KLANG, 16 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa membelanjakan lebih RM50,000 menerusi bantuan pascabanjir kepada penduduk terlibat setakat ini.
Wakil rakyatnya Dr G Gunarajah berkata peruntukan itu diserahkan kepada 2,000 mangsa dan pihaknya kini menguruskan baki permohonan bagi tujuan berkenaan.
“Kita menerima banyak permohonan yang mahukan sumbangan ini dan akan cuba sedaya upaya untuk membantu individu yang belum menerima bantuan,” katanya.

Gunarajah berkata demikian ketika ditemui pada Pesta Ponggal di Kuil Devi Sri Maha Kaligambal Alayam di sini.
Bantuan tersebut antaranya bakul makanan, barang keperluan harian dan tilam.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 50 keluarga kurang berkemampuan dan warga emas yang rata-ratanya mangsa banjir di kawasan terbabit sempena perayaan tersebut.
Menurut Gunarajah, pihaknya berterima kasih kepada penderma seperti badan bukan kerajaan, syarikat swasta dan individu yang sentiasa menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di DUN Sentosa.
“Kita menerima banyak sumbangan daripada dermawan, kita akan berusaha menyampaikan kepada mangsa kurang berkemampuan termasuk mangsa banjir,” katanya.