Categories
AGENDA NASIONAL

Bank Negara serbu i-Serve Online Mall, sita wang tunai RM118 juta

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Satu tindakan penguatkuasaan bersama telah diambil terhadap i-Serve Online Mall Sdn. Bhd dan syarikat sekutunya yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Dalam kenyataan hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata sebanyak 22 premis berkaitan dengan i-Serve Online Mall dan syarikat sekutunya di Kuala Lumpur dan Selangor telah diserbu pada 11 Nov, 2021 manakala dokumen terbabit turut dirampas bagi membantu siasatan bersama.

“Serbuan itu juga menyebabkan 45 akaun dalam tujuh bank dibekukan serta wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM118.7 juta turut dirampas,” katanya.

Menurut BNM, tindakan penguatkuasaan bersama itu adalah sebahagian daripada kerjasama membabitkan pelbagai agensi bagi membanteras jenayah kewangan di Malaysia.

Tindakan itu telah diselaraskan oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan BNM sebagai agensi peneraju selain Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan CyberSecurity Malaysia.

“Orang ramai diingatkan bahawa di bawah seksyen 137(1) FSA, mana-mana individu yang menerima deposit tanpa lesen dianggap telah melakukan kesalahan. Siasatan terhadap kesalahan pengubahan wang haram juga akan dibuat mengikut peruntukan di bawah AMLA.

“Jika sabit kesalahan, individu tersebut boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram semasa kesalahan tersebut dilakukan atau denda RM5 juta, mana-mana (jumlah) lebih tinggi dan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun,” kata BNM.

Menurut bank pusat itu, sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai dinasihatkan supaya hanya menyimpan wang dan/atau melabur dengan pihak berlesen atau berdaftar dengan pihak berkuasa berkaitan.

“BNM dan SC menggesa orang ramai supaya berhati-hati apabila melabur dengan syarikat-syarikat dalam atau luar negara yang menawarkan pelbagai peluang pelaburan di samping menjanjikan pulangan lumayan,” katanya.

BNM berkata, orang ramai yang mengetahui atau ditawarkan peluang pelaburan sedemikian melalui promosi di platform media sosial, e-mel atau telefon, boleh melaporkan perkara berkenaan kepada BNM menerusi [email protected] atau SC pada [email protected].

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bank Negara kekalkan kadar dasar semalaman pada 1.75 peratus

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang bermesyuarat hari ini, memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus – terendah sejak dilaksanakan pada 2004.

Dalam kenyataannya, bank pusat itu berkata keadaan ekonomi global juga terus pulih dengan lebih banyak negara melaksanakan pengurangan langkah-langkah pembendungan pandemik Covid-19 serta sokongan dasar yang kukuh.

“Pembukaan semula kemudahan pengeluaran telah menyebabkan aktiviti perkilangan dan perdagangan disambung semula. Bagaimanapun, pemulihan dalam sektor perkhidmatan adalah lebih perlahan.

“Selain itu, keadaan kewangan telah bertambah baik walaupun kegiatan mengelak risiko masih tinggi.

“Prospek pertumbuhan juga masih tertakluk pada risiko pertumbuhan lebih rendah dan ketidakpastian, terutamanya disebabkan oleh risiko penularan semula pandemik dan keadaan pasaran pekerja yang lebih lemah,” katanya.

Menurut BNM, aktiviti ekonomi Malaysia terus pulih daripada paras terendah pada April lepas manakala penunjuk berfrekuensi tinggi terkini memaparkan keadaan pasaran pekerja, perbelanjaan isi rumah dan aktiviti perdagangan terus bertambah baik.

“Pemulihan ekonomi turut disokong oleh pakej rangsangan fiskal di samping langkah-langkah monetari dan kewangan.

“Peningkatan ini dijangka berterusan pada 2021, disokong oleh pemulihan dalam permintaan luar negara dan pengembangan perbelanjaan sektor swasta,” katanya.

