Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kos pengurusan air, banjir Selangor libat dana RM7 bilion

SABAK BERNAM, 28 FEB: Kos pengurusan air dan banjir di Selangor melibatkan peruntukan RM7 bilion, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata kos itu dibentangkan ketika program pemukiman EXCO di Langkawi, Kedah pada 23 Februari lalu.

“Dari segi dasarnya mesyuarat bersetuju, cuma proses untuk melaksanakan (secara) berperingkat dengan dana sebahagiannya melibatkan kerajaan pusat. Kita akan guna dana negeri dan anak syarikat untuk menyelesaikannya.

“Penyelesaian banjir melibatkan seluruh sistem, semua kolam takungan, parit, longkang, sungai, terowong dan pintu air, semuanya terlibat. Saya akan perincikan dan perkemaskannya serta diumumkan dalam sidang media,” katanya selepas merasmikan Program Jualan Prihatin Rakyat di Balai Rakyat Taman Berjaya di sini Ahad lalu.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember tahun lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Selain menyebabkan kerosakan harta benda, seramai 13 individu turut terkorban.

Susulan itu Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi menjayakan program Bantuan Selangor Bangkit bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan wang tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 2,500 warga Unisel terlibat 68 misi bantuan banjir

KUALA SELANGOR, 6 FEB: Seramai 2,512 warga Universiti Selangor (Unisel) terbabit dalam misi bantuan susulan banjir besar di negeri ini pada Disember tahun lalu.

Canselor, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alahaj Raja Tun Uda Alhaj berkata jumlah itu merangkumi pelajar dan staf yang terlibat dalam 68 misi bantuan.

“Unisel merupakan salah sebuah institusi pengajian tinggi yang aktif melakukan misi bantuan banjir di mana seramai 2,254 pelajar dan 258 staf terlibat.

“Unisel melalui Tabung Amanah Pendidikan Unisel juga memberikan sumbangan lebih RM30,000 kepada lebih 100 staf yang terjejas akibat banjir,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 Unisel yang diadakan di Dewan Canselor Kampus Bestari Jaya di sini, semalam.

Sebelum ini dilaporkan Unisel menawarkan bantuan penempatan selama tiga bulan secara percuma kepada seorang kakitangannya yang terjejas banjir.

Pengarah Komunikasi Korporat Hasril Abu Hassan berkata pembantu perpustakaan Siti Mariani Mohd Yusof bersama keluarga ditempatkan di perumahan staf sepanjang tempoh terbabit.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Bantuan banjir RM1,000 negeri mula diagih

SHAH ALAM, 28 DIS: Kerajaan Selangor hari ini mula mengagihkan bantuan sebanyak RM1,000 kepada mangsa banjir di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif di bawah Bantuan Selangor Bangkit (BSB) itu disalur sehari lebih awal bagi membolehkan penduduk terjejas membeli barang keperluan dengan segera.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengarahkan bantuan RM10,000 kepada waris mangsa terkorban dalam bencana banjir melanda negeri ini pada 18 Disember lalu diagih segera mulai esok.

Beliau menganggar bantuan itu memberi manfaat kepada 30,000 orang dengan jumlahnya dimuktamad dengan memadankan data kerajaan pusat dan agensi seperti Lembaga Zakat Selangor.

“Kalau ikut jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) dianggarkan seramai 9,000 keluarga layak.

“Data Zakat Selangor pula 30,000, kita akan padankan semua data untuk pastikan semua yang layak menerima bantuan,” katanya selepas menyerahkan bantuan RM1,000 kepada mangsa banjir di Dewan MBSA Paya Jaras Tengah di sini hari ini.

Seramai 67 orang dari sekitar Paya Jaras menjadi kumpulan pertama penerima BSB. Seramai 55 penerima sebelum ini ditempatkan di PPS Dewan MBSA Paya Jaras manakala 12 lagi di PPS Sekolah Kebangsaan Merbau Sempak.

Turut diagihkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 sumbangan kerajaan pusat.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban.

Sumbangan RM1,000 turut diagihkan kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman dan barangan yang rosak.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke PPS berwarta, swasta serta individu yang kekal di rumah.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 71,000 dipindah akibat banjir, 26,000 orang di Selangor

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Sebanyak 71,876 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh negeri setakat petang ini, dengan Selangor dan Pahang terus mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir.

Keadaan banjir di Selangor turut menyebabkan penutupan tiga Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) melibatkan daerah Petaling dan Kuala Langat, menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi hantaran di laman Facebook.

