Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir menurun di Selangor, tiga negeri

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Situasi bencana banjir yang memasuki hari ketujuh menyaksikan penurunan jumlah mangsa di Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, manakala bilangan mangsa kekal di Kelantan dan Perak, sementara di ibu negara terdapat sedikit peningkatan, setakat pagi ini.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir di 264 pusat pemindahan sementara (PPS) adalah seramai 37,356 orang pada pagi ini, berbanding 38,086 orang di 270 PPS, malam tadi menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Laman web http://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan beberapa sungai masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Pahang di Paya Gintong, Jerantut; Kuala Krau dan Lubuk Pasu, Temerloh; Water Front Bera; Lubuk Paku, Maran dan Kuala Sungai Chini di Pekan, selain Sungai Bera dan Sungai Kuantan.

Jabatan Meteorologi pula menjangkakan cuaca di Kuantan dan Pekan mendung pagi ini manakala daerah lain terjejas banjir iaitu Bentong, Lipis, Raub, Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera diramalkan tidak hujan.

Sementara itu, pemegang konsesi lebuh raya ke Pantai Timur di Pahang, ANIH Bhd memaklumkan laluan dari Gombak ke Karak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak telah dibuka, namun pengguna dinasihatkan berhati-hati di laluan kontra di KM77.1 ke KM74.8 dan KM70.3 ke KM68.

Di Selangor, Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 21,941 orang di 106 PPS pada 7.20 pagi berbanding 22,015 mangsa banjir di 109 PSS pada 8.13 malam tadi.

Dalam pada itu, pada 4 pagi tadi, Polis Selangor memaklumkan beberapa jalan telah dinaiki air dan ditutup melibatkan Lorong Ikan Haruan, Kg Bukit Lanchong, Putra Heights; Jalan Olak Lempit ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); Jambatan FT 31 Dengkil-Banting dan Jalan bulatan Masjid KLIA menghala Charterfield KLI.

Turut ditutup ialah Jalan Jitu, Seksyen 25, Shah Alam; Jambatan Jalan Menghala ke Lapang Sasar, Subang; Jalan PJU 7, Hadapan MRT, Mutiara Damansara; Jalan Sg Panjang – Tanjung Malim; Jalan Kuala Selangor – Meru; Jalan Kuala Selangor – Bestari Jaya dan Jalan BRP 7/2 Bukit Rahman Putra.

Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) memberitahu aras air di Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat diletakkan sebagai status bahaya yang kini mengalami trend menurun setakat 7 pagi.

Di Negeri Sembilan, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri ini adalah 301 individu daripada 82 keluarga dengan penutupan satu PPS di Seremban, manakala empat PPS masih dibuka di Jelebu setakat pagi ini.

Katanya jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding malam tadi melibatkan 327 mangsa daripada 88 keluarga manakala jumlah kumulatif mangsa banjir direkodkan di negeri ini seramai 768 individu daripada 188 keluarga mangsa setakat ini.

Di Melaka, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata jumlah mangsa banjir menurun kepada 135 mangsa daripada 34 keluarga setakat pukul 8 pagi tadi, dengan kesemua mangsa berkenaan ditempatkan di tiga PPS yang masih dibuka di daerah Alor Gajah dan Jasin.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir di kekal seramai 1,559 orang daripada 532 keluarga melibatkan lapan PPS yang dibuka kesemuanya di jajahan Pasir Mas, sementara portal rasmi info banjir JPS melaporkan tiada sungai utama di negeri itu berada pada paras bahaya.

Hanya empat sungai berada para paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang, Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Sungai Golok di Rantau Panjang.

Di Perak, jumlah mangsa banjir di Changkat Jong, Teluk Intan masih kekal melibatkan 252 mangsa banjir daripada 70 keluarga yang ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak, setakat 9 pagi.

Jurucakap APM dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata seramai 109 mangsa ditempatkan di PPS Dewan Bandaran Teluk Intan dan 143 lagi berada di PPS Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib.