Bagaimanapun, BNM berkata kadar pemulihan yang merentas sektor dijangka tidak sekata dengan aktiviti ekonomi dalam beberapa industri kekal di bawah paras sebelum pandemik selain peningkatan pasaran kerja yang lebih perlahan.

“Prospek ini masih tertakluk kepada risiko pertumbuhan lebih rendah terutamanya akibat ketidakpastian berterusan mengenai perkembangan pandemik di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Selain itu, BNM berkata tekanan inflasi dijangka terus menyederhana pada 2020 dengan purata inflasi keseluruhan dijangka negatif pada tahun ini memandangkan harga minyak dunia yang jauh lebih rendah dan purata lebih tinggi pada 2021.

“Oleh itu, prospek akan terus dipengaruhi dengan ketara oleh harga minyak dan komoditi dunia. Inflasi asas dijangka rendah dalam keadaan kapasiti ekonomi yang berlebihan,” katanya.

Bank pusat itu juga menyifatkan pengurangan OPR sebanyak 125 mata asas secara kumulatif tahun ini akan terus merangsang ekonomi.

Malah, berdasarkan prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi, MPC menyifatkan pendirian dasar monetari sebagai wajar dan akomodatif.

“Bank Negara Malaysia akan terus komited untuk memanfaatkan mekanisme dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan,” katanya.

Hari ini merupakan mesyuarat kelima MPC bagi 2020 dan mesyuarat terakhir tahun ini dijadual diadakan pada 3 November depan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bank Negara dijangka turunkan kadar dasar semalaman 25 mata asas lagi

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Principal Asset Management Bhd (Principal) menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi menjelang akhir tahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Munirah Khairuddin berkata bank pusat akan kekal akomodatif bagi merangsang pelaburan pasaran dan meningkatkan penggunaan tempatan.

Beliau berkata pendekatan ini dijangka berpanjangan bagi tempoh tiga tahun akan datang sebagai cara bagi memastikan ekonomi pulih dalam semua sektor dan kembali mengukuh pasca pandemik Covid-19.

“Terdapat segmen yang terjejas lebih teruk daripada segmen lain seperti perusahaan kecil dan sederhana.

“Selain itu, kita belum lagi melihat kesan sebenar pasca moratorium (ke atas ekonomi). Saya fikir BNM akan lebih berhati-hati,” katanya kepada pemberita di luar acara Sidang Kemuncak Global Principal 2020, di sini, hari ini.

Para penggubal dasar akan bertemu pada Khamis ini sebelum mengadakan mesyuarat terakhir pada 3 November.

Bank pusat telahpun menurunkan secara kumulatif 125 mata asas OPR sejak empat mesyuarat lepas, mengurangkan kadar dasar utama itu di bawah paras terendah sejak 2.0 peratus yang ditetapkan semasa krisis kewangan global 2008-2009.

Munirah berkata kadar faedah rendah akan terus menarik pelabur yang mahukan hasil dan ini akan terus menyokong ekuiti.

Menurutnya, pasaran tempatan melihat peningkatan ketara minat pelabur sama ada institusi, korporat mahupun runcit, dirangsang terutamanya daripada peningkatan hasil.

“Dengan kadar faedah yang rendah sekarang, kita boleh melihat aliran masuk pelaburan yang agak kukuh, bermula dari Julai.

“Penyertaan runcit dalam pasaran saham meningkat kira-kira 30 kali, tetapi wang sebenar seperti wang institusi dan korporat akan terus berada dalam pasaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburannya Patrick Chang berkata pasaran ekuiti Malaysia mencatatkan prestasi terbaik di ASEAN setakat ini, turun hanya 6.0 peratus berbanding pasaran serantau lain seperti Thailand (-22 peratus), Indonesia (-25 peratus) dan Singapura (-22 peratus).

“Tidak seperti yang lain, pemacu utama indeks utama KLCI adalah yang paling besar dalam sejarah pandemik, Covid-19, oleh itu ia telah memacu sektor penjagaan kesihatan walaupun terdapat elemen positif lain seperti pendapatan,” katanya.

