Categories
ADN SELANGOR

KDEBWM sedia pengorek kaut, lori 10 tan bersihkan Taman Kinrara pascabah

SHAH ALAM, 10 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) menempatkan kakitangan dan asetnya selama seminggu di Taman Kinrara, Puchong bagi pembersihan kesan banjir kilat.

Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han berkata tindakan mulai semalam membolehkan penduduk yang terkesan mengeluarkan sampah dan barangan yang rosak pada hujung minggu.

“Saya faham kesukaran dan dilema dihadapi rakan-rakan di Taman Kinrara. Baru beli perabot selepas banjir pada Disember tetapi tenggelam lagi.

“Perlukan masa pilih barang yang mahu dibuang atau masih bole digunakan. Jangan bimbang. Ambil masa anda,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

Sze Han yang juga pengerusi KDEBWM berkata proses pembersihan bermula pagi semalam menggunakan dua pengorek kaut, enam lori tipper 10 tan dan 10 lori Roll On Roll Off.

“Pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) juga sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada penduduk yang memerlukan,” katanya.

Hujan lebat pada petang Isnin menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini dinaiki air dengan 1,215 mangsa daripada 298 keluarga ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir kilat jejas beberapa laluan di ibu negara

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Banjir kilat dilaporkan di beberapa kawasan di ibu negara petang ini susulan hujan lebat.

Lembaga Lebuhraya Malaysia menerusi hantaran di Facebook memaklumkan banjir kilat itu menyebabkan beberapa laluan terjejas antaranya di Besraya Expressway melibatkan laluan dari pusat bandar ke Salak Selatan, dari Kuchai ke Salak Jaya dan dari Kampung Malaysia ke Kuchai, lapor Bernama.

Selain itu banjir kilat di Lebuhraya Kesas mengakibatkan empat lorong terhalang di Plaza Tol Awan Besar arah Barat serta hanya satu lorong boleh dilalui di KM48.3 arah Timur menuju ke persimpangan Sukom.

Banjir kilat juga mengakibatkan penutupan sementara laluan di Terowong SMART melibatkan laluan masuk terowong dari Taman Desa dan Cheras menghala ke pusat bandar serta susur keluar terowong dari pusat bandar menghala ke Cheras.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengesahkan beberapa kawasan di Lembah Klang dilanda banjir kilat.

Maklumat dikongsi menerusi Facebook, agensi itu memaklumkan sehingga 5 petang tadi kawasan sekitar Balai Polis Dang Wangi mula dinaiki air.

Antara kawasan itu seperti berikut:
– Jalan Sultan Ismail / Jln Ampang
– Jalan Leboh Ampang
– Jalan Raja Laut (Sogo /Pertama)
– Jalan Kia Peng / Jalan Raja Chulan.

Manakala sungai melepasi paras amaran seperti brikut:
– Sentul – Sungai Batu
– Jambatan Sulaiman – Sungai Klang
– Lebuh Pasar – Sungai Klang
– Jalan Parlimen – Sungai Gombak

Sungai melepasi paras bahaya pula di Jalan Tun Razak – Sungai Gombak

Nadma mengingatkan orang awam agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, peka dengan keadaan sekeliling dan mengutamakan keselamatan diri ketika banjir berlaku.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Beberapa lokasi di Selangor, KL dilanda banjir kilat petang ini

SHAH ALAM, 7 MAC: Banjir kilat dilaporkan melanda beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur, berdasarkan beberapa video yang tular di media sosial

Perkara itu berlaku selepas hujan lebat sejak pukul 3 petang dan antara kawasan terjejas di negeri itu ialah Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Gombak Batu Arang, Kampung Melayu Kundang dan Kampung Melayu Sungai Serai, Batu Arang, lapor Utusan Malaysia.

Pengarah Bomba negeri Norazam Khamis berkata, kejadian berkenaan menyebabkan lebih 50 kediaman terjejas namun tiada pemindahan dilakukan.

Beliau menambah, kejadian banjir yang berlaku di Jalan Masjid Kampung Gombak Batu Arang dekat sini telah menyebabkan tiga kediaman terjejas.

“Kejadian kira-kira pukul 3 petang itu telah menyebabkan air naik dengan kedalaman lebih satu kaki.

“Bagaimanapun air tidak memasuki rumah dan air semakin surut. Tiada pemindahan mangsa dilakukan,” katanya.

