Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Warga emas tidak sabar balik rumah, bimbang haiwan peliharaan

KUALA LANGAT, 4 JAN: Seorang warga emas yang juga mangsa banjir di Banting mengakui tidak sabar untuk pulang ke rumah berikutan risaukan keadaan haiwan peliharaan dan ternakannya.

Hamidah Ahmad, 60, yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang berada di situ buat kali kedua selepas insiden banjir buruk Disember lalu.

“Saya tidak sabar untuk pulang ke rumah kerana rindu dan risaukan kucing dan ayam, malah bimbang keadaan rumah yang perlu ditinggalkan sekali lagi.

Hamidah Ahmad

“Kami dimaklumkan hanya boleh pulang selepas dua hari kerana air belum surut,” katanya.

Seorang lagi mangsa di lokasi sama Zamri Harun, 53, tidak sangka berdepan insiden tersebut kali kedua dalam tempoh singkat, apatah lagi keadaannya yang kurang upaya.

“Saya berharap kejadian ini tidak berulang kerana strok bahagian kiri menyukarkan pergerakan. Saya juga bergantung bantuan adik-beradik untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Suri rumah Azlina Jamhari, 43, pula sedih kerana rumah yang dilanda banjir Disember lalu baru siap dicuci, malah peti ais dan masih basuh masih berada di luar.

“Saya sangat berharap Bantuan Selangor Bangkit (BSB) diterima dalam masa terdekat kerana tidak berpindah ke PPS sebelum ini,” katanya.

Seramai 40 mangsa banjir di daerah ini masih ditempatkan di Balai Raya Kampung Banting dan Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang akibat hujan lebat sejak kelmarin.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Paras air dua meter, penduduk Bandar Seri Ehsan naik lori pasir selamatkan diri

BANTING, 23 DIS: Beberapa lori pasir yang dipinjam dari sebuah syarikat pemaju lebuh raya diibaratkan sebagai ‘penyambung nyawa’ kepada penduduk Bandar Seri Ehsan yang terputus hubungan apabila satu-satunya jalan keluar masuk ke kawasan itu dinaiki air banjir sejak pagi Ahad.

Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Seri Ehsan (PPBSE) Ahmad Kamal Miswan, 51, berkata jalan tersebut hanya dapat dilalui kenderaan pacuan empat roda atau lori selepas laluan berkenaan dinaiki air setinggi dua meter.

Katanya, kehidupan 3,500 orang daripada 1,200 keluarga penduduk perumahan berkenaan juga terjejas apabila bekalan elektrik dan jaringan telekomunikasi terputus.

“Kami terdetik untuk menggunakan khidmat lori pasir ini kerana kami nampak ada projek pembinaan lebuh raya berdekatan dan seorang daripada penduduk taman ini bertanya kepada pemaju sama ada boleh membekalkan lori pasir untuk menolong kami untuk keluar dan masuk serta membeli barang makanan dan keperluan lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di sini semalam.

Beliau berkata pemaju bersetuju memberi kebenaran kepada penduduk menggunakan beberapa lori pasir dari 8 pagi hingga 5 petang secara percuma, namun jika melebihi tempoh tersebut penduduk perlu memberi bayaran kerja lebih masa (OT) kepada pemandu lori.

Ahmad Kamal berkata perkhidmatan lori tersebut bagaimanapun telah tamat pada semalam.

Beliau berkata ketika kawasan tersebut terputus bekalan elektrik pada Ahad, penduduk hanya bergantung sepenuhnya kepada lilin sebelum Angkatan Pertahanan Awam (APM) membawa set penjana semalam.

Pegawai Operasi PPS, Leftenan (PA) Kang Wei Xian berkata sejak semalam, 20 anggota APM menyelaras sepenuhnya operasi pusat itu yang menumpukan urusan bekalan makanan dan perubatan untuk penduduk.

