Categories
AGENDA GLOBAL

Bank Dunia unjur 70 peratus populasi dunia divaksin akhir 2022

WASHINGTON, 21 SEPT: Sehingga 70 peratus populasi dunia akan menerima suntikan vaksin Covid-19 pada akhir 2022, andai agihan bekalan vaksin sumbangan negara penderma kepada negara-negara yang memerlukan dapat dipercepat, kata Presiden Bank Dunia David Malpass.

“Menjelang akhir tahun ini, kita harap dapat lihat empat peratus dan pada akhir tahun depan sebanyak 60 atau 70 peratus orang divaksinasi (di seluruh dunia).

“Tetapi hasilnya hanya akan dilihat menerusi usaha yang dilakukan pada Oktober, November dan Disember. Memastikan bekalan vaksin diterima negara-negara memerlukan menjadi cabaran besar.

“Ketelusan penghantaran juga satu cabaran dan kami telah meminta pengeluar untuk memastikan bekalan dapat dihantar mengikut jadual,” kata Malpass dalam wawancara dengan CNBC pada Isnin lapor Sputnik.

Beliau merangkap ketua pasukan petugas pelbagai agensi global yang menyelaraskan penghantaran vaksin Covid-19, berkata tumpuan utama kini ialah untuk menghantar bekalan vaksin kepada negara membangun yang kekurangan bekalan.

Walaupun banyak sumbangan vaksin telah diumumkan, realitinya penghantaran bekalan ke negara-negara yang memerlukan masih perlahan, kata Malpass.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI

Ekonomi dijangka pulih tahun ini susulan pelancaran program vaksin

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Ekonomi Malaysia dijangka kembali mencatatkan pertumbuhan positif tahun ini bersama ekonomi global lain susulan kemajuan pelancaran vaksin yang bakal meningkatkan semula penggunaan di seluruh dunia, kata Bank Dunia.

Ketua Ahli Ekonomi bahagian Makroekonomi, Amalan Global Perdagangan dan Pelaburannya, Richard Record berkata kumpulan itu menjangka pemberian vaksin sebahagian besarnya boleh diselesaikan pada 2021 di kebanyakan negara, yang dijangka membawa kepada pemulihan ekonomi dan permintaan serta meningkatkan perdagangan dan harga komoditi.

“Kami mengunjurkan pertumbuhan global 4.0 peratus tahun ini. Bagi Malaysia, kami mengunjurkan pertumbuhan ekonomi tahun ini dalam jajaran antaran 5.6 dan 6.7 peratus,” katanya semasa Forum Prospek Ekonomi dan Strategik Malaysia 2021 (MESOF) secara maya yang bertajuk: “The Post-Covid-19 New Normal – Where Do We Go From Here” (Normal Baharu Pasca Covid-19 – Apa Yang Perlu Kita Lakukan Seterusnya), pada Isnin.

MESOF dianjurkan secara bersama oleh Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik (KSI) dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran risiko kepada pertumbuhan adalah kemajuan perlahan pemberian vaksin dan langkah pembendungan baharu yang boleh membawa kepada pelaksanaan lagi perintah kawalan pergerakan sambil menambah penggunaan merupakan bahagian terbesar daripada ekonomi Malaysia.

“Risiko kepada prospek pertumbuhan termasuklah kelewatan pelancaran vaksin yang tidak dijangka, langkah pengekangan yang tidak efektif, peningkatan bilangan isi rumah rentan dan landskap politik tempatan yang tidak menentu.

“Dalam tempoh terdekat ini, dasar perlu menumpukan kepada membendung penularan dan melindungi golongan paling rentan serta membina penampan fiskal ketika keadaan ekonomi bertambah baik,” katanya.

Seorang ahli panel lain, Shan Saeed, Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Global, berkata kerajaan Malaysia terus mengekalkan kestabilan makroekonomi yang bergerak pantas dan mengejutkan peserta pasaran.

“Kerajaan dapat mengawal sepenuhnya ekonomi dan akan terus menyokong apabila ekonomi memerlukan. Gabungan dasar fiskal dan monetari menjadi kunci bagi pertumbuhan ekonomi dan Bank Negara Malaysia masih ada banyak ruang untuk berbuat sesuatu dalam landskap monetari,” katanya.

Mengenai keluaran dalam negara kasar (KDNK) pula, beliau mengunjurkan pertumbuhan antara 3.0 hingga 4.0 peratus dan menjangka bank pusat mengekalkan kadar dasar semalaman pada satu hingga 1.75 peratus pada 2021.

Sementara itu, Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata Tinjauan Ekonomi Malaysia 2021 mengunjurkan perdagangan luar negara berkembang sebanyak 3.9 peratus dengan eksport barangan dijangka meningkat 2.7 peratus susulan pemulihan perdagangan dan rantaian bekalan global manakala import diunjur naik 5.3 peratus, disumbang oleh peningkatan pelbagai jenis import.

“Inflasi dijangka kembali semula pada 2021 selepas aliran deflasi apabila pandemik Covid-19 telah menjejaskan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan.