Kawasan sekitar Kuala Lumpur pula ialah Jalan Kuchai Lama, Sungai Besi, Jalan Cheras, Jalan Sultan Ismail, Jalan Loke Yew, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Parlimen, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak dan Jalan Ampang selain Jalan Persekutuan apabila dilaporkan kenderaan terpaksa membuat pusingan-U kerana paras air yang tinggi.

Sementara itu The Star melaporkan jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Bandaraya mengesahkan bahawa gambar lebuh raya yang dinaiki air di Kuchai Lama dikongsi adalah benar.

“Operasi masih dijalankan,” kata jurucakap itu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Taburan hujan dua kali ganda rekod tertinggi, negeri gerak bantuan segera

SHAH ALAM, 18 DIS: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di Selangor sehingga esok yang dibimbangi boleh memburukkan lagi banjir yang melanda lima daerah, kata Dato’ Menteri Besar.

Susulan itu, tambah Dato’ Seri Amirudin Shari, Kerajaan Negeri menggerakkan semua agensi berkaitan bagi membantu penduduk terjejas, termasuk memindahkan mereka ke pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah-daerah berkenaan.

“Setakat jam 5 petang tadi, Klang, Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Kuala Selangor telah mengoperasikan 46 PPS bagi menempatkan 3,582 penduduk yang menjadi mangsa banjir selepas tempat kediaman mereka dimasuki air,” katanya.

Selain keperluan asas seperti pakaian, makanan dan bilik kecil (cubicle) di PPS, Kerajaan Negeri akan membuat saringan Covid-19 secara percuma untuk keselamatan mangsa banjir.

“Saya (juga) mengarahkan supaya pihak Air Selangor menyediakan tangki air bergerak untuk ditempatkan di PPS yang beroperasi untuk kegunaan penduduk dipindahkan sementara,” katanya lagi.

Amirudin turut menjelaskan 134 pintu air terpaksa ditutup akibat kejadian air laut pasang yang menyebabkan tidak selamat untuk dibuka bagi mengelakkan air daripada melimpah keluar ke kawasan perumahan penduduk yang berdekatan kunci air.

“Sebanyak 93 pam beroperasi secara penuh untuk mempercepatkan aliran air ke sistem perparitan sungai bagi mengawal kejadian banjir yang sedang berlaku di lima daerah di Selangor,” katanya.

Petang tadi, Met Malaysia menjangkakan hujan sangat lebat di semua sembilan daerah termasuk lima yang sudah dilanda banjir seperti Klang, Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Berikut kenyatan penuh Dato’ Menteri Besar:

Saya telah mempengerusikan mesyuarat terkini Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor selepas kejadian hujan luar biasa yang bermula seawal jam 10 pagi semalam, 17hb Disember 2021, dan masih berterusan sehingga ke saat ini di beberapa kawasan.

Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Selangor memaklumkan bahawa taburan hujan telah mencecah 380mm. Jumlah ini adalah lebih dua kali ganda taburan hujan tertinggi yang dicatat sebelum ini, iaitu kira-kira 180mm dan secara kebiasaannya, paras air akan mencapai kira-kira 60mm. Tambahan itu, air pasang di kawasan-kawasan terlibat mencecah sehingga 4.5 meter.

Memandangkan situasi ini, beberapa ketetapan sedang dan akan diambil.

Pertama, keutamaan mendesak adalah keselamatan mangsa-mangsa banjir di kawasan yang paling terkesan. Setakat jam 5 petang tadi, Daerah Klang, Petaling, Sepang, Kuala Langat, dan Kuala Selangor, telah mengoperasikan 46 PPS bagi menempatkan 3,582 penduduk yang menjadi mangsa banjir selepas tempat kediaman mereka dimasuki air.

Kesemua PPS ini akan dilengkapi keperluan asas seperti pakaian, makanan, hand sanitiser, pelitup muka serta cubicle (bilik kecil) bagi melindungi keperibadian keluarga masing-masing.

Kedua, memandangkan kita masih bergelut dengan endemik penularan wabak Covid-19, kesemua mangsa akan melalui saringan Covid-19 secara berkala dan percuma untuk mengelakkan daripada tercetusnya kes. PPS khusus akan disediakan bagi mangsa yang dikesan positif Covid-19.

Ketiga, aset-aset Kerajaan Negeri serta agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia akan dikerah, khususnya kenderaan redah banjir bagi tujuan pemindahan mangsa serta pengagihan barang keperluan asas.

