panggilan pada kira-kira 1 pagi dan mengerahkan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan bagi kerja-kerja menyelamat.

“Setibanya jentera bersama anggota di lokasi, pihak kami mendapati terdapat sebuah rumah terdiri daripada lapan penghuni iaitu tiga lelaki dan lima perempuan memohon bantuan untuk dipindahkan ke Dewan Changkat Jong berikutan paras air semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Hilir Perak memaklumkan fenomena air pasang besar yang berlaku di pesisir Sungai Perak di Teluk Intan, bermula kira-kira 4.30 pagi tadi tidak menyebabkan ada penduduk sekitarnya yang dipindahkan dan air mulai surut pada pukul 7 pagi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Kedah menurun kepada 853 orang

ALOR SETAR, 5 NOV: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Kedah menurun kepada 853 orang daripada 234 keluarga petang ini berbanding 954 orang daripada 266 keluarga pagi tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mohd Muaz Mohd Yusof berkata tiga pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup membabitkan dua di Kubang Pasu dan satu di Kota Setar.

“Dua PPS di Kubang Pasu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Malau dan Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang ditutup pada pukul 9.30 pagi dan 12 tengah hari tadi selepas kesemua mangsa terjejas dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Sementara di Kota Setar PPS SK Haji Wahab ditutup pada pukul 2 petang tadi, namun satu PPS lagi dibuka di daerah itu 2 petang tadi iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Kuala yang menempatkan seramai 25 mangsa daripada lapan keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya setakat 4 petang tadi, daerah Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 550 orang daripada 156 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS.

Kesemua PPS itu adalah SK Langgar, SK Suka Menanti, SK Darul Hikmah, SK Convent, SK Titi Gajah, SMK Convent dan SMK Simpang Kuala.

Katanya, seramai 287 orang daripada 75 keluarga pula masih kekal di dua PPS di daerah Pendang iaitu Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah dan Dewan Cenderawasih.

Sementara di Pokok Sena dan Baling, masing-masing terdapat satu PPS yang masih aktif iaitu SK Tualang yang menempatkan enam mangsa daripada dua keluarga dan SK Tembak A yang menempatkan 10 mangsa daripada satu keluarga.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sebuah lagi PPS dibuka di Kedah, 523 mangsa banjir setakat ini

ALOR SETAR, 1 NOV: Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kedah bagi menempatkan 20 mangsa daripada enam keluarga yang melibatkan daerah Kota Setar iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata jumlah keseluruhan mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 523 orang daripada 159 keluarga setakat 8 malam.

“Jumlah ini meningkat berbanding 503 orang daripada 153 keluarga yang ditempatkan di PPS pada sebelah petang tadi (semalam). Setakat ini secara keseluruhan, terdapat 11 PPS yang dibuka di Kedah di empat daerah,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata jumlah mangsa banjir di daerah Baling, Pendang dan Pokok Sena masih kekal sama seperti petang tadi iaitu masing-masing 279 orang, 188 orang dan 36 orang.

Beliau berkata tujuh PPS di Baling merangkumi SK Tanjung Pari, SK Siong, Dewan Orang Ramai Banggol Derom, SK Titi Gantung, SK Tengku Putera, SK Pulai dan SK Keda.

PPS di Pokok Sena pula ialah Surau Permatang dan Masjid Sungai Durian manakala Dewan Rakan Sukan, Tanah merah pula bagi daerah Pendang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Setar Kapten (PA) Mohd Zain Bahrum pula berkata banjir di daerah Kota Setar berlaku disebabkan limpahan air banjir dari Pokok Sena yang berlaku semalam dan melalui Sungai Langgar.

“Jadi, air Sungai Langgar ini melimpah keluar sehingga ke kawasan rumah penduduk di sembilan kampung dalam daerah Kota Setar sehingga menyebabkan mereka terpaksa berpindah ke PPS yang dibuka pada 6 petang semalam.

“Hujan hanya renyai-renyai sekejap sahaja hari ini (semalam) di Kota Setar. Lepas itu dah tidak ada hujan. Banjir ini berpunca daripada limpahan air Sungai Langgar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa dan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan hujan lebat sehingga berlaku banjir.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima lagi PPS dibuka di Kedah, 446 mangsa banjir setakat ini

ALOR SETAR, 31 OKT: Lima lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kedah iaitu masing-masing melibatkan tiga PPS di daerah Baling manakala selebihnya di Pokok Sena.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata PPS di Baling itu ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Putera, SK Pulai dan SK Keda manakala di Pokok Sena ialah PPS Surau Permatang dan Masjid Sungai Durian.

“Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kedah setakat pagi ini ialah seramai 446 orang daripada 139 keluarga termasuk mereka yang ditempatkan di PPS sedia ada di Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah yang dibuka di daerah Pendang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Setakat pagi ini, tujuh PPS di Baling menempatkan seramai 234 mangsa daripada 80 keluarga dan 36 orang daripada 14 keluarga ditempatkan di dua PPS di Pokok Sena manakala 176 orang daripada 45 keluarga berada di PPS yang dibuka di Pendang,” katanya.

Empat lagi PPS di Baling merangkumi SK Tanjung Pari, SK Siong, Dewan Orang Ramai Banggol Derom dan SK Titi Gantung.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Kedah kekal 241 orang

ALOR SETAR, 30 OKT: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Baling dan Pendang kekal seramai 241 mangsa daripada 64 keluarga, setakat pagi ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah dalam kenyataan hari ini berkata di Baling, 46 mangsa daripada 11 keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Banggol Derom.

“Sementara itu, di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Pari, 26 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di PPS itu manakala 21 mangsa daripada lapan keluarga pula ditempatkan di SK Siong.

“Di SK Titi Gantung, sembilan mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di situ. Kesemua PPS ini masih beroperasi berikutan paras air banjir yang masih belum surut akibat hujan turun lebat,” katanya.

Sementara itu, bagi daerah Pendang seramai 139 mangsa daripada 35 keluarga ditempatkan di Dewan Rakan Sukan Tanah Merah.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 244 orang

ALOR SETAR, 29 SEPT: Jumlah mangsa banjir di Kedah yang melibatkan daerah Sik dan Baling meningkat kepada 244 orang daripada 85 keluarga setakat jam 5 petang ini, berbanding 210 orang daripada 66 keluarga pada pagi tadi.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) di Baling dibuka iaitu di Maktab Mahmud Baling sekali gus menjadikan sembilan PPS beroperasi sehingga petang ini.

“Di daerah Sik masih kekal dengan satu PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Gulau dengan jumlah mangsa yang sama iaitu 61 orang daripada 15 keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata jumlah mangsa banjir keseluruhannya di Baling setakat petang ini adalah seramai 183 mangsa daripada 70 keluarga.

Tujuh lagi PPS di Baling ialah SK Tunku Putera, SK Siong, SK Bandar, SK Tanjung Pari, SK Bayu, SK Titi Gantung dan Dewan Banggol Derom.

– BERNAMA