Di Kuala Lumpur, berlaku sedikit peningkatan jumlah mangsa apabila seramai 315 orang daripada 75 keluarga ditempatkan di dua PPS pada pagi ini, berbanding 312 orang daripada 75 keluarga, malam tadi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banjir: 14 korban seluruh negara, lapan di Selangor

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Tempoh 24 jam tanpa hujan lebat di beberapa negeri sedikit memberikan kelegaan dan kegembiraan buat mangsa terjejas dengan banjir yang telah memasuki hari ketiga semalam.

Namun keadaan cuaca panas itu yang membolehkan keadaan air di beberapa kawasan mulai surut, turut membawa berita duka buat negara apabila terdapat angka korban akibat bencana telah direkodkan.

Lapan mayat ditemukan di Selangor manakala Pahang mencatat jumlah korban seramai enam orang manakala empat lagi dilapor masih hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong, Bentong.

Penemuan mayat itu menjadikan 14 orang terkoban dalam kejadian banjir yang melanda lapan negeri, dan mengakibatkan 66,939 mangsa dipindahkan ke 466 pusat pemindahan sementara (PPS) banjir yang dibuka di Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata di Selangor selain kematian akibat banjir itu direkodkan di Shah Alam dengan empat kematian, di daerah Kajang merekodkan dua kematian dan masing-masing satu di Sungai Buloh dan Sepang.

Satu mayat lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai mangsa lemas pertama ditemukan di jalan masuk utama ke Pangsapuri Alam Idaman, Seksyen 22, Shah Alam pada 7.50 malam pada Ahad.

Penemuan mayat bagaimanapun tidak terhenti di situ apabila pihak polis mengesahkan tiga lagi mangsa lemas ditemukan maut dalam insiden banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata kesemua mayat lelaki dengan dua daripadanya ditemukan pada 1 pagi sementara satu lagi mayat ditemukan pada 5 pagi semalam oleh orang awam dan pihak bomba ketika kerja-kerja penyelamatan sedang dilakukan dan kesemua mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata dua mayat lelaki ditemukan di Dengkil dan satu mayat lelaki ditemukan di Sepang semalam, sementara satu mayat lelaki ditemukan di Desa Coalfields, Kuala Selangor pada Ahad.

Selain itu, beberapa kejadian pecah masuk kedai serbaneka dilaporkan berlaku di kawasan Taman Sri Muda yang sedang mengalami banjir teruk yang dipercayai berlaku sekitar 1 tengah hari hingga 2 petang dan ia disahkan Baharudin kepada Bernama.

Di Pahang pula, operator kilang M Gunalan, 38, menjadi korban pertama banjir di negeri itu setelah ditemukan maut pada 2.22 petang Jumaat (17 Disember) kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilihat jatuh semasa meredah banjir di jalan berhampiran tanah perkuburan Cina di Gambang.

Korban kedua direkodkan membabitkan seorang lelaki yang dilapor hilang pada 1 pagi Ahad, selepas dia dikatakan cuba meredah banjir di Kampung Cempaka bersama seorang rakan dengan menaiki kereta Proton Exora sebelum kenderaan itu terkandas. Bagaimanapun rakannya terselamat.

Dalam pada itu, tiga mayat wanita dan satu lelaki, dipercayai daripada kumpulan lima individu dilapor hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong, di sini, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) semalam yang memulakan operasi bermula 9 pagi di kawasan mereka dilapor hilang.

Mayat lelaki ditemukan pada 1 tengah hari semalam manakala mayat tiga wanita ditemukan pada 1.20 tengah hari, 2 petang dan 4.23 petang, kira-kira dua hingga lima kilometer dari lokasi mereka dilapor hanyut di kawasan sungai di kampung itu.

Di Perak, meskipun cuaca diramal baik sehingga pagi hari ini di kebanyakan tempat namun pihak berkuasa akan terus membuat pemantauan khasnya di kawasan berisiko tinggi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Di Terengganu, kebanyakan paras air di sungai-sungai utama di negeri ini berada di paras normal kecuali di stesen bacaan Sungai Kemaman di rumah pam Paya Paman yang merekodkan ketinggian 4.45 meter (m) mengatasi paras bahaya 4m.