Keempat, saya telah mengarahkan supaya pihak Air Selangor menyediakan tangki air bergerak untuk ditempatkan di PPS yang beroperasi untuk kegunaan penduduk dipindahkan sementara.

Kelima, kesemua usaha ini akan dikoordinasi oleh Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam berpusat di Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam.

Keenam, Kerajaan Negeri akan menggerakkan pasukan sukarelawan Team Selangor dan SERVE bagi membantu proses menempatkan penduduk di PPS, mengagihkan bantuan awal serta proses pembersihan yang akan bermula selepas air pasang mula surut.

Sebanyak 134 pintu air terpaksa ditutup akibat kejadian air pasang yang menyebabkan tidak selamat untuk dibuka bagi mengelakkan air daripada melimpah keluar ke kawasan-kawasan perumahan penduduk yang berdekatan kunci air.

Tambahan kepada itu, sebanyak 93 pam beroperasi secara penuh untuk mempercepatkan aliran air ke sistem perparitan sungai bagi mengawal kejadian banjir yang sedang berlaku di lima daerah di Selangor.

Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan hujan sangat lebat akan berterusan di daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat serta negeri seperti Perak, Kelantan, Pahang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan Putrajaya.

Oleh yang demikian, saya menasihati penduduk di kawasan-kawasan terbabit untuk mematuhi nasihat pasukan keselamatan dan bersiapsiaga sekiranya diarahkan untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir. Ini adalah untuk melindungi keselamatan anda dan keluarga untuk waktu yang kritikal ini. Elakkan daripada keluar rumah jika tiada keperluan mendesak. Jauhi dari tempat yang dinaiki air kerana ini boleh menyebabkan renjatan elektrik ataupun panahan petir.

Saya mengesyorkan Kerajaan Negeri akan membuat segala yang mampu mengikut kapasiti untuk memastikan bantuan tiba kepada mangsa yang amat memerlukan pada waktu yang kritikal ini. Ikuti maklumat mengenai situasi serta pemakluman terkini di laman media sosial rasmi saya di Twitter, Facebook serta Instagram.

Sekiranya anda memerlukan pertolongan, sila hubungi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor di talian 03-50350920, ataupun nombor-nombor yang tertera di bawah.

  • Majlis Perbandaran Klang – 03-3374 8845
  • Majlis Bandaraya Shah Alam – 03-5522 2787
  • Majlis Perbandaran Kuala Langat – 03-31822566
  • Hospital Tengku Ampuan Rahimah – 03-3323 9478
  • Pejabat Kesihatan Daerah Klang – 03-3323 9554
  • PDRM Klang Selatan – 03-3372 2222
  • PDRM Klang Utara – 03-3291 3344
  • Jabatan Kebajikan Masyarakat – 03-3341 3703
  • Jabatan Kerja Raya – 03-3371 4040
  • Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor – 03-3371 2464
  • Angkatan Pertahanan Awam – 03-3371 0820

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi Pelabuhan Klang terjejas akibat banjir

SHAH ALAM, 18 DIS: Hujan lebat dan banjir kilat sejak semalam telah menjejaskan operasi pelabuhan di terminal Northport, Westports dan Southport, kata Lembaga Pelabuhan Klang (PKA).

PKA dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan operasi di gudang dan depot kontena kosong di kawasan sekitar juga terjejas dan diburukkan lagi dengan kerosakan jalan masuk.

“Lebih merencatkan lagi keadaan, ramai kakitangan operasi pelabuhan dan logistik tidak dapat melapor diri untuk bekerja kerana masalah perjalanan. Oleh itu, pergerakan masuk dan keluar kontena dijangka terjejas teruk sehingga menyebabkan penghantaran terpaksa ditangguhkan untuk beberapa hari akan datang,” katanya.

Penundaan kapal juga akan ditangguhkan kerana cuaca buruk yang telah menyebabkan kesesakan trafik di kawasan berlabuh di luar pelabuhan dengan banyak lagi kapal dijangka tiba pada hari-hari akan datang.

Bagaimanapun, PKA sedang bekerjasama rapat dengan pemain dan logistik industri pelabuhan untuk mengoptimumkan sumber yang ada serta melakukan segala yang mungkin bagi memastikan kesinambungan operasi pelabuhan.

