Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tunku Mahkota Johor doakan rakyat Selangor, sedia hantar lebih banyak bantuan

SHAH ALAM, 21 DIS: Bencana banjir yang melanda negeri ini sejak Sabtu lalu turut mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor yang bertindak menghantar bantuan kepada mangsa-mangsa terbabit.

Bantuan makanan dan barangan keperluan bayi seperti susu dan lampin pakai buang disalurkan melalui Sukarelawan Selatan kepada mangsa banjir di Hulu Langat semalam.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, lebih banyak lagi bantuan akan disalurkan dalam masa terdekat.

“Saya berdoa semoga Allah berkati dan kurniakan kekuatan kepada Dato’ (Dato’ Menteri Besar) dan seluruh rakyat Selangor.

“Jikalau perlu apa-apa beritahu saya. Insya-Allah saya akan bantu. Esok lusa saya akan hanta lebih bantuan,” titah baginda melalui Twitter.

Terdahulu baginda membalas Twitter Dato’ Seri Amiruddin Shari yang menjunjung kasih atas bantuan yang disalurkan tersebut.

“Menjunjung kasih DYAM Tunku@HRHJohor atas bantuan dan sokongan. Keprihatinan Tunku amat patik hargai,” kata Amirudin.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penduduk Hulu Langat harap penyelesaian jangka panjang atasi banjir

HULU LANGAT, 30 NOV: Penduduk di daerah ini berharap Kerajaan Negeri dan Persekutuan segera melaksanakan pelan jangka panjang bagi mengatasi isu banjir setiap kali hujan lebat.

Zahrim Nordin, 65, berkata kejadian banjir pada awal bulan ini merupakan kali ketiga dialaminya sejak tinggal di kawasan Sri Nanding lebih 20 tahun.

“Rumah saya pernah dilanda banjir pada 1991 dan 2012, jadi langkah jangka panjang perlu dilakukan untuk selesaikan masalah ini,” katanya ditemui SelangorKini selepas menerima sumbangan Bakul Makanan di Dewan Serbaguna Taman Sri Nanding semalam.

Bagi Mohd Azrul Iszuddin, 35, keluarganya menanggung kerugian selepas kelengkapan rumah rosak ditenggelami banjir paras pinggang.

“Kejadian ini ibarat jatuh ditimpa tangga selepas berhenti kerja akibat Covid-19. Namun saya bersyukur Kerajaan Negeri hulur bantuan untuk meringankan beban, cuma saya harap usaha mengatasi banjir segera dilakukan,” katanya.

Harapan sama juga dikongsi S Pravin, 18, yang mahu kerajaan merangka pelan khusus bagi mengelak rakyat menanggung kerugian akibat banjir selain hanya memberi bantuan makanan dan wang.

“Hari ini saya hadir terima sumbangan bagi pihak bapa dan berterima kasih kerana beri bantuan makanan tetapi penduduk di sini berharap kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Pada 4 November, lebih lebih 500 rumah di di Hulu Langat dilanda banjir susulan hujan lebat hampir lima jam. Susulan itu Dato’ Menteri Besar mengumumkan bantuan segera RM500 dan Bakul Makanan kepada mangsa terjejas.

Selain itu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri merangka pelan Projek Tebatan Banjir (RTB) jangka masa panjang sehingga 100 tahun bagi mengatasi isu tersebut.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Duka mangsa banjir Hulu Langat terubat, terima kunjungan MB

HULU LANGAT, 8 NOV: Kesedihan mangsa banjir di Taman Sri Nanding dan Kampung Batu 16, di sini, sedikit terubat dengan kunjungan Dato’ Menteri Besar ke kampung itu semalam.

Seorang warga emas, Fatimah Ujang, 71, berkata dia terharu dan tidak menyangka apabila Dato’ Seri Amirudin Shari sudi meluangkan masa menziarahinya meskipun untuk tempoh yang singkat.

Fatimah Ujang, 71

“Alhamdulillah, makcik gembira kerana beliau datang sendiri jenguk kami yang ditimpa musibah teruk baru-baru ini. Makcik amat berbesar hati menerima kehadiran beliau.

“Pemimpin seperti ini yang kita mahu, sentiasa mengambil berat akan kebajikan rakyat yang sedang susah. Terima kasih juga kerana beri makanan asas kepada kami sekeluarga,” katanya.

Nor Djazimah Abd Jalil, 68, pula mengakui sebak ketika dimaklumkan menerima sumbangan makanan asas daripada pemimpin nombor satu negeri itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari membantu mengangkat peralatan rumah yang di buang oleh mangsa banjir sempena program lawatan pasca banjir di Hulu Langat pada 7 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya tersinggung apabila Dato’ Menteri Besar datang, sekurang-kurangnya beliau ingat kepada kami. Apatah lagi warga emas seperti kami mudah tersinggung apabila ada pihak yang datang dan ambil perhatian.

“Jika diikutkan saya susah hendak keluar rumah ditambah pula dengan keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan tetapi selepas dapat tahu Menteri Besar dan Edry Faizal (Ahli Dewan Negeri Dusun Tua) datang, saya nekad keluar juga,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan kepada Noor Aini Bidin (dua dari kiri) sempena program lawatan pasca banjir di Hulu Langat pada 7 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, ibu tunggal, Noor Aini Bidin, 57, gembira dan teruja kerana dapat bersua muka dengan pemimpin tersebut di samping menghulurkan sendiri bantuan makanan seperti beras, mi segera dan minyak masak untuk kegunaan dia sekeluarga.

