Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Segerakan projek tebatan banjir di ibu negara

SHAH ALAM, 8 MAC: Kerajaan persekutuan perlu memberi keutamaan dalam menyelesaikan masalah banjir di ibu negara dengan menyegerakan projek tebatan banjir.

Pernah membangkitkan hal berkenaan di Dewan Rakyat pada 20 Januari lepas, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan perparitan dan projek bandar takungan air (sponge city).

Menggesa kerajaan supaya menangguhkan semua projek mega yang menelan belanja berbilion ringgit, ketua pembangkang itu menjelaskan perparitan dan projek tebatan juga menelan kos tinggi.

“Namun, keutamaan segera mesti ada untuk selesaikan masalah ini (banjir),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar turut mengingatkan banjir di Kuala Lumpur semalam menjejaskan ribuan pengguna jalan raya dan sebahagian penduduk yang menetap di kawasan terpinggir.

Hujan lebat luar biasa kira-kira jam 3 petang semalam menyebabkan banyak kawasan di Kuala Lumpur Selangor dinaiki air.

Menteri Alam Sekitar dan Air berkata hujan lebat luar biasa dalam tempoh dua jam menyebabkan sistem perparitan tidak dapat menampung kapasiti aliran air yang biasanya untuk tempoh kira-kira dua minggu.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata purata hujan bagi tempoh sebulan adalah 200 milimeter, namun petang semalam hujan lebat dalam masa dua jam melebihi 100 mm.

Selain itu, portal Malaysiakini melaporkan projek tebatan banjir di Kuala Lumpur yang dijangka siap tahun ini ditangguhkan lagi dan dipanjangkan ke 2024 kerana masalah kontraktor.

Penangguhan itu berlaku ketika banyak kawasan di ibu kota dilanda siri banjir kilat dalam tempoh tiga bulan dengan kejadian yang terbaru petang semalam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir di Kelantan makin pulih, tinggal 414 keluarga di pusat pemindahan

KOTA BHARU, 6 MAC: Jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 1,437 orang daripada 414 keluarga pagi ini berbanding 1,879 orang daripada 544 keluarga malam tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat 8 pagi, kesemua mereka  ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas dan sebuah PPS di Tumpat.

Kesemuanya terdiri daripada 485 lelaki, 495 wanita, 208 kanak-kanak lelaki dan 238 kanak-kanak perempuan serta 11 bayi.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman sesawangnya pula melaporkan, semua sungai utama di negeri itu kini berada pada paras biasa.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan tiga kawasan di Kelantan masih belum menerima bekalan elektrik berikutan ditutup semasa bencana itu.

Kawasan terlibat ialah Pulau Dolah di Tumpat dan Jabatan Pengairan dan Saliran Pengkalan Rakit serta Jabatan Pengairan dan Saliran Bakat 2 di Pasir Mas.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir di Terengganu pulih, mangsa di Kelantan terus menurun

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Keadaan banjir di Terengganu dilaporkan telah pulih sepenuhnya, manakala di Kelantan jumlah mangsa semakin berkurang sejak tengah hari tadi.

Di Terengganu, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Hulu Terengganu ditutup secara rasmi pada pukul 1 tengah hari dan semua 477 mangsa daripada 160 keluarga, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, pihaknya masih bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan dan menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan sebarang perubahan cuaca, di sekitar kawasan mereka.

Sementara itu, di Kelantan jumlah mangsa banjir yang berlindung di sembilan PPS di Pasir Mas dan Tumpat, berkurang kepada 2,260 orang daripada 692 keluarga berbanding 2,730 orang daripada 836 keluarga pagi tadi.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman sesawang turut melaporkan, semua sungai utama di negeri itu kini berada pada paras biasa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Angka mangsa banjir di Kelantan, Terengganu terus menurun

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Jumlah mangsa banjir di dua negeri Pantai Timur menunjukkan aliran penurunan apabila 5,831 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 2 petang ini berbanding 7,561 pagi tadi.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir terus berkurangan apabila 3,879 orang daripada 1,218 keluarga masih ditempatkan di 12 PPS di daerah Pasir Mas dan Tumpat setakat 1 tengah hari, berbanding 4,715 orang daripada 1,506 keluarga pada 8 pagi tadi.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan semua sungai utama di Kelantan berada pada paras biasa.