“Setakat ini, sebuah lori tiga tan dan dua set penjana digunakan APM manakala pintu masuk laluan itu dikawal pasukan keselamatan lain,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Nelayan Banting jatuh dalam laut ditemui mati lemas

SHAH ALAM, 26 JULAI: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam laut di perairan Batu Laut, Klang, empat hari lepas, ditemukan lemas di kedudukan 7.1 batu nautika barat daya Muara Sungai Langat, hari ini.

Timbalan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor Komander Maritim Norihan Ngah berkata mayat K Thineswaran, 27, yang merupakan nelayan tempatan berasal dari Banting ditemukan oleh orang awam pada kira-kira 12.50 tengah hari tadi.

“Sejurus menerima maklumat berkenaan, Maritim Selangor menugaskan bot Pengawal 26 yang sedang dalam operasi Carilamat ke lokasi dan menemukan mayat lelaki dalam keadaan terapung.

“Ia disyaki mayat Thineswaran yang dikatakan telah keluar ke laut tanpa memakai jaket keselamatan dan menggunakan bot jenis pukat hanyut bersama seorang rakannya sebelum dilaporkan terjatuh ke laut akibat cuaca buruk pada 23 Julai lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Pengawal 26 telah membawa mayat ke Jeti Nelayan Kanchong Laut bagi proses pengecaman oleh ahli keluarga sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Banting bagi tindakan lanjut.

Norihan berkata orang ramai dan komuniti maritim dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di laut, sentiasa mengutamakan keselamatan dan cakna dengan keadaan cuaca bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kilang kitar semula plastik didenda RM120,000

SHAH ALAM, 25 FEB: Sebuah kilang di Banting didenda RM120,000 selepas didapati menjalankan aktiviti kitar semula plastik tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA).

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berkata hukuman itu juga membabitkan kesalahan tidak mengemukakan punca pencemaran sisa buangan dan udara kepada ketua pengarah JAS selain gagal memasang alat kawalan pencemaran udara.

“Keseluruhannya kilang berkenaan bersama pengarah syarikat berdepan lapan pertuduhan melibatkan Seksyen 34A(2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ; Peraturan 4(1)(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

“Hukuman berkenaan dibuat Hakim Mahkamah Sesyen, Tuan Tengku Shahnizam Tuan Lah selepas pengarahnya mengaku bersalah. Kesalahan ini dikesan pada 2018,” kata Nor Aziah Jaafar menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, JAS Selangor tidak akan berkompromi dengan penjenayah alam sekitar di samping akan mengenakan tindakan tegas.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti pencemaran boleh laporkan melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di  https:/eaduan.doe.gov.my,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan Negeri teliti pelaksanaan PKPD di Kajang, Banting

SHAH ALAM, 28 OKT: Kerajaan Negeri meneliti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Flat Sungai Emas, Banting dan Plaza Hentian Kajang yang bermula hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata beliau akan mengemukakan cadangan yang sesuai dalam mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara dalam tempoh 14 hari pelaksanaan bagi memastikan penularan Covid-19 dapat ditangani.

“Saya akan meneliti bagaimana PKPD pentadbiran atau setempat yang dilaksanakan di Sungai Emas, dalam mukim Tanjung 12, Kuala Langat dan juga Hentian Kajang (Hulu Langat) kerana di sanalah tempat paling banyak yang menyebabkan (dua) daerah itu merah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD akan dikuatkuasakan di Flat Sungai Emas dan Plaza Hentian Kajang sehingga 10 November.

Flat Sungai Emas membabitkan 1,300 penduduk manakala Plaza Hentian Kajang pula membabitkan 7,500 penduduk.

Kes Covid-19 di Selangor kekal tiga angka dengan 126 kes direkodkan semalam dengan 59 daripadanya dikesan menerusi saringan kluster, 42 kes saringan kontak rapat, 24 kes saringan lapangan dan satu kes import.