Bagaimanapun, Chang berpendapat, ketika para pelabur menuju ke penghujung tahun, mereka akan mengambil kira faktor lain termasuk vaksin yang dijangka mempengaruhi mereka untuk mula menjual pelaburan, yang seterusnya boleh memberi impak kepada sektor seperti penjagaan kesihatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ekonomi pulih cepat dalam keluk bentuk V, lebih kukuh pada 2021

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Ekonomi Malaysia sedang mencatatkan pemulihan dalam keluk berbentuk ‘V’ selepas mengalami impak Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pada suku kedua tahun ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata keadaan bagaimanapun masih belum reda berikutan cabaran berkaitan pandemik itu yang masih dihadapi Malaysia serta di negara-negara lain.

Ekonomi Malaysia menguncup 17.1 peratus pada suku kedua 2020 apabila negara terpaksa melaksanakan langkah kawalan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19.

Pada suku kedua 2019, Malaysia mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.9 peratus.

“(Kita menyaksikan) penguncupan mendadak pada April (ketika langkah-langkah pembendungan dilaksanakan) kepada peningkatan ketara apabila perintah kawalan pergerakan itu dilonggarkan.

“Sehubungan itu, keadaan ekonomi beransur-ansur pulih dan peningkatan itu adalah lebih kukuh pada 2021,” katanya pada majlis taklimat bersama Pengarang-Pengarang Kanan Media pada Khamis lepas.

Beliau berkata berikutan itu, BNM juga telah menyemak semula unjuran KDNK 2020 kepada -3.5 hingga -5.5 peratus daripada -2 hingga 0.5 peratus sebelum ini berikutan anggaran awal itu dibuat berdasarkan tempoh pelaksanaan kawalan pergerakan selama empat minggu berbanding tujuh minggu.

Ekonomi negara dijangka pulih dan mencatat pertumbuhan pada 5.5 peratus hingga 8 peratus pada 2021.

Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac, 2020 yang menyaksikan ekonomi beroperasi pada kapasiti sebanyak 45 peratus.

Ini disusuli dengan PKP Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei dan seterusnya PKP Pemulihan pada 10 Jun-31 Ogos, 2020 yang membawa kepada pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur.

Mengulas selanjutnya dalam sesi taklimat yang berlangsung selama 90 minit, Nor Shamsiah berkata: “Oleh kerana perintah kawalan itu dilaksanakan secara tegas, kita sebaliknya dapat membuka semula sebahagian besar sektor ekonomi pada kadar lebih pantas berbanding jangkaan awal. Inilah yang dapat meminimumkan kesan buruk serta kekal terhadap ekonomi.”

Malah, tegasnya, peningkatan ketara itu dapat dilihat dalam beberapa indeks seperti sektor borong dan runcit, pengeluaran perindustrian manakala eksport dan perbelanjaan kad kredit turut mencatat pemulihan.

Kadar pengangguran susut sedikit kepada 4.9 peratus pada Jun lepas daripada paras rekod 5.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Tuntutan pengangguran juga menyederhana manakala kadar penggantian (pekerja) pula meningkat, katanya.

“Penggunaan elektrik, pengambilan semula tenaga kerja, pengeluaran sektor perkilangan pula menunjukkan tanda-tanda normalisasi,” katanya.

Malah, katanya, peningkatan permintaan isi rumah itu akan memberi kesan limpahan terhadap ekonomi.

Selain itu, aktiviti pembelian baharu oleh penumpang penerbangan menyaksikan peningkatan sebanyak 6.3 peratus pada bulan Jun lepas berbanding kemerosotan ketara sebanyak 99.7 peratus pada April.

Ini akan membantu pemulihan ekonomi memandangkan perbelanjaan penggunaan oleh golongan T20 dan M40 adalah tunjang atau menyumbang 80 peratus terhadap penggunaan swasta.