Sementara itu, situasi banjir di TERENGGANU hampir pulih sepenuhnya dengan hanya 1,952 mangsa daripada 563 keluarga pada 2 petang ini, berbanding 2,846 mangsa daripada 808 keluarga pada 8 pagi tadi.

Hanya daerah Hulu Terengganu masih terjejas banjir dengan 11 PPS masih beroperasi ketika ini.

JPS pula melaporkan tiada lagi sungai di Terengganau yang melepasi paras bahaya setakat ini.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bah di Terengganu dan Kelantan makin pulih, air sungai bawah paras bahaya

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Situasi banjir di Terengganu dan Kelantan bertambah baik pagi ini dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Di TERENGGANU, mangsa banjir terus berkurangan kepada 2,846 mangsa daripada 808 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 5,128 orang daripada 1,276 keluarga pada 8 malam tadi.

Ketika ini, hanya dua daerah masih terjejas banjir iaitu Hulu Terengganu dan Dungun dengan 16 pusat PPS masih beroperasi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa tertinggi ialah di Hulu Terengganu iaitu 2,538 orang dan Dungun (308 orang).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir terus menunjukkan trend penurunan apabila 4,715 orang daripada 1,506 keluarga masih ditempatkan di 17 PPS di daerah Pasir Mas dan Tumpat, berbanding 4,809 orang daripada 1,525 keluarga malam tadi.

Sementara itu, portal rasmi info banjir JPS melaporkan hanya satu sahaja sungai utama di Kelantan iaitu Air Bol di Jeli berada pada paras waspada dengan merekodkan bacaan 71.3 meter manakala di Terengganu tiada sungai yang melepasi paras bahaya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 22,000 mangsa banjir di PPS Kelantan, Terengganu

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) — Seramai 22,709 mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu masih ditempatkan di 86 pusat pemindahan sementara (PPS) malam ini.

Di TERENGGANU, setakat 8 malam, seramai 14,753 orang daripada 3,829 keluarga berada 65 PPS berbanding 16,183 orang daripada 4,223 keluarga pada 2 petang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan Kemaman merekodkan mangsa teramai iaitu 6,885 orang diikuti Hulu Terengganu (4,560), Dungun (2,517), Kuala Nerus (386), Kuala Terengganu (398) dan Setiu (tujuh).

Pegawai Daerah Kemaman Ahmad Farhan Abdul Wahab ketika dihubungi berkata walaupun cuaca di daerah itu bertambah baik dan panas terik sepanjang hari ini, terdapat beberapa lokasi seperti Kampung Pulau Tempurung dan Bandar Baru Bukit Mentok masih mengalami banjir termenung.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiada sungai melepasi paras bahaya setakat ini.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 7,956 orang berbanding 8,806 orang tengah hari tadi dengan kesemuanya ditempatkan di 21 PPS di Pasir Mas dan Tumpat.

JPS juga melaporkan semua sungai utama di negeri itu berada pada paras biasa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bot bomba bawa jenazah warga emas ke tanah perkuburan

TUMPAT, 2 MAC: Jenazah seorang warga emas dari Kampung Kajang Sebidang di sini terpaksa dibawa menggunakan bot hampir dua kilometer dari rumahnya untuk dikebumikan petang tadi, berikutan kawasan penempatan itu dilanda masih dilanda banjir sejak Ahad lepas.

Shahril Mohd Othman, 19, berkata datuknya Sulong Ahmad, 88, meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira 10 pagi tadi dan jenazah dibawa keluar dari kampung itu pada 2 petang menggunakan bot Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor.

