Categories
SELANGOR

Kawasan terjejas banjir di Sepang terus meningkat

SEPANG, 19 DIS: Beberapa kawasan di daerah Sepang terus dinaiki air sejak 7 pagi ekoran limpahan air di beberapa sungai susulan hujan berterusan sejak semalam.

Antara kawasan terjejas ialah Jenderam Hilir, Kampung Sungai Buah dan Dengkil yang dinaiki air.

Sejak semalam, beberapa kawasan dilanda bencana banjir antaranya Labu Lanjut dan laluan utama dari Kota Warisan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditutup kerana dinaiki air.

Tinjauan Bernama sejak pagi mendapati laluan yang ditutup sejak semalam masih tidak dibuka kepada kenderaan kerana air belum surut.

Susulan itu, beberapa kawasan dinaiki air dipercayai dari empangan Semenyih yang dilepaskan menyebabkan keadaan banjir bertambah teruk.

Pengurus Pusat Latihan Memandu Cemerlang Bhd di Kampung Sungai Buah, Muhd Fahmi Othman, 41, berkata air dari sungai berhampiran naik mendadak sejak 7 pagi dan keadaan menjadi tidak terkawal selepas itu.

“Banyak benda seperti komputer dan buku latihan memandu tidak sempat diselamatkan. Hanya sebahagian kereta latihan sempat dibawa keluar. Ini adalah situasi terburuk sejak 1990-an,” katanya.

Penduduk Kampung Sungai Buah, Yetni Buyung Andung, 44, pula berkata rumahnya dimasuki air sejak 3 pagi menyebabkan beliau terpaksa berpindah ke rumah anak yang terletak kira-kira 500 meter di kawasan lebih tinggi.

“Siapa sangka rumah anak juga dinaiki air sejak 7 pagi tadi. Siapa sangka kawasan rumah yang diduduki sejak 25 tahun lepas yang tidak pernah banjir kini dinaiki air setinggi paras pinggang,” katanya yang sempat menyelamatkan kereta, cadar dan dokumen penting.

Jumlah mangsa terjejas setakat ini ialah 559 orang melibatkan 174 keluarga dan meningkat sejak semalam yang hanya terdiri daripada 124 mangsa daripada 30 keluarga yang telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Beberapa jalan utama di daerah Sepang turut ditutup kerana dinaiki air iaitu Jalan Labu Lanjut/Taman Dataran Abadi, Jalan Kota Warisan/Bandar Baru Salak Tinggi (BBST), Jalan Bukit Canggang BBST, Jalan Salak/Sepang dan Jalan Kampung Ginching berhadapan masjid.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Banjir di Sepang semakin pulih, hanya dua PPS dibuka

SHAH ALAM, 24 OKT: Keadaan banjir di Sepang semakin pulih apabila jumlah mangsa dan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka semakin berkurangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sepang berkata sehingga jam 4 petang tadi, hanya dua PPS dibuka iaitu Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Giching dan Balai MPKK Kampung Giching.

Menurut Khairi Azali Ibrahim terdapat tujuh keluarga di SRA Kampung Giching membabitkan enam lelaki dewasa diikuti wanita dewasa (lima), kanak-kanak (tiga) dan bayi perempuan (dua).

“Terdapat dua warga emas masing-masing satu wanita dan lelaki serta dua orang kelainan upaya (OKU) lelaki turut berada di PPS sama.

“Di Balai MPKK Kampung Giching terdapat seorang lelaki dewasa yang masih ditempatkan di situ kerana disahkan positif Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Sepang berkata keadaan banjir semakin terkawal dan diminta penduduk sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang situasi di luar jangkaan.

Pada 20 Oktober, tujuh kampung dan dua perumahan terjejas akibat hujan lebat sejak jam 1 tengah hari menyebabkan air Sungai Langat melimpah ke beberapa kawasan.

Susulan itu sebanyak tiga PPS dibuka di Dengkil, Sepang susulan banjir kilat melanda di daerah itu.

Antara yang terlibat ialah Kampung Sungai Merab Jaya, Kampung Lalang, Kampung Ampar Tenang, Kampung Cemperai, Kampung Sri Tanjung, Kampung Orang Asli Sungai Melut, Kampung Orang Asli Batu 28 Jenderam, Taman Delima dan Taman Baiduri.

Manakala 100 rumah di Taman Dataran Abadi dan Kampung Labu Lanjut terjejas akibat ban Sungai Labu pecah dan air mengalir ke kawasan rumah penduduk.

Categories
EXCO SELANGOR

53 keluarga mangsa banjir di Sepang dapat bantuan RM500

SEPANG, 23 JUN: Kerajaan Selangor menyumbang RM500 kepada setiap 53 keluarga mangsa banjir di Salak Tinggi.

EXCO insfrastuktur berkata Unit Pengurusan Bencana Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menyediakan keperluan makanan selain pihaknya sedang berusaha mendapatkan bantuan Lembaga Zakat Selangor.

“Banjir semakin surut dan mangsa akan dibenarkan pulang. Ada NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang akan bantu mangsa bersihkan rumah,” kata Ir Izham Hashim selepas melawat mangsa di Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu Lanjut hari ini.

Seorang mangsa banjir, Norazliza Nasirun,41, berkata kejadian semalam paling teruk sejak 13 tahun tinggal di Kampung Labu Lanjut.

“Sudah beberapa kali rumah dinaiki air. Tapi kali ini paling teruk. Saya harap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya yang turut merakam penghargaan di atas bantuan pelbagai pihak.

Semalam, seramai 206 penduduk sekitar daerah itu dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air yang dipercayai melimpah dari Sungai Labu.