Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dijangka cecah paras 1,600 minggu depan

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka mencecah paras 1,600 minggu depan sejajar dengan keyakinan tinggi terhadap ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan jangkaan lantunan semula harga komoditi, kata seorang penganalisis.

Ketua Ahli Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata, bagaimanapun, indeks utama dijangka dipengaruhi prestasi saham sarung tangan berikutan peningkatan kadar pemvaksinan di seluruh dunia yang akan mengurangkan permintaan terhadap barangan perubatan seperti sarung tangan.

“Pengeluar sarung tangan membawa impak negatif kepada pasaran minggu ini, manakala sektor lain dijangka bertambah baik seperti sektor perbankan serta minyak dan gas,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual menerusi e-mel.

Saham sarung tangan terjejas pada Rabu selepas Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS mengarahkan kakitangan di semua pelabuhan AS merampas sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan di Malaysia oleh Top Glove Corp.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata FBM KLCI dijangka diniagakan dalam jajaran ketat antara 1,590 hingga 1,600 mata tetapi boleh melepasi paras 1,600 mata sekiranya ada perkembangan positif mengenai vaksin yang berdepan penelitian rapi di Eropah.

“Oleh itu, pemacu bagi kenaikan minggu depan dijangka datang daripada sektor berkaitan pertumbuhan ekonomi seperti pengeluaran perindustrian, perkhidmatan kewangan dan minyak dan gas,” katanya.

Indeks tenaga mengakhiri minggu yang baru berakhir ini naik 1.94 mata untuk ditutup kepada 937.12 apabila penanda aras minyak mentah Brent melonjak 3.38 peratus kepada US$64.86 setong selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya akan menambah lebih daripada dua juta tong sehari kepada bekalan minyak dunia antara Mei dan Julai.

Langkah itu akan membina semula satu perempat stok minyak mentah selepas kartel minyak itu dan sekutunya mengurangkan dengan banyak pengeluaran setahun lalu disebabkan pandemik Covid-19.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI turun 16.07 mata kepada 1,585.35 daripada 1,601.42 pada Jumaat minggu sebelumnya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 35.19 mata kepada 11,743.10, Indeks FBMT 100 susut 50.62 mata kepada 11,393.36 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 72.31 mata kepada 13,005.85.

FBM 70 meningkat 178.86 mata kepada 15,729.32 dan Indeks FBM ACE susut 727.99 mata kepada 9,789.12.

Mengikut sektor, Indeks Teknologi menokok 4.16 mata kepada 87.35, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.61 mata kepada 194.02, Indeks Perladangan susut 54.91 mata kepada 7,045.54 dan Indeks Penjagaan Kesihatan jatuh 78.87 mata kepada 2,937.70.

Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 23.73 mata kepada 15,276.56 dan Indeks Tenaga turun 13.87 mata kepada 937.12.

Jumlah dagangan meningkat kepada 35.38 bilion unit bernilai RM18.02 bilion daripada 27.58 bilion unit bernilai RM14.63 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 23.28 bilion saham bernilai RM14.77 bilion daripada 16.44 bilion saham bernilai RM11.42 bilion.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 3.51 bilion unit bernilai RM374.24 juta daripada 828.19 juta unit bernilai RM176.07 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 10.75 bilion saham bernilai RM3.03 bilion daripada 10.05 bilion saham bernilai RM3.03 bilion pada minggu sebelumnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dijangka niaga lebih tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 14 EB: Ringgit dijangka didagangkan lebih tinggi berbanding dolar AS pada minggu hadapan dalam persekitaran dolar aS yang lemah disebalik pelbagai perkembangan di pasaran yang menjejaskan mata wang itu.

Data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah daripada jangkaan, hasil pasaran bon Amerika Syarikat (AS) yang merosot dan keadaan yang lebih baik dalam risiko kompleks tidak membantu dolar AS, kata penganalisis.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes dolar AS boleh turun lagi minggu depan ketika Rizab Persekutuan AS (Fed) terus menangani keadaan yang hambar tersebut.

“Bagaimanapun, harga minyak mentah mungkin akan menjadi lebih rendah kerana pasaran akan terjejas berikutan pengeluaran kembali aktif serta peningkatan harga mungkin akan menjejaskan aliran menaik ringgit.

“Walaupun begitu ringgit masih boleh mengukuh walaupun dalam persekitaran kecairan yang rendah ketika cuti perayaan Tahun Baru Cina. Ramai yang berpendapat kita berada pada kitaran komoditi berikutan pakej rangsangan AS,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata perkembangan luaran kelihatan positif bagi ringgit.