Shahril berkata perancangan awal untuk mengebumikan datuknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kajang Sebidang juga terpaksa ditukar ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Jal Kechik disebabkan kawasan itu digenangi air.

“Kami menghubungi pihak berkuasa sekitar 12 tengah hari tadi untuk meminta bantuan bot bagi membawa keluar jenazah dari kediaman kami menuju ke Kampung Jejulok kerana van jenazah menunggu di sana,” katanya kepada pemberita di Kampung Jejulok di sini hari ini.

Jenazah yang tiba kira-kira 3.45 petang itu kemudian turut diusung oleh Ahli Parlimen Tumpat Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang kebetulan hadir untuk mengagihkan makanan kepada mangsa banjir di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua BBP Pengkalan Kubor Raja Arisansahseni Raja Semail berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 12.20 tengah hari tadi daripada ahli keluarga Allahyarham Sulong untuk memohon bantuan bot.

“Pihak kami terpaksa menunggu keputusan ujian calitan Covid-19 terlebih dahulu sebelum menghantar dua anggota dengan sebuah bot bagi membawa jenazah.

“Operasi ini memang menjadi tugas khas kami terutama ketika banjir seperti yang berlaku sekarang,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Mangsa di Kelantan meningkat, keadaan di Terengganu bertambah baik

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat manakala situasi di Terengganu bertambah baik setakat 8 malam ini.

Di KELANTAN, mangsa meningkat kepada 8,678 orang daripada 2,895 keluarga berbanding 8,151 orang daripada 2,626 keluarga setakat petang tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan sebanyak 30 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka melibatkan 23 di Pasir Mas, Tumpat (tiga) manakala masing-masing dua di Pasir Puteh dan Tanah Merah.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan hanya satu sungai utama di negeri itu berada pada paras amaran iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah yang merekodkan bacaan 22.59 meter.

Di TERENGGANU, jumlah penduduk yang dipindahkan berkurangan kepada 16,078 orang daripada 4,127 keluarga berbanding 17,507 orang daripada 4,477 keluarga pada 2 petang tadi.

Jumlah PPS juga berkurangan kepada 98 iaitu 27 di Kemaman, Dungun (25), Hulu Terengganu (19), Setiu (10), Besut (tujuh), Kuala Terengganu (lima) dan Kuala Nerus (lima).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan satu-satunya PPS di Marang iaitu Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan telah ditutup secara rasmi pada 4 petang.

Jumlah mangsa tertinggi masih di Kemaman iaitu 8,408 orang diikuti Hulu Terengganu (3,041), Dungun (2,742), Kuala Nerus (537), Kuala Terengganu (516), Besut (431) dan Setiu (403).

Cuaca di kebanyakan daerah juga baik sepanjang hari ini dengan mendung dan hujan sederhana di beberapa lokasi.

JPS melalui laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan kebanyakan sungai semakin surut dan ketika ini, hanya tiga sungai di tiga daerah masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Kemaman di daerah Kemaman, Sungai Peneh di Hulu Terengganu dan Sungai Dungun (Dungun).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki warga emas korban kedua bah di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 1 MAC: Banjir di Terengganu meragut nyawa kedua apabila seorang lelaki warga emas ditemukan lemas kira-kira 50 meter dari Balai Polis Pasir Gajah, Chukai pada 10.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata Rahim Deraman, 69, dipercayai lemas semasa mengharungi air banjir, sebelum ditemukan dalam keadaan terapung di sebuah parit oleh orang kampung.

“Mangsa yang berasal dari Kampung Pasir Gajah di Chukai tinggal seorang diri di rumah kerana lima anaknya tinggal di luar.

“Semasa banjir semalam, seorang anak mangsa menghubungi jiran meminta tolong untuk melihatkan keadaan ayahnya. Namun mangsa gagal dikesan dan disedari hilang selepas waktu Maghrib,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata kawasan mangsa ditemui itu dinaiki air sedalam dua meter.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut, katanya.

