Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Air Selangor hulur bantuan makanan kepada 200 keluarga India

SHAH ALAM, 1 NOV: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menghulurkan bantuan makanan asas kepada 200 keluarga masyarakat India sempena Deepavali di sekitar Jeram, Sungai Pelek dan Kapar.

Agensi itu berkata sumbangan ‘Box of Hope’ berkenaan diharap dapat membantu komuniti setempat dalam meringankan beban mereka.

“Air Selangor terus menggerakkan inisiatif Sesama Mara melalui penyerahan bantuan 200 unit ‘Box of Hope’ dalam bentuk barangan makanan dan keperluan asas melalui Yayasan Food Bank Malaysia sekitar Jeram, Sungai Pelek dan Kapar.

“Terima kasih kepada semua yang telah menghulurkan sumbangan ikhlas bagi menjayakan program ini,” katanya menerusi Facebook semalam.

Air Selangor berkata program itu akan diteruskan dari masa ke semasa dan individu yang ingin menyumbang boleh melakukannya menerusi akaun CIMB Bank Berhad 8007985118.

“Pastikan anda mencatatkan nota ‘Bantuan Inisiatif Box of Hope’ semasa membuat transaksi dan emel ke [email protected] ,” katanya.

Pada 13 September, Air Selangor menghulurkan bantuan makanan asas dan menanggung kos baik pulih paip rumah kebajikan serta keluarga berpendapatan rendah (B40) di Lembah Klang.

Agensi berkata sumbangan ‘Box of Hope’ dan khidmat pembaikan paip kepada 262 individu dan keluarga B40 itu bersempena ulang tahun keduanya beroperasi sebagai pemegang lesen tunggal pembekalan air di negeri ini, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pusingan kedua bantuan penduduk Flat Taman Samudera Timur Jumaat ini

GOMBAK, 21 JULAI: Bantuan makanan asas pusingan kedua akan disalurkan Jumaat ini kepada 650 keluarga di Flat Taman Samudera Timur, Gombak yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia berkata inisiatif itu susulan bantuan pusingan pertama yang disalurkan dalam tempoh 48 jam selepas kawasan berkenaan dikenakan PKPD bermula Ahad lalu.

Menurutnya ia bagi memastikan 3,000 penduduk tidak berdepan masalah terputus bekalan makanan sepanjang PKPD yang dijadual berakhir 10 hari lagi.

“Walaupun agihan telah selesai beberapa hari lalu, namun kita bercadang untuk buat dua lagi pusingan (agihan) memandangkan kita diamanah jaga kebajikan mereka.

“Setakat ini bekalan cukup malah jika ada penduduk yang memerlukan bantuan lain seperti ubat-ubatan, lampin pakai buang dan susu, kita akan berikan melalui urus setia kawasan terbabit,” kata Abdul Rahim Kasdi.

Penyelaras DUN Gombak Setia, Abdul Rahim Kasdi bercakap kepada media ketika Program Serahan Daging Korban DUN Sungai Tua di Pusat Khidmat Rakyat DUN Sungai Tua, Gombak pada 21 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau proses suntikan pelalian dos kedua di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Sri Siantan di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Rahim memaklumkan pihaknya merancang untuk memberi ikan, ayam dan sayuran kepada penduduk terlibat dalam masa terdekat.

“Saya sudah berbincang dengan Dato’ Menteri Besar mengenai cadangan ini dan Insya-Allah akan sampai kepada mereka,” katanya.

Flat Taman Samudera Timur, Gombak antara 24 lokaliti dikenakan perintah tersebut selama dua minggu berkuat kuasa 18 hingga 31 Julai ini.

Categories
ADN SELANGOR

20 pemandu van sekolah terjejas pendapatan terima bantuan makanan

SHAH ALAM, 21 JULAI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik hari ini menyampaikan bantuan makanan asas kepada 20 pemandu van sekolah yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bantuan kepada pemandu van di daerah ini disampaikan secara pandu lalu di Seksyen 2.

“Semoga sumbangan kecil ini dapat membantu meringankan serba sedikit bebanan mereka,” kata Mohd Najwan Halimi menerusi Facebook.

Pada 28 Mei, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun.

Namun, PKP 3.0 yang dijadualkan tamat pada 14 Jun bersambung selama dua minggu lagi, berkuat kuasa 15 hingga 28 Jun susulan jumlah kes baharu harian yang masih tinggi iaitu melebihi 5,000 kes sehari.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais: Bantuan makanan kepada asatizah diagih hingga Isnin ini

SHAH ALAM, 18 JUN: Lebih separuh bantuan makanan asas diperuntuk kepada asatizah terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah diagihkan, kata pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata bantuan diserahkan kepada pejabat agama Islam daerah masing-masing sebelum diberi kepada penerima.

“Daerah yang telah terima setakat hari ini melibatkan Petaling, Klang, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang. Esok akan disambung ke Kuala Selangor serta Sabak Bernam dan diteruskan pada Isnin untuk Gombak dan Hulu Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berharap bantuan bernilai RM100 itu dapat meringankan beban semua penceramah bertauliah kategori D3 dan D4.

Pada Selasa Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Selangor memperuntuk RM100,000 untuk bantuan makanan asas kepada 1,000 asatizah.

Penerima berkenaan tidak dapat menjalankan aktiviti di masjid dan surau selain kegiatan dakwah dalam talian juga terhad sekali gus menjejaskan pendapatan.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Sentosa sedia lebih RM10,000 bantu keluarga terjejas pandemik

SHAH ALAM, 28 MEI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa memperuntuk lebih RM10,000 untuk mengagih barangan dapur untuk golongan memerlukan berikutan penularan Covid-19.

Ahli Dewan Negerinya berkata sumbangan kepada 120 keluarga terjejas itu merangkumi bekalan makanan asas seperti tepung, beras, gula, kicap, biskut dan mee segera.

“Bantuan ini bertujuan meringankan beban mereka terutama yang kehilangan pendapatan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0) ketika ini.

“Semoga inisiatif ini sedikit sebanyak membantu dan DUN Sentosa akan berusaha menolong lebih ramai penduduk yang terkesan,” kata Dr G Gunaraj ketika dihubungi SelangorKini.

Susulan peningkatan kes Covid-19 saban hari, beliau menggesa masyarakat terus mengamalkan kawalan kendiri dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).