Categories
AGENDA NASIONAL

12 ahli Gang 21 ditahan bantu siasatan kes tembak di Banting

SHAH ALAM, 26 SEPT: Seramai 12 lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 36 tahun ditahan di sekitar Kuala Langat bagi membantu siasatan kes tembak yang menyebabkan seorang ahli perniagaan dan pegawai peribadinya serta tiga pelajar sekolah cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Azizan Tukiman berkata kesemua individu berkenaan ditahan di kawasan Banting, Sungai Emas, Sungai Jarom dan Teluk Panglima Garang dalam satu operasi dijalankan oleh pasukan petugas khas antara pukul 6 petang semalam sehingga pukul 5 pagi tadi.

“Kami percaya mereka adalah ahli kongsi gelap daripada Gang 21, kami sedang mengesan saki-baki kumpulan haram ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azizan berkata 12 lelaki berkenaan direman sehingga 29 Sept bagi membantu siasatan kes tembak itu.

Bernama difahamkan motif kejadian adalah berpunca daripada masalah membabitkan perniagaan yang diusahakan oleh keluarga mangsa dengan individu bertanggungjawab mengarahkan tembakan itu.

Seorang ahli perniagaan dan pengawal peribadinya cedera di dada dan beberapa bahagian badan akibat ditembak dua suspek menaiki sebuah motosikal dalam kejadian di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.45 tengah hari itu, tiga pelajar sekolah menengah turut cedera akibat dirempuh kereta jenis BMW yang dinaiki kedua-dua mangsa.

-BERNAMA

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Maahad tahfiz terbakar, ADN Morib hulur bantuan awal

SHAH ALAM, 4 OGOS: Ahli Dewan Negeri Morib menyumbang bantuan awal sebanyak RM2,000 kepada Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Kuala Langat di Banting yang terbakar pagi tadi.

Hasnul Baharuddin berkata bantuan itu dapat meringankan beban pusat berkenaan terutama dalam mengendali kebajikan pelajar.

“Bantuan segera ini boleh digunakan untuk kos pengangkutan pelajar kerana difahamkan pelajar dibenarkan pulang ke rumah masing-masing untuk sementara waktu,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Hasnul yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor meluangkan masa melawat lokasi kejadian.

Pagi tadi, seramai 131 pelajar perempuan sekolah tahfiz berkenaan selamat selepas bangunan asrama tingkat empat didiami mereka terbakar.

Kejadian jam 5.45 pagi tadi itu berlaku ketika mereka sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh.

Categories
SELANGOR

Asrama tahfiz perempuan Banting terbakar, 131 pelajar selamat

SHAH ALAM, 4 OGOS: Seramai 131 pelajar perempuan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor Kuala Langat di Banting terselamat selepas bangunan asrama didiami mereka terbakar pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata kejadian berlaku jam 5.45 pagi ketika pelajar terbabit bersiap untuk menunaikan solat Subuh.

“Kebakaran berlaku di tingkat empat, tingkat atas sekali. Tindakan pantas bomba dapat memadamkan api dan hanya 40 peratus struktur tingkat hangus terbakar.

“Punca kebakaran belum diketahui dan masih disiasat. Bagaimanapun semua pelajar selamat dan tiada kemalangan jiwa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hafisham berkata seramai 27 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting, Telok Panglima Garang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Pelabuhan Klang dan Seksyen 7 Petaling Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba tiba jam 6.05 pagi selepas mendapat panggilan pada 5.49 pagi. Api padam sepenuhnya 20 minit kemudian,” katanya.

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Jerebu: Kementerian pantau kawasan pelancongan

PUTRAJAYA, 18 MAC: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sedang mengikuti rapat keadaan cuaca semasa di kawasan tarikan pelancongan seperti di Banting, Selangor dan Rompin, Pahang yang masing-masing mencatatkan kualiti udara tidak sihat, kata Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

“Saya menyarankan orang ramai dan pelancong mendapatkan maklumat terkini berkenaan jerebu di laman sesawang indeks udara di http://apims.doe.gov.my. ,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor BERNAMA.

