Categories
EXCO SELANGOR

Miliki mesin jahit tepi dengan bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan

BANGI, 11 NOV: Impian seorang tukang jahit untuk memiliki sebuah mesin jahit tepi tercapai apabila permohonan menerusi program Blueprint Pembasmian Kemiskinan diluluskan.

Nur Faralia Mohammad Hafiz,34, beliau memohon bantuan itu tahun lalu apabila melihat perkongsian program berkenaan di laman sosial Facebook.

“Saya menerima panggilan selepas sebulan dan diluluskan dua bulan berikutnya. Saya bersyukur kerana mesin jahit tepi ini memudahkan urusan menjahit kerana tidak perlu pergi ke kedai.

“Apabila hantar ke kedai saya perlu menunggu selama dua hari dan membayar lebih RM100 bergantung kepada jumlah kain langsir yang dihantar,”katanya kepada SelangorKini.

Tambah ibu kepada tiga anak itu, pendapatannya juga bertambah selepas menerima bantuan mesin berkenaan.

“Ketika pandemik, pendapatan diperoleh RM1,500 tetapi kini bertambah kepada RM3,000 sebulan.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang mewujudkan inisiatif ini yang membantu rakyat. Saya galakkan lebih ramai usahawan memohonnya terutama ketika musim pandemik Covid-19,”katanya.

Terdahulu, beliau dikunjungi EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau dalam program penyerahan sumbangan Blueprint Pembasmian Kemiskinan di Kuarters Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat hari ini.

Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor sejak 2008 memberi peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Program itu membabitkan golongan miskin dan berpendapatan rendah yang mempunyai kemahiran untuk meneruskan perusahaan dalam bidang seperti jahitan, perniagaan runcit, perniagaan makanan, pengasuh kanak-kanak, perusahaan kecil dan kraftangan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

RM2.19 juta bantuan basmi kemiskinan tahun ini, manfaat lebih 500 individu

BANGI, 11 NOV: Kerajaan Negeri memperuntuk RM2.19 juta menerusi program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan pada tahun ini, kata EXCO pembangunan sosio ekonomi.

V Ganabatirau berkata seramai 529 individu mendapat manfaat peruntukan itu menerusi pemberian peralatan bantuan perniagaan setakat Ogos lalu.

“Secara keseluruhan, sejak 2008 hingga Ogos lalu seramai 5,035 peniaga berjaya dibantu menerusi program ini dengan peruntukan lebih RM16.6 juta.

“Pelbagai inisiatif diambil Kerajaan Negeri dengan merangka program-program bantuan yang dapat menjana pendapatan dan tidak mengabaikan sosioekonomi rakyat,” katanya.

Terdahulu, Ganabatirau menyerahkan sumbangan mesin jahit tepi kepada penerima Nur Faralia Mohammad Hafiz di Kuarters Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat hari ini.

Dalam pada itu, Ganabatirau berharap penerima dapat memanfaatkan bantuan yang diterima untuk bangkit semula selepas pandemik Covid-19.

“Covid-19 mengakibatkan pendapatan, perniagaan rakyat terjejas. Kita berharap dengan adanya bantuan ini dapat dijadikan sumber bagi meningkatkan pendapatan,” katanya.

Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor bermula sejak 2008 dengan memberi peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Program itu membabitkan golongan miskin dan berpendapatan rendah yang mempunyai kemahiran untuk meneruskan perusahaan dalam bidang seperti jahitan, perniagaan runcit, perniagaan makanan, pengasuh kanak-kanak, perusahaan kecil dan kraftangan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

413 permohonan alatan mula niaga dilulus, legakan golongan hilang kerja

SHAH ALAM, 13 OGOS: Sebanyak 413 permohonan bantuan peralatan untuk memulakan perniagaan diluluskan Kerajaan Negeri sepanjang tahun ini, kata EXCO pembangunan sosio ekonomi.

V Ganabatirau berkata dana melalui program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan bertujuan membantu golongan terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 memulihkan semula ekonomi mereka.

“Permohonan yang diluluskan akan menerima peralatan dalam masa terdekat. Bantuan ini merupakan tambahan kepada 269 permohonan yang kita luluskan pada tahun lepas.

