Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu terus menurun

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Jumlah mangsa banjir di kedua-dua negeri di Pantai Timur menunjukkan trend penurunan setakat 8 malam ini, apabila hanya tinggal 4,308 orang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 5,831 petang tadi.

Di Terengganu, seramai 993 orang daripada 297 keluarga ditempatkan di lima PPS di Hulu Terengganu setakat 8 malam ini, berkurang berbanding 1,952 orang daripada 563 keluarga pada 2 petang tadi.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan tiada lagi sungai yang melepasi paras bahaya setakat ini.

Sementara itu, di Kelantan, jumlah mangsa banjir terus berkurangan apabila 3,308 orang daripada 1,022 keluarga masih ditempatkan di 10 PPS di daerah Pasir Mas dan Tumpat setakat 7 malam ini, berbanding 3,879 orang daripada 1,218 keluarga tengah hari tadi.

JPS melalui laman sesawang turut melaporkan semua sungai utama di Kelantan berada pada paras biasa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Kelantan menurun

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Situasi banjir di Terengganu dan Kelantan semakin baik apabila terdapat penurunan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), setakat malam ini.

Di Terengganu, mangsa banjir terus berkurangan kepada 5,170 orang daripada 1,288 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 10,204 orang daripada 2,596 keluarga pada 2 petang tadi.

Ketika ini, hanya tiga daerah masih terjejas banjir dengan 25 PPS beroperasi iaitu 19 di Hulu Terengganu, Dungun (empat) dan Kuala Nerus (dua).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa tertinggi ialah di Hulu Terengganu iaitu 4,846 orang diikuti Dungun (308) dan Kuala Nerus (16).

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiada lagi sungai yang melepasi paras bahaya setakat ini.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir terus menunjukkan trend penurunan apabila 4,809 orang daripada 1,525 keluarga masih ditempatkan di 18 PPS di daerah Pasir Mas dan Tumpat setakat 8 malam ini, berbanding 6,341 orang daripada 2,095 keluarga petang tadi.

Sementara itu, portal rasmi info banjir JPS melaporkan hanya satu sungai utama di Kelantan iaitu Air Bol, di Jeli, berada pada paras waspada dengan merekodkan bacaan 71.3 meter (m).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Kelantan meningkat

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Jumlah mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan meningkat pagi ini dengan 26,447 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi ini.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 17,384 orang daripada 4,549 keluarga berbanding 16,756 orang daripada 4,269 keluarga semalam dan mereka ditempatkan di 87 PPS yang beroperasi merangkumi lapan daerah iaitu 27 di Kemaman, Dungun (24), Hulu Terengganu (19), masing-masing lima di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, Besut (empat) dan Setiu (tiga).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu memaklumkan Kemaman menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 9,245 orang, diikuti Hulu Terengganu (3,845), Dungun (2,795), Kuala Nerus (502), Kuala Terengganu (490), Besut (355) dan Setiu (152).

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan kebanyakan sungai sudah berada di paras normal dan ketika ini hanya satu sungai masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Kemaman.

Sementara itu, di Kelantan, jumlah mangsa banjir turut meningkat kepada 9,063 orang setakat 8 pagi ini berbanding 8,678 orang semalam yang ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu 22 di Pasir Mas, Tumpat (tiga), Tanah Merah dan Pasir Puteh, masing-masing dua.

Portal JPS pula melaporkan dua sungai utama di negeri berkenaan iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah dan Air Bol di Jeli berada pada paras waspada.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Terengganu meningkat, Kelantan menurun

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat manakala Kelantan terus mencatatkan penurunan pagi ini.

Di Terengganu, jumlah penduduk dipindahkan terus meningkat kepada 17,742 orang daripada 4,557 keluarga setakat 8 pagi berbanding 14,393 orang daripada 3,744 keluarga malam tadi.

Peningkatan itu berikutan pemindahan penduduk di kampung-kampung terletak berhampiran muara sungai berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku malam tadi terutama di daerah Kemaman.

Ketika ini terdapat 141 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu 26 di Besut, Dungun (29), Kemaman (27), Hulu Terengganu dan Setiu masing-masing 21, Kuala Terengganu (sembilan), Kuala Nerus (tujuh) dan Marang (satu).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah tertinggi mangsa di PPS ialah di Kemaman iaitu seramai 8,027 orang, diikuti Hulu Terengganu (3,700), Dungun (2,988), Besut (908), Setiu (848), Kuala Terengganu (728), Kuala Nerus (538) dan Marang (lima).

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan kebanyakan sungai semakin surut dengan ketika ini hanya Sungai Kemaman di Kemaman dan Sungai Dungun di Dungun masih melebihi paras bahaya.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir terus menunjukkan penurunan apabila seramai 7,625 orang daripada 2,483 keluarga berada di PPS setakat 8 pagi berbanding 8,054 orang daripada 2,600 keluarga malam tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan sebanyak 46 PPS dibuka melibatkan 21 di Pasir Mas, Tanah Merah (sembilan), Kuala Krai (tujuh), Pasir Puteh (enam), Machang (dua) dan Jeli (satu).

Sementara itu, portal rasmi info banjir JPS menerusi laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan dua sungai utama di negeri itu berada pada paras amaran iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah merekodkan bacaan 23.10 meter manakala Sungai Kelantan di Temangan, Machang mencatat 16.99 meter.

– BERNAMA