“Ini susulan pelancaran awal program vaksin Covid-19 yang selamat dan efektif dan peningkatan permintaan berikutan kekurangan bekalan,” katanya.

Memetik Kementerian Kewangan, Mohd Uzir berkata inflasi diunjur pada 2.5 peratus berbanding -1.13 peratus pada 2020, menandakan lonjakan kukuh perbelanjaan pengguna.

Mengenai tenaga buruh, beliau berkata ia diunjurkan kekal pada 1.1 peratus manakala kadar pengangguran diunjur menyusut kepada 3.5 peratus pada 2021 berbanding anggaran 4.5 peratus pada 2020, apabila ekonomi negara dijangka melantun semula pada 2021 selepas mencatatkan prestasi lemah pada 2020 disebabkan pandemik tersebut.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bendung Covid-19 harus jadi keutamaan Malaysia – Bank Dunia

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Walaupun Malaysia sedang menuju ke arah pemulihan ekonomi, menangani pandemik Covid-19 dan melindungi golongan rentan harus menjadi keutamaan negara dalam tempoh yang terdekat ini.

Ahli ekonomi kanan Kumpulan Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin berkata ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 6.7 peratus pada 2021 disebabkan pemulihan daripada asas yang rendah pada 2020, peningkatan eksport yang berterusan serta peningkatan momentum secara beransur-ansur dalam perbelanjaan dan pelaburan swasta.

“Namun, apa yang paling penting adalah mencegah pandemik ini dan melindungi golongan rentan dalam tempoh jangka pendek, sementara bagi jangka panjang, dasar fiskal harus menumpukan perhatian kepada bagi melakukan persediaan untuk mengatasi kejutan pada masa depan dan meneruskan pembiayaan awam,” katanya dalam rancangan Mid-Day Update di Bernama TV, hari ini.

Shakira Teh berkata demikian bagi mengulas laporan dikeluarkan baru-baru ini, “World Bank Malaysia Economic Monitor: Sowing the Seeds” yang menekankan bahawa pembendungan wabak Covid-19 itu penting bagi memastikan aktiviti ekonomi dapat dimulakan semula dengan selamat dan bagi mencegah kemelesetan ekonomi pada masa depan.

Menurut laporan itu, ia juga termasuk sekatanan perjalanan di kawasan berisiko tinggi, melakukan pengujian pada skala besar dan pengesanan kontak untuk mencegah penyebaran virus tersebut, selain daripada peruntukan dana tambahan di sektor penjagaan kesihatan untuk memenuhi keperluan kesihatan domestik dan perkhidmatan kecemasan yang meningkat serta memudahkan pengedaran vaksin Covid-19 apabila ia tersedia.

Laporan tersebut menumpukan kepada kepada potensi segmen pertanian dalam meningkatkan status ekonomi Malaysia.

“Secara khusus, agro makanan harus diberi perhatian kerana pada tempoh awal penularan Covid-19 ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, wujud kebimbangan mengenai keselamatan makanan.

“Selain itu, data menunjukkan bahawa sebahagian besar golongan B40 terlibat dalam sektor pertanian, oleh itu mengatasi cabaran dan meningkatkan sektor ini akan memberi kesan limpahan positif kepada Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bank Dunia: Ekonomi Malaysia diramal pulih 2021, berkembang 6.7 peratus

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kembali pulih tahun depan berikutan keberkesanan pelancaran program vaksinasi Covid-19, pergerakan eksport berterusan dan momentum peningkatan dalam penggunaan dan pelaburan.

Ahli ekonomi kanan Kumpulan Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin berkata bank menjangkakan program vaksinasi pertama akan dilancarkan pada suku pertama 2021.

“Dari segi sektor, nampaknya terdapat peningkatan dalam pembuatan pada suku ketiga, terutama dalam sektor elektrik dan elektronik. Kami turut melihat sektor seperti pertanian sangat berdaya tahan.

“Bergerak ke hadapan, dengan pembukaan kembali ekonomi secara berperingkat, kami mengharapkan peningkatannya dapat dilakukan secara meluas,” katanya semasa taklimat media selepas pelancaran Malaysia Economic Monitor December 2020 hari ini.

Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 6.7 peratus pada tahun 2021, selepas menguncup 5.8 peratus pada 2020 berikutan pelbagai ketidakpastian seperti penggunaan vaksin yang berkesan dan kepesatan pemulihan pertumbuhan global.

Walaupun Malaysia akan menyaksikan pemulihan pada 2021, negara tidak dijangka pulih sepenuhnya daripada kejutan Covis-19 untuk beberapa tempoh akan datang, kata bank dalam laporan berkenaan.

Bank Dunia berkata kemerosotan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik dan pakej rangsangan yang dilaksanakan datang bersama kos yang perlu ditampung, dan ia menjangkakan defisit fiskal Malaysia akan meningkat kepada 6.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun 2020, sementara hutang kerajaan persekutuan telah bertambah kepada 60.7 peratus daripada KDNK.