“Keutamaan akan diberikan kepada penghantaran barangan keperluan seperti makanan, bekalan perubatan dan barangan sejuk beku,” katanya.

Pengendali terminal, ejen penghantaran, syarikat pengangkut dan agensi pelepasan barangan digesa untuk berganding bahu dalam masa yang sukar ini untuk membantu dan memastikan barangan dapat sampai ke pasaran serta meminimumkan cabaran yang dihadapi oleh orang ramai yang sedang berhadapan dengan wabak Covid-19.

“Bagaimanapun, kami merayu kepada orang ramai untuk bersabar dalam tempoh yang sukar ini dan kami yakin cabaran ini akan berjaya diatasi melalui kerjasama dengan pelbagai pihak.

“Dalam masa yang mencabar ini, kami menyeru agar semua pihak yang terlibat untuk menonjolkan daya tahan dan rasa ehsan, kami menggesa komuniti pelabuhan serta logistik bagi menghulurkan bantuan yang diperlukan kepada masyarakat tempatan yang terjejas oleh banjir dengan menghubungi pemimpin komuniti masing-masing untuk mengetahui bagaimana mereka boleh dibantu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Puluhan kenderaan terkandas, pemandu terpaksa tidur dalam kereta

SHAH ALAM, 18 DIS: Puluhan pemandu terpaksa bermalam di dalam kenderaan masing-masing malam tadi apabila laluan untuk pulang ke rumah mereka di Setia Alam di sini serta Bukit Raja dan Meru di Klang ditenggelami air berikutan hujan lebat di Lembah Klang sejak pagi semalam.

Jalan-jalan utama di Setia Alam yang menghubungkan Meru dan Bandar Bukit Raja di Klang dinaiki air antara dua hingga tiga meter sejak lewat malam tadi menyebabkan ramai pengguna jalan raya yang pulang kerja lewat malam terperangkap dan tidak dapat pulang ke rumah hingga tengah hari ini.

Setakat 1 tengah hari, hujan masih lebat turun di sekitar Lembah Klang.

Tinjauan Bernama di jalan utama menghubungkan Setia Alam dengan Meru mendapati puluhan kenderaan masih berhenti di tepi jalan kerana laluan yang dinaiki air itu hanya boleh dilalui kenderaan berat seperti bas dan lori.

Mohd Faizol Adzhar Mohd Mohtar, 34, berkata beliau terpaksa tidur di dalam kereta yang diletakkan di kawasan parkir kira-kira dua kilometer dari apartmennya di Bandar Bukit Raja sebelum berjalan kaki pulang pagi ini.

“Saya balik kerja dari Kuala Lumpur pukul 9.30 malam tadi dan saya berhenti makan kerana jalan sesak, tiba di Setia Alam kira-kira pukul 12 tengah malam saya dapati semua jalan menuju ke rumah saya dinaiki air.

“Keadaan waktu itu hujan lebat dan saya ambil keputusan untuk tidur di dalam kereta kerana tidak mahu ambil risiko meredah air banjir yang tinggi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Kira-kira 10 pagi, Mohd Faizol Adzhar mengambil keputusan untuk berjalan kaki pulang ke rumahnya kerana air tidak menunjukkan tanda untuk surut berikutan hujan lebat masih turun.

Mohamad Imran Hakim Mohd Nazri, 19, pula terpaksa tidur di tempat kerja selepas kawasan sekeliling dinaiki air.

“Saya habis kerja di restoran kira-kira 12.30 tengah malam dan ketika itu air sudah naik setinggi dua meter di luar restoran,” katanya.

Beliau yang tinggal di Sungai Kapar Indah, kira-kira 10 kilometer dari Setia Alam sejak kecil, berkata kejadian banjir kali ini adalah paling buruk pernah dialami sejak tinggal di daerah itu.

“Sekarang saya masih lagi di tempat kerja, tidak boleh pulang ke rumah, harap hujan akan berhenti dan air segera surut,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banjir: Selangor gerak bantuan segera kepada penduduk

SHAH ALAM, 18 DIS: Kerajaan Negeri menggerakkan semua agensi berkaitan bagi membantu penduduk terjejas banjir kilat susulan hujan berterusan sejak semalam, kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari bantuan kecemasan akan diberi segera kepada mereka dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah dan tanah (PDT).

“Sehingga kini sebanyak 33 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Klang, Kuala Langat dan Sepang.

