Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

10,510 rumah mangsa bah di Selangor dibaik pulih, 44 lagi bina baharu

SHAH ALAM, 3 FEB: Sebanyak 10,510 rumah mangsa banjir di Selangor pada Disember tahun lalu akan dibaik pulih manakala 44 dibina baharu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembaikan dan pembinaan semula mengambil kira jenis serta tahap kerosakan rumah menerusi penyelarasan yang dilaksanakan EXCO Perumahan Rodziah Ismail.

“Sebahagian besar pembinaan ini sudah mendapat komitmen daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) serta Lembaga Zakat Selangor (LZS)

“Kemudian kita mahu selaraskan (rumah) siapa yang LZS, KPLB dan KPKT akan bina serta baik pulih. Kita perlu melihat kepada syor pihak berkaitan bagaimana hendak pulihkan, apa kapasitinya kerana ada rumah yang runtuh sebahagian atau mungkin pecah serta cat tertanggal,” katanya.

Bercakap dalam sidang media Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor hari ini, Amirudin berkata EXCO perumahan akan memaklumkan kategori kerosakan rumah mangsa terlibat dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata KDEB Waste Management (KDEBWM) dibantu komuniti menjalankan gotong-rotong besar-besaran bagi membersihkan kawasan Taman Sri Muda pada 6 Februari ini.

Menurutnya, penduduk di Taman Sentosa, Klang Utama dan beberapa tempat lain masih membersihkan rumah selain membeli barangan gantian seperti perabot, elektronik serta dapur.

“Ini masih menghasilkan barang buangan yang membawa kepada longgokan sampah di kawasan perumahan.

“KDEBWM akan memberikan tumpuan khusus kepada kawasan seperti ini dan proses ini dijangka berterusan dan selesai pada akhir Mac,” katanya.

Amirudin menambah sebanyak 14 kerja pemulihan infrastruktur seperti jalan, jambatan dan pembersihan bermula secara berperingkat di tujuh daerah terjejas membabitkan perbelanjaan RM31.7 juta.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong kurnia bantuan rumah baharu kepada mangsa banjir Pahang

PEKAN, 12 FEB: Prihatin dengan nasib mangsa banjir yang mengalami kemusnahan harta benda, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan bantuan bagi membina rumah baharu kepada mereka yang terjejas.

Keprihatinan baginda terserlah, apabila turut berangkat turun padang bagi meninjau sendiri tapak pembinaan rumah baharu tersebut, masing-masing di Kampung Sungai Gangchong, Acheh dan Kampung Tanjung Pulai hari ini.

Seri Paduka turut diiringi empat anakanda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Sejurus tiba di Kampung Tanjung Pulai kira-kira 4 petang, baginda diberi taklimat ringkas oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang Hafizah Zakaria, yang memaklumkan kerja pembinaan rumah setingkat berkeluasan 660 kaki persegi itu, akan bermula pada minggu depan.

Menurut Hafizah, pembinaan rumah yang mempunyai tiga bilik selain dilengkapi ruang makan dan tandas itu, akan mengambil masa 16 minggu yang dibina di atas tanah milik mangsa banjir sendiri.

Sementara itu, pemilik rumah Mohd Khanafiah Abu Bakar, 52, berkata, beliau sangat bersyukur dan tidak menjangkakan akan menerima sebuah rumah baharu pemberian Al-Sultan Abdullah.

Katanya, sebahagian struktur rumahnya runtuh akibat banjir pada awal bulan lepas dan beliau kini menumpang di rumah saudaranya, buat sementara waktu.

“Saya sangat terharu, rumah berkenaan merupakan rumah pusaka kami dan adik beradik, untuk berkumpul ketika raya dan kenduri, kami sangat menghargai pemberian baginda ini,” katanya yang menetap di Kampung Tanjung Pulai.

Bagi ibu tunggal Nur Hasnah Mat Yunos, 60, yang tinggal di Kampung Sungai Gangchong, Acheh, di sini, kurniaan baginda diibaratkan rezeki yang tidak disangka untuk mereka sekeluarga.

“Rumah kami hanya rumah papan, bila banjir habis lantai rosak. Junjung kasih kepada Tuanku yang begitu baik dan sudi membina rumah baharu untuk kami,” kata Nur Hasnah yang menetap di kampung berkenaan bersama tiga anak dan dua cucu.

– BERNAMA