Di Kuala Lumpur, seramai 371 mangsa banjir di ibu negara masih ditempatkan di tiga PPS yang dibuka serta keadaan baik semalam menyaksikan 10 jalan yang sebelum ini ditutup akibat ditenggelami air, telah kembali dibuka.

Di Kelantan, empat sungai utama berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 36.67 meter (m), Sungai Kelantan di Tangga Krai (25.10m), Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (16.29m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.19m).

Di Negeri Sembilan, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu yang ditempatkan di PPS semakin menurun susulan keadaan cuaca baik semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 34,000 mangsa bah dipindah di seluruh negara

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Situasi banjir yang melanda di beberapa negeri bertambah buruk pada sebelah petang apabila lebih 34,000 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding lebih 21,000 orang pada tengah hari semalam.

Setakat ini, kejadian banjir susulan fenomena musim Monsun Timur Laut itu telah mengorbankan satu nyawa manakala dua lagi dilaporkan hilang dan dikhuatiri dihanyutkan arus deras di Pahang.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan semalam memaklumkan sebanyak lapan negeri terjejas akibat bencana banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media selepas meninjau mangsa banjir yang ditempatkan di dua sekolah di Klang, Selangor berkata setakat semalam, bilangan mangsa di negeri itu meningkat daripada lebih 6,000 semalam, kepada lebih 15,000 yang ditempatkan di 108 PPS melibatkan lapan daerah.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di akaun Twitter rasmi beliau mengambil maklum mengenai keadaan kritikal di Taman Sri Muda Seksyen 25, Shah Alam seperti dilaporkan sebelum ini.

“Segala aset yang sesuai seperti bot telah dikerah untuk membantu proses pemindahan mangsa banjir. Saya difahamkan jumlah anggota tentera telah ditambah untuk membantu usaha ini.

“Tambahan bot dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Selangor sedang digerakkan bagi membantu usaha menyelamatkan mangsa banjir di Sri Muda, Seksyen 25, di sini,” katanya.

Di Kuala Lumpur, keadaan cuaca yang agak baik di Lembah Klang semalam dengan hujan telah berhenti menyebabkan air di kebanyakan kawasan terjejas semakin surut. Bagaimana seramai 530 orang masih ditempatkan di PPS.

Di Pahang, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan mangsa banjir negeri itu terus meningkat setakat petang semalam dengan 14,143 orang daripada 3,922 keluarga ditempatkan di 186 PPS.

Selain itu, Lebuhraya Pantai Timur menerusi catatan di laman Facebook memaklumkan laluan di KM76-KM126 Karak-Temerloh masih ditutup di kedua-dua hala setakat 4 petang semalam, namun air mulai surut.

Mangsa-mangsa yang terkandas di lebuh raya juga diberikan bantuan sewajarnya seperti makanan dan minuman.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan juga terus meningkat setakat 6 petang ini, apabila seramai 4,324 orang daripada 1,065 keluarga dipindahkan ke PPS berbanding 3,877 orang daripada 903 keluarga, tengah hari semalam melibatkan jajahan Kuala Krai, Gua Musang, Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah.

Portal rasmi eBanjir Kelantan melaporkan lima sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 36.61 meter (m); Sungai Kelantan di Tangga Krai (27.21 m); Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (17.17 m); Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai (39.20 m); dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.31 m).

Di Melaka, dua daerah terjejas banjir iaitu Alor Gajah dan Melaka Tengah dengan jumlah mangsa yang dipindahkan adalah seramai 729 orang, manakala di Perak, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 69 orang berbanding 26 orang di daerah Teluk Intan.