Sementara itu, pendapatan Kerajaan Persekutuan dijangka menyusut kepada 15.1 peratus daripada KDNK pada 2021, sekali gus ia mengekang kemampuan kerajaan untuk memberi tindak balas kepada kejutan masa hadapan dan terus membiayai agenda pertumbuhan inklusif jangka panjangnya.

“Mengukuhkan kembali simpanan negara adalah sesuatu yang harus dilihat dengan serius, sekurang-kurangnya dalam tempoh sederhana,” kata Shakira.

Mengenai Belanjawan 2021 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini, Shakira berkata ia akan membantu pemulihan ekonomi melalui beberapa inisiatif seperti program pemindahan wang tunai untuk membantu isi rumah yang mudah terjejas/rentan, dan pengenalan program kemahiran dan peningkatan kemahiran.

“Ini juga pertama kalinya belanjawan negara diselaraskan dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu,” ujar beliau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Bank Dunia: 72 juta murid berisiko alami ‘kemiskinan pembelajaran’

WASHINGTON, 3 DIS: Penutupan sekolah disebabkan Covid-19 berisiko menyebabkan 72 juta lagi murid sekolah berdepan ancaman ‘kemiskinan pembelajaran’ – bermakna mereka tidak boleh membaca dan memahami teks yang mudah pada usia 10 tahun, kata Bank Dunia pada Rabu.

Pandemik memburukkan lagi krisis pembelajaran global sedia ada, menurut dua laporan terbaharu Bank Dunia, yang menggariskan visi baharu pembelajaran serta pelaburan dan polisi yang diperlukan, termasuk mengenai teknologi pendidikan, lapor agensi berita Xinhua.

Peratusan murid sekolah di negara berpendapatan rendah dan sederhana yang menghadapi kemiskinan pembelajaran meningkat kepada 63 peratus berbanding 53 peratus sebelum ini menyebabkan generasi mereka ini nanti pada masa depan berisiko kehilangan sekitar AS$10 trilion pendapatan seumur hidup, bersamaan hampir 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

Menurut laporan itu penutupan sekolah akibat Covid-19 menyebabkan kebanyakan pelajar di dunia tidak bersekolah. Ia mencecah 1.6 bilion pelajar pada April 2020 dan pada masa ini masih ada kira-kira 700 juta lagi pelajar.

Kesan negatif penguncupan ekonomi global yang belum pernah terjadi sebelum ini terhadap pendapatan keluarga meningkatkan risiko keciciran sekolah dan kumpulan yang terpinggir cenderung ketinggalan jauh.

Justeru, sistem pendidikan terpaksa segera menerapkan inovasi dalam pembelajaran jarak jauh.

Bagaimanapun, jurang digital yang besar dan ketidaksamaan dalam kualiti sokongan ibu bapa serta persekitaran pembelajaran di rumah meningkatkan ketidakseimbangan pembelajaran.

“Tanpa tindakan segera, generasi pelajar ini mungkin tidak dapat mencapai kemampuan dan pendapatan penuh mereka dan negara akan kehilangan modal insan penting untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang,” kata Naib Presiden Bank Dunia untuk Pembangunan Manusia Mamta Murthi pada Rabu.

“Melalui tindakan berwawasan dan jelas, pembuat dasar dan pihak berkepentingan di seluruh dunia boleh menjadikan krisis sebagai rahmat untuk mengubah sistem pendidikan sehingga membolehkan semua kanak-kanak walau di mana jua mereka berada dapat menikmati pembelajaran yang sempurna dan menyeronokkan,” kata Murthi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bank Dunia saran Malaysia teliti semula dasar usia bersara

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Malaysia perlu meneliti semula dasar mengenai had usia persaraan berikutan statusnya sebagai negara yang mempunyai masyarakat berusia atau menua, kata Wakil dan Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia di Malaysia Firas Raad.

Dalam kenyataan hari ini, beliau turut menyifatkan aspek demografi Malaysia berganjak ke era dengan kadar kesuburan dan kematian rendah berbanding paras lebih tinggi sebelum ini.

“Malaysia melangkaui pencapaian bermakna dalam trajektori pembangunannya tahun ini dan negara dengan masyarakat menua berdasarkan takrifan konvensyen antarabangsa iaitu tujuh peratus atau lebih penduduk berusia 65 tahun dan ke atas,” katanya.

Firas juga menekankan bahawa kemampuan mencecah usia lebih lanjut sedemikian juga bermakna rakyat negara ini perlu bekerja bagi tempoh lebih lama.

Jika dibandingkan dengan kalangan negara-negara berpendapatan tinggi dan pertengahan-tinggi lain pada masa ini, kadar pekerjaan mereka berusia 55-64 tahun di Malaysia adalah rendah, khususnya dalam kalangan wanita, katanya.

Malah, sebagai perbandingan negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun dan Thailand menyaksikan lebih 65 peratus rakyat berusia 55-64 tahun masih aktif dalam pasaran tenaga kerja.

“Bagaimanapun di Malaysia, golongan itu adalah 45 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, Firas berkata, antara pilihan dasar itu ialah dengan meningkatkan had minimum usia persaraan yang rendah secara beransur-ansur daripada 60 tahun kepada 65 tahun dan seterusnya dikaitkan dengan unjuran jangka hayat selepas itu.