Beliau berkata Pengerusi Fed, Jerome Powell mengulangi pendiriannya bagi memastikan kadar faedah rendah dan dan Indeks Harga Pengguna Teras AS bagi Januari yang dikeluarkan pada Rabu yang tidak berubah dan di bawah jangkaan, memberi petunjuk bahawa dasar monetari akomodatif akan dikekalkan.

“Tetapi kenaikan harga minyak mentah mungkin akan menyebabkan kebimbangan bahawa pihak Fed akan mengubah tindakannya dalam beberapa bulan akan datang.

“Di pasaran tempatan, melangkah ke hadapan, ekonomi akan terus bergantung pada tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan kepantasan pemberian vaksin. Ini akan menentukan pembukaan semula ekonomi yang akan menyokong ringgit,” katanya.

Pasar ditutup pada Jumaat bersempena sambutan perayaan cuti Tahun Baru Cina.

Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit lebih tinggi berbanding dolar AS pada 4.0405/0445 berbanding 4.0680/0730 pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit didagangkan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding dolar Singapuran kepada 3.0499/0531 daripada 3.0415/0455 minggu sebelumnya dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.8602/8644 daripada 3.8570/8621.

Unit tempatan rendah berbanding pound Britain kepada 5.5896/5964 daripada 5.5687/5772 minggu sebelumnya dan susut berbanding euro kepada 4.9003/9068 daripada 4.8714/8786 sebelumnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bank Islam sedia moratorium bantu pelanggan terjejas banjir

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Bank Islam Malaysia Bhd kini menawarkan kemudahan kelonggaran pembayaran balik pembiayaan atau moratorium sehingga enam bulan untuk pelanggan yang terjejas akibat banjir.

Dalam kenyataan hari ini, bank itu berkata inisiatif dikenali Program Prihatin itu bertujuan meringankan beban kewangan mangsa banjir dalam menunaikan komitmen pembayaran bulanan mereka.

Kemudahan moratorium itu adalah tertakluk mengikut syarat ditetapkan di bawah Pembiayaan Rumah, Pembiayaan Peribadi dan Pembiayaan Kenderaan Bank Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata bank berkenaan sentiasa mengutamakan kesejahteraan masyarakat dan pelanggan, khususnya dengan keadaan banjir yang buruk serta pandemik Covid-19 yang masih melanda negara.

“Kami berharap program ini dapat membantu melegakan mereka yang bimbangkan komitmen kewangan ketika waktu amat mencabar ini,” katanya.

Menurutnya, permohonan moratorium Program Prihatin itu boleh dibuat di cawangan Bank Islam dan mereka yang mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan di nombor 03-26900900.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bank Islam sedia bantu pemohon terjejas Covid-19

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Bank Islam Malaysia Berhad bersedia menerima permohonan bagi Bantuan Pembayaran Balik Bersasar yang Ditambah Baik (ETRA) daripada segmen B40, M40 dan perusahaan mikro yang teruk terjejas akibat pandemik Covid-19, mulai 23 November.

Menurut kenyataan bank itu hari ini, pelanggan boleh melayari laman web di www.bankislam.com/covid-19 untuk mendapatkan borang permohonan, mengemukakan pertanyaan dan memperoleh makluman lanjut berkenaan bantuan pasca-moratorium Bank Islam.

Permohonan juga boleh dibuat dengan mengimbas kod QR atau menghubungi Pusat Panggilan Bank Islam di 03-26900900.

Penambahbaikan bantuan itu diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, semasa pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat, 6 November lepas.

Menurut Bank Islam, individu B40 (penerima Bantuan Sara Hidup/Bantuan Prihatin Rakyat); perusahaan mikro (sebagaimana takrifan SME Corporation Malaysia untuk kemudahan dengan amaun diluluskan sehingga RM150,000); dan individu M40 yang berdaftar dengan pangkalan data Bantuan Prihatin Nasional (individu/isi rumah terjejas) boleh mendapat penangguhan bayaran ansuran bulanan selama tiga bulan atau pengurangan sehingga 50 peratus bayaran ansuran bulanan sehingga enam bulan.

Daripada ketiga-tiga kumpulan ini, hanya individu M40 yang berdaftar dengan pangkalan data Bantuan Prihatin Nasional (individu/isi rumah terjejas) perlu mengemukakan Borang Pengisytiharan Kendiri, kata bank itu.

Menurutnya, bantuan ini disediakan untuk semua pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan tidak tertunggak selama lebih 90 hari pada waktu permohonan.