Jabatan Meteorologi meramalkan beberapa kawasan di negeri ini akan menerima taburan hujan sangat lebat berterusan membabitkan kawasan Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Terengganu merekodkan sedikit penurunan kepada 286 orang daripada 66 keluarga setakat 6 petang semalam, berbanding 326 orang daripada 101 keluarga pada tengah hari melibatkan daerah Kemaman dan Dungun.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banjir: 10 hilang di Pahang, keadaan di Hulu Langat ibarat dilanda tsunami

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Sepuluh individu dilapor hilang, dipercayai dihanyutkan air deras dalam kejadian banjir di Pahang, dengan lapan daripadanya dipercayai melibatkan dua kejadian kepala air di Bentong.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Ismail Abdul Ghani berkata tiga termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun dilapor hilang dalam kejadian di sebuah chalet malam tadi, manakala lima lagi dilaporkan hilang dalam kejadian di Telemong.

Dua lagi yang dilapor hilang, dikhuatiri dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Kuantan iaitu Mohd Halmi Nazlan, 34, yang dipercayai dihanyutkan arus semasa melalui Jalan Pintasan Kampung Cempaka-Sungai Soi pagi dan Mohd Firdaus Supiardi, 26, yang dipercayai mengalami masalah mental dikatakan terjun ke Sungai Belat semalam.

Banjir yang melanda lapan negeri pada musim monsun timur laut tahun ini, menyaksikan lebih 41,000 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), dengan Selangor menjadi negeri paling teruk terjejas sehingga sesetengah kawasan boleh diibaratkan seperti dilanda tsunami.

Gambar-gambar yang dikongsikan netizen di media sosial memaparkan banyak ‘kemusnahan’ dengan kenderaan ditenggelami air, beberapa rumah dihanyutkan iaitu di Hulu Langat dan Kampung Bandar Tinggi, Kuala Klawang Negeri Sembilan.

Selain itu, satu mayat lelaki, dipercayai mangsa lemas ditemukan di jalan masuk utama ke Pangsapuri Alam Idaman, Seksyen 22 Shah Alam selepas paras air di kawasan itu mulai surut malam tadi.

Pada masa ini pihak berkuasa termasuk dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) giat menjalankan usaha menyelamat dan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melalui laman Facebooknya menyatakan anggota ATM dari 4 Divisyen diatur gerak dan berada di lapangan bagi membantu operasi banjir di Kuala Langat dengan antara fokus pasukan ini ialah melaksanakan penghantaran barang keperluan harian ke PPS.

Kementerian Dalam Negeri melalui Facebook pula memaklumkan penugasan memindahkan mangsa banjir diteruskan di kawasan Batu 14 Hulu Langat oleh Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dan malam tadi operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir oleh Batalion 6 PGA Muar akan digerakkan ke Shah Alam.

Tidak kurang juga ramai yang terperangkap atau terkandas di dalam kenderaan akibat laluan tidak boleh dilalui berikutan kejadian runtuh atau jalan ditenggelami air dan pagi ini kira-kira 450 individu yang terkandas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sejak semalam, dibawa keluar secara berperingkat termasuk menggunakan bot Lebuhraya Pantai Timur.

Jurucakap ANIH Berhad memaklumkan khidmat lori tunda akan digunakan hari ini bagi mengeluarkan kenderaan yang tersangkut di lokasi berkenaan.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir malam tadi di tujuh negeri selain Kuala Lumpur terus meningkat kepada lebih 41,000 berbanding lebih 34,000 petang semalam dan kesemuanya kini berlindung di 417 PPS dengan Pahang mencatatkan angka paling tinggi iaitu 19,344 mangsa.

Laluan di KM76-KM126 Karak-Temerloh pula masih ditutup di kedua-dua hala setakat 8 malam tadi, manakala di KM114.8 Lanchang-Temerloh air masih melimpah ke jalan, namun boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Di Selangor, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor memaklumkan 71 jalan ditutup untuk laluan kenderaan di sesetengah kawasan susulan banjir setakat 10 malam tadi, antaranya pusingan U keluar dari Lapangan Terbang Subang menghala ke Bulatan Lapangan Terbang; Lebuhraya Shahpadu; Lebuhraya Damansara Puchong Batu 13; dan Jalan Kota Kemuning Lebuhraya KESAS.