Beliau menyifatkan dasar sedemikian diperlukan bagi menggalakkan pekerjaan produktif dan inklusif untuk semua pekerja, termasuk golongan berusia menerusi pekerjaan kurang memerlukan fizikal serta persekitaran tempat kerja dilengkapi dengan pengupayaan secara digital.

“Pilihan dasar pertama ialah menyediakan peluang dengan peningkatan aspek latihan dan pembelajaran sepanjang hayat yang mengambil kira keadaan khusus golongan pekerja berusia lebih tua.

“Ini pada akhirnya dapat mewujudkan rangka kerja kawal selia untuk pekerjaan produktif dan fleksibel untuk pekerja terbabit selain mempermudah pekerjaan secara separuh masa atau lain yang anjal,” katanya.

Pada masa sama, Firas turut menekankan kepentingan untuk menangani isu atau kekangan dihadapi wanita berkaitan kerja.

Menurutnya, inisiatif-inisiatif relevan itu termasuk penyediaan kemudahan penjagaan anak yang berkualiti dan berpatutan; pembaharuan persekitaran perundangan berkaitan; menambah baik sokongan untuk ibu bapa sejajar dengan norma perundangan antarabangsa serta dasar-dasar yang menangani aspek jantina dan sikap.

“Pada akhirnya, gabungan dasar-dasar yang tepat ini dapat membantu Malaysia menangani masyarakat menua, mempertingkat kesejahteraan semua dan meningkatkan perkongsian bahawa pengalaman mengharungi usia tua bukanlah bebanan tetapi fasa kehidupan yang penuh dengan kebebasan, penyertaan sosial dan produktiviti,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI GLOBAL

Global berdepan dilema pilih kesihatan atau ekonomi dua tahun lagi – Bank Dunia

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Negara-negara di seluruh dunia akan terus mengalami dilema untuk memilih sama ada kesihatan atau ekonomi bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi, walaupun sesudah vaksin Covid-19 ditemui, kata Pengarah Urusan Pembangunan, Dasar dan Perkongsian Bank Dunia Mari Pangestu.

Ini bermakna negara-negara masih perlu melakukan tiga ‘T” iaitu ‘testing’ (ujian), ‘tracing’ (mengesan) dan ‘treatment’ (rawatan), di samping mendapatkan data yang baik bagi memastikan ia dapat memantau rakyat dan mencegah daripada berlakunya gelombang jangkitan kedua atau ketiga.

“Tanpa dapat menanganinya, anda tidak boleh melakukan aktiviti dengan selamat, sama ada sekolah, perniagaan, perjalanan dan sebagainya. Jadi ia perlu dilakukan dengan protokol ini, dan saya fikir Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) boleh memainkan peranan penting dalam perkara ini, sebagai contoh seperti kad perniagaan APEC, yang merupakan satu kejayaan bagi komuniti perniagaan.

“Oleh itu, apabila kita mendapat vaksin, ia akan seperti ‘kad kuning’ mengetahui bahawa anda telah diberi vaksin, dan kita boleh mula beroperasi dengan selamat, melakukan dagangan dengan selamat dan bekerja dengan selamat,” katanya dalam sesi bertajuk “Asia Pacific’s Time” semasa acara Dialog CEO APEC 2020 yang diadakan secara maya, hari ini.

Sementara itu, Mari berkata, walaupun vaksin ditemui, ia dijangka sampai ke negara maju terlebih dahulu, dan negara membangun perlu memastikan mereka juga mendapat akses yang adil dan saksama di samping memastikan ekonomi turut dapat dipulihkan.

Menurutnya, selain normal baharu bekerja dari rumah, akan turut muncul golongan miskin dan rentan baharu dalam kumpulan berpendapatan M40 dan B40, ketika dunia dilanda kemelesetan besar.

Ini, katanya, akan menjejaskan golongan wanita terutamanya yang tidak dapat mencari kerja dan kanak-kanak yang tidak mempunyai akses kepada bekalan elektrik, apatah lagi kepada pendidikan atau malahan pendidikan secara dalam talian.

“Walaupun ada banyak lagi isu-isu, kerajaan atau sistem adalah penyelamat atau pilihan terakhir, sama ada bagi mata pencarian, syarikat atau ekonomi; dan ia adalah satu tugas yang amat besar…dan kerajaan akan menanggung beban hutang, walaupun dalam kerajaan yang diurus dengan baik yang anda tahu sebelum ini

“Jadi amat mustahak kepada kerajaan untuk mengawal trajektori penularan…dan jangan hanya berharap kepada vaksin semata-mata kerana ia akan mengambil masa yang lama untuk mendapatkannya serta untuk diberi vaksin.

“Ambil peluang untuk menambah baik sistem anda agar jika berlaku gelombang ketiga atau keempat atau muncul virus baharu, anda telahpun mempunyai sistem yang berdaya tahan bagi masa depan,” kata Mari.

