Categories
PBT SELANGOR

MBPJ sumbang RM20,000 untuk 80 penduduk India sempena Deepavali

SHAH ALAM, 27 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberi bantuan kewangan berjumlah RM20,000 kepada 80 masyarakat India sempena Deepavali.

Sumbangan wang tunai dengan masing-masing menerima RM250 melibatkan golongan terdiri daripada ibu tunggal, warga emas dan keluarga mempunyai tanggungan ramai yang berdaftar bawah program pembangunan komuniti bandar, menurut unit komunikasi korporatnya.

“Bantuan ini merupakan program tahunan bertujuan memberi khidmat komuniti dalam membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah (B40).

“Ia juga bertujuan mendekati, membantu dan memberi perhatian kepada golongan berkenaan sebagai usaha mengeratkan hubungan mesra serta penuh kasih sayang antara majlis dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Jabatan itu turut memaklumkan program tersebut selaras pelan pembangunan bandar sebagai ‘inclusive city’ mengambil kira keperluan dan penglibatan semua golongan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

465 OKU Selangor terima bantuan kewangan RM500

SHAH ALAM, 5 SEPT: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM500 kepada 465 orang kelainan upaya (OKU) yang layak setakat ini.

Ketua jabatan Didik Anak Istimewa Selangor (AnIS) Danial Al-Rashid Haron berkata bantuan melalui Pakej Kita Selangor 2.0 disalur sejak 5 Julai lalu membabitkan peruntukan bernilai RM232,500.

“Ini bermakna kita sudah menggunakan 38 peratus daripada RM600,000 dana yang diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk membantu golongan OKU.

“Ketika ini proses penilaian daripada pemohon lain sedang dibuat sebelum bayaran diagih berperingkat pada Isnin setiap minggu,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Sementara itu, beliau berkata inisiatif tersebut mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 7,000 permohonan direkodkan sejak dibuka 1 Julai lalu, namun kuota hanya dihadkan kepada 1,200 individu.

“Kita menyasarkan OKU yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 misalnya gaji dipotong atau hilang pekerjaan dengan mengemukakan dokumen pengesahan gaji terkini dari majikan atau mengisi borang akuan pendapatan disahkan wakil rakyat, ketua kampung dan pengerusi badan pengurusan bersama (bekerja sendiri).

“Pada masa sama, kita berterima kasih kepada pihak yang membantu mempromosi bantuan ini terutama media massa dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan OKU bagi memastikan maklumat sampai kepada golongan sasar,” katanya.

9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan RM600,000 bagi membantu golongan OKU terjejas sumber pendapatan, hilang pekerjaan tetap atau pengurangan gaji akibat wabak Covid-19.

Syarat kelayakan termasuk warganegara, berusia 18 tahun ke atas dan pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS santuni pendakwah bebas terjejas akibat PKP

SHAH ALAM, 1 JULAI: Seorang pendakwah bebas yang terkesan disebabkan pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima bantuan bulanan.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata pendapatan lelaki tersebut terjejas kerana sesi pengajian di masjid dan surau tidak dapat dijalankan sehingga perbelanjaan bulanannya semakin sempit.

“Memandangkan situasi semasa yang semakin meruncing kini, kami bersedia untuk menyantuninya bagi kewangan bulanan dan sewa rumah bulanan.

“Beliau yang menyara empat anak bersekolah dan seorang isteri yang tidak bekerja tetap gigih membantu sahabat pendakwah lain yang juga terjejas pendapatan akibat pandemik,” katanya menerusi Facebook

LZS menambah pendakwah terbabit dikategorikan sebagai penerima Bantuan Alternatif Insan Terkesan (Bait) yang disantuni Skuad Saidina Umar dan Operasi Agihan Daerah Petaling.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang terus menerus memberikan info orang perlu dibantu dan kami akan berusaha sebaiknya untuk menyantuni para mustahik.”

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB umum bantuan khas kewangan setengah bulan gaji

SHAH ALAM, 23 APRIL: Selangor mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) setengah bulan gaji kepada penjawat awam negeri ini sebagai menghargai komitmen mereka.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberian BKK minimum pula sebanyak RM1,000 dan jumlah keseluruhan melebihi RM22 juta.

“Bayaran sempena Hari Raya Aidilfitri akan dibuat pada 19 Mei 2021 iaitu pada 7 Syawal membabitkan 17,000 penjawat awam.

“Pemberian ini turut melibatkan anggota perkhidmatan Kerajaan Negeri bawah penggajian kerajaan persekutuan, ” katanya pada Majlis Mahabbah Ramadan Bersama Penjawat Awam di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Amirudin turut mengumumkan bantuan khas kepada beberapa pihak lain yang memainkan peranan penting kepada negeri iaitu:

  • RM500 kepada Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan petugas masjid termasuk nazir, imam, siak dan bilal.
  • RM500 kepada Penggerak Belia Selangor (PeBs)
  • RM1,000 kepada pemimpin masyarakat seperti Pengerusi MPKK, Pegawai Perhubungan Kampung, Ketua Komuniti India dan Penyelia Wanita Berdaya (PWB)
Grafik dari Facebook Amirudin Shari

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Syarikat insurans perluas bantuan tunai disebab kesan sampingan vaksin

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Sebahagian besar syarikat insurans hayat di negara ini memperluaskan bantuan kewangan kepada pemegang polisi yang mendapat kesan sampingan atau komplikasi sehingga dimasukkan ke hospital susulan pemvaksinan Covid-19.

Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) berkata perlindungan itu termasuk kos dimasukkan ke hospital yang memerlukan dari segi perubatan dan munasabah susulan kesan sampingan pemvaksinan Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Sejumlah syarikat insurans hayat turut menawarkan program bantuan tunai untuk kesan sampingan di bawah dana vaksin Covid-19 masing-masing atau program bantuan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, bantuan itu termasuk pembayaran semula bil perubatan kepada pesakit Covid-19 dan sokongan pemvaksinan pasca Covid-19 bagi kemasukan ke hospital susulan kesan sampingan vaksin; bantuan perubatan dan manfaat kematian khas; pendapatan kemasukan ke hospital; dan bantuan tunai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mark O’Dell menasihatkan pemegang polisi untuk menghubungi syarikat insurans masing-masing bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai bantuan yang ditawarkan sekiranya mereka mendapat kesan sampingan daripada vaksin Covid-19.

Sambil memuji usaha proaktif kerajaan untuk melindungi rakyat, beliau turut menggesa rakyat Malaysia memainkan peranan masing-masing bagi memerangi Covid-19 dengan membuat pendaftaran bagi program imunisasi itu di aplikasi MySejahtera.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB ziarah keluarga mangsa Covid-19, hulur bantuan kewangan

BATU CAVES, 21 FEB: Dato’ Menteri Besar hari ini meluangkan masa menziarahi dua keluarga mangsa Covid-19 yang meninggal dunia sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang diiringi isteri Datin Seri Masdiana Muhammad turut menyerahkan bantuan kewangan dan makanan kepada waris mangsa.

“Kita bersimpati dengan nasib mereka, semoga keluarga terus tabah dan sabar menghadapi ujian ini. Takziah diucapkan dan kekal patuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya ketika ditemui.

Bantuan sama turut diberikan kepada dua lagi penduduk sekitar DUN itu yang kehilangan ahli keluarga disebabkan barah.

Sementara itu, penerima bantuan Hamidah Anuar, 65, menghargai sumbangan dan kunjungan Dato’ Menteri Besar ke kediamannya di Pangsapuri Sri Astana di sini.

Beliau yang kehilangan suami dan anak perempuan akibat Covid-19 tidak mampu menahan sedih selepas pemergian mereka secara berturut-turut pada 18 dan 19 Februari lalu.

“Saya reda dengan ujian ini tetapi saya harap masyarakat tidak pandang sinis bekas pesakit Covid-19,” katanya yang juga pernah dijangkiti virus itu.

Seorang lagi waris, Raffiqee Buang, 28, turut menzahirkan terima kasih atas sumbangan tersebut susulan kematian bapanya yang juga pesakit Covid-19 pada 14 Februari lalu.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

PKP: Kerajaan, bank disaran pertimbang bantu perniagaan terjejas – NCCIM

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) berharap kerajaan dan bank akan mempertimbangkan pemberian bantuan kewangan dan langkah bantuan kepada perniagaan yang terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua.

Ini terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), peniaga kecil, peruncit dan sektor perjalanan dan pelancongan, demikian menurut Presiden NCCIM Tan Sri Ter Leong Yap.

Dalam kenyataan hari ini, beliau menyarankan bank untuk terus menghulurkan sokongan dengan memudahkan obligasi pembayaran semula pinjaman kepada peminjam ekoran situasi semasa.

Beliau turut menggesa kerajaan untuk melanjutkan program subsidi upah untuk membantu sektor yang terjejas selain pelancongan dan runcit seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021 di samping menyediakan geran kewangan sekali beri kepada peniaga kecil dan perusahaan mikro.

Ter turut berharap agar kerajaan memberi pelepasan sewa dan diskaun elektrik, membenarkan pembayaran baki cukai tahun taksiran 2020 dan 2021 secara ansuran selama tiga bulan dan menyediakan subsidi ke atas kos pemvaksinan pekerja asing untuk perniagaan, terutamanya PKS.

Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan peraturan darurat perlu dikendalikan dengan berhati-hati dan dikuatkuasakan secara telus dan disampaikan dengan baik untuk memupuk keyakinan dan meredakan ketidakpastian pelabur.

Malahan, katanya, apa yang lebih penting, ia perlu ditamatkan apabila perintah darurat telah mencapai matlamatnya berikutan tempoh darurat yang berlarutan akan menjejaskan prospek pelaburan swasta.

“Ketika tempoh darurat ini, pertimbangan paling penting adalah komunikasi yang efektif dan penyebaran maklumat.

“Dalam hal ini, libat urus kerajaan dan pengawal selia bersama-sama industri adalah penting sebelum pelaksanaan dasar awam dan perintah ordinan baharu untuk mengurangkan gangguan kepada perniagaan,” katanya.

– BERNAMA