Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS hulur bantuan kepada keluarga wanita maut dipenggal

SHAH ALAM, 18 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) semalam menyerahkan bantuan kepada keluarga wanita yang meninggal dunia akibat dipenggal kepala oleh anak lelakinya di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor pada 15 Januari lalu.

Agensi itu menerusi Facebook berkata keluarga itu yang juga asnafnya akan turut menerima bantuan khairat kematian.

Tambahnya, LZS pada tahun lalu telah memberikan rumah zakat untuk membantu keluarga berkenaan memulakan kehidupan namun bertukar tragedi akibat penyalahgunaan dadah oleh anak mereka.

“Kami serahkan sedikit bantuan kecemasan dan akan menyalurkan bantuan khairat kematian bagi meringankan sedikit bebanan beliau (suami mangsa),” katanya di sini hari ini.

LZS turut berharap semua lapisan masyarakat memainkan peranan mencegah penyalahgunaan dadah selain memulakannya di peringkat awal pendidikan.

Dalam kejadian Sabtu lalu, seorang wanita berusia 56 tahun maut selepas dibunuh anaknya yang berada di bawah pengaruh dadah berdasarkan siasatan polis.

Suspek juga mempunyai rekod melakukan ugutan ke atas ibunya pada 2014 dan sudah menjalani hukuman.

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS salur bantuan kecemasan kepada pesakit bisul kronik

SHAH ALAM, 2 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) semalam memberi sumbangan kecemasan kepada seorang penghidap bisul kronik di Kampung Sungai Sembilang Jeram, Kuala Selangor.

Bantuan diserahkan Ketua Penolong Amil Kariah Kamaruddin A. Rahman kepada Fadly Shah Mohd Kamal yang terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Agensi itu dalam kenyataan di Facebook memaklumkan Fadly yang tidak lagi mampu bekerja perlu hadir ke Klinik Kesihatan Jeram setiap hari untuk mencuci luka.

“Isteri beliau pula berniaga gerai makanan secara kecil-kecilan di Tanjung Karang selain perlu menyara seorang anak berusia lima tahun,” kata LZS.

Pada masa sama, agensi itu turut meluluskan bantuan kewangan dan makanan bulanan untuk meringankan beban yang ditanggung keluarga tersebut.