-BERNAMA

 

Categories
PENDAPAT RENCANA

Putuskan rantaian penularan Covid-19, elak hadapi PKP semula

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Malaysia nampaknya kembali semula ke titik asal usahanya untuk membendung penularan pandemik Covid-19 dengan pengumuman berturut-turut lonjakan kes baharu, pada ketika ekonomi negara mula menunjukkan petanda pemulihan.

Malaysia merekodkan kes jangkitan baharu tertinggi sebanyak 287 pada 2 Oktober dan 260 kes pada 1 Oktober, yang kini merupakan kes ketiga tertinggi dicatatkan sejak pandemik itu melanda negara pada awal tahun ini.

Angka baharu itu mencerminkan negara telah memasuki gelombang ketiga memerangi pandemik tersebut yang memberikan cabaran utama kepada ekonomi.

Kini amat kritikal untuk mencari kaedah baharu bagi melandaikan semula keluk jangkitan tersebut sekali lagi.

Peningkatan ketara jangkitan pada 1 dan 2 Oktober itu adalah disebabkan oleh pertambahan perjalanan ke dan dari Sabah berikutan pilihan raya negeri dengan angka jangkitan kini berjumlah lebih 11,400 kes dan jumlah kematian seramai 136 setakat ini.

Pada 4 Jun, negara sebelum ini melaporkan 277 jangkitan baharu dengan hanya empat daripada kes adalah penularan tempatan, manakala majoriti kes adalah dalam kalangan pekerja asing daripada Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

Sudah sampai masanya untuk kita melihat dengan serius bagaimana untuk membendung penularan itu sekali lagi.

Pihak berkuasa telah memberi jaminan bahawa ia akan memantau rapat dan membendung penularan Covid-19 namun pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) daripada masyarakat adalah amat kritikal sekarang.

Mampukah kita hadapi sekali lagi PKP?

Jawapannya adalah TIDAK.

Ekonomi Malaysia telah terjejas teruk akibat Covid-19 yang menyebabkan penguncupan dua angka sebanyak 17.1 peratus pada suku kedua 2020.

Ini terutamanya disebabkan oleh penurunan permintaan domestik susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula pada 18 Mac bagi membendung penularan Covid-19 selain persekitaran luaran yang lemah.

Menurut Bank Dunia, Malaysia memasuki fasa penularan pandemik itu dengan ruang fiskal yang terhad akibat rentetan penurunan hasil kerajaan sejak 2012 serta peningkatan perbelanjaan yang ketara.

Berikutan kekangan dan kualiti respon fiskal terhadap penularan tersebut menyaksikan kerajaan sebaliknya lebih banyak bergantung kepada mekanisme monetari dan sektor kewangan.

Kelompok isi rumah misalnya berharap kepada sokongan kewangan berterusan sepanjang tempoh pemulihan dan memerlukan sistem jaringan keselamatan sosial yang dipertingkat bagi memberi perlindungan lebih agresif dan mampan serta melangkaui daripada pendekatan memberi bantuan sekali ketika krisis.

Penggunaan swasta turut merosot mendadak berikutan pendapatan isi rumah yang lebih rendah, sekatan pergerakan dan kelemahan sentimen pengguna dan perniagaan.

Malah, ketidakpastian yang ketara tidak hanya menjejaskan sentimen tetapi turut menyaksikan penyusutan pelaburan swasta.

Bagaimanapun, pembukaan semula ekonomi telah memberi kesan dari segi tanda-tanda pemulihan sebagaimana dibuktikan oleh beberapa petunjuk seperti sektor borong dan runcit, pengeluaran perindustrian, eksport serta peningkatan perbelanjaan kad kredit.

Bagi memacu ekonomi, kerajaan setakat ini telah mengumumkan pakej rangsangsan ekonomi bernilai RM305 bilion dengan yang terbaharu membabitkan pakej Inisiatif Tambahan PRIHATIN dengan peruntukan RM10 bilion atau KITA PRIHATIN yang sejajar dengan usaha untuk meningkatkan pemulihan ekonomi.

Pakej KITA PRIHATIN merupakan kesinambungan pakej-pakej rangsangan ekonomi terdahulu iaitu PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA bernilai RM295 bilion atau kira-kira 20 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dengan suntikan fiskal tambahan oleh kerajaan sebanyak RM45 bilion.

Selain itu, pasaran tenaga kerja Malaysia juga meningkat pada Julai lepas.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini mendedahkan kadar pengangguran merosot kepada 4.7 peratus pada bulan berkenaan berbanding 4.9 peratus pada Jun dan 5.3 peratus pada Mei. Bilangan penganggur pada Julai adalah sebanyak 745,100 orang, penurunan seramai 28,200 orang daripada bulan sebelumnya.

Namun, pelaksanaan sekali lagi perintah kawalan pergerakan (PKP) akan menjejaskan lagi rakyat Malaysia terutamanya sektor perniagaan, dan mereka yang berpendapatan rendah akan mendapati sukar untuk bertahan selepas pusingan pertama PKP pada awal tahun ini.

