Categories
AGENSI SELANGOR

e-Dompet bantu golongan sasar dapat segera bantuan negeri

SHAH ALAM, 5 DIS: Langkah Kerajaan Selangor memperkenal e-dompet pada tahun depan mampu mempercepat dan memudahkan agihan bantuan kepada golongan sasar.

Pesara swasta Khairul Azwan Ismail berkata golongan berpendapatan rendah dan ibu tunggal hanya perlu menggunakan satu plaftorm untuk menebus inisiatif negeri.

Pesara swasta Khairul Azwan Ismail

“Kalau ikut pengumuman, semua bantuan negeri boleh ditebus menerusi e-dompet, jadi lebih mudah. Usaha ini juga selaras perkembangan semasa dunia yang banyak memperkenal transaksi tanpa tunai,” katanya.

Penyelia Pusat Wanita Berdaya Pelabuhan Klang Susilawati Abd Rahim pula berpendapat langkah itu memudahkan urusan seharian masyarakat tanpa memerlukan banyak dokumen.

“Mudah sahaja dengan aplikasi, semua urusan boleh dijalankan secara dalam talian,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 mengumumkan pelancaran perkhidmatan e-dompet pada awal tahun depan.

Melaluinya, semua urusan berkait kerajaan diletakkan dalam satu platform selain agihan bantuan kebajikan kepada rakyat serta mewujudkan pasaran dalam talian untuk peniaga kecil dan sederhana.

Bantuan kepada penerima Iltizam Selangor Penyayang seperti Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor dan Iltizam Selangor Sihat juga disalurkan melalui aplikasi tersebut.