Pelanggan yang menerima sebarang bentuk bantuan pembayaran balik dan berhasrat untuk memohon bantuan lanjut di bawah langkah-langkah tambahan ini masih boleh berbuat demikian dengan menghubungi Bank Islam, menurut bank itu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Muazzam Mohamed berkata sejak penularan pandemik Covid-19, pihaknya menawarkan pelbagai bentuk kemudahan bagi meringankan kekangan kewangan pelanggan.

“Bank Islam sedar bahawa pandemik ini mengakibatkan ketidaktentuan dan menggesa para pelanggan kami supaya sentiasa menyemak kedudukan kewangan.

“Mesej kami sentiasa konsisten sejak dari mula, iaitu, kami bersedia untuk membantu. Sekiranya pelanggan memerlukan bantuan, hubungi kami dan kami akan berusaha sedaya upaya membantu anda mengatasi situasi mencabar ini. Sama seperti bantuan pembayaran balik bersasar, bantuan pembayaran balik bersasar yang ditambah baik ini disediakan sehingga Jun 2021,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bank Islam selaraskan waktu operasi sepanjang PKPB

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) menyelaraskan waktu operasi 46 cawangannya di negeri Sabah dan Lembah Klang susulan daripada pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh kerajaan.

Bank Islam dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata 31 cawangannya di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berada di kawasan zon hijau atau kuning akan beroperasi dengan waktu terhad dari jam10 pagi hingga 3 petang.

Sementara itu, 15 cawangan Bank Islam di kawasan zon merah di Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur dibuka dengan perkhidmatan terhad, cawangan di Sabah akan beroperasi dari jam 9 pagi hingga 2 petang manakala waktu operasi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah dari jam 10 pagi hingga 3 petang.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata bank itu mengutamakan keselamatan para pelanggan dan kakitangannya dan terus komited untuk mematuhi langkah-langkah yang diambil bagi mengekang penularan pandemik tersebut termasuk mengehadkan waktu operasinya.

“Kami menggalakkan pelanggan untuk menggunakan platform perkhidmatan perbankan digital, termasuk aplikasi mudah alih ‘GO by Bank Islam’, platform perbankan internet Bank Islam di https://www.bankislam.biz atau terminal-terminal layan diri.

Selain itu, perkhidmatan ‘E-banker’ Bank Islam juga disediakan untuk memudahkan urus niaga perbankan perniagaan,” katanya.

Untuk maklumat lebih lanjut, pelanggan dinasihatkan boleh melayari laman web Bank Islam di www.bankislam.com atau menghubungi Bank Islam di 03-26900900.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bank Islam terima 10,000 mohon lanjut moratorium

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menerima kira-kira 10,000 permohonan lanjutan moratorium membabitkan segmen peruncitan bagi tempoh Ogos sehingga setakat semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Mohd Muazzam Mohamed turut menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat dalam tempoh dua minggu akhir bulan ini.

Sehubungan itu, beliau meminta pelanggan yang masih terjejas akibat Covid-19 agar segera menghubungi bank berkenaan untuk mengatur penyelesaian terbaik berikutan tempoh moratorium enam bulan akan berakhir hujung bulan ini.

“Pada masa ini, proses permohonan hanya mengambil masa empat hari bekerja jika dokumen lengkap. Kita khuatir jika pelanggan lewat, proses pemohonan juga akan ambil masa yang lama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM40,000 kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini yang turut dihadiri Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Mohd Muazzam berkata, Bank Islam turut membuka 10 cawangannya pada dua Sabtu berturut-turut (12 dan 19 September) bagi memudahkan urusan pelanggan yang memerlukan bantuan pembayaran balik pinjaman/pembiayaan pasca moratorium.

Pada Julai lepas, kerajaan mengumumkan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar selama tiga bulan, khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan dan terbukti terus terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Dagangan Bursa Malaysia dijangka rendah minggu depan

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Dagangan di Bursa Malaysia minggu depan disasar bergerak rendah dengan indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berlegar antara 1,500 hingga 1,520.

Pada masa sama, para pelabur pula akan memberi tumpuan kepada mesyuarat dasar monetari Bank Negara yang akan menyemak kembali kadar dasar semalaman (OPR).

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berpendapat sebarang pengurangan kadar OPR akan menjurus kepada risiko menurun untuk sektor perbankan.

“Indeks Kewangan Bursa Malaysia yang termasuklah sektor perbankan setakat ini, telah merosot hampir 20 peratus tahun ini,” kata beliau kepada Bernama.