Prospek Pemulihan Ekonomi

Bank Dunia dalam laporan terbaharu Perkembangan Terkini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik bagi Oktober 2020 berkata negara-negara yang masih berdepan pertimbangan antara pembendungan dan pemulihan boleh meringankan situasi tersebut dengan membangunkan kapasiti pembendungan pintar.

Tempoh pembendungan ketat atau tidak aktif akan digunakan bagi mewujudkan kapasiti mengehadkan penularan penyakit tanpa menggunakan langkah-langkah disruptif berlebihan, seperti yang dilihat di negara-negara yang telah berjaya melaksanakannya seperti di China dan Vietnam.

Langkah-langkah strategik yang sama telah dilaksanakan oleh kerajaan di sini melalui Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan Bersasar Secara Pentadbiran (TEMCO) yang pertama di Kedah dan seterusnya di Sabah, yang kini mencatatkan bilangan kes aktif tertinggi.

”Di saat kita cuai, virus ini akan terus merebak, Sabah adalah contoh terbaik tatkala kita mula cuai, maka inilah apa yang berlaku.

“Kita semua perlu mengambil iktibar daripada perkara ini supaya kita tidak mengulanginya sekali lagi” kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah .

Sentiasa berjaga-jaga, tidak cuai dan komunikasi yang tepat adalah kunci bagi memutuskan rantaian pandemik ini, sekali lagi, dan memastikan ekonomi kekal berada di landasan pertumbuhan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

Bank Dunia turunkan pertumbuhan suku kedua Malaysia kepada negatif 4.9 peratus

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Susulan penguncupan lebih ketara berbanding jangkaan pada suku kedua 2020, Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini kepada -4.9 peratus, lebih rendah daripada unjuran awal pada -3.1 peratus.

Menerusi kenyataan hari ini, Bank Dunia berkata perubahan unjuran itu menunjukkan ketidaktentuan yang menyelubungi kadar kepantasan dan permulaan pemulihan ekonomi global adalah meningkat, yang akan mempengaruhi keputusan pelaburan dan permintaan luaran.

Selain itu, peningkatan kadar pengangguran dan kelemahan lain dalam pasaran buruh akan terus menjejaskan penggunaan swasta, menurutnya.

Bank Dunia berkata berikutan penutupan sementara kebanyakan ekonomi dan kekurangan operasi perniagaan, pasaran buruh amat terjejas, dengan kadar pengangguran meningkat kepada 5.1 peratus pada suku kedua 2020, angka tertinggi dalam tempoh 30 tahun.

Penyertaan tenaga buruh susut kepada 68.1 peratus pada suku kedua 2020 daripada 68.8 peratus pada suku pertama dan ramai pekerja menghadapi tempoh kerja lebih singkat dan pengurangan gaji.

“Berdasarkan perkembangan ini, kebanyakan komponen permintaan, seperti eksport bersih, penggunaan swasta dan pelaburan swasta diunjurkan berkurangan pada 2020,” menurut Bank Dunia susulan pelancaran laporan ‘From Containment to Recovery: Economic Update for East Asia and the Pacific, October 2020’.

Ekonomi Malaysia terjejas teruk berikutan pandemik Covid-19, sehingga mencatatkan penguncupan dua digit 17.1 peratus pada suku kedua 2020 susulan kekurangan permintaan domestik apabila Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan untuk membendung jangkitan selain situasi luaran yang turut lemah.

Bank Dunia berkata perbelanjaan kerajaan dijangka meningkat, terutama disebabkan perbelanjaan pakej rangsangan.

Sementara itu, kemiskinan bagi Garis Kemiskinan Kelas Pendapatan Pertengahan Atas iaitu US$5.50 sehari (berdasarkan Pariti Kuasa Beli 2011 dolar) dijangka meningkat sedikit kepada 0.9 peratus daripada 0.8 peratus pada 2020.

Bank Dunia berkata peningkatan ini disebabkan oleh kadar pengangguran lebih tinggi, tempoh bekerja disingkatkan dan aktiviti perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lebih perlahan.

Ini berlaku walaupun kesan penguncupan diimbangi menerusi beberapa langkah bantuan dan pemulihan oleh kerajaan, yang mengurangkan impak ke atas penggunaan swasta.

“Kadar Kemiskinan Pariti Kuasa Beli 2011 pada US$5.50 sehari dijangka susut kepada 0.6 peratus pada 2021 dan 0.5 peratus pada 2022,” menurutnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bank Dunia: Malaysia depani badai Covid-19 lebih baik negara lain

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran yang dibawa oleh pandemik Covid-19, Malaysia mengharungi kegawatan ekonomi ini dengan lebih baik berbanding negara-negara lain, kata Bank Dunia.

Pengarah Negara Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina, Thailand, Asia Timur dan Pasifik, Ndiamé Diop berkata ekonomi Malaysia bergantung kepada asasnya yang kukuh.

