Categories
ADN AGENDA NASIONAL SELANGOR

Bantuan banjir: Pejabat wakil rakyat mudahkan urusan mangsa, percepat proses mohon

SHAH ALAM, 2 JAN: Wakil rakyat negeri ini terus giat mengumpul borang permohonan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) untuk mangsa terkesan akibat banjir.

EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning V Ganabatirau berkata setakat ini pihaknya sudah menghantar lebih 3,000 borang permohonan melibarkan daerah Klang sahaja sejak Khamis hingga semalam.

“Kita sedang uruskan permohonan di daerah Petaling seperti di Kampung Bukit Lanchong, Lanchong Jaya, Alam Indah dan Kampung Baru Hicom. Ahli majlis dan ketua kampung diminta untuk mengambil semua borang bawa salinan kad pengenalan dan bil utiliti,

“Bagi mudahkan urusan, kita membuka khemah bersebelahan kuil Seksyen 25 sehingga hari ini untuk memudahkan mangsa menghantar borang,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau yang juga EXCO kebajikan masyarakat berkata setakat ini seramai 1,500 mangsa banjir di daerah Klang termasuk Sri Muda sudah menerima bantuan RM1,000.

Sementara itu, wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berkata setakat ini sebanyak 3,000 permohonan diterima untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang.

Wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri. Foto ARKIB SELANGORKINI

“Berdasarkan rekod, mangsa banjir di Pelabuhan Klang ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) sejak 17 Disember lalu. Selain itu, lebih 5,000 mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS.

“Pemberian BSB di DUN Pelabuhan Klang bermula kelmarin dan seramai 100 mangsa banjir daripada Kampung Perigi Nenas, Pulau Indah menerima RM1,000. Mangsa banjir diingatkan segera menghantar borang pada 10 Januari,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar berkata sejumlah RM3.721 juta dibelanjakan untuk Bantuan Selangor Bangkit (BSB) setakat 31 Disember 2021.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu memanfaatkan seramai 3,721 keluarga yang terjejas akibat banjir dengan setiap mereka menerima RM1,000.

Selain itu, dua keluarga mangsa yang meninggal dunia masing-masing menerima bantuan berjumlah RM10,000.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.