“Kerajaan Negeri sedang menggerakkan semua agensi berkaitan untuk memindahkan mangsa dan memberi bantuan kecemasan segera,” katanya menerusi Facebook.

Amirudin turut berkongsi nombor telefon agensi penting yang boleh dihubungi untuk penduduk di Klang iaitu seperti berikut:

1. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor 03-5544 7324
2. Pejabat Daerah dan Tanah Klang 03-3371 6700
3. Jabatan Pertahanan Awam 03-3371 0820 (24 jam)
4. Majlis Perbandaran Klang 03-3374 8845
5. Jabatan Pengairan dan Saliran 03-3371 2464
6. Jabatan Kerja Raya 03-3371 4040
7. Majlis Bandaraya Shah Alam 03-5522 2787
8. Jabatan Kebajikan Masyarakat 03-3341 3703
9. Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selatan 03-3372 222
10. Polis Diraja Malaysia (PDRM) Utara 03-3291 3344
11. Hospital Tengku Ampuan Rahimah 03-3323 9478
12. Pejabat Kesihatan Daerah Klang 03-3323 9554
13. Bilik Gerakan PKD Klang (Covid-19) 03-3322 1154

Sementara itu, data Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor memaklumkan seramai 1,521 orang daripada 140 keluarga yang terjejas akibat banjir ditempatkan di 33 PPS di tiga daerah sehingga jam 12 tengah hari.

Bagaimanapun, jumlah sebenar mangsa mungkin lebih tinggi daripada angka 1,521 kerana ada PPS belum mengemaskini statistik itu dalam data berkenaan.

Seramai 1,098 manga dipindahkan ke pusat pemindahan di Klang manakala 423 di Kuala Langat.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

93 kawasan terjejas banjir kilat alami gangguan bekalan elektrik

SHAH ALAM, 18 DIS: Sebanyak 83 kawasan dalam empat daerah di Selangor mengalami gangguan bekalan elektrik susulan banjir kilat sejak semalam.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan setakat jam 10 pagi tadi pasukan teknikalnya berjaya memulihkan bekalan elektrik di beberapa kawasan terlibat.

TNB Careline menerusi Facebook juga menasihatkan pengguna tidak menyentuh peralatan elektrik atau mendekati pepasangan TNB yang ditelenggami air.

“Pelanggan dinasihatkan supaya kekal selamat dan sentiasa berhati-hati. Kesabaran dan keprihatinan anda amat dihargai,”katanya.

Berikut kawasa terjejas yang masih dapat mendapat bekalan elektrik:

Banting:
1. Taman Banting Mewah
2. DIPSOL

Sepang:
1. Rumah Pam Labu Lanjut
2. Concorde Inn
3. Telekom KLIA

Port Klang:
1. Strata Klang
2. Sakib
3. Food Wood Compact
4. Goh Tiong Chuan
5. Good Lanmark

Klang:
1. Bandar Setia Alam
2. Setia Impian
3. North Hummock Puncak Niaga
4. Bukit Rimau Industrial Park
5. NSK Steel
6. Time IT IN E Pantai Timur
7. HRC Rubber
8. Concrete Industri
9. Textrip
10. Kossan Chemical
11. HDM Industries
12. Fader Autopart
13. Ong Leong Chai
14. Malgames Ind.
15. Ching Shin
16. Aimwood
17. Soon Huat Rubber
18. Lee Chai Tiam
19. Poh & Chen
20. Sparkle Industries
21. Cycle World
22. Taman Sri Wangi
23. Kossan Ind.
24. Sung Jin
25. Lorong Penghulu Rashid Kapar
26. Yeoh Tiong Lay 2
27. Kampung Perepat
28. Sungar Kapar Indah 9
29. Good Performance
30. Lumi Glass
31. Li Hoe 2
32. Lim Chim Sim
33. Wangsa Kiliau
34. Shi Sei Auto Part
35. Taman Juta
36. Chong Seng Hardware
37. Pelan Teknik
38. Latitude Tree
39. Wolex Engineering
40. Hup Tai
41. An Yak Siong 3
42. Jalan Kepayang
43. Chi Liung Complex
44. MAIS
45. DNI Enterprise
46. Karich
47. Akoko
48. Desa Putera Bisnes Park
49. Jalan Rajion
50. Goh Chong Beng
51. Jalan Kebun
52. Shahira
53. Tanjung Agas
54. Taman Wira Damai
55. Masmuran Jalan Kebun
56. Jalan Tanjung Pahang
57. Lorong Mugni
58. Laman Palma
59. Lorong Rabingan
60. Lorong Haji Tahir
61. Jalan Bakri
62. Jalan Tanjung Medan
63. Bandar Putra
64. Taman Setia Jaya
65. Taman Sentosa
66. Taman Desa Idaman
67. Jalan Dato’ Dagang
68. Jalan Hulubalang
69. Lim Kien Hin
70. Ong Kim Hock
71. Hong Bee
72. Magnified Trade
73. Huplex Interior
74. Sparkle Industries
75. Cathay Eng Works
76. Light Ind. Sungai Puloh
77. Bosta Ind.
78. Eng Beng 3
79. Hoeken
80. Yong Sheng
81. Econmart Jalan Meru
82. Extron Manufacture
83. J&A 1

