Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir di Kelantan makin pulih, tinggal 414 keluarga di pusat pemindahan

KOTA BHARU, 6 MAC: Jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 1,437 orang daripada 414 keluarga pagi ini berbanding 1,879 orang daripada 544 keluarga malam tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat 8 pagi, kesemua mereka  ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas dan sebuah PPS di Tumpat.

Kesemuanya terdiri daripada 485 lelaki, 495 wanita, 208 kanak-kanak lelaki dan 238 kanak-kanak perempuan serta 11 bayi.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman sesawangnya pula melaporkan, semua sungai utama di negeri itu kini berada pada paras biasa.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan tiga kawasan di Kelantan masih belum menerima bekalan elektrik berikutan ditutup semasa bencana itu.

Kawasan terlibat ialah Pulau Dolah di Tumpat dan Jabatan Pengairan dan Saliran Pengkalan Rakit serta Jabatan Pengairan dan Saliran Bakat 2 di Pasir Mas.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir Kelantan: 1,879 mangsa masih duduki tujuh pusat pemindahan

KOTA BHARU, 5 MAC: Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus menunjukkan trend penurunan apabila 1,879 orang daripada 544 keluarga berada di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 7 malam, berbanding 2,260 orang daripada 692 keluarga petang tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa terdiri daripada 601 lelaki dewasa, 616 wanita dewasa, 303 kanak-kanak lelaki, 344 kanak-kanak perempuan dan 15 bayi.

Mangsa banjir ditempatkan di lima PPS di daerah Pasir Mas manakala dua lagi di daerah Tumpat.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman sesawangnya melaporkan, semua sungai utama di negeri itu kini berada pada paras biasa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Remaja lelaki korban kedua banjir Kelantan

KOTA BHARU, 28 FEB: Seorang remaja lelaki berumur 13 tahun menjadi korban kedua banjir di Kelantan selepas ditemukan lemas di Kampung Talang dekat Kadok di sini pada 7.15 malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata Mohamad Fazli Tamri, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kiat di sini, dipercayai sedang menunggang basikal bersama rakannya sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam tali air di kampung itu pada 6.20 petang.

“Rakannya cuba menyelamatkan mangsa, bagaimanapun gagal dan telah memanggil penduduk berdekatan untuk meminta pertolongan.

“Operasi mencari berjaya menemukan mangsa kira-kira 50 meter dari tempat dia terjatuh,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Muhamad Zaki berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk proses bedah siasat dan tindakan selanjutnya.

Terdahulu, seorang warga emas lelaki berusia 70 tahun menjadi korban pertama banjir di Kelantan yang turut ditemukan lemas hari ini di Kampung Kuala Gris dekat Dabong, Kuala Krai pada 7 malam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hakisan bah ranapkan bahagian dapur rumah 40 tahun

KOTA BHARU, 10 JAN: Satu keluarga dari Kampung Surau Kota di sini berhadapan dengan saat mencemaskan apabila rumah yang didiami hampir 40 tahun ranap di bahagian dapur akibat hakisan banjir Sungai Kelantan.

Rosmah Deraman, 48, berkata kejadian kira-kira 7 malam semalam itu menyebabkan empat tiang di bahagian dapur rumah runtuh sekali gus menyebabkan lantai kayu menjadi tidak rata.

“Ketika kejadian, saya baru pulang dari Wakaf Che Yeh dan mendapat panggilan daripada anak, Nik Mohd Amirul Aiman Nik Lah, 15, memberitahu bahagian belakang rumah sudah dihanyutkan arus deras sungai ketika banjir ini.

“Syukurlah anak saya Nik Mohd Amirul Aiman dan Nik Siti Norhidayah Nik Lah (27 tahun), dan dua cucu, Nik Muhammad Adam Darwisy Nik Hilmi Khoidir (6) dan Nik Nur Izara Aisyah (3) sempat menyelamatkan diri setelah mendengar dentuman kuat dan mendapati tanah di belakang rumah menggelongsor perlahan-lahan,” katanya ketika ditemui di Kampung Surau Kota hari ini.

Rosmah berkata hakisan sungai di belakang rumahnya didapati berlaku sejak enam tahun lepas iaitu paling ketara selepas banjir besar ‘Bah Kuning 2014’ dan kini jarak rumah dengan arus sungai hanya 0.3 meter sahaja.

