Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penjawat awam dapat bantuan khas sebulan gaji

SHAH ALAM, 26 NOV: Penjawat awam negeri ini menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) satu bulan gaji yang akan dibayar pada 29 Disember 2021, umum Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif kali kedua dengan bayaran minimum RM1,000 pada tahun ini membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM37.5 juta.

Beliau berkata insentif setengah bulan gaji diberikan kepada penjawat awam pada sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Untuk menghargai usaha serta komitmen penjawat awam yang tidak kenal erti penat lelah bersama-sama memastikan penyampaian perkhidmatan kekal efisyen dan berkesan, sukacitanya saya mengumumkan Bantuan Khas Kewangan selama satu setengah bulan untuk tahun ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Pada belanjawan tahun lalu, Kerajaan Negeri hanya memberi BKK setengah bulan gaji, manakala RM1,000 disediakan menjelang sambutan perayaan penting tersebut.