Di Negeri Sembilan, tinjauan Bernama di Pekan Linggi, Port Dickson yang terletak kira-kira 37 kilometer dari Seremban mendapati jalan menuju ke pekan tersebut masih tidak dapat dilalui kenderaan ringan setakat 7 malam tadi.

Dalam pada itu, portal https://ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan lima sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 36.57 meter (m); Sungai Kelantan di Tangga Krai (27.26m); Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (17.23m); Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai (38.58m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.30m).

Ramalan cuaca terkini oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) malam tadi menamatkan amaran cuaca hujan berterusan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Pahang dan berita itu pastinya memberi kelegaan buat mangsa banjir.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Sabah menurun sedikit, Sarawak kekal

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Mangsa banjir di Sabah akhirnya menunjukkan sedikit penurunan, manakala jumlah mangsa di Sarawak kekal dan di Pahang pula, beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup selepas jumlah mangsa dilaporkan semakin berkurangan petang ini.

Di Sabah, jumlah mangsa menurun kepada 890 orang daripada 257 keluarga petang ini berbanding 895 orang daripada 258 keluarga pagi tadi.

Menurut Sektretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, dua PPS ditutup iaitu Dewan Serbaguna PPR Keramat Ketiau, Putatan dan Rumah Kelab Kompleks Sukan, Penampang.

Kota Belud masih merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 347 orang daripada 109, dengan satu lagi PPS dibuka di Dewan Sekolah Kebangsaan Punggor, menjadikan sebanyak lima PPS beroperasi di daerah itu bagi menempatkan penduduk terjejas banjir.

Sementara itu, seramai 159 orang daripada 55 keluarga ditempatkan di dua PPS di Beaufort; Tuaran (119 orang daripada 25 keluarga); Kota Kinabalu (101 orang daripada 18 keluarga); Tenom (75 orang daripada 18 keluarga); Paitan (48 orang daripada 14 keluarga); dan Papar (41 orang daripada 18 keluarga).

Menurut kenyataan itu, proses pemindahan mangsa banjir ke PPS berdekatan masih diteruskan berikutan paras air meningkat di beberapa daerah, selain hujan masih turun di Kota Belud dan Beaufort dengan amaran cuaca buruk dan waspada di khususnya di kawasan Pantai Barat dan pedalaman.

Secara keseluruhannya, sebanyak lapan daerah dilanda banjir di Sabah melibatkan 211 kampung termasuk di Kinabatangan, namun, belum ada sebarang PPS dibuka di daerah itu.

Jumlah mangsa banjir yang berada di satu-satunya PPS yang masih beroperasi di Sarawak iaitu di Sekolah Kebangsaan Tanah Puteh di Daerah Serian kekal pada 325 orang sehingga petang ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Mej (PA) Ismail Mahedin berkata fenomena “air termenung” atau air banjir yang bertakung disebabkan aliran air yang tidak dapat keluar tidak memungkinkan PPS itu ditutup dalam masa terdekat.

Di Pahang, banjir di Maran pulih apabila dua PPS terakhir di daerah itu, iaitu Balai Raya Kampung Baru Pertanian dan Surau Kampung Paya Pasir ditutup tengah hari ini.

Perkembangan itu menjadikan hanya dua daerah masih terjejas banjir iaitu Pekan dan Kuantan petang ini, dan menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya 509 orang masih berada di PPS.

Kuantan merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 380 orang daripada 90 keluarga di dua PPS manakala mangsa di Pekan seramai 129 orang daripada 39 keluarga di dua PPS.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Beberapa negeri semakin pulih, Sarawak masih dilanda banjir

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Keadaan banjir di beberapa negeri telah menunjukkan perkembangan baik dengan penurunan jumlah mangsa banjir, sebaliknya Sarawak pula masih dilanda bencana itu.

Lebih memburukkan keadaan, amaran cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Bumi Kenyalang hingga Ahad, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran cuaca waspada dengan hujan lebat berterusan di Sabah sepanjang tempoh sama serta memaklumkan kawasan pantai Sarawak dan Sabah dijangka dilanda angin kencang.