Rosmah yang menjual surat khabar di Pasar Borong Wakaf Che Yeh di sini berkata sebelum berlaku hakisan, rumah tersebut dibina jauh dengan tebing iaitu 500 meter dari jarak tapak rumah, namun ia terhakis sedikit demi sedikit setiap kali berlaku banjir.

Rosmah Deraman mengemas rumahnya di Kampung Surau Kota, Kota Bharu yang sudah terhakis oleh arus deras dari Sungai Kelantan ketika tinjauan pada 10 Januari 2021. Foto BERNAMA

“Apabila tiba musim tengkujuh, kami sekeluarga tidak lena tidur kerana terlalu bimbang rumah ini dihanyutkan sungai. Sekarang apa yang kami takuti sudah berlaku dan bernasib baik kerana ada penduduk memberi tumpang duduk di rumah kosong untuk kami berpindah tengah malam semalam.

“Keadaan ini menambah kerisauan tambahan pula saya menghidap penyakit tiroid sejak 1997 dan asma kronik,” katanya.

Beliau merayu bantuan sebuah rumah daripada pihak berkaitan kerana pendapatan yang diperoleh RM20 sehari sekadar mampu membeli makanan dan keperluan harian sahaja, manakala suaminya Nik Lah Su, 49, hanya mengambil upah menebang pokok dengan pendapatan purata RM400 sebulan.

DI KUALA KRAI, lebih 100 penduduk Kampung Gilat mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan apabila jalan raya yang menjadi laluan penghubung utama mereka digenangi air sedalam tiga meter susulan banjir gelombang ketiga yang melanda sejak Rabu lepas.

Seorang penduduk Faridah Mat Sin, 61, berkata beliau sekeluarga hanya mengalas perut secara ala kadar sahaja sejak beberapa hari lepas dengan bekalan makanan yang sedia ada sehingga terpaksa mencatu kerana khuatir akan kehabisan makanan.

“Namun, syukurlah sumbangan bantuan tiba tepat pada waktunya (hari ini) ketika kami sangat memerlukan. Bagaikan rezeki turun dari langit. Inilah sumbangan pertama diterima oleh penduduk di sini yang telah terputus bekalan makanan sejak Rabu,” luah Faridah.

Terdahulu, beliau serta penduduk lain menerima sumbangan barangan keperluan asas menerusi Misi Banjir McDonald’s Malaysia dengan kerjasama Balai Polis Kuala Krai yang dihadiri oleh Ketua Jajahan Kuala Krai Tengku Ab Rahman Tuan Yunus, Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Suzaimi Mohamad dan Pengurus Operasi McDonald’s Malaysia Bahagian Pantai Timur Safna Sepian.

Seorang lagi penduduk di kampung yang sama Safiah Ibrahim, 45, berkata beliau bersyukur dengan bantuan barangan keperluan yang diberikan sekali gus dapat meringankan beban beliau sekeluarga terutamanya ketika menghadapi musibah banjir.

“Lagi meresahkan, saya mempunyai seorang anak orang kurang upaya (OKU) berusia 18 tahun namun kini saya mampu menarik nafas lega,” katanya.

Sementara itu, Safna berkata misi bantuan banjir kali ini menumpukan mangsa banjir yang terputus hubungan melibatkan barangan kering, ubat-ubatan dan sebagainya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir di Kelantan semakin pulih, hanya 122 mangsa di tiga PPS

KOTA BHARU, 25 DIS: Banjir di Kelantan semakin pulih dengan jumlah mangsa berkurangan kepada 122 orang daripada 39 keluarga pagi ini, berbanding 307 orang daripada 123 keluarga semalam.

Berdasarkan aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 9 pagi, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di Pasir Mas melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh yang menempatkan jumlah mangsa tertinggi seramai 44 individu, SK Bakong (43) dan SK Kedai Tanjong (35).

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Imran Ismail berkata paras air Sungai Golok di Rantau Panjang mencatat bacaan melepasi tahap amaran setinggi 8.42 meter (m) (amaran 8 m).

“Paras air sungai berkenaan menunjukkan trend penurunan berbanding semalam yang merekodkan tahap bahaya 9.55 m (bahaya 9 m) memandangkan tiada hujan lebat sejak dua hari lepas dan jika ada pun, hanya sesekali hujan renyai,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata sekiranya keadaan itu berterusan, lebih ramai mangsa yang masih berada di PPS akan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Katanya sehingga kini, tiada laluan utama ditutup kepada pengguna jalan raya.

