Categories
ADN SELANGOR

Lebih 3,000 penduduk Subang Jaya terima bakul makanan, baucar RM100

SHAH ALAM, 19 OGOS: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya memperuntukkan lebih RM300,000 untuk menyediakan bantuan makanan kepada 3,554 golongan terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Michelle Ng Mei Sze berkata setiap penerima mendapat bakul makanan dan baucar bernilai RM100 yang boleh ditebus di pasaraya terpilih.

Jelasnya baucar makanan turut diberikan kerana ada penerima memerlukan diet tertentu mengikut tahap kesihatan mereka.

“Mereka boleh memilih barangan makanan sesuai dengan diet mereka, jadi tidak ada pembaziran berbanding kalau kami beri bantuan yang sudah ditetapkan.

“Selain itu kami juga berterima kasih kerana ada penderma yang tampil membantu membolehkan lebih ramai penduduk dibantu ketika PKP,” katanya ditemui di pusat pemberian vaksin (PPV) Hotel De Palma di sini, hari ini.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan setiap DUN menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MBI peruntuk RM150,000 bantu 3,000 keluarga terkesan lanjutan PKP

SHAH ALAM, 17 JUN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk RM150,000 bagi membantu golongan yang terkesan susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua minggu lagi.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan berbentuk baucar barangan runcit bernilai RM50 dijangka memberi manfaat kepada 3,000 keluarga.

“Menyedari PKP disambung lagi dua minggu, kita mengambil langkah proaktif untuk memberi baucar barangan runcit dengan MBI menjalankan kerjasama bersama KK Mart bagi program ini,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata senarai nama penerima bantuan akan diberikan ahli majlis kerana mereka berada di lapangan dalam mengenal pasti individu yang layak.

“Kita sasar 50 baucar setiap ahli majlis, jadi untuk 60 ahli majlis kita boleh santuni untuk mereka agih kepada penduduk di kawasan mereka,” katanya.

Pada 11 Jun, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PKP 3.0 disambung dua minggu lagi hingga 28 Jun berikutan jumlah kes harian Covid-19 yang masih tinggi.