Penutupan CAC di Petaling melibatkan Klinik Kesihatan (KK) Seksyen 19, Shah Alam yang akan dipindahkan operasinya di KK Puchong Batu 14, Puchong dan KK Taman Medan, manakala CAC di daerah Kuala Langat membabitkan KK Jenjarom dan KK Bukit Changgang, dipindahkan perkhidmatannya ke KK Telok Datok, Banting.

Setakat 4.30 petang tadi, jumlah mangsa di Selangor meningkat kepada 26,247 orang daripada 7,413 keluarga yang ditempatkan di 134 PPS.

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan mangsa banjir turut meningkat kepada 41,455 orang yang berada di 278 PPS melibatkan sembilan daerah, dengan Kuantan terus menjadi daerah paling teruk terjejas banjir.

Laluan di dua lebuh raya utama Pahang yang dinaiki air sejak Ahad lalu juga masih tidak boleh dilalui iaitu di Bentong ke Karak bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lanchang ke Temerloh di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1).

Di Kuala Lumpur, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata 350 orang masih berada di PPS, melibatkan 287 mangsa di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Sarazwathy Lembah Pantai; PPS Kelab Sultan Sulaiman (55) dan PPS Dewan Jalan Hamzah (lapan).

Katanya, beberapa laporan berkaitan tanah runtuh dikenal pasti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melibatkan 47 lokasi antaranya di Jalan Bukit Ledang, Damansara; Jalan Pantai Permai; Jalan Perkasa, Taman Salak Selatan; Jalan Parlimen; Semantan Villa; dan Seri Duta 1, Bukit Tunku.

“Pihak Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) telah dilantik oleh DBKL untuk membuat kajian bagi mengenal pasti tindakan penyelesaian yang sesuai untuk dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata selain itu, DBKL juga mengenal pasti lokasi pokok tumbang dan dahan serkah menerusi siasatan di tapak, serta aduan awam dengan lebih 40 lokasi telah dibersihkan.

Di Negeri Sembilan, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor dalam kenyataan berkata 766 orang daripada 188 keluarga masih berada di enam PPS melibatkan daerah Jelebu, Port Dickson dan Seremban, setakat 4 petang.

Di Kelantan, Sekretariat Pengurusan Bencana dan Operasi APM negeri Zainuddin Hussin berkata jumlah mangsa banjir menunjukkan penurunan setakat 6 petang dengan 2,617 orang daripada 815 keluarga, berbanding 3,667 orang daripada 1,101 keluarga pada tengah hari tadi.

Sebanyak 15 PPS dibuka melibatkan dua jajahan di negeri itu iaitu 10 di Pasir Mas dan lima di Kuala Krai.

Di Melaka, Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin berkata jumlah mangsa banjir turut mencatatkan penurunan kepada 173 mangsa daripada 44 keluarga petang ini.

Menerusi satu kenyataan, beliau berkata hanya tiga PPS masih beroperasi selepas tiga lagi PPS di daerah Alor Gajah ditutup pada petang ini iaitu PPS Balai Raya Kampung Paya Lebar, PPS Surau Sri Jeram dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal.

Di Perak, 268 mangsa banjir masih ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak selepas kediaman mereka masih digenangi air, menurut jurucakap APM dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Bantuan RM600 untuk keluarga fakir, bukan asnaf terjejas banjir

SHAH ALAM, 20 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan sumbangan RM600 kepada setiap ketua keluarga fakir miskin termasuk bukan asnaf yang terjejas akibat bencana banjir di Selangor melibatkan peruntukan zakat RM1 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Saipolyazan M. Yusop berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat ketua keluarga dengan kerjasama Jawatankuasa Bencana Daerah untuk menyelaras bantuan bagi meringankan beban mangsa terlibat.

Tambahnya sebanyak RM250,000 lagi diperuntuk bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah-daerah.

“Sumbangan tersebut menggunakan dana pengurusan operasi amil sebagai tanda keprihatinan amil zakat terhadap mangsa banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Saipolyazan LZS menyediakan 5,000 pek makanan bermasak sehari untuk diagihkan kepada semua PPS di bawah koordinasi pejabat daerah sepanjang tempoh lima hari.

“Semalam 5,000 pek pertama telah dihantar ke Pejabat Daerah Klang yang kemudiannya diagihkan ke PPS terlibat.

“Bagi mempercepatkan bantuan tambahan kepada mangsa banjir terjejas, sebanyak RM90,000 diperuntuk untuk Tabung Kecemasan Banjir LZS. Bantuan ini akan ditambah berdasarkan keperluan semasa,” katanya.

