Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Hampir 14,000 lagi mangsa bah Klang selesai terima RM1,000 hari ini

KLANG, 23 FEB: Seramai 13,997 lagi mangsa banjir di Klang pada Disember lalu menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di lima lokasi hari ini, dengan keseluruhan 46,554 penerima setakat ini.

Bantuan RM1,000 diagih di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Dewan MBSA Kemuning Utama, Dewan Seri Kerayong, Kompleks Sukan Pandamaran dan Dewan TNB Kapar mulai jam 3 petang.

Pegawai Daerah Klang Mohd Faizal Abdul Raji menjangka agihan kepada 24,429 pemohon lagi selesai Jumaat ini seperti diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Insya-Allah, kita memang sasarkan sesi penyampaian BSB kepada pemohon akan selesai dalam minggu ini termasuk Bantuan Wang Ihsan daripada kerajaan persekutuan.

“Anggota dari Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Klang turut membantu di setiap lokasi bagi melancarkan proses agihan,” katanya ketika ditemui di sini.

Mangsa banjir menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Klang pada 23 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mohd Faizal berkata pemohon yang tidak dapat hadir pada waktu ditetapkan boleh mewakilkan ahli keluarga masing-masing dengan hanya perlu mengemukakan salinan kad pengenalan.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memberi jaminan agihan selesai menjelang hujung bulan susulan jumlah permohonan tinggi yang perlu diteliti.

Setakat 21 Februari, seramai 72,451 isi rumah mendapat manfaat dengan belanja lebih RM72 juta termasuk bantuan RM130,000 kepada 13 waris korban.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bantuan mangsa bah Klang diagih setiap hari, selesai bulan ini

KLANG, 4 FEB: Proses agihan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) kepada mangsa banjir sekitar Klang dibuat setiap hari mulai Isnin membabitkan 2,000 penerima.

Langkah itu bagi memastikan penduduk yang layak segera menerima manfaat, yang dijangka selesai bulan ini, kata Pegawai Daerah Klang Mohd Faizal Abdul Raji.

Jelasnya, kelewatan sebelum ini berpunca daripada permohonan bertindih selain wujud pihak mengambil kesempatan yang turut berlaku ketika agihan bantuan kerajaan persekutuan.

Pegawai Daerah Klang Mohd Faizal Abdul Raji bercakap kepada Media Selangor di Pejabat Daerah dan Tanah Klang pada 4 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Permohonan ditutup pada 31 Januari lalu dan kita terima 73,000 borang. Setakat ini, 50,551 layak menerima bantuan manakala seramai 13,097 mangsa sudah dapat manfaat,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata bantuan itu diberikan kepada mangsa yang terjejas kediaman sahaja, bukan kenderaan atau premis perniagaan selain permohonan hanya untuk ketua isi rumah.

“Tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada mereka yang cuba ambil kesempatan, namun setakat ini kita tidak lakukan. Kita harap semua jujur dan bersabar,” kata Mohd Faizal.

Tambahnya, proses semakan bantuan boleh dibuat melalui laman web Pejabat Daerah dan Tanah Klang dari semasa ke semasa.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memohon maaf atas kelewatan agihan BSB akibat banyak permohonan bertindih dan memerlukan semakan.

Setakat ini, Kerajaan Negeri membelanjakan RM55.555 juta juta bagi membantu penduduk termasuk sumbangan RM10,000 kepada 13 waris korban bencana.

Categories
AGENDA NASIONAL

Amaran bahaya hujan lebat berterusan hingga esok di Selangor, KL

SHAH ALAM, 18 DIS: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meletakkan Selangor, Kuala Lumpur dan sebahagian Pahang dalam kod merah amaran bahaya hujan sangat lebat berterusan hingga esok.

MetMalaysia dalam kenyataan pada pukul 10.30 malam ini meletakkan status bahaya Selangor melibatkan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Hulu Langat.

Kawasan bahaya di Pahang melibatkan Jerantut, Bentong dan Kuantan.

Sementara itu, Sepang diletakkan bawah keadaan buruk dengan jangkaan hujan lebat berterusan hingga esok.

Turut dalam kategori sama ialah Muallim, Hilir Perak; Gua Musang, Kelantan, Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Temerloh, Maran dan Pekan di Pahang.