Adam berkata kemungkinan munculnya aktitviti belian saham murah untuk kaunter berkaitan teknologi minggu depan, kebanyakannya akan didominasi oleh pelabur runcit.

Sektor ini meningkat kira-kira 25 peratus sejak Julai tahun ini dan para penganalisis merasakan aktiviti penjualan adalah satu pembetulan yang sihat selepas merekodkan keuntungan tinggi.

Sementara itu, pada urus niaga Khamis, Wall Street AS mencatatkan penurunan terbesar satu hari dalam tempoh hampir tiga bulan.

Komposit Nasdaq jatuh menghampiri 4.96 peratus kepada 11,458.10, Dow Jones merosot 2.78 peratus kepada 28,292.73 dan S&P susut 3.51 peratus kepada 3,455.06.

Dalam pada itu, sektor penjagaan kesihatan yang agak stabil sejak sekatan pergerakan Covid-19 turut mengalami tekanan jualan dengan syarikat-syarikat seperti Supermax, Kossan Rubber dan Top Glove mendahului saham paling rugi.

Selain saham teknologi, Adam juga berkata kemungkinan adanya kegiatan spekulatif untuk saham kewangan menjelang mesyuarat OPR.

Mengimbas kembali, bank pusat melaksanakan pengurangan OPR sebanyak empat kali berjumlah 125 mata asas sejak awal tahun ini.

Untuk urus niaga minggu ini, indeks FBM KLCI diniagakan kebanyakannya rendah berikutan aktiviti pengambilan untung ke atas sektor penjagaan kesihatan.

Pasaran ditutup pada Isnin sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

Berdasarkan perbandingan Jumaat-Jumaat, FBM KLCI ditutup 9.35 mata lebih rendah kepada 1,515.86 pada Jumaat berbanding 1,525.21 minggu sebelumnya.

Di papan skor, indeks FBM Emas merosot 113.28 mata kepada 10,972.30, Indeks FBMT 100 turun 116.21 mata kepada 10,770.54 dan Indeks FBM Emas Shariah lebih rendah 156.83 mata kepada 13,009.82.

Indeks FBM 70 menguncup 349.21 mata kepada 14,398.18 dan Indeks FBM ACE berkurangan 173.22 mata kepada 10,806.05.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 4.91 mata kepada 12,637.86 tetapi Indeks Perladangan lebih tinggi 5.97 mata kepada 7,063.25 dan indeks Teknologi naik 0.47 mata kepada 57.26.

Indeks Penjagaan Kesihatan pula lemah 365.30 mata kepada 3,857.01 sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.43 mata kepada 136.93.

Jumlah dagangan mingguan mengecil kepada 38.44 bilion unit bernilai RM20.48 bilion daripada 57.16 bilion unit bernilai RM33.39 bilion.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 21.27 bilion saham bernilai RM16.04 bilion daripada 32.00 bilion saham bernilai RM25.44 bilion.

Jumlah dagangan waran lebih rendah kepada 2.26 bilion unit bernilai RM674.15 juta daripada 3.05 bilion unit bernilai RM920.78 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran Ace pula menguncup kepada 14.88 bilion saham bernilai RM3.76 bilion berbanding 22.05 bilion saham bernilai RM7.0 billion.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dijangka kekal stabil minggu depan

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Bursa Malaysia diunjurkan kekal stabil dan diniagakan antara 1,550 dan 1,600 mata minggu depan, kata seorang peniaga.

Ketua penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee Shen Pin berkata yang pastinya tiada pemangkin untuk menggerakkan pasaran tempatan dan dengan ketegangan yang sedang berlaku antara Amerika Syarikat dan China, pasaran dijangka kekal tidak menentu.

“Bagaimanapun, pasaran yang telah berada pada tahap kestabilannya sepanjang minggu, mungkin akan menyaksikan beberapa minat belian muncul daripada kalangan pelabur,” kata beliau kepada Bernama.

Sementara itu, ketua strategi pasaran global AxiCorp, Stephen Innes berkata angka lemah daripada data jualan runcit China yang dikeluarkan pada Jumaat juga tidak membantu pengeksport Malaysia.

Beliau turut maklum harga minyak kekal menjadi kebimbangan kepada pasaran selepas gagal keluar daripada harga julat semasa iaitu sekitar AS$45 setong.

“Angka terkini Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga amat mengejutkan tetapi daripada sudut positif, Malaysia lebih berjaya dari segi membendung penularan Covid-19.