“Perbelanjaan kumpulan isi rumah ini akan meningkat seiring dengan kelonggaran mobiliti domestik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa. Isi rumah ini juga berkemungkinan besar akan mengalihkan tumpuan perjalanan antarabangsa mereka kepada perjalanan tempatan,” katanya.

Pada tahun lepas misalnya, rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM51.3 bilion bagi perjalanan ke luar negara berbanding RM26.7 bilion pada 2010.

“Oleh itu, terdapat ruang untuk kita menyalurkan semula perbelanjaan ini ke dalam ekonomi domestik dengan pelancongan tempatan akan menjadi penerima manfaat itu,” katanya.

Selain itu, Nor Shamsiah berkata ekonomi Malaysia yang pelbagai juga akan kekal kukuh.

Malaysia juga boleh memanfaatkan permintaan lebih besar susulan pandemik tersebut seperti peningkatan perbelanjaan bagi tujuan penjagaan kesihatan dan penggunaan lebih ketara membabitkan semikonduktor dan peralatan perubatan yang mana sektor serta negara ini berperanan sebagai penggiat utama.

Ini berdasarkan kepada kedudukan Malaysia sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia, menempatkan firma teknologi global yang terkemuka, pasaran terbesar untuk alat atau peranti perubatan di ASEAN dan di tempat ketiga di Asia dari segi persiapan menghadapi pandemik.

“Pelaksanaan dasar-dasar yang betul untuk memanfaatkan peluang dalam kawasan pertumbuhan baharu (akan dapat membantu pemulihan ekonomi). Kita boleh lakukannya kerana sudah pun memiliki asas-asasnya… kita akan mendapat manfaat hasil daripada kekuatan itu,” katanya.

Namun, Nor Shamsiah menegaskan bahawa keadaan itu tidak bermaksud negara sudah berjaya mengatasi kesukarannya.

“Kita bukan di paras (pencapaian) pada tempoh sebelum Covid-19, namun tidak akan mengalami keadaan lebih sukar. Apa yang penting adalah supaya kita dapat membuat pelaburan yang memadai dalam bidang yang dapat memperkukuh ekonomi dan memaksimumkan potensi pertumbuhan dalam sektor yang berdaya tahan terhadap Covid-19,” katanya.

Jelas Nor Shamsiah, strategi dan konsolidasi fiskal bagi jangka sederhana juga perlu dirangka manakala Rancangan Malaysia Ke-12 perlu mengambil kira dasar-dasar struktur yang perlu dilaksanakan serta disesuaikan dengan aktiviti-aktiviti normal baharu selain dapat menjana ekonomi.

Risiko kemerosotan juga masih ada selagi wujudnya pandemik yang boleh menyebabkan pelaksanaan semula kawalan pergerakan serta mempengaruhi prestasi ekonomi global, katanya.

“Malaysia adalah sebuah negara ekonomi terbuka. Oleh itu, (prestasi) ekonomi global akan turut memberi kesan terhadap ekonomi Malaysia,” katanya.

Pada Jun lepas, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan -4.9 peratus untuk ekonomi global pada 2020 iaitu 1.9 peratus mata lebih rendah daripada April 2020.

Bagi 2021, pertumbuhan global pula dianggarkan sebanyak 5.4 peratus.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bank miliki penampan mencukupi laksana lanjutan moratorium

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Bank-bank di Malaysia mampu melaksanakan langkah lanjutan moratorium bermula Oktober hingga Disember 2020 kerana mempunyai penampan yang mencukupi.

Malah, Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Abdul Rahim Bakri menegaskan, setiap keputusan lanjutan moratorium yang diumumkan kerajaan adalah dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) serta menerusi penglibatan Persatuan Bank-Bank Malaysia.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) di Dewan Rakyat hari ini yang bertanyakan mengenai keupayaan bank-bank terbabit untuk menanggung tempoh lanjutan moratorium sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

“Setakat ini, sebanyak RM66 bilion telah digunakan oleh bank-bank di bawah pakej moratorium daripada sejumlah RM100 bilion yang diperuntukkan melalui pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan kerajaan,” katanya.