Dalam pada itu, mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat merekodkan bacaan melepasi paras amaran setinggi 2.48 m (amaran 2.15 m).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir Kelantan lebih 400 orang, Kuala Krai tertinggi

KOTA BHARU, 19 DIS: Sebanyak 18 pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan di Kelantan dan menempatkan seramai 456 mangsa daripada 119 keluarga setakat 11 malam tadi, susulan hujan berterusan sejak Rabu lepas.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak tiga daerah terkesan akibat banjir iaitu Kuala Krai yang mencatatkan bilangan mangsa tertinggi seramai 239 mangsa daripada 59 keluarga dengan sebanyak lapan PPS telah dibuka.

Sementara itu, Tanah Merah membabitkan 149 mangsa daripada 40 keluarga manakala di Pasir Mas melibatkan 68 mangsa daripada 20 keluarga, dengan masing-masing mengaktifkan lapan dan dua PPS.

Berdasarkan laporan publicinfobanjir.water.gov.my pula menunjukkan paras air sungai di tujuh lokasi di Kelantan menunjukkan trend menaik dengan dua daripadanya telah melebihi tahap bahaya setakat bacaan 10.30 malam tadi.

Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas mencatatkan bacaan paras air mendadak dengan 9.87 meter melepasi tahap bahaya iaitu pada sembilan meter, manakala di Jenob, Tanah Merah merekodkan 23.66 meter melebihi 0.16 meter daripada paras bahaya.

Paras air Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah turut menunjukkan trend menaik dengan bacaan 14.94 meter sekali gus melebihi tahap amaran iaitu pada 14 meter.

Sementara itu, empat lokasi berada pada tahap waspada iaitu di Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai serta Limau Kasturi, Gua Musang masing-masing mencatatkan bacaan 32.75 meter dan 57.23 meter, manakala Sungai Pergau di Air Bol, Jeli mencatatkan 72.13 meter dan paras sungai di Kusial Baru, Tanah Merah pula merekodkan bacaan 14.31 meter.

Laman sesawang itu turut memaparkan kenyataan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang mengeluarkan amaran bahawa banjir dijangka berlaku di beberapa lokasi di Kuala Krai bermula 4 pagi.

Lokasi berkenaan membabitkan Kampung Bedal; Kampung Bukit Sireh; Taman Warisan; Kampung Kuala Petang; Kampung Ngagoh; Kampung Pahi; Kampung Air Duri; Kampung Guchil; Kampung Jirat; Kampung Gatal; Kampung Batu Mengkebang; Kampung Keroh; Kampung Batu Jong dan kawasan sekitarnya.

Cuaca di Kelantan ketika ini masih hujan dengan sesekali lebat, namun tiada laluan utama yang menghubungkan negeri ini ditutup kepada pengguna jalan raya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS tutup

KOTA BHARU, 24 DIS: Semua pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan ditutup sepenuhnya kira-kira pukul 8 malam tadi dengan 38 mangsa banjir daripada 15 keluarga terakhir yang berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong, Pasir Mas telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada 8 malam tadi.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup berkata, ini berikutan keadaan cuaca baik di seluruh negeri sejak dua hari lepas.

“Walapun gelombang kedua banjir di negeri ini berlaku awal namun semua keperluan asas kepada mangsa banjir dapat kita sediakan tanpa sebarang masalah.

“Ini kerana persiapan awal telah kita lakukan sebelum ini termasuk pembelian darurat pada 9 Disember lepas,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, persiapan yang sama juga telah dilakukan bagi menghadapi gelombang banjir seterusnya di Kelantan terutama pada 25 Disember ini yang diramal bakal berlaku fenomena air laut pasang besar.

Said berkata, menguruskan mangsa banjir pada gelombang pertama memberi pengalaman berharga kepada semua petugas bagi mereka menjalankan tanggungjawab dengan lebih lancar.

“Kita juga mendapat kerjasama yang baik daripada mangsa yang mematuhi arahan berpindah dengan lebih awal selain memberi kerjasama yang baik semasa berada di PPS,” katanya.

Katanya, trend banjir gelombang kedua juga agak berbeza apabila jajahan Tumpat yang biasanya menjadi lokasi terakhir banjir tidak terkesan dengan bencana itu.

“Tiada mangsa yang dipindahkan di jajahan Tumpat untuk banjir kali kedua. Ia memberi sedikit kelegaan kepada pihak kami untuk memberi fokus kepada jajahan lain yang terkesan banjir,” katanya.