Struktur ekonomi negara yang pelbagai, sistem kewangan mantap dan langkah pengurusan kesihatan awam yang berkesan serta sokongan dasar makroekonomi proaktif membantu mengurangkan kesan pandemik itu, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Walaupun kita menjangka ekonomi akan menguncup dengan ketara pada tahun ini, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turun sebanyak 3.1 peratus, termasuk penguncupan yang ketara pada suku kedua serta ketidaktentuan terhadap pemulihan ekonomi, kita masih lagi ada harapan,” kata Diop.

Bank Dunia menganggarkan 90 peratus daripada ekonomi dunia akan mencatatkan penguncupan tahun ini.

“Kesan pandemik ini dijangka menyebabkan peningkatan kemiskinan ekstrem global buat pertama kalinya sejak 1998. Perkembangan ini turut melenyapkan kemajuan yang telah dicapai sejak 2017,” katanya.

Diop berkata, kerajaan Malaysia telah menggerakkan strategi enam peringkat yang mampu memacu semula ekonomi secara kukuh dan berdaya tahan, sambil menambah negara telah memasuki peringkat pemulihan yang keempat yang menjadi asas kepada peringkat yang seterusnya dalam usaha menghidupkan dan membentuk semula ekonomi.

“Ini bermakna kerajaan bukan sahaja berazam untuk keluar daripada krisis ini tetapi juga untuk berada dalam kedudukan yang lebih baik daripada sebelum ini supaya dapat menangani krisis lain pada masa akan datang,” katanya.

Diop berkata walaupun sokongan dasar yang penting telah pun dilaksanakan, kerajaan mungkin perlu melakukan lebih lagi untuk melindungi mereka yang sangat memerlukan, terutamanya isi rumah dan perniagaan yang mudah terjejas.

Meskipun sesetengah aktiviti ekonomi akan meningkat semula selepas sekatan pergerakan ditamatkan, namun pendapatan dan peluang pekerjaan akan mengambil masa untuk pulih, walaupun sesetengah bahagian ekonomi seperti sektor perkilangan akan menyaksikan pertumbuhan yang lebih cepat berbanding sektor lain seperti pelancongan.

“Ini mungkin bermakna bantuan kewangan tambahan perlu diberikan kepada golongan yang terjejas, terutamanya kumpulan B40 yang tiada wang simpanan dan rangkaian sokongan untuk berdepan dengan kesan berpanjangan yang menjejaskan punca pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata krisis ini juga menekankan keperluan bagi Malaysia untuk mewujudkan sistem perlindungan sosial lebih kukuh dengan kos lebih berkesan serta dasar yang lebih bersepadu bagi meningkatkan kebajikan individu dan isi rumah semasa tempoh pemulihan dan pada masa akan datang.

Menurut Diop, Covid-19 telah melanda secara mengejut yang mana Malaysia memiliki ruang belanjawan yang terhad untuk bertindak balas menerusi suntikan fiskal secara langsung; sambil menyatakan apabila ekonomi pulih nanti, langkah pembaharuan perlu diambil untuk meningkatkan hasil cukai termasuk mencari sumber hasil baharu yang lebih progresif.

Fokus utama juga perlu diberikan untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula tenaga kerja dalam ekonomi baharu, serta merancakkan agenda digital dan mengurangkan jurang digital, katanya.

“Malah, ketika sebelum krisis lagi, kesedaran telah pun wujud tentang keperluan Malaysia untuk menganjakkan pendekatan persaingannya ke arah menarik pelaburan yang lebih berkualiti; cabaran yang malahan menjadi semakin kritikal untuk ditangani,” katanya.

Beliau berkata, sekarang ialah masa untuk mengatur perubahan menyeluruh bagi membantu melonjakkan negara ke peringkat yang seterusnya untuk terus membangun pada tahun-tahun akan datang.

“Usaha yang dijalankan oleh Bank Dunia menunjukkan bahawa walaupun Malaysia dijangka mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam beberapa tahun akan datang, namun terdapat jurang yang besar dalam rangka kerja dasar yang menghalang negara daripada mencapai potensi penuhnya, bahkan jurang ini menjadi lebih memudaratkan semasa krisis.

“Jadi, sekarang adalah masanya untuk merancang dan melaksanakan dasar yang akan membantu meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita, meningkatkan kualiti modal insan, meningkatkan daya saing, mewujudkan pekerjaan yang berkualiti, memodenkan institusi dan mempromosikan rangkuman melalui rangka kerja perlindungan sosial yang lebih kukuh yang sesuai dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bank Dunia puji langkah Malaysia semak semula garis kemiskinan

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Bank Dunia hari ini memuji tindakan Malaysia menaikkan had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kepada RM2,208 berbanding RM980 baru-baru ini yang disifatkan dapat membantu kerajaan memastikan semua rakyat mencapai standard kehidupan minimum baharu yang lebih konsisten dengan keadaan semasa.

Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia, Kenneth Simler berkata kaedah atau metodologi garis kemiskinan Malaysia sebelum ini juga tidak dikemaskini sejak 2005 dan nilai sebenarnya tidak berubah sejak dirangka pada 1977.

Malah, katanya, ini turut menunjukkan bahawa kesukaran serta kekurangan sebelum ini yang dianggap sebagai tidak bernasib baik serta diterima secara sosial, sebenarnya tidak lagi sesuai pada 2020.