“Saya bersyukur dan berterima kasih atas kesudian mengunjungi kami sekeluarga di sini walaupun pada awalnya agak terkejut kerana beliau tiba ketika kami sedang bertungkus-lumus membersihkan kawasan rumah,” kata ibu kepada lima anak.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Lima pusat pemindahan dibuka di Selangor

SHAH ALAM, 5 NOV: Seramai 362 mangsa banjir daripada 87 keluarga di Sepang dan Hulu Langat, Selangor ditempatkan di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka lewat petang dan malam semalam.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata pembukaan PPS berkenaan berikutan hujan lebat berterusan selama beberapa jam di kedua-dua daerah itu menyebabkan paras air Sungai Langat dan Sungai Semenyih meningkat hingga melimpah ke kawasan berpenduduk.

Beliau berkata dua PPS dibuka di Hulu Langat iaitu Kompleks Penghulu Baru 10 Cheras dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai manakala tiga lagi di Sepang iaitu Sekolah Rendah Agama (SRA) Dengkil, Dewan Orang Ramai Taman Gemilang dan Dewan Orang Ramai Pekan Dengkil.

“Seramai 161 mangsa daripada 36 keluarga ditempatkan di PPS SK Sungai Serai manakala 55 mangsa daripada 15 keluarga dipindahkan ke Kompleks Penghulu Baru 10 Cheras.

“SRA Dengkil pula menempatkan 24 mangsa daripada enam keluarga, Dewan Orang Ramai Taman Gemilang 55 mangsa daripada 14 keluarga dan 67 lagi mangsa daripada 16 keluarga dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Pekan Dengkil,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Muhammad Izzat Haziq berkata UPBN Selangor akan membuka lebih banyak PPS sekiranya jumlah mangsa makin bertambah bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan ketika ini.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB santuni mangsa banjir Hulu Langat, hulur bantuan

HULU LANGAT, 4 NOV: Dato’ Menteri Besar hari ini meluangkan masa hampir sejam melawat keluarga mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai, di sini.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang tiba sekitar jam 5.45 petang disambut Ahli Parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dan Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof.

Hadir sama, Pegawai Daerah Hulu Langat Najmuddin Jemain, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Dato’ Zul-kefli @ Zulkefli Khalid dan Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) SV Kalaiselvam.

Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat disampaikan Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Ir SV Kalaiselvam di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat pada 4 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Amirudin diberi taklimat awal oleh Kalaiselvam mengenai kadar turun hujan yang tinggi menjadi punca banjir berikutan Sungai Langat tidak mampu menampung kapasiti air.

Usai taklimat, beliau beramah mesra dengan mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) itu selain menyerahkan bantuan keperluan asas.

Terdahulu, seramai 60 keluarga ditempatkan di pusat itu sejak pagi tadi selepas kediaman mereka ditenggelami air.

Sementara itu, satu lagi PPS turut dibuka di Kompleks Penghulu Batu 10, di sini bagi menempatkan seramai 50 keluarga.

Kesemua mangsa di kedua-dua PPS dari tujuh perkampungan dalam mukim Hulu Langat iaitu Kampung Batu 20 Sungai Lui, Kampung Batu 14, Kampung Batu 16, Kampung Kuala Perdik, Kampung Batu 18, Kampung Batu 17 dan Kampung Sungai Serai.

Categories
SELANGOR

Banjir: SELCAT Adakan Pendengaran Awam Kenalpasti Punca

SHAH ALAM, 5 APR – Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Kecekapan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) akan mengadakan pendengaran awam berhubung kejadian banjir yang melanda kawasan Hulu Langat dan Klang, masing-masing pada 17 dan 30 Mac lalu.

Pendengaran awam yang akan berlangsung pada 16 dan 17 April itu bakal diadakan di Bilik Gerakan Dewan Negeri Selangor pada jam 10 pagi.

Menerusi kenyataan media yang dihantar kepada Media Selangorku hari ini, beberapa saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan termasuk wakil dari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri.

Selain itu, kehadiran badan bukan kerajaan dan orang perseorangan untuk memberi keterangan juga dialu-alukan, bagaimanapun mereka perlu memberi keterangan bertulis terlebih dahulu selewat-lewatnya 12 April ini untuk ditentukan keberkaitan keterangan sebelum dipanggil.

Hujan lebat yang berlarutan tanpa henti selama 12 jam pada 8 Mac lalu mengakibatkan sebahagian besar kawasan Lembah Klang dinaiki air dan mangsa di kawasan Hulu Langat terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Hulu Langat adalah antara kawasan dinaiki air. Kawasan-kawasan lain termasuklah Lembah Jaya di Ampang; Kampung Attap dan Kampung Baru di ibu negara.

Jalan-jalan yang turut dinaiki air ialah Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) berhampiran Tesco Ampang dan Hotel Flamingo, Jalan Tuanku Abdul Rahman (kawasan Chowkit), Jalan Tun Razak, Jalan Duta, Pasar Seni.

Banjir di kawasan Hulu Langat menghala ke Bukit Belacan, Ampang dipercayai berpunca daripada limpahan air sungai.

Di Klang, banjir kilat telah melanda di beberapa kawasan di daerah itu dan mengakibatkan lebih 1000 penduduk mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda.

Kejadian yang disifatkan sebagai banjir kilat terburuk dalam sejarah di kawasan itu dipercayai berpunca daripada kegagalan kunci air pada sistem saliran untuk berfungsi.

Antara kawasan yang teruk dilanda banjir adalah Kampung Delek Kiri, Kampung Delek Kanan, Kampung Delek Baru, Jalan Masjid, Sungai Sireh dan Kampung Keretapi.