Dalam memelihara kebajikan mangsa banjir dan mengurangkan risiko penularan Covid-19, kerajaan negeri Sarawak mengambil langkah berjaga-jaga dengan menetapkan kapasiti pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu tidak melebihi 50 peratus daripada kapasiti keseluruhan pusat berkenaan.

Setakat petang semalam, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di negeri itu adalah sebanyak 4,343 orang dengan jumlah 50 PPS masih beroperasi di enam daerah dilanda banjir sejak Rabu lepas.

Keadaan di negeri-negeri lain seperti Sabah, Johor dan Pahang pula terus menunjukkan tanda positif pemulihan banjir.

Rakyat Sabah yang terkesan akibat banjir dan air pasang besar semalam menerima berita baik selepas pengumuman dibuat mengenai bantuan wang ihsan RM500 bakal disalurkan kepada setiap keluarga di negeri itu.

Jumlah mangsa banjir di negeri itu berkurangan secara mendadak kepada 313 orang daripada 84 keluarga petang tadi dan kesemua mangsa banjir ditempatkan di tujuh PPS di empat daerah negeri itu.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Johor menunjukkan trend menurun sejak beberapa hari lepas dengan hanya 93 orang di dua PPS setakat petang tadi manakala Pahang mencatatkan jumlah mangsa seramai 7,012 orang yang masih berteduh di 92 PPS.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir di Semenanjung beransur pulih, mangsa di Sabah dan Sarawak meningkat

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Ketika negara bergelut mengekang penularan kes baharu pandemik Covid-19 yang ketika ini mencecah empat angka, mangsa banjir di Sabah dan Sarawak dilihat semakin meningkat.

Jika semalam Sabah menjadi negeri baharu dilanda bencana itu, hari ini Sarawak dilaporkan menjadi negeri terbaharu berikutan hujan lebat sejak Isnin lepas.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk dan waspada, dengan hujan lebat dijangka berterusan di beberapa kawasan di Sarawak, sehingga esok.

Sementara itu, jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu turut meningkat mendadak kepada 358 orang petang tadi berbanding 32 orang pagi tadi.

Kesemua mangsa ditempatkan di empat PPS iaitu di Dewan Rekreasi Bimajaya, Dewan Serbaguna Taman Malihah, Rumah Kedai Batu Kawa dan Dewan Serbaguna Kampung Batu 1.

Manakala di Sabah, mangsa banjir dilaporkan meningkat kepada 1,054 orang yang ditempatkan di lapan PPS iaitu di Kota Marudu, Pitas dan Beaufort.

Negeri-negeri lain seperti Johor, Pahang dan Kelantan menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa berkurangan dan setakat hari ini tiada hujan diramal berlaku.

Bagaimanapun, MetMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang timur laut berkelajuan melebihi 60 km/jam dengan ombak melebihi 4.5 meter di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak yang boleh menyebabkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai di kawasan terbabit.

Dalam perkembangan lain, situasi bencana ini terus mendapat perhatian pemimpin negara yang meluangkan masa menyantuni mangsa dan menyampaikan sumbangan.

Laman media sosial rasmi Istana Negara melaporkan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyantuni mangsa banjir di beberapa buah kampung dalam Daerah Temerloh, Pahang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir makin buruk, hampir 50,000 mangsa dipindah ke PPS

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Situasi banjir yang melanda beberapa negeri semakin buruk dengan peningkatan mendadak jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini.

Sehingga kini jumlah keseluruhan mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS di Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Johor dan Sabah menghampiri angka 50,000 orang.

Di Pahang, mangsa banjir pagi ini meningkat kepada 27,073 daripada 7,278 keluarga yang ditempatkan di 275 PPS di sembilan daerah, dengan peningkatan ketara berlaku di Temerloh.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Temerloh merekodkan mangsa banjir seramai 9,998 orang diikuti Maran (4,192 orang), Lipis (2,528 orang), Kuantan (2,334 orang), Jerantut (2,069 orang), Raub (2,006 orang), Pekan (1,689 orang), Bera (1,255 orang) dan Rompin (1,002 orang).

Pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) ANIH Berhad dalam kenyataan pula memaklumkan KM126.3 (Chenor-Temerloh) ditutup sepenuhnya pada 2.30 pagi tadi, selain KM113 dan KM115 (Lanchang-Temerloh) masih ditutup sejak Selasa lepas.

Portal infobanjir.water.gov.my memaklumkan tiga sungai di Pahang melepasi paras amaran iaitu Sungai Jelai di Jeram Bungor, Lipis; Sungai Kuantan di Pintasan Kuantan dan Sungai Pahang di empat lokasi.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 12,899 orang di 50 PPS pada pukul 8 pagi ini berbanding 8,138 orang pada 3 petang semalam dengan Kemaman merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 11,065 orang di 28 PPS diikuti Dungun (1,574), Hulu Terengganu (207) dan Besut (53).

Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan dua sungai di dua daerah masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman setinggi 6.67 meter (m) (paras bahaya 4 m) dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau setinggi 13.23 m (paras bahaya 12.5 m).

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 6,319 orang daripada 1,726 keluarga pagi ini berbanding 5,896 orang daripada 1,520 keluarga petang semalam, dengan 75 PPS diaktifkan.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan Kota Bharu menjadi jajahan terbaharu dilanda banjir dengan 13 orang mangsa, selepas banjir melanda lima jajahan lain iaitu Kuala Krai dengan 3,063 orang mangsa, Pasir Mas (1,496), Tanah Merah (623), Jeli (609) dan Gua Musang (515).

Menurut infobanjir.water.gov.my, setakat pagi ini, tujuh sungai di negeri itu melepasi paras bahaya termasuk Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang; Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai; dan Sungai Kelantan di Kuala Krai.

Di Perak, Perak Tengah menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dengan sebuah PPS di dewan orang ramai Kampung Tanjung Aur dibuka bagi menempatkan sembilan mangsa daripada tiga keluarga, menjadikan jumlah mangsa banjir di negeri itu setakat 6 pagi tadi adalah 359 orang daripada 100 keluarga.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata seramai 334 orang lagi adalah mangsa banjir di daerah Hilir Perak yang kini berlindung di dua PPS manakala 16 orang lagi di daerah Hulu Perak dan ditempatkan di satu PPS.

Menurut infobanjir.water.gov.my, paras Sungai Perak di Kuala Kenderong, Hulu Perak dan di Kampung Gajah, Perak Tengah kini pada tahap amaran selepas masing-masing mencatat bacaan 112.43 m serta 6.54 m setakat pukul 6 pagi tadi.

Di Johor, jumlah mangsa banjir di negeri itu berkurangan kepada 1,422 orang daripada 363 keluarga pagi ini berbanding 2,260 orang daripada 559 keluarga petang semalam, dengan 16 PPS beroperasi ketika ini menempatkan mangsa daripada lima daerah iaitu lima di Kota Tinggi, Kluang (3), Mersing (5), Johor Bahru (1) dan dua di Segamat.

Kluang merupakan daerah tertinggi dengan 688 mangsa daripada 163 keluarga, manakala Mersing 350 mangsa, Kota Tinggi (223), Segamat (89) dan Johor Bahru (72).

Di Sabah, mangsa banjir di Beaufort kekal dengan 35 orang daripada 13 keluarga, yang ditempatkan di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, Beaufort.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima negeri termasuk Selangor semakin pulih, Agong berkenan ziarah mangsa banjir

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Keadaan banjir yang melanda Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Johor, beransur pulih dengan jumlah mangsa dipindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), semakin berkurangan.

Bagaimanapun di Pahang, jumlah mangsa banjir di negeri itu merekodkan sedikit peningkatan dengan 18,217 orang malam ini, berbanding 17,747 orang petang tadi.

Hujan lebat sejak Sabtu lepas yang mengakibatkan banjir di beberapa negeri, turut menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, apabila baginda berkenan memandu sendiri kenderaan meredah banjir di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) untuk melawat mangsa banjir di sekitar daerah Maran, Pahang hari ini.

Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Baginda berdua turut berkenan mencemar duli menziarahi mangsa banjir di pusat permindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Maran 1.

Bertitah selepas mendengar sembah taklimat situasi banjir di daerah itu, Al-Sultan Abdullah menasihati semua mangsa di pusat pemindahan banjir agar sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) mengekang penularan Covid-19 bagi mengelakkan wabak tersebut merebak di pusat pemindahan.

Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menguruskan bencana alam itu.

Selain itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut meluangkan masa kira-kira sejam melawat mangsa banjir di dua pusat pemindahan di Kota Tinggi, Johor hari ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir turut berkesempatan bertanya mengenai kebajikan kira-kira 126 mangsa daripada 28 keluarga yang ditempatkan di Kolej Vokasional Kota Tinggi.

Beliau kemudian turut meluangkan masa kira-kira 15 minit melawat mangsa banjir yang ditempatkan pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Laksamana.

Sementara itu, keadaan banjir di Perak, Selangor, Terengganu dan Kelantan, bertambah baik sejak petang tadi manakala di Johor, situasi banjir semakin pulih setakat 8 malam tadi apabila paras air di beberapa kawasan, mulai surut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir ragut nyawa ketiga, tiga lagi masih hilang

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Banjir di beberapa negeri meragut satu lagi nyawa hari ini manakala dua lagi dikhuatiri lemas di kala jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negara terus meningkat kecuali di Johor dan Kelantan.

Ikmal Hakimi Mahasan, 20, pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang dilaporkan hilang semalam ditemukan lemas di Kampung Bentong, di sini, tengah hari tadi.

Beliau menjadi mangsa korban ketiga selepas Halijah Majid, 59, yang ditemukan lemas Sabtu lepas selepas terjatuh ke dalam sebuah longkang dipenuhi air sedalam dua meter di Kampung Contoh dekat Kluang, Johor dan seorang kanak-kanak lelaki, Muhamad Amsyar Mohd Zamri, 5, semalam selepas terjatuh ke dalam Sungai Jerong Bikam, Sungkai, Perak.

Seorang wanita Rozi Omar, 52, dan anaknya Zakirah Ahmad Husin, 19, pula dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka karam di Sungai Jelai, Kampung Bertang di Lipis, Pahang ketika dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka bersama suami dan seorang lagi anaknya yang berjaya menyelamatkan diri ketika kejadian.

Sehingga kini, selain mereka anak beranak, seorang lagi mangsa, Md Rajihan Junaidi, 28, yang hilang dihanyutkan arus bersama kereta Proton Waja dipandunya dalam kejadian di Batu 18, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kahang dekat Kluang, Johor, Sabtu lepas masih lagi tidak ditemui.

Sebanyak lima negeri yang menghadapi keadaan banjir akibat hujan lebat ketika ini iaitu Johor, Terengganu, Perak, Kelantan dan Selangor di mana hanya Johor setakat petang ini mencatatkan penurunan jumlah mangsa di PPS, manakala Kelantan, jumlah mangsanya kekal.

Di Johor pula walaupun jumlah mangsa di PPS menurun, keadaan di pusat bandar Kota Tinggi masih membimbangkan selepas dinaiki air setinggi dua meter dan masih terdapat mangsa terperangkap.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Hussin Zamora banjir di kawasan bandar itu yang juga disebabkan air pasang besar di sungai Kota Tinggi, Sabtu lepas dijangka kekal sehingga Rabu.

Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini meramalkan cuaca buruk dengan hujan lebat dijangka berterusan di Terengganu, Pahang dan Johor sehingga esok.

Di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) pula, selepas jalan di KM198 antara Gambang dan Sri Jaya di Kuantan dibuka semula selepas air surut, kawasan lain iaitu di KM84.6-KM84.7 pula hari ini ditutup akibat dinaiki air sedalam satu meter.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan atau berkongsi gambar mahupun video lama kejadian banjir besar pada 2014 yang dilihat boleh menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat.

– BERNAMA