Selain itu, hujan lebat berterusan juga melibatkan Putrajaya dan Jelebu, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu MetMalaysia turut meletakkan amaran waspada dengan hujan berterusan di Kedah (Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu) dan Pulau Pinang.

Turut tersenarai  Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk dan Batang Padang di Perak manakala di Kelantan melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Selain itu hujan berterusan juga dijangka di Terengganu, Bera dan Rompin di Pahang; Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan selain Melaka serta Tangkak, Segamat, Muar dan Batu Pahat di Johor.

 

Categories
SELANGOR

RM 5.29 juta biayai projek atasi banjir

SHAH ALAM 9 MEI : Mesyuarat Exco Negeri hari ini meluluskan peruntukan RM 5.29 juta bagi membiayai perbelanjaan projek mengatasi masalah banjir di Daerah Klang.

Exco Kerajaan Negeri, Dr Xavier Jayakumar berkata peruntukan tersebut diperolehi menerusi Akaun Amanah Caruman Parit kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Kita menumpukan kerja-kerja berkaitan di tiga kawasan tadahan utama iaitu di Sungai Teluk Gadong, Sungai Aur dan Sungai Puluh.

“Secara ringkasnya ia meliputi kawasan bandar dan sekeliling bandar Klang agar masalah banjir dapat diatasi dengan segera,” jelas Dr Xavier dalam satu sidang media sejurus selepas mesyuarat tersebut selesai.

Antara cadangan kerja yang dibentangkan MPK adalah pembinaan pembetung, pemasangan pintu kawalan air, pelebaran parit tanah dan naik taraf longkang dimana kesemuanya menelan kos sebanyak RM 4 juta.

“Sebagai contoh, RM652, 700 diperuntukkan untuk kerja-kerja menaik taraf longkang dan pembetungdi kawasan Jalan Tangku Kelana,” umumnya yang juga Adun Seri Andalas.

Sementara itu, JPS pula diperuntukkan kos sebanyak RM 1.29 juta bagi melakukan kerja-kerja mengorek dan mendalamkan Sungai Teluk Gadong Besar, Sungai Aur, mengorek dan mendalamkan kolam takungan Sungai Aur di Taman Sentosa serta mengorek dan membersihkan Sungai Jati.

“Antara cadangan kerja oleh JPS ialah kerja mengorek dan mendalamkan kolam takungan Sungai Aur, Pandamaran dengan kos RM490, 000,” jelasnya lagi.

Categories
SELANGOR

Banjir: SELCAT Adakan Pendengaran Awam Kenalpasti Punca

SHAH ALAM, 5 APR – Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Kecekapan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) akan mengadakan pendengaran awam berhubung kejadian banjir yang melanda kawasan Hulu Langat dan Klang, masing-masing pada 17 dan 30 Mac lalu.

Pendengaran awam yang akan berlangsung pada 16 dan 17 April itu bakal diadakan di Bilik Gerakan Dewan Negeri Selangor pada jam 10 pagi.

Menerusi kenyataan media yang dihantar kepada Media Selangorku hari ini, beberapa saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan termasuk wakil dari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri.

Selain itu, kehadiran badan bukan kerajaan dan orang perseorangan untuk memberi keterangan juga dialu-alukan, bagaimanapun mereka perlu memberi keterangan bertulis terlebih dahulu selewat-lewatnya 12 April ini untuk ditentukan keberkaitan keterangan sebelum dipanggil.

Hujan lebat yang berlarutan tanpa henti selama 12 jam pada 8 Mac lalu mengakibatkan sebahagian besar kawasan Lembah Klang dinaiki air dan mangsa di kawasan Hulu Langat terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Hulu Langat adalah antara kawasan dinaiki air. Kawasan-kawasan lain termasuklah Lembah Jaya di Ampang; Kampung Attap dan Kampung Baru di ibu negara.

Jalan-jalan yang turut dinaiki air ialah Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) berhampiran Tesco Ampang dan Hotel Flamingo, Jalan Tuanku Abdul Rahman (kawasan Chowkit), Jalan Tun Razak, Jalan Duta, Pasar Seni.

Banjir di kawasan Hulu Langat menghala ke Bukit Belacan, Ampang dipercayai berpunca daripada limpahan air sungai.

Di Klang, banjir kilat telah melanda di beberapa kawasan di daerah itu dan mengakibatkan lebih 1000 penduduk mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda.