“Kejayaan ini boleh dilihat daripada pergerakan dalaman yang jauh lebih baik dan peningkatan dalam jualan runcit. Sehubungan itu, pelabur boleh mengharapkan hari-hari mendatang yang lebih baik,” kata beliau.

Data KDNK suku kedua Malaysia yang diumumkan pada Jumaat menunjukkan penguncupan 17.1 peratus, penyusutan sukuan dua digit paling buruk sejak 1998.

Untuk minggu baru berakhir, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kebanyakannya diniagakan rendah kecuali pada hari Khamis.

Bursa tempatan sekali lagi mencatatkan jumlah dagangan tertinggi sepanjang masa berjumlah 27.80 bilion saham bernilai RM7.80 bilion pada Selasa, mengatasi paras tinggi yang direkodkan Jumaat lepas iaitu 26.65 bilion saham bernilai RM9.04 bilion.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata bursa tempatan merupakan bursa yang mencatatkan kerugian terbesar di Asia dengan 0.9 peratus kejatuhan, diheret turun oleh kaunter-kaunter sarung tangan iaitu Top Glove dan Hartalega, masing-masing susut 15.4 peratus dan 16.3 peratus.

“Walaupun begitu, FBM KLCI setakat ini hanya susut 1.5 peratus berdasarkan setakat tahun ini, kejatuhan paling sedikit dalam kalangan bursa serantau ASEAN yang lain,” kata beliau.

Mengikut sektor, indek Bursa Kewangan merupakan pencatat untung terbesar sepanjang minggu urus niaga dengan lonjakan 3.0 peratus manakala indeks Bursa Penjagaan Kesihatan merosot 12.5 peratus di celah-celah aktiviti pengambilan untung dalam kaunter sarung tangan.

Berdasarkan perbandingan Jumaat-Jumaat, indeks merosot 13.55 mata untuk ditutup pada 1,564.59 daripada 1,578.14 Jumaat lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas susut 221.84 mata kepada 11,144.53, Indeks FBMT 100 jatuh 202.54 mata kepada 10,976.26 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 582.37 mata kepada 12,915.18.

Indeks FBM 70 menyusut 684.62 mata kepada 14,125.85 dan Indeks FBM ACE menjunam 706.92 mata kepada 9,609.59.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 388.96 mata kepada 13,305.05, Indeks Perladangan lebih tinggi 37.03 mata kepada 7,000.78 dan Indeks Teknologi naik 0.72 mata kepada 51.75.

Indeks Penjagaan Kesihatan lebih rendah 164.78 mata kepada 3,762.49 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lega 1.83 mata kepada 139.14.

Jumlah dagangan mingguan menokok kepada 88.84 bilion unit bernilai RM33.46 bilion berbanding 87.66 bilion unit bernilai RM44.56 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama mengembang kepada 50.66 bilion saham bernilai RM24.48 bilion berbanding 42.45 bilion saham bernilai RM29.18 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 3.08 bilion unit bernilai RM1.06 bilion daripada 4.07 bilion unit bernilai RM1.64 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 35.07 bilion saham bernilai RM7.91 bilion daripada 41.11 bilion saham bernilai RM13.72 bilion minggu terdahulu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bank Islam tawar bantuan bayar semula bersasar

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Bank Islam Malaysia Bhd menggesa para pelanggan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 untuk menghubungi pegawainya bagi urusan pembayaran semula pinjaman yang terbaik dengan hanya berbaki dua bulan sebelum tempoh moratorium berakhir pada 30 September, 2020.

Bank Islam berkata, para pelanggan boleh mengunjungi rangkaian cawangan bank itu di seluruh negara bermula 7 Ogos untuk membincangkan penyelesaian yang paling sesuai mengikut keadaan kewangan mereka dan melengkapkan borang permohonan untuk menikmati kemudahan tersebut.

“Dengan tempoh moratorium berakhir pada 30 September, 2020, bantuan tambahan ini bertujuan untuk meringankan kekangan kewangan pelanggan dan menstabilkan aliran tunai mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Muazzam Mohamed dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata bank itu telahpun mula menghubungi semua pelanggan melalui khidmat pesanan ringkas dan mengemas kini maklumat secara berkala di pelbagai platform komunikasi.

Di bawah bantuan pembayaran semula bersasar itu, Bank Islam menawarkan lanjutan moratorium selama tiga bulan dari penghujung tempoh berakhirnya moratorium sedia ada kepada individu yang kehilangan pekerjaan pada 2020 dan kini tidak bekerja.

