Categories
SELANGOR

Biasiswa Selangor: 108 pelajar terima manfaat

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 MAC: Seramai 108 pelajar Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) menerima manfaat Tabung Biasiswa Selangorku dengan peruntukan RM4.89 juta pada 2015.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata sejumlah RM342,000 turut dibelanjakan menerusi program Bantuan Sara Diri bagi pelajar dua institusi itu.

nik nazmi“Bagi 2015, RM12 juta diperuntukkan untuk Bantuan Sara Diri, namun memandangkan ia baru diperkenalkan, jumlah yang dibelanjakan hanyalah 2.94 peratus bersamaan RM352,800.

“Jumlah ini dijangka meningkat pada tahun ini berdasarkan promosi dilaksanakan UNISEL, KUIS dan Kolej Antarabangsa INPENS,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Dr Abdul Rani Osman berhubung kedua program berkenaan.

Nik Nazmi berkata, seramai 41 pelajar UNISEL menerima Tabung Biasiswa Selangorku dengan peruntukan RM2 juta, sementara pelajar KUIS pula seramai 67 pelajar dengan kos RM2.88 juta.

“Bagi Bantuan Sara Diri, seramai 299 pelajar UNISEL menerimanya dengan kos RM154,800 manakala 163 pelajar KUIS menerima bantuan dengan kos RM187,200,” katanya yang juga ADN Seri Setia.

-nR-