Dalam pada itu, Said berkata, JKM turut memantau keadaan cuaca di selatan Thailand bermula hari ini hingga berakhirnya ramalan fenomena air pasang sebagai persiapan menghadapi segala kemungkinan.

Katanya, hujan yang lebat di Thailand antara faktor yang turut mempengaruhi banjir di Kelantan kerana mampu meningkatkan paras Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Kelantan kekal 187 orang pagi ini

KOTA BHARU, 23 DIS: Jumlah mangsa banjir di Kelantan kekal dengan 187 mangsa daripada 72 keluarga yang masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara di Pasir Mas setakat jam 8 pagi ini.

Aplikasi InfoBencanaJKM menunjukkan seramai 21 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, 93 mangsa daripada 44 keluarga menghuni PPS SK Bakong dan 73 mangsa daripada 21 keluarga berlindung di SK Kedai Tanjong.

Banjir di Kelantan hampir pulih berikutan keadaan cuaca yang baik sejak beberapa hari yang lepas.

Sementara itu, laman sesawang ebanjir.kelantan.gov.my menunjukkan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas berada di paras 9 meter (bahaya 9 meter) manakala Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat kembali ke paras berjaga-jaga dengan bacaan 2.03 meter manakala semua sungai utama lain berada pada paras normal.

Polis Kelantan mengsahkan lima mangsa terkorban sepanjang gelombang pertama dan kedua banjir melanda Kelantan setakat ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gelombang kedua banjir di Kelantan, 785 keluarga dipindah

KOTA BHARU, 18 DIS: Kelantan kembali dilanda banjir gelombang kedua di negeri ini dan sehingga tengah hari ini 2,374 mangsa dipindahkan membabitkan 785 keluarga di enam jajahan berikutan hujan lebat sejak malam tadi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan kesemua mangsa banjir di enam jajahan iaitu Jeli, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tanah Merah di​​​​​​​pindahkan ke 30 pusat pemindahan sementara (PPS).

Jajahan Jeli merupakan mangsa yang teramai dipindahkan iaitu membabitkan 1,554 mangsa daripada 563 keluarga dan dipindahkan di 11 PPS.

Di Tanah Merah pula, 555 mangsa dipindahkan (153 keluarga) di 12 PPS, Pasir Puteh seramai 13 orang (dua keluarga) di sebuah PPS, Pasir Mas seramai 15 orang (lapan keluarga) di sebuah PPS, Machang babitkan 53 mangsa (13 keluarga) dan Kuala Krai seramai 184 orang (46 keluarga) di empat PPS.

Paras air Sungai Kelantan di Jenob, Tanah Merah telah melepasi bahaya iaitu 25.50 meter (bahaya 23.50 meter) manakala sungai-sungai utama lain dilaporkan paras air semakin meningkat.

Cuaca bagaimanapun cerah sejak pagi tadi dan tiada jalan utama yang ditutup kepada kenderaan ketika ini.

Banjir gelombang pertama sebelum ini mengorbankan tiga nyawa.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penduduk Kelantan dinasihat siap sedia hadapi gelombang kedua

KOTA BHARU, 9 DIS: Penduduk negeri Kelantan yang tinggal di kawasan rendah dinasihatkan supaya bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku pada 25 dan 26 Disember ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata walaupun gelombang pertama banjir sudah berakhir dan pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup hari ini, namun masyarakat perlu terus berwaspada kerana musim tengkujuh belum berakhir.

“Kita mahu menasihatkan orang ramai terutama yang mempunyai anak kecil, warga emas serta ibu mengandung di rumah supaya sentiasa bersiap sedia kerana kita tidak mahu sekiranya ada yang diarahkan berpindah, masih enggan berbuat demikian sehingga mendatangkan kesukaran dalam operasi menyelamat.

“Sikap sedemikian perlu diubah kerana selain menyusahkan diri sendiri, pasukan penyelamat juga menghadapi kesukaran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Meraikan Persaraan Pegawai Kanan Polis, Pegawai Rendah Polis dan Pegawai Awam Peringkat Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Hasanuddin berkata sepanjang gelombang pertama banir yang melanda Kelantan minggu lepas, pihaknya mendapati masih ramai penduduk yang enggan berpindah walaupun kawasan rumah telah dinaiki air lebih satu meter.