“Peningkatan garis dan kadar kemiskinan itu daripada 0.4 peratus (pada 2016) kepada 5.6 peratus (2019) tidak bermakna bahawa masalah itu telah meningkat atau rakyat Malaysia lebih miskin berbanding hari sebelum pengumuman (PGK) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Sebaliknya, perbezaan kiraan PGK mengikut setiap isi rumah itu bergantung kepada bilangan mereka yang tinggal bersama serta kos asas barangan dan perkhidmatan di peringkat tempatan yang berbeza di serata Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Simler, dasar-dasar untuk mengurangkan kemiskinan dan menggalakkan perkongsian kemakmuran Malaysia secara lebih ketara akan lebih berkesan sekiranya turut menumpukan perincian dalam metodologi garis kemiskinan tersebut.

Sehubungan itu, apa yang perlu diutamakan adalah memastikan bahawa bantuan terbabit disalurkan kepada kelompok yang paling memerlukannya manakala dana kerajaan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Ini boleh dicapai dengan menyesuaikan aspek syarat kelayakan dan manfaat dengan ciri-ciri yang mungkin dilihat mudah namun penting seperti bilangan ahli keluarga dan apakah mereka menetap di kawasan yang dikelaskan sebagai bernilai tinggi atau sebaliknya,” katanya.

Simler berkata ukuran kemiskinan baharu itu juga dapat digunakan seiring dengan petunjuk pendapatan relatif, pemantauan dan penilaian dasar-dasar serta program meningkatkan kesejahteraan golongan memerlukan di Malaysia.

Menurutnya, berbanding semakan semula gaji minimum berdasarkan PGK baharu, langkah paling mampan untuk keluar daripada kemiskinan serta pendapatan rendah adalah memastikan penduduk miskin mempunyai akses terhadap pekerjaan yang menawarkan gaji lebih tinggi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ekonomi Malaysia susut 3.1 peratus pada 2020 – Bank Dunia

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Ekonomi Malaysia diunjurkan menguncup sebanyak 3.1 peratus pada 2020 akibat kelembapan aktiviti ekonomi susulan pandemik Covid-19 dan dijangka kembali mencatat pertumbuhan pada 2021 pada 6.9 peratus berikutan penularan wabak semakin berkurangan, menurut Bank Dunia.

“Unjuran dalam jangka masa terdekat, bagaimanapun, tidak dapat dipastikan pada masa ni.

“Pandemik ini, disertai dunia pekerjaan yang berubah turut meningkatkan keperluan sistem perlindungan sosial yang lebih baik di Malaysia,” kata Bank Dunia dalam laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia yang terkini bertajuk ‘Surviving the Storm.’

Katanya pelaburan agregat merosot untuk suku kelima berturut-turut sebanyak 4.6 peratus pada suku pertama 2020 berbanding penyusutan 0.7 peratus pada suku keempat 2019 dengan kemerosotan yang meluas dalam pelaburan swasta dan awam.

Menurut laporan itu, berikutan permintaan luaran yang lemah, eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia susut bagi suku ketiga berturut-turut sebanyak 7.1 peratus pada suku pertama 2020 (suku keempat 2019: -3.4 peratus), penurunan terbesar sejak krisis kewangan global pada 2009.

Penggunaan swasta adalah sederhana kepada 6.7 peratus pada suku pertama 2020, merosot daripada 8.1 peratus pada suku keempat 2019, sebahagian besarnya menggambarkan impak besar Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan ke atas perbelanjaan runcit, perjalanan, libur dan rekreasi dan penggunaan barang-barang tahan lama bagi tempoh sebelum ini.

Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia Firas Raad berkata langkah perlindungan sosial yang penting diperlukan untuk membantu rakyat Malaysia yang kurang menerima perhatian untuk mengharungi badai ekonomi semasa dan menjadi lebih baik dalam realiti pasca pandemik baharu.

“Melindungi punca pendapatan adalah penting, justeru, mereka yang kehilangan pekerjaan dan perniagaan mampu untuk kembali berdikari dan menyumbang kepada pemulihan ekonomi Malaysia,” katanya.

Laporan itu turut menyarankan usaha kerajaan dalam masa terdekat untuk memberi tumpuan kepada usaha membantu dan pemulihan dengan meningkatkan bantuan sosial kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah, menambah baik penyampaian program perlindungan sosial dan mempromosi pemulihan pekerjaan.

Berikutan pemulihan yang berterusan, pusingan pindahan tunai yang selanjutnya kekal penting untuk mengurangkan kekangan kewangan yang meruncing bagi kumpulan paling tidak mendapat perhatian di Malaysia, dan menyokong penggunaan domestik dan pembangunan modal insan semasa kelembapan ekonomi yang teruk.

Bagi jangka sederhana dan panjang, sokongan kepada golongan berpendapatan rendah boleh diperluas secara berperingkat bagi memastikan sistem sokongan sosial di Malaysia menyediakan perlindungan paling minimum kepada isi rumah dan individu yang memerlukan.

-BERNAMA