Semalam, TNB memaklumkan beberapa pencawang elektrik di Pelabuhan Klang, Klang mengalami gangguan bekalan susulan hujan serta banjir kilat.

Bekalan akan disalur secara berperingkat bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

Categories
ADN SELANGOR

Banjir kilat: Lebih 1,000 penduduk DUN Pelabuhan Klang dipindahkan

SHAH ALAM, 18 DIS: Seramai 1,130 mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 2.30 pagi.

Wakil rakyat Azmizam Zaman Huri berkata 400 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Telok Gong, Masjid Al-Islah Kampung Nelayan Telok Gong (300) dan Masjid Al-Ubudiah Kampung Telok Gong (70).

Seramai 40 orang di tempatkan di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Telok Gong, SRA Pulau Indah (100), Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Indah (150) dan Balai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Perigi Nenas, Pulau Indah (70).

“Pihak Bomba masih lagi membantu memindahkan mangsa banjir dari rumah mereka yang terjejas ke pusat pemindahan berdekatan,” katanya.

Azmizam berkata mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir boleh menghubungi pejabatnya di talian 017-2434200.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata lebih 800 mangsa banjir dari Kampung Johan Setia ditempatkan di PPS setakat ini.

“Di Sungai Kandis kawasan paling teruk di Kampung Johan Setia, ada juga beberapa penempatan terjejas tetapi jumlah mangsa tidak seramai di sana.

“Kita masih memantau keadaan untuk menghulurkan bantuan segera kepada penduduk terjejas,” katanya.

Semalam, bomba melaporkan sebanyak 20 kawasan di Klang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan dengan kawasan Telok Gong antara yang paling terkesan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hujan berterusan, Selangor dan beberapa negeri dilanda banjir

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Hujan lebat yang berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah di beberapa negeri telah dinaiki air dan jumlah mangsa banjir yang dipindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus mencatatkan peningkatan pagi ini.

Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan menjadi negeri terbaharu yang dilanda banjir selain Kelantan, Pahang dan Terengganu.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir di negeri itu terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 798 mangsa daripada 170 keluarga dipindahkan ke PPS berbanding 735 mangsa daripada 156 keluarga, semalam.

Pegawai Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kelantan Kapten Mohd Hanif Omar berkata 11 PPS dibuka iaitu tujuh di Kuala Krai, dua di Gua Musang dan masing-masing satu di Jeli dan Tanah Merah.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiga sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah merekodkan bacaan 24.36 meter (m), Sungai Kelantan di Kampung Jenob, Tanah Merah (24.62 m) dan Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.51 m).

Di Pahang, bilangan mangsa banjir turut meningkat apabila sembilan PPS dibuka awal pagi tadi menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi sebanyak 25 bagi menempatkan 513 mangsa daripada 137 keluarga di daerah Maran dan Raub.

Menurut Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat kesemua PPS yang baru dibuka terletak di daerah Raub iaitu Masjid Kampung Kuala Semantan, Pusat Kegiatan Wanita Batu Malim, Sekolah Kebangsaan Tersang dan Masjid Baru Kampung Ajai.

Selain itu, Balai Raya Kampung Ria dan Dewan Dato Seriwa Dong, Masjid Kuala Temau, Balai UMNO Kampung Batu Talam dan Dewan Serbaguna Kampung Pia turut dibuka awal pagi ini.

