Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lumpur tebal cabaran utama sukarelawan Selangor bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 23 NOV: Sukarelawan Selangor (SERVE) yang terlibat dalam membantu mangsa banjir sekitar Lembah Jaya, Ampang semalam mengakui lumpur tebal adalah cabaran utama dalam kerja pembersihan.

Ketuanya Ahmad Danish Hairudin berkata lumpur tebal mengakibatkan pihaknya menghadapi kesukaran dalam mengeluarkan perkakasan rumah sebelum kerja pembersihan dilakukan.

“Lumpur sangat-sangat tebal… kalau banjir biasa mudah untuk kita cuci tetapi yang ini sukar, kita memerlukan ‘water jet’ dan penyodok untuk mengeluarkan lumpur.

“Ia amat meletihkan kerana ratusan rumah yang terlibat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya mula membantu mangsa sejak malam tadi dengan bantuan awal diberikan dengan mengedarkan makanan.

“Kita membantu mengikut shif dengan seramai 30 hingga 40 sukarelawan terlibat dalam satu-satu masa. Setakat ini seramai 80 sudah membantu,” katanya.

Kerajaan Selangor menggerakkan beberapa agensi bagi membantu mangsa banjir kilat di sekitar Ampang, Hulu Langat dan Gombak semalam.

Dato’ Menteri Besar berkata pihak berkuasa tempatan (PBT), KDEB Waste Management bersama pusat khidmat dan penyelaras DUN akan memberi bantuan kecemasan serta membantu proses perpindahan.

“Team Selangor dan SERVE turut membantu pembersihan. Tindakan segera diambil bagi membantu mangsa di kawasan terjejas,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.