Individu yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan yang signifikan akibat waktu bekerja yang dikurangkan, pemotongan gaji dan sebagainya akan ditawarkan pengurangan ansuran bulanan bersesuaian dengan pengurangan gaji, tertakluk kepada jenis pembiayaan.

Mereka juga akan ditawarkan fleksibiliti pembayaran selama enam bulan dari penghujung tempoh berakhirnya moratorium sedia ada.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bank Islam mudahkan buka akaun terpilih secara maya

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Bank Islam Malaysia Bhd menggalakkan pelanggan untuk memanfaatkan platform perkhidmatan maya Virtual Account Opening (VAO) yang membolehkan mereka membuka akaun bank yang terpilih secara dalam talian mengikut keselesaan mereka.

Dalam kenyataan, bank itu berkata ia termasuk Akaun Simpanan Asas Bank Islam, Akaun Simpanan Qard dan Akaun Pelaburan Al-Awfar.

Penyelesaian mudah yang disediakan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi digital Bank Islam ke arah memperluaskan akses perbankan pada masa sama menjimatkan kos serta bersifat mesra alam kerana tidak melibatkan penggunaan kertas.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Mohd Muazzam Mohamed berkata kemudahan pembukaan akaun secara maya ini bertujuan untuk menambah manfaat dan nilai kepada pelanggan dan membentuk industri perbankan masa depan.

“Sejak pelancaran VAO pada Februari 2018, kami menerima purata hampir 2,000 pembukaan akaun melalui platform ini setiap bulan, dan pelanggan tidak perlu menghabiskan masa mereka untuk menunggu dan membuat pendaftaran akaun baharu di kaunter.

“Didorong dengan permintaan tinggi pasaran, kami merancang mengintegrasikan fungsi VAO ke dalam aplikasi mudah alih GO by Bank Islam dalam masa terdekat. Nantikan perkembangan inovasi digital kami seterusnya yang bakal memberikan lebih nilai kepada pelanggan,” katanya.

VAO merevolusasikan prosedur pembukaan akaun tradisional yang biasanya melibatkan masa lama di cawangan.

Menerusi VAO, pelanggan hanya perlu mengisi e-borang yang boleh didapati di laman sesawang https://vao.bankislam.com.my/.

Setelah maklumat lengkap dihantar, pelanggan hanya perlu hadir ke cawangan Bank Islam pilihan. Mereka tidak perlu beratur untuk melengkapkan proses pengesahan pembukaan akaun.

Pada masa depan, bank akan memperkenalkan ciri-ciri tambahan yang tidak memerlukan pelanggan hadir secara bersemuka bagi melengkapkan proses pembukaan akaun melalui VAO.

Usaha ini diyakini dapat memberi nilai tambah kepada pelanggan sedia ada dan menarik lebih banyak pelanggan baharu.

Pengenalan fungsi baharu ini dijangka diperkenalkan seawal suku ketiga 2020, yang akan melibatkan perapian proses sedia ada.

Penambahbaikan ini dijangka menjana peningkatan pesat dalam jumlah pendaftaran pelanggan secara dalam talian.

“Menerusi VAO, Bank Islam sentiasa peka terhadap keperluan pelanggan dan seiring dengan trend digital masa kini.

“Justeru, kami sentiasa berinovasi bagi menggiatkan inisiatif peka pelanggan, mewujudkan perkhidmatan perbankan lebih mudah, bijak dan fleksibel demi manfaat pelanggan kami. Ini merupakan usaha yang amat penting dalam mendepani impak Covid-19,” kata Mohd Muazzam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dijangka berlegar di paras 1,600

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Bursa Malaysia dijangka berlegar di paras 1,600 mata minggu depan dengan kecenderungan meningkat berikutan perkembangan luaran yang bercampur aduk, kata para peniaga.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata pasaran dijangka terus meningkat lebih tinggi berikutan keyakinan terhadap perkembangan penyelidikan vaksin Covid-19.

Manakala bagi perkembangan negatif, Innes berkata, pasaran juga akan mencerna data jualan runcit China yang lebih buruk daripada dijangkakan.

Jualan runcit China pada Jun turun sebanyak 1.8 peratus tahun ke tahun, lebih buruk daripada unjuran pertumbuhan 0.3 peratus sebelumnya, selepas mencatatkan penurunan sebanyak 2.8 peratus pada Mei.