Dalam perkembangan sama Saipolyazan memaklumkan, LZS akan menyalurkan beberapa bentuk sumbangan pasca banjir bagi membantu mangsa banjir terutama dalam kalangan asnaf fakir dan miskin serta institusi.

“Bagi asnaf fakir dan miskin yang mengalami kerosakan rumah boleh menyalurkan maklumat kepada penolong amil kariah agar bantuan baik pulih dapat disalurkan mengikut keperluan bergantung kepada syarat dan kelayakan.

“LZS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan menyalurkan bantuan baik pulih seperti karpet, peralatan sistem audio dan sebagainya kepada masjid serta surau yang mengalami kerosakan akibat banjir,” katanya.

 

 

Categories
ADN SELANGOR

Ratu rock negara sumbang pek makanan kepada mangsa banjir Batu Tiga

SHAH ALAM, 20 DIS: Kesusahan dihadapi mangsa banjir di Batu Tiga di sini mendapat perhatian ratu rock tanah air, Ella.

Pemilik nama lengkap Norzila Aminuddin, 55, tampil menghulurkan 300 pek makanan sedia dimakan kepada Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga semalam.

Perkara itu dikongsikan wakil rakyat kawasan terbabit Rodziah Ismail melalui Facebook yang berterima kasih dan menghargai sumbangan penyanyi berkenaan.

“Terima kasih Ella (beri sumbangan). Dia beri makanan sedia dimakan iaitu terubuk steam jenama Timore, jadi tak perlu masak,” kata Rodziah yang juga EXCO Kerajaan Negeri.

Sementara itu, pelantun Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Sembilu meminta orang ramai mengulang kicau tulisannya di Twitter berkenaan inisiatif sedang digerakkan bagi membantu mangsa terjejas.

“Ella nak hantar 300 pek makanan ‘ready to eat’ kepada mangsa banjir sekitar Shah Alam.

“Mohon RT (ulang kicau) untuk team (pasukan) Ella hantarkan ke lokasi dengan sebaiknya #daruratbanjir,” tulisnya di Twitter.

Hujan lebat luar biasa sejak Jumaat, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di Selangor ditenggelami air.

Semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Usaha berkenaan diselaras Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam, berpusat di Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat operasi Smart Selangor sedia lapan talian kecemasan banjir

SHAH ALAM, 19 DIS: Penduduk negeri ini yang berada dalam kecemasan akibat banjir boleh menghubungi Pusat Operasi C5i Smart Selangor (SSOC) untuk sebarang bantuan.

Agensi berkata orang ramai boleh menghubungi mereka di menerusi Facebook atau media sosial Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dengan segera.

“Bagi memudahkan lagi saluran laporan kecemasan akibat banjir di Selangor, kami telah membuka penambahan talian laporan ke SSOC,” tulisnya di Facebook.

SSOC boleh dihubungi melalui talian 03-5650 0501, 502, 503, 504, 505, 506 dan 507 atau 010-888 7364 (WhatsApp sahaja).

 

Categories
SELANGOR

Lebih 3,000 mangsa banjir dipindah ke pusat pemindahan sementara

SHAH ALAM, 18 DIS: Seramai 3,086 mangsa banjir setakat ini dipindahkan ke 30 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ni membabitkan daerah Klang, Kuala Langat dan Sepang ekoran hujan lebat tanpa henti sejak semalam.

Pengarah Bomba negeri Norazam Khamis berkata di Klang sebanyak 20 PPS dibuka dengan jumlah membabitkan seramai 2,604 mangsa.

Katanya PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong dan SK Johan Setia di Klang mencatatkan jumlah penempatan mangsa tertinggi iaitu masing-masing 681 dan 793 orang.

Di Sepang dan Kuala Langat sebanyak 10 PPS dibuka membabitkan 482 mangsa.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapannya di Twitter berkata pada masa sama, sukarelawan Team Selangor dan Selangor Volunteer (SERVE) sedang digerakkan bagi mengedarkan bantuan kepada mangsa banjir.

Katanya kerajaan negeri akan terus memantau keadaan semasa dan membuka lebih banyak PPS sekiranya diperlukan.

Jabatan Meteorologi Malaysia meletakkan amaran hujan berterusan (waspada) untuk Selangor.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Semua pusat pemindahan banjir di Selangor ditutup

SHAH ALAM, 6 JAN: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir di Hulu Selangor dan Kuala Selangor ditutup sepenuhnya hari ini, kata pegawai operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor.

Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata PPS terakhir di Balai Raya Kampung Alah Batu, Gedangsa yang menempatkan 13 mangsa ditutup jam 4.30 petang tadi.

Terdahulu pada jam 2 petang, seramai 55 mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, Bestari Jaya dibenarkan pulang.

“Semalam PPS Balai Raya Kampung Baru A, Hulu Bernam dan Dewan Orang Ramai Kampung Sekolah, Selisik yang menempatkan 115 mangsa sudah ditutup,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata pasukan petugas bencana bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya berlaku banjir lagi susulan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Pada Ahad beberapa kampung dilanda banjir susulan hujan berterusan yang menyebabkan limpahan air Sungai Inki dan Sungai Bernam.

Kejadian tersebut menjejaskan Kampung Sekolah, Kampung Sungai Nilam, Kampung Serigala, Kampung Masjid, Kampung Paya Lebar, Kampung Alah Batu dan Kampung Belakang Sekolah di Hulu Selangor serta Kampung Rantau Panjang di Kuala Selangor.

Categories
AGENSI SELANGOR

Sembilan daerah Selangor berisiko dilanda banjir kilat

SHAH ALAM, 15 OKT: Sembilan daerah Selangor diramal berisiko dilanda banjir kilat ekoran kadar taburan hujan yang direkodkan agak tinggi sehingga akhir tahun ini.

Antara daerah yang berisiko ialah Petaling, Klang, Hulu Langat, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat, Hulu Selangor, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Unit Pengurusan Bencana Selangor (SSCC) dalam kenyataan berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan purata hujan di Selangor bagi bulan Oktober adalah antara 240 hingga 360 milimeter (mm), November (250-370mm) dan Disember (200-300mm).

Katanya, jangkaan hujan yang berterusan tinggi ini akan menyebabkan kejadian banjir atau banjir kilat.

“Oleh itu Kerajaan Selangor menasihatkan penduduk di kawasan yang dikenal pasti berisiko untuk
mengambil langkah-langkah persediaan dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

“Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan tindakan persediaan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Pihak Berkuasa Keselamatan dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk melaksanakan persediaan awal sekiranya berlaku banjir kilat, banjir, tanah runtuh, ribut, dan lain-lain kesan akibat bencana alam,” katanya.

Pada masa sama, SSCC turut menyenaraikan beberapa kawasan yang dijangka turut terjejas akibat hujan lebat seperti Stesen Komuter Batu 3, IOI Business Centre, Lebuh Raya Besraya, Tol Sungai Rasau, Sekolah Kebangsaan Tengku Rahimah dan Kampung Sungai Tua.

Kawasan lain, Jalan B27 Jusco-Rawang, Pekan Asahan, Jalan Persekutuan Kuala Selangor, Jalan Persiaran Puncak Alam, Kampung Sungai Merab dan Padang Jawa.

Categories
SELANGOR

132 keluarga terima bantuan ehsan banjir

Oleh: SYASYA SUFIAN

KUALA SELANGOR, 18 NOV: Lebih 132 keluarga mangsa banjir menerima bantuan ehsan di atas keprihatinan Kerajaan Negeri dalam meringankan beban mereka.

Exco Kebajikan, Dr Daroyah Alwi, berkata terdapat tiga lokasi lawatan Kerajaan Negeri di daerah Kuala Selangor yang mengalami keadaan agak krital akibat bencana alam banjir.

Daroyah Banjir“Operasi bantuan hari ini adalah untuk menziarah dan menghulurkan sedikit bantuan makanan kepada mangsa yang ditempatkan di balai rakyat dan masjid.

“Kawasan yang paling kritikal adalah di Parit Mahang kerana di sana sahaja menempatkan 103 keluarga mangsa. Kita dalam usaha memindahkan mereka ke sekolah yang berdekatan kerana di situ lebih banyak ruang untuk semua keluarga,” katanya kepada Selangor Kini.

Daroyah berkata, antara lokasi yang dikunjungi rombongan itu adalah di Ladang Tuan Mee, Parit Mahang dan Masjid Simpang 3 Jeram.

“Selepas lawatan ini, kita akan mendapatkan semua senarai mangsa banjir untuk dihulurkan wang ehsan daripada Kerajaan Negeri berjumlah RM250.

“Dengan sedikit bantuan ehsan ini, kita berharap ia dapat meringankan sedikit beban mangsa banji yang kebanyakannya golongan sederhana dan miskin,” katanya.

Turut hadir dalam operasi misi bantuan itu Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafie.

-NFN-