Kejadian yang disifatkan sebagai banjir kilat terburuk dalam sejarah di kawasan itu dipercayai berpunca daripada kegagalan kunci air pada sistem saliran untuk berfungsi.

Antara kawasan yang teruk dilanda banjir adalah Kampung Delek Kiri, Kampung Delek Kanan, Kampung Delek Baru, Jalan Masjid, Sungai Sireh dan Kampung Keretapi.

Categories
SELANGOR

Mangsa Banjir Di Klang Akan Terima Bantuan Tambahan RM500

SHAH ALAM, 4 APR : Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk menambah bantuan yang sebelum ini dicadangkan RM300 kepada RM500 untuk satu isi rumah yang terlibat dengan banjir kilat di beberapa kawasan di Klang pada Jumaat 30 Mac lalu.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika sidang media selepas Mesyuarat Exco Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Menurut Abdul Khalid terdapat dua kategori golongan yang mendapat bantuan tersebut iaitu bantuan dari pihak pejabat zakat dan bantuan dari mereka yang tidak menerima bantuan zakat.

“Mangsa yang layak mendapat bantuan zakat sebanyak RM300, Kerajaan Negeri akan menambah sebanyak RM300 menjadikannya RM600.

“Manakala bagi yang tidak menerima bantuan dari pejabat zakat, kerajaan negeri akan menambah lagi sebanyak RM200 lagi disamping RM300 yang dijanjikan kerajaan negeri sebelum ini menjadikan mereka akan menerima sebanyak RM500.

Sehubungan itu, Abdul Khalid menggesa Menteri Pendidikan dan Kerajaan Pusat memberikan bantuan kepada dua sekolah di daerah Klang yang mengalami kerosakan akibat banjir supaya sekolah terbabit dapat berfungsi semula.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Pembangunan Modal Insan, Halimah Ali menyatakan sekolah terbabit menyediakan pendidikan khas untuk kanak-kanak istimewa dan sesi pembelajaran akan terjejas jika tidak mendapat bantuan dan perhatian sewajarnya.

Kerajaan Negeri juga turut bercadang memberikan sebanyak RM5,000 hingga RM10,000 kepada 2 buah sekolah yang mengalami kerosakan akibat banjir tersebut.

Selain itu, Abdul Khalid turut menafikan kenyataan yang di buat oleh Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkaitan banjir kilat di Klang berpunya dari kesilapan Kerajaan Negeri.

” Banjir kilat berpunca daripada kunci air yang tidak berfungsi, ini merupakan tanggungjawab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) adalah agensi milik Kerajaan Pusat,” jelas Abdul Khalid lagi.

Banjir kilat pada Jumaat 30 Mac telah melanda di beberapa kawasan di daerah Klang dan mengakibatkan lebih 1000 penduduk mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda.

Categories
NASIONAL

Pusat Sekat Peruntukan Atasi Masalah Banjir Di Selangor

SHAH ALAM, 2 APRIL: Banjir kilat yang melanda Klang baru-baru ini dijadikan isu politik apabila Datuk Seri Noh Omar menyalahkan Kerajaan Negeri Selangor  tetapi tidak memberi sebarang idea untuk penambahbaikan dan menyelesaikan masalah berkenaan.

Ronnie Liu dalam satu kenyataan memberitahu kerajaan negeri sudah berbincang dengan Jabatan Parit Saliran(JPS) dan dimaklumkan JPS telah memohon RM1 bilion daripada Kerajaan Pusat bagi menyelesaikan masalah banjir ini termasuk menjalankan kerja-kerja pengurusan, pembersihan dan penyelenggaraan sungai.

Tetapi walaupun permohonan sudah  dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10(RMK-10)  tetapi tidak dianggap penting oleh Kerajaan Pusat malah dikategorikan tahap ketiga.

“Lebih malang lagi, meskipun ada seorang menteri dari Selangor iaitu Noh Omar tetapi beliau gagal menekankan kepentingan dana RM1 billion diturunkan ke Negeri Selangor. Beliau bukan sahaja gagal memastikan peruntukan disalurkan malah  beliau cuba menyalahkan pegawai dan kakitangan profesional JPS,” katanya yang bertanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri.

Persoalaannya, bagaimana JPS mampu melaksanakan tugas dengan baik  jika Kerajaan Pusat  menyekat peruntukan ini dan Noh Omar pula tidak melihat peruntukan ini penting kepada rakyat Selangor khususnya di daerah Klang.