Ini membayangkan pengguna tidak berbelanja dan memberi prospek buruk kepada jangkaan pemulihan ekonomi didorong pengguna dan mungkin menjejaskan ekonomi serantau seperti Malaysia yang mempunyai hubungan eksport kukuh dengan republik itu.

Selain itu, Innes memberi tahu Bernama, harga minyak yang stabil meskipun jangkaan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengundurkan pengeluaran, akan memberikan prospek positif kepada kaunter minyak dan gas.

Minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate kedua-duanya berada di atas paras US$43 dan US$40 setong pada Jumaat.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata pelabur akan lebih menumpukan kepada perkembangan terkini berkaitan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China apabila pentadbiran Presiden Donald Trump menimbang larangan perjalanan ke AS ke atas ahli-ahli Parti Komunis China dan keluarga mereka.

“Dari segi sejarah, sebarang perkembangan negatif hubungan antara AS dan China akan menjejaskan ekuiti Asia secara keseluruhannya,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) disokong oleh perkembangan positif berkaitan vaksin Covid-19 dan peningkatan saham penjagaan kesihatan, susulan belian kukuh dalam saham pengeluar sarung tangan.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, indeks utama itu meningkat 4.49 mata untuk ditutup kepada 1,596.33 daripada 1,591.84 pada minggu sebelumnya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas meningkat 65.64 mata kepada 11,272.45, Indeks FBMT 100 naik 68.83 mata kepada 11,130.21 manakala Indeks FBM Emas Shariah menokok 187.33 mata kepada 12,999.28.

FBM 70 meningkat 235.89 mata kepada 14,052.74 dan Indeks FBM ACE naik 315.25 mata kepada 7,490.9.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 107.74 mata kepada 6,968.82, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 30.80 mata kepada 13,577.44 tetapi Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.38 mata kepada 138.68.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 45.32 bilion unit bernilai RM28.93 bilion daripada 47.26 bilion unit bernilai RM24.58 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 21.69 bilion saham bernilai RM23.41 bilion daripada 27.37 bilion saham bernilai RM20.36 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 4.96 bilion unit bernilai RM1.97 bilion daripada 3.34 bilion unit bernilai RM1.26 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 19.08 bilion saham bernilai RM3.35 bilion daripada 16.54 bilion saham bernilai RM2.96 bilion.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Lonjakan automasi, digitalisasi pacu ekonomi

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Kejayaan Malaysia meratakan lengkung Covid-19 meletakkan ekonomi pada tahap yang lebih kukuh untuk menarik pelaburan langsung asing, namun, ia juga memerlukan lonjakan besar bagi melaksanakan aspek automasi dan digitalisasi, kata Pengurus Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Lau Zheng Zhou.

Kerajaan perlu menggalakkan lebih ramai pengeluar terutamanya mereka dari peringkat pertengahan untuk melabur dalam automasi serta inisiatif peningkatan produktivti berasaskan digital yang lain, kata beliau.

Menurut kaji selidik Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), pekilang Malaysia mendakwa bahawa sehingga 40 peratus operasi sudah dilakukan secara automasi seperti dalam pemasangan, pemeriksaan dan pengujian, pembungkusan dan pergudangan.

“Walaupun secara umum, terdapat peningkatan kilang-kilang telah menggunakan aspek automasi, kecepatan transformasi masih lagi rendah. Adalah penting untuk mengetahui apa cabarannya dan di mana adanya jurang dalam dasar sedia ada,” kata beliau kepada Bernama dalam temubual menerusi emel baru-baru ini.

Pandemik Covid-19 dan kejutan yang dicetuskan kepada kedua-dua permintaan tempatan dan global telah menambahkan risiko kepada penggunaan automasi, kata beliau.

“Bagi kebanyakan mereka, terutamanya pengeluar peringkat rendah hingga pertengahan, mereka kekurangan akses kepada platform pengetahuan untuk mengembangkan kemampuan dengan lebih berjaya.”

Manfaatkan Revolusi Perindustrian 4.0

Penilaian Kesediaan Industry4WRD (RA Industry4WRD) disifatkan sebagai idea bernas untuk membantu syarikat menilai kemampuan mereka memanfaatkan 4.0.

“Tetapi ramai pengeluar tidak dapat menyertai program ini kerana peruntukan dan sumber yang terhad. Ini berlaku walaupun dengan peningkatan kos untuk mendapatkan sumber tenaga kerja asing dan kelebihan yang boleh diperoleh daripada automasi ini,” jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, Lau berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19 turut menekankan kebergantungan pengeksport kepada China untuk mendapatkan bekalan bahan mentah penting yang menjuruskan kepada kos pengeluaran yang tinggi.