Semalam, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun menjadi korban pertama banjir di Terengganu setelah ditemukan lemas berhampiran rumahnya di Kampung Cheneh Baru di Kemaman kira-kira 3 petang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat, Kelantan menurun

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat manakala di Kelantan menurun setakat jam 8 malam ini.

Di TERENGGANU, jumlah penduduk terjejas akibat banjir meningkat kepada 14,002 orang daripada 3,888 keluarga berbanding 13,530 orang daripada 3,735 keluarga pada tengah hari tadi.

Setakat ini terdapat 159 pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu 35 di Besut, Dungun (29), Setiu (28), Hulu Terengganu (28), Kemaman (23), Kuala Terengganu (sembilan), Kuala Nerus (enam) dan Marang (satu).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa tertinggi ialah di Kemaman seramai 4,420 orang diikuti Hulu Terengganu (3,696), Dungun (1,999), Besut (1,622), Setiu (1,291), Kuala Terengganu (622), Kuala Nerus (347) dan Marang (lima).

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan hanya empat sungai di empat daerah masih berada di paras bahaya iaitu Sungai Kemaman di Daerah Kemaman, Sungai Nerus (Setiu), Sungai Dungun (Dungun) dan Sungai Terengganu (Kuala Terengganu).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir menurun kepada 8,054 orang daripada 2,600 keluarga berbanding 8,920 orang daripada 2,862 keluarga petang tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan sebanyak 50 PPS dibuka melibatkan 22 di Pasir Mas, Tanah Merah (10), Kuala Krai (lapan), Pasir Puteh (enam), Machang (tiga) dan Jeli (satu).

Sementara itu, portal rasmi info banjir JPS menerusi laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan dua sungai utama di negeri itu berada pada paras bahaya iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah merekodkan bacaan 24.03 meter (m) dan Sungai Kelantan di Temangan, Machang (20.20m).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Air bah cecah dua meter, penduduk Pasir Mas dakwa terburuk dalam 40 tahun

PASIR MAS, 28 FEB: Penduduk Kampung Lubok Jong di sini, mendakwa banjir yang melanda kampung berkenaan bermula Jumaat lepas merupakan kejadian terburuk sejak 40 tahun lepas.

Zuraiha Awang, 47, berkata hujan lebat berterusan tiga hari lepas menyebabkan rumahnya dinaiki air secara mendadak sehingga mengakibatkan kawasan sekitar kediamannya mula digenangi air malam tadi.

“Sewaktu bah kuning pada 2014, paras air memasuki rumah saya hanya sedalam sekitar 0.3 meter, namun banjir kali ini paras air mencecah hampir dua meter.

“Saya sekeluarga terpaksa mengharungi banjir sejauh 200 meter pada kedalaman melebihi hampir satu meter ke jalan raya untuk menumpang rumah saudara di kampung berdekatan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Repek di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Fatah Noh, 47, dari Kampung Seberang Merbau berkata banjir kali ini juga merupakan bencana banjir terburuk sejak beliau menetap di kampung berkenaan lebih empat dekad lepas, dan ia kejadian luar jangka.

“Air mula memasuki ke dalam rumah ketika saya sedang menikmati makan malam dan tidak menyedari keadaan itu sehingga air mencecah lantai sehingga setinggi hampir dua meter.

“Saya terpaksa meminjam perahu daripada jiran untuk mengharungi banjir sejauh 200 meter selain terpaksa membawa ibu saya (Saudah Mat Zain, 71) yang uzur untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, menurut Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 2 petang tadi, Pasir Mas merupakan jajahan paling ramai menempatkan mangsa banjir di Kelantan dengan seramai 5,784 mangsa berada di 19 pusat pemindahan sementara (PPS).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Jumlah mangsa di Terengganu, Kelantan terus meningkat