Di Terengganu pula, jumlah mangsa banjir kekal tidak berubah dengan 66 mangsa daripada 14 keluarga masih berada di dua PPS pagi ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan hanya satu sungai telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Dungun di Pasir Raja yang merekodkan bacaan setinggi 37.97 meter (m) berbanding paras bahaya 37.5 m.

Sementara itu di Selangor, Pengarah Bomba negeri Norazam Khamis memaklumkan seramai 1,011 mangsa banjir di kawasan Telok Gong, Klang dipindahkan ke tiga PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan Telok Gong, Masjid Al-Islah dan Masjid Al-Ubudia.

Selain itu, operasi memindah dan menyelamatkan mangsa banjir juga melibatkan kawasan di daerah Kapar, Banting, Pelabuhan Klang, Andalas, Pulau Indah dan Sepang membabitkan jumlah mangsa seramai kira-kira 64 orang termasuk dua keluarga yang kemudian dipindahkan ke PPS berhampiran.

Di Negeri Sembilan, tiga PPS dibuka setakat pagi ini iaitu Balai Raya Jimah Lama dan Balai Raya Permatang Pasir, Port Dickson serta Surau Keru Hilir, Tampin bagi menempatkan 107 mangsa membabitkan 36 keluarga.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata sebanyak 21 lokasi dilanda banjir antaranya Kampung Jimah Lama, Batu 6 Kampung Keru dan Darul Widad Linggi.

Dalam pada itu, Pengarah APM Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata Jalan Sendayan menuju Kampung Jimah Lama, Port Dickson ditutup kepada kenderaan awam berikutan berlaku tanah runtuh sejak awal pagi tadi akibat banjir dan pengguna dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui lebuh raya.

Di Melaka, sebuah PPS dibuka di Alor Gajah selepas kawasan tersebut dinaiki air susulan hujan lebat yang melanda daerah itu sejak 3 petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin berkata PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal itu kini menempatkan 40 mangsa daripada 11 keluarga yang terjejas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banjir kilat: 17 pusat pemindahan sementara dibuka di Selangor

SHAH ALAM, 18 DIS: Sebanyak 17 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di seluruh negeri ini susulan banjir kilat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook berkata Kerajaan Negeri akan terus memantau keadaan semasa dan membuka lebih banyak pusat pemindahan sekiranya perlu.

Tambah beliau, sukarelawan Team Selangor dan Selangor Volunteer (SERVE) sedang digerakkan bagi mengedarkan bantuan-bantuan kepada mangsa banjir.

Berikut PPS dibuka:

1. Masjid Al Islah / Masjid Al- Ubudiyah
2. SK Telok Gong
3. Sek Keb Johan Setia
4. Balai MPKK Sg Pinang
5. SMK Pulau Indah (mangsa Kg Org Asli Pulau Indah)
6. SRA Pulau Indah
7. Balai MPKK Perigi Nanas
8. Balai MPKK Bukit Naga
9. SK Sg Bijai
10. SRA Padang Jawa Klang
11. SK Jalan Kebun
12. Balairaya MPKK Kg Lombong
13. SRA Sg Serdang
14. Dewan Orang Ramai Tok Muda
15. SRA Pekan Kapar
16. SRA Kg Delek
17. Dewan MPKK KG Delek

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Juwairiya Zulkifli memaklumkan banjir kilat susulan hujan lebat di Klang sejak semalam yang menjejaskan lebih 2,000 penduduk setakat ini.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir kilat di Klang lebih 1,000 pagi ini

SHAH ALAM, 18 DIS: Jumlah mangsa akibat banjir kilat beberapa kawasan di Klang meningkat kepada 1,011 orang sehingga jam 7 pagi ini.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata semua mangsa ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong, Masjid As-Islah dan Masjid Al-Ubudiah, lapor Harian Metro.

“SK Telok Gong merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 681 mangsa, setakat ini. Kawasan itu paling teruk dilanda banjir kilat.

“256 mangsa ditempatkan di PPS Masjid As-Islah dan 74 lagi di Masjid Al-Ubudiah. Operasi masih dijalankan ketika ini,” kata Norazam Khamis ketika dihubungi.

Semalam, sebanyak 20 kawasan di Klang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan dengan kawasan Telok Gong antara yang paling terkesan.

Norazam berkata, kawasan lain yang terjejas adalah Pulau Indah, Pandamaran, Bandar Botanik, Telok Gadong, Bandar Sultan Suleiman dan Bukit Tinggi.