Menurut Indeks Pencemaran Udara (IPU) sehingga jam 3 petang ini, Banting mencatatkan bacaan 104 manakala Rompin 176.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Mohamaddin menggesa operator pelancongan supaya memberi peringatan kepada pelancong berhubung situasi semasa dan menyalurkan bantuan topeng mulut jika perlu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jalan tutup sekitar Banting, rancang perjalanan anda

OLEH SYAZWANISUFIAN

SHAH ALAM, 14 JAN: Beberapa kawasan akan ditutup secara berperingkat bagi memberi laluan program perlumbaan basikal Ride For Glory Pulau Indah 180, esok.

pulauindah180logoAntara laluan yang terlibat adalah Lebuhraya Pulau Indah, Jalan Banting, Olak Lempit, Sepang, Sungai Pelek, Bagan Lalang dan Tanjung Sepat.

Selain itu, jalan lain yang akan ditutup adalah Morib, Pekan Banting, Teluk Panglima Garang, Jalan Pandamaran dan Jalan Pulau Indah ke Indah Point.

Program akan bermula seawal jam 7.30 pagi hingga 2.00 petang dan orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan sepanjang waktu perlumbaan.

Pengguna jalan raya juga dinasihatkan mengikut arahan polis dan pemberhentian kenderaan secara berperingkat di semua persimpangan utama jalan dan jalan utama sepanjang kawalan trafik perlumbaan diadakan.

Pada masa sama, difahamkam Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin akan menyertai perlumbaan itu bersama kereta kit perlumbaan dan 33 kereta pasukan pengiring pelumba dan marshal perlumbaan serta pengiring polis.

-NFN-

Categories
SELANGOR

3 kedai kayu terbakar, PKNS digesa reformasi bangunan lebih 40 tahun

Oleh: LIZAWATI MADFA

KUALA LANGAT, 6 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) disaran menaiktaraf deretan lima kedai kayu miliknya kepada bangunan batu, di sini.

Adun Morib, Hasnul Baharudin berkata, bangunan batu lebih konkrit dan tahan lasak berbanding kayu yang mudah terbakar.

“Rasanya tiada lagi bangunan kayu di pekan Banting ini melainkan milik PKNS.

hasnul ADUN morib pc 01“Sudah tiba masanya PKNS melakukan reformasi bangunan berusia lebih 40 tahun itu bagi mengimbangi pembangunan pesat di sekelilingnya,” katanya kepada Selangor Kini.

Sekitar jam 1 pagi semalam, tiga daripada lima kedai yang terletak di Jalan Sultan Abdul Samad terbakar dipercayai akibat litar pintas.

“Mujur bomba sempat bertindak dan menghalang api dari merebak ke dua kedai lain. Paling teruk terjejas adalah kedai kasut selain pakaian dan percetakan di sebelahnya,” katanya.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kerugiaan dianggarkan melebihi RM500,000.

Hasnul berkata, pihaknya sedang meneliti bentuk dan jumlah sumbangan yang dapat disampaikan kepada peniaga terjejas.

-NFN-

Categories
SELANGOR

IPU beberapa lokasi di Selangor catat paras sederhana

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MAC: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan negeri Selangor mula menurun kepada paras sederhana berbanding, setakat lapan pagi tadi.

Bagaimanapun, menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), daerah Banting masih mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu 135.

Daerah lain seperti Kuala selangor pula adalah 67, Pelabuhan klang (89), Petaling jaya (73), Shah Alam (80) dan Putrajaya (79) mencatatkan IPU kualiti sederhana.

Jerebu-Shah-AlamIPU pada tahap antara 0 dan 50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301).

Sebelum ini, Jabatan Pendidikan Selangor mengarahkan semua 71 sekolah di Kuala Langat dan 131 di daerah Klang ditutup ekoran jerebu teruk.

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my kendalian JAS untuk mengetahui bacaan IPU di kawasan mereka.

-NFN-