Categories
ADN SELANGOR

Bekalan makanan hampir putus, ibu tunggal terharu terima bantuan

KLANG, 15 OGOS: Seorang ibu tunggal terharu dan gembira menerima barangan keperluan asas sumbangan pusat khidmat masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa semalam.

Lechumy Rajisingam, 45, yang juga penghidap kencing manis berkata bantuan tersebut amat dinantikan berikutan bekalan makanan di rumah hampir terputus selain tidak memiliki wang mencukupi.

Lechumy Rajisingam. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Pendapatan sebagai pengasuh bayi sebanyak RM300 setiap bulan sememangnya tidak cukup, walaupun dua anak saya bekerja.

“Saya berterima kasih kepada PKM Sentosa kerana memberikan bantuan ini,” katanya yang menetap di Flat Taman Sri Sentosa di sini.

Ibu empat anak itu antara 400 keluarga sekitar DUN Sentosa yang terpilih mendapat sumbangan dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Love and Care Selangor di perkarangan PKM terbabit.

Suria Prava Demudu. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Bantuan seperti beras, tepung, gula, sardin, susu, bihun, mi segera, telur dan sayuran disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari serta Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr Gunarajah George.

Sementara itu, Suriaprava Demudu, 45, berkata melalui sumbangan itu, wang simpanan dapat digunakan untuk memenuhi keperluan pelajaran dua anak yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

Ibu tiga anak mengakui pandemik Covid-19 menyebabkan dia yang sebelum ini bertugas sebagai pembantu percetakan dan suami, pengawal keselamatan hilang mata pencarian sejak tahun lepas.

“Ini pertama kali saya dapat bantuan makanan asas dan sekurang-kurangnya dapat kawal kos perbelanjaan keluarga. Simpanan yang ada boleh digunakan untuk anak-anak belajar,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Pesakit kronik antara 100 penerima bantuan asas di Batu Caves

SHAH ALAM, 17 JUN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyerahkan bantuan kepada 100 keluarga di empat perumahan di Batu Caves, semalam.

Sumbangan disampaikan membabitkan Flat Taman Bidara, Taman Selayang Jaya, Selayang Utama dan Taman Seri Melati.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata sumbangan disampaikan Ahli Majlis Zon 12, U Chin Ong dan Pemangku Yang Dipertua MPS, Ir Cheremi Tarman.

Menurutnya, seorang pesakit kronik di Taman Selayang Jaya, Batu Caves antara penerima sumbangan.

“Penyerahan sumbangan berupa barangan keperluan asas ini adalah inisiatif Ahli Majlis Zon 12 sendiri bagi meringankan beban masyarakat terkesan terutama ketika pandemik Covid-19,” katanya di Facebook hari ini.