Selain itu, ketika menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) sama ada peminjam-peminjam yang gagal melunaskan bayaran selepas tempoh moratorium akan dikenakan tindakan undang-undang, Abdul Rahim berkata perkara sedemikian dapat dielakkan susulan pelaksanaan langkah-langkah berkaitan.

“Proses yang sedang kita lakukan sekarang adalah untuk melaksanakan moratorium bersasar. Ramai yang akan menerima faedah ini dan prosiding undang-undang terhadap peminjam ini akan dapat dielakkan,” katanya.

Menurutnya, peminjam-peminjam yang mempunyai masalah (berkaitan pinjaman) dinasihatkan mengunjungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendapatkan khidmat nasihat manakala perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh menghubungi Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS).

“Oleh yang demikian, saya berpendapat bahawa kemungkinan bagi peminjam-peminjam peribadi atau PKS untuk dikenakan tindakan undang-undang adalah kecil susulan pelaksanaan langkah-langkah itu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Bank Negara: Ringgit terus dipengaruhi perkembangan luar

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Ringgit yang meningkat 1.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tahun lepas, akan terus dipengaruhi oleh perkembangan luaran pada 2020, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Katanya walaupun perjanjian perdagangan fasa pertama di antara AS dengan China mendorong unjuran lebih baik terhadap perdagangan global namun sentimen dalam kalangan pelabur masih terjejas susulan kebimbangan mengenai penularan jangkitan Covid-19.

“Berikutan itu, ringgit susut sebanyak 1.3 peratus berbanding dolar AS bagi tahun ini setakat 10 Februari di tengah-tengah sentimen lemah dalam pasaran kewangan global,” katanya semasa sidang media pengumuman pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2019 di sini, hari ini.

Setakat jam 2 petang, unit tempatan berada pada 4.1350/1390 berbanding dolar AS.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rizab antarabangsa BNM meningkat AS$103.3 bilion pada 13 Disember

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$103.3 bilion setakat 13 Disember 2019 berbanding AS$103.2 bilion pada 29 November.

BNM dalam kenyataan hari ini berkata paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.8 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

BNM berkata komponen utama bagi rizab antarabangsa itu merangkumi rizab mata wang asing AS$96.5 bilion, kedudukan Rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.1 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$1.1 bilion), emas (AS$1.9 bilion), dan aset-aset lain (AS$2.7 bilion).

Menurut kenyataan itu, aset berkenaan termasuk emas dan pertukaran asing serta rizab-rizab lain termasuk SDR yang berjumlah RM432.52 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM1.97 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM7.19 bilion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion), dan aset-aset lain (RM9.93 bilion).

Modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM145.72 bilion), mata wang dalam edaran (RM110.84 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM163.26 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM7.16 bilion), deposit lain (RM657.53 juta), Kertas Bank Negara (RM18.12 bilion), peruntukan SDR (RM7.68 bilion), dan liabiliti-liabiliti lain (RM2.22 bilion).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rizab antarabangsa BNM kekal AS$103.2 bilion setakat 15 November lalu

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) kekal tidak berubah pada AS$103.2 bilion setakat 15 November 2019 daripada 31 Oktober 2019.

BNM dalam kenyataan hari ini berkata, paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.7 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

BNM berkata, komponen utama dalam rizab antarabangsa itu merangkumi rizab mata wang asing AS$96.5 bilion, kedudukan Rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.1 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$1.1 bilion), emas (AS$1.9 bilion) dan aset-aset rizab lain (AS$2.6 bilion).

Aset termasuk emas dan pertukaran asing serta rizab-rizab lain termasuk SDR yang berjumlah RM432.20 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM2.20 bilion), deposit oleh institusi kewangan kerajaan (RM760,000), pinjaman dan pendahuluan (RM6.83 bilion), hartanah – tanah dan bangunan (RM4.16 bilion) dan aset-aset lain (RM10.92 bilion).

Modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM144.55 bilion), mata wang dalam edaran (RM108.75 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM152.50 billon), deposit kerajaan persekutuan (RM19.70 bilion), deposit lain (RM1.31 bilion), Kertas Bank Negara (RM19.19 bilion), peruntukan SDR (RM7.68 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM2.52 bilion).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar jangka pendek diunjur kekal stabil minggu depan

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Kadar antara bank jangka pendek diunjur kekal stabil pada minggu depan berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengurangkan lebihan mudah tunai dalam pasaran tunai.

Bagi minggu yang baru berakhir, kadar rujukan semalaman Islam kekal tidak berubah pada 2.96 peratus manakala kadar seminggu, dua minggu dan tiga minggu masing-masing pada 3.03 peratus, 3.07 peratus dan 3.12 peratus.

Sepanjang minggu ini, BNM menjalankan operasi harian bagi menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan dengan mengendalikan tender termasuk pasaran wang konvensional, repo berbalik, Bil Antara Bank Islam Bank Negara dan Bil Antara Bank Bank Negara.

Jumlah lebihan mudah tunai dalam sistem konvensional bagi minggu ini berkurangan kepada RM27 bilion daripada RM39.22 bilion pada minggu lepas manakala dalam sistem Islam ia susut kepada RM10 bilion daripada RM16.30 bilion sebelum ini.

Semalam, BNM mengumumkan bahawa Nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) akan diturunkan kepada 3.00 peratus daripada 3.50 peratus berkuatkuasa pada 16 November, 2019, bagi memastikan mudah tunai mencukupi dalam sistem kewangan domestik.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar jangka pendek diunjur kekal stabil

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Kadar jangka pendek diunjur kekal stabil hari ini susulan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Mudah tunai hari ini dianggarkan berjumlah RM33.51 bilion dalam sistem konvensional dan RM13.88 bilion dalam dana Islam.

Bank pusat akan menawarkan tiga tender pasaran wang konvensional yang terdiri daripada RM2 bilion masing-masing bagi tempoh tujuh hari dan 14 hari dan RM1 bilion untuk 21 hari.

Ia juga akan menawarkan tender Qard bernilai RM5.5 bilion bagi tempoh tujuh hingga 21 hari, tender repo berbalik RM800 juta selama 31 hari dan Bil Islam Antara Bank (BNIBI) Bank Negara bernilai RM500 juta selama 30 hari.

Pada 4 petang, BNM akan menjalankan tender semalaman konvensional sehingga RM29.3 bilion dan tender semalaman Murabahah bernilai RM9.8 bilion.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar jangka pendek diunjur stabil

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Kadar jangka pendek dijangka kekal stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Mudah tunai hari ini dijangka sebanyak RM33.28 bilion dalam sistem konvensional manakala dana Islam sebanyak RM20.81 bilion.

Bank pusat itu akan menawarkan tender pasaran wang sebanyak RM2 bilion selama tujuh hari, RM1 bilion untuk 14 hari dan RM1 bilion selama 21 hari serta RM6.6 bilion bagi tender lelongan matang Islam Qard selama tujuh hari sehingga 21 hari.

Pada jam 4 petang, BNM akan menjalankan sehingga RM29.3 bilion bagi tender semalaman konvensional dan RM14.2 bilion membabitkan tender semalaman Murabahah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar jangka pendek kekal stabil berikutan operasi BNM

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Kadar jangka pendek dijangka kekal stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Mudah tunai hari ini dijangka sebanyak RM34.50 bilion dalam sistem konvensional dan RM21.14 bilion dalam dana Islam.

Bank pusat akan mengeluarkan tiga tender pasaran wang RM2 bilion untuk tujuh hari, 14 hari dan 21 hari dan tender Qard bernilai RM2.3 bilion untuk tujuh hari, RM900 juta untuk 14 hari dan RM900 juta untuk 21 hari.

Pada 4 petang, BNM akan menjalankan tender semalaman konvensional sehingga RM29.0 bilion dan tender semalaman Murabahah RM17.0 bilion.

– BERNAMA