“Ini tidak termasuk bantuan wang tunai sekali bayar sejumlah RM400 kepada 1,100 peniaga terjejas yang diberikan sejak pandemik melanda,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berharap bantuan tersebut dapat melegakan golongan yang kehilangan pekerjaan selain membantu memulakan cabang baharu pendapatan dalam bidang perniagaan.

“Kerajaan Negeri komited memastikan rakyatnya keluar daripada kepompong kemiskinan selain menggalakkan program keusahawanan untuk meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya.

Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor sejak 2008 memberi peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Sejumlah RM2 juta diperuntuk pada setiap tahun dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi golongan sasar.

Categories
EXCO SELANGOR

Peruntukan Blueprint Pembasmi Kemiskinan perlu ditambah

KLANG, 24 SEPT: Kerajaan Negeri disaran mempertimbangkan penambahan peruntukan bagi Program Bantuan Blueprint Kemiskinan ekoran permohonan dari usahawan kecil meningkat setiap tahun.

EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, program yang dilaksanakan sejak 2003 itu hanya menerima peruntukan tahunan berjumlah RM2 juta.

Katanya, ekoran permintaan yang dianggarkan meningkat 12 peratus dan kos peralatan yang semakin tinggi, peruntukan berkenaan tidak mencukupi.

“Disebabkan peruntukan yang tidak mencukupi, setiap Pejabat Tanah dan Daerah terpaksa menapis dan menolak permohonan usahawan kecil lain.

“Sedangkan ramai usahawan kecil yang ditolak permohonan itu benar-benar layak.

“Justeru, saya percaya pada masa akan datang peruntukan ini perlu ditambah sejajar dengan dasar negeri berkebajikan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Daerah Klang 2019, di Dewan Serbaguna, Pejabat Tanah dan Klang, di sini.

Ganabatirau berkata, kadar pendapatan keluarga peserta juga meningkat 95 peratus selepas bantuan peralatan itu diberikan.

Katanya, ini membuktikan usaha Kerajaan Negeri mencapai tujuan untuk mengupayakan ekonomi rakyat.

“Bantuan diberikan walaupun nampak kecil tetapi bagi mereka yang memerlukan, sangat mengembirakan mereka.

“Kebanyakkan usahawan menitis air mata mereka kerana kita bantu. Itu sangat mereka hargai,” katanya.

Program itu bertujuan menyalurkan bantuan berupa peralatan atau mesin diperlukan berdasarkan perusahaan dan perniagaan yang sedang dijalankan.

Ia membabitkan golongan miskin dan berpendapatan rendah yang mempunyai kemahiran untuk meneruskan perusahaan dalam bidang jahitan, perniagaan runcit, perniagaan makanan, pengasuh kanak-kanak serta kraftangan.

Categories
SELANGOR

66 peserta terima Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 OGOS: Seramai 66 peserta daerah Hulu Selangor menerima peralatan bagi memulakan perniagaan menerusi program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, bantuan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM229,100.

Katanya, antara peralatan yang disumbangkan ialah mesin jahit, peralatan memasak apam balik, pam angin dan sebagainya.

“Program ini diteruskan setiap tahun bagi membantu golongan kurang bernasib baik menjana pendapatan tambahan, sekali gus mengurangkan kadar kemiskinan rakyat Selangor.

“Peniaga yang ingin mengembangkan perniagaan bagi menambah pendapatan disarankan supaya memohon ini di Pejabat Tanah,” katanya kepada SelangorKini.

IMG_6928Ganabatirau berkata, program itu menerima sambutan menggalakkan di setiap daerah sejak dilancarkan 2008.

“Saya berharap bantuan ini mampu menjana dan meningkatkan pendapatan keluarga ke arah mewujudkan kehidupan yang sejahtera,” katanya.

Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor bertujuan menyalurkan bantuan berupa peralatan atau mesin diperlukan berdasarkan perusahaan dan perniagaan yang sedang dijalankan.

Program itu membabitkan golongan miskin dan berpendapatan rendah yang mempunyai kemahiran untuk meneruskan perusahan dalam bidang seperti jahitan, perniagaan runcit, perniagaan makanan, pengasuh kanak-kanak, perusahaan kecil dan kraftangan.

Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2 juta setiap tahun dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi golongan sasar.

=EZY=