“Banyak syarikat multinasional yang sebelum ini bergantung kepada ekosistem rantaian bekalan China telah mempelbagaikan dan berpindah ke negara-negara seperti Vietnam, Thailand dan Malaysia.

“Jadi, kerajaan masih perlu meneruskan dasar terbuka untuk menarik pelaburan berkualiti dalam usaha mempromosikan inovasi limpahan positif serta meningkatkan eksport nilai tambah yang lebih tinggi,” kata beliau.

Eksport Malaysia Susut Kesan Pandemik Covid-19

Penularan pandemik Covid-19 telah menyaksikan eksport Malaysia susut teruk sebanyak 25.5 peratus tahun ke tahun kepada RM62.7 bilion pada Mei tahun ini, iaitu kejatuhan terbesar sejak Mei 2009.

Ini merupakan bulan kedua berturut-turut penurunan dua digit untuk eksport selepas mencatatkan kemerosotan 23.8 peratus tahun ke tahun pada bulan April.

Dalam pada itu, beberapa langkah dasar telah diperkenalkan oleh kerajaan termasuk Pelan Pemulihan Ekonomi dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat untuk membendung kesan akibat Covid-19 ke atas rakyat dan perniagaan.

Terdahulu, pada awal bulan ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyatakan ia beserta 20 pejabat luar negara dan 12 pejabat serantaunya akan sentiasa berusaha menjalankan promosi pelaburan dalam menarik pelaburan berkualiti daripada kawasan liputan masing-masing meskipun dalam situasi ekonomi membimbangkan disebabkan Covid-19.

Meskipun berhadapan dengan penutupan sempadan antarabangsa dan perlu mematuhi tatacara operasi piawai kerajaan, MIDA terus bersedia dalam memberikan nasihat dan sokongan kepada pelabur sedia ada dan bakal-bakal pelabur.

Bergerak ke hadapan, Lau berkata, aktviti pembuatan seharusnya menunjukkan peningkatan seperti yang dilihat dalam kenaikan ketara Indeks Pengurus Pembelian (PMI) kepada 45.6 pada Mei berbanding rekod terendah 31.3 bulan sebelumnya.

Selain daripada itu, rakan niaga utama Malaysia seperti China telah melaporkan pengembangan dalam aktiviti pembuatan bulan Jun manakala Amerika Syarikat dan zon euro turut diramal menyaksikan pemulihan besar, sekali gus mencadangkan kestabilan yang lebih mantap dalam pemulihan perdagangan Malaysia.

Bagaimanapun, kemerosotan pembuatan di ASEAN dijangka berterusan dan ini boleh menimbulkan risiko kepada fungsi rantaian bekalan serantau termasuklah ancaman perlindungan perdagangan dan kehilangan peluang untuk integrasi seterusnya.

Ekonomi Malaysia Pulih Berperingkat

Lau berkata perdagangan Malaysia tahun ini dijangka pulih secara berperingkat tetapi masih lagi kurang stabil.

Bank Negara Malaysia telah menurunkan kadar dasar semalaman untuk kali keempat tahun ini ke paras paling rendah pada Julai 7, di celah-celah penularan pandemik Covid-19 dan permintaan eksport yang lemah.

Bank pusat, tanpa dijangka, telah mengurangkan kadar asas pinjaman sebanyak 25 mata asas kepada 1.75 peratus. Secara umumnya, persekitaran kadar faedah yang rendah akan membolehkan Malaysia mempunyai lebih banyak tunai dan kecairan ini mampu membantu memacu ekonomi menerusi penggunaan persendirian.

Ini seterusnya akan membantu mengurangkan impak ekonomi daripada pandemik Covid-19.

Ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelonggaran monetari tambahan boleh membantu merangsangkan aktiviti ekonomi menerusi kos pinjaman yang lebih murah.

“Pada tahap tertentu, ia memberi isyarat yang bank pusat bimbang dengan tinjauan ekonomi yang sedang berkembang. Dengan ketiadaan vaksin, keadaan masih tidak menentu untuk pembukaan semula ekonomi secara menyeluruh.

“Perniagaan masih belum lagi beroperasi sepenuhnya terutama apabila sempadan masih ditutup untuk pelancong asing. Pada masa yang sama, terdapat kos pematuhan (perlu diikuti) seperti prosedur operasi standard dan protokol kesihatan. Justeru, untuk meraih keuntungan, masih memerlukan masa untuk kembali kepada sedia kala,” tambah beliau.

-BERNAMA