Beliau berkata antara alasan yang dikemukakan untuk tidak berpindah adalah untuk menjaga harta benda dan sudah biasa dengan banjir namuan ia hanya mengundang risiko jika mereka ditimpa masalah selepas itu.

“Pasukan penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) adakalanya terpaksa menggunakan kaedah memujuk bagi menasihatkan mangsa banjir supaya berpindah,” katanya.

Sementara itu Hasanuddin berkata agensi penyelamat termasuk polis dan lain-lain agensi berkaitan sudah melakukan persiapan untuk menghadapi segala kemungkinan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir di Kelantan semakin pulih

KOTA BHARU, 9 DIS: Keadaan banjir di Kelantan semakin pulih dengan hanya tinggal 66 mangsa banjir daripada 20 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 297 orang daripada 83 buah keluarga pada petang semalam.

Berdasarkan Aplikasi InfoBencanaJKM, dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong di Pasir Mas dengan 50 mangsa (18 keluarga) dan SK Pengkalan Kubor 2, Tumpat dengan 16 mangsa (dua keluarga).

Maklumat dalam publicinfobanjir.water.gov.my menunjukkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada paras berjaga-jaga iaitu 7.75 meter (berjaga-jaga 7 meter) manakala semua sungai lain berada pada paras normal.

Cuaca pagi ini mendung dengan sesekali hujan sederhana lebat.

Setakat ini tiga mangsa terkorban akibat banjir di Kelantan.

Di JOHOR BAHRU, jumlah mangsa banjir yang berada di PPS di Kota Tinggi kekal 19 orang daripada lima keluarga, setakat 8 pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor Tan Chen Choon berkata mereka daripada Kampung Baharu, Kampung Changi dan Kampung Jumis Bukit Raja di Teluk Ramunia yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Teluk Ramunia yang dibuka sejak jam 2.30 petang semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kelantan rayu kerajaan pusat bantu penanam rugi RM2.4 juta akibat banjir

PASIR PUTEH, 8 DIS: Kerajaan Kelantan meminta kerajaan pusat membantu penanam di daerah Semerak di sini yang mengalami kerugian RM2.4 juta setelah tanaman mereka terutama ubi keledek musnah akibat ditenggelami banjir, awal bulan ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Abdul Azziz Kadir berkata kerajaan pusat perlu membantu Kelantan bagi meringankan beban penanam yang mengalami kerugian besar dan sukar untuk dipulihkan.

“Kerjasama kerajaan pusat perlu bagi memulihkan pendapatan penanam yang terjejas teruk disebabkan fenomena yang tidak diduga,” katanya kepada pemberita dalam satu perjumpaan khas antara penanam dan agensi yang berkaitan di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, seramai 200 penanam yang sebahagian besar mengusahakan tanaman ubi keledek Vitato selain petola dan cili di kawasan seluas 160 hektar di Kampung Haji Wan Omar, musnah akibat ditenggelami air selama empat hari berpunca daripada sistem perparitan gagal berfungsi untuk mengalirkan air ke Terusan Semerak.

Abdul Azziz berkata beliau akan mengemukakan bantuan daripada kerajaan pusat melalui jawatankuasa khas bersama yang ditubuhkan, yang akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Jajahan Pasir Puteh Asrul Sani Ramli berkata pihaknya sedang melancarkan gerakan membanci untuk mengetahui kerugian sebenar yang dialami oleh penanam terbabit yang merupakan bekas penanam tembakau.

Bagaimanapun beliau berkata, penanam terbabit dikehendaki melaporkan kepada pihak polis tentang jumlah kerugian yang dialami bersertakan dengan gambar selain mengisi satu borang khas.

Jurutera Jajahan, Pejabat Parit dan Saliran (JPS) Pasir Puteh Wan Azinuddin Wan Ibrahim berkata pihaknya memperuntukkan sejumlah RM20,000 untuk membersih parit di kawasan itu sepanjang tiga kilometer.

Katanya, kerja-kerja pembersihan dari semak samun yang menghalang pengaliran air akan dilakukan pada minggu ini sebagai persediaan untuk menghadapi fenomena yang dijangka berulang sehingga awal tahun hadapan.

ADUN Semerak Wan Hasan Wan Ibrahim pula berkata, beliau akan menyumbang 50 pek bekalan makanan keperluan harian bernilai RM5,000 kepada penanam yang mengalami kerugian besar bagi meringankan beban keluarga pada musim tengkujuh ini.

-BERNAMA