Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Lebih 100,000 keluarga terkesan bah dapat bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 28 FEB: Seramai 114,081 keluarga terjejas banjir Disember tahun lalu menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjumlah RM1,000 setakat jam 10 pagi tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan daripada Kerajaan Negeri itu membabitkan peruntukan berjumlah RM114.211 juta termasuk agihan RM130,000 kepada 13 waris korban.

Berdasarkan perkongsian infografik di Facebook, daerah Klang adalah lokasi penerima sumbangan paling ramai iaitu 60,427 isi rumah diikuti 20,948 penduduk Petaling dan 10,904 di Kuala Langat.

Turut menerima sumbangan sama 7,834 keluarga di Hulu Langat diikuti Sepang (6,878), Kuala Selangor (5,915), Gombak (1,041), Hulu Selangor (94) dan Sabak Bernam (40).

Keluarga mangsa di daerah Klang juga paling ramai menerima sumbangan RM10,000 iaitu enam waris diikuti Sepang (tiga), Hulu Langat (dua) dan satu masing-masing di Kuala Selangor dan Kuala Langat.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.