Malangnya, apabila berlaku musibah seperti bencana alam seperti ini,  pemimpin BN tanpa usul periksa menyalahkan kakitangan kerajaan.

Bagi Ronnie, sikap memperkecilkan kakitangan JPS bukan jalan terbaik menyelesaikan masalah banjir. Sebaliknya beliau perlu jujur membantu rakyat dengan mendesak peruntukan RM1 bilion disegerakan.

“Noh Omar tidak jauh beza dengan mantan Menteri Besar, Dr Khir Toyo yang menuduh Unit Perancang Ekonomi (UPEN) menyerahkan konsesi air kepada Puncak Niaga sedangkan seluruh negara tahu keputusan ini dibuat oleh Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri ketika itu,” kata Adun Pandamaran itu.

Di Selangor, JPS di bawah Kerajaan Pusat bertanggungjawab menyelesaikan masalah banjir. Oleh itu, dana dan peruntukan pengurusan dan pembangunan adalah datangnya dari Kerajaan Pusat.

Ini bermakna semua urusan pembangunan dan pengurusan sungai adalah tanggungjawab kerajaan pusat termasuk kerja-kerja tebatan banjir.

Walaubagaimanapun, menyedari masalah banjir adalah besar maka Kerajaan Negeri Sejak 2008, telah menguatkuasakan peraturan bahawa sebarang projek pembangunan perlu dibuat mengikut kejadian dataran banjir 50 tahun.

Ini berbeza  dengan amalan  pentadbiran negeri terdahulu yang tidak mengikut dataran banjir 50 tahun.

Categories
SELANGOR

Banjir: Kerajaan Negeri Salur Bantuan RM300 Sekeluarga

SHAH ALAM 1 April : Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sekurang-kurangnya RM300 kepada setiap keluarga mangsa banjir kilat di sekitar daerah Klang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri juga akan menimbangkan langkah untuk menyalurkan bantuan lebih dari RM300 bergantung kepada kesusahan yang mereka alami.

“Sebagai negeri yang mementingkan kebajikan rakyat,  Kerajaan Negeri mengambil tindakan sewajarnya untuk meringankan kesusahan yang ditanggung mangsa-mangsa banjir kilat ini tetapi bantuan yang akan diberikan mestilah realistik dan mengikut kemampuan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada mangsa banjir atas kesabaran mereka dan  kerjasama mereka kepada pihak berkuasa negeri dalam memastikan proses membekalkan bantuan berjalan lancar,” kata Menteri Besar.

Menurutnya, dana ini adalah sekadar bantuan bagi meringankan beban mangsa dan bukan pampasan atas kehilangan atau kerugian yang mereka alami akibat banjir kilat yang teruk itu.

“Wakil rakyat di kawasan terlibat turut menubuhkan bilik gerakan untuk menyalurkan bantuan yang diperlukan seperti makanan, minuman serta keperluan lain.

“Bilik gerakan ini juga mendaftarkan semua mangsa bagi merekodkan jenis kerosakan dan kerugian yang ditanggung mangsa agar tindakan susulan diambil seperti bantuan sewajarnya.” kata beliau menerusi Sekretariat Media Pejabat Menteri Besar.

Dalam perkembangan sama, Abdul Khalid turut mengarahkan Pegawai Daerah Klang dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)  supaya menyediakan laporan lengkap kejadian ini termasuk punca dan cara penyelesaiannya. Laporan ini akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES), Khamis ini.

Sebagai rekod, Masalah banjir kilat di Klang telah berlanjutan sejak lebih 10 tahun lalu tanpa ada sebarang usaha agresif untuk mengatasi bencana alam ini dalam tempoh itu.

Adalah tidak wajar untuk meletakkan segala tuduhan terhadap kerajaan negeri sekarang sebagai tidak menjaga kebajikan rakyat dan gagal memastikan banjir kilat tidak berulang.

Sedangkan kerajaan negeri terdahulu yang memerintah lebih 50 tahun gagal menangani masalah ini.

Kerajaan Negeri akan megkaji semula pelan pembangunan di Klang berdasarkan kejadian dataran banjir 50 tahun.

“Pelan itu akan dijadikan panduan di mana Kerajaan Negeri akan menasihatkan pihak berkenaan supaya tidak membangunkan sesebuah kawasan jika kawasan itu kemungkinan ditenggelami banjir,”jelas Khalid.