Categories
SELANGOR

Bantuan susu, lampin pakai buang ringan beban suri rumah anak lima

PUCHONG, 16 DIS: Pemberian susu dan lampin pakai buang daripada Kerajaan Selangor meringankan beban seorang suri rumah dal am membesarkan lima anaknya yang masih kecil.

Siti Nor Aisyah Nasir, 30, berkata meskipun bantuan itu diterima hanya sekali tetapi ia sedikit sebanyak menjimatkan perbelanjaan kelengkapan tersebut pada bulan ini.

Siti Nor Aisyah Nasir

“Anak saya masing-masing berusia lapan hingga tujuh bulan dan yang masih pakai lampin, menyusu ada dua orang.

“Dalam sebulan sebanyak RM300 perlu kami sediakan untuk membeli semua ini. Alhamdulillah syukur sangat Kerajaan Negeri berikan bantuan, harap diteruskan,” katanya.

Beliau antara 100 penerima bantuan susu dan lampin pakai buang yang diserahkan EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud di Dewan Serbaguna MPSJ Kampung Seri Aman semalam.

Sementara itu, Siti Nor Shafina Muhamad, 31, menyifatkan bantuan itu amat membantu dan merupakan keperluan penting bagi keluarga yang ada anak kecil.

“Dengan sumbangan ini amat melegakan kami. Makan minum boleh lagi diusahakan atau makan dulu apa yang ada, tetapi untuk anak kecil memang susu sahaja boleh isi perut mereka,” kata suri rumah itu.

Semalam, Dr Siti Mariah merasmikan program pemberian bantuan susu dan lampin pakai buang yang menyasar 5,600 penerima dengan dana RM336,000, yang akan diagihkan oleh Wanita Berdaya Selangor.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Banting sasar 60 penduduk B40 terima bantuan susu, lampin

SHAH ALAM, 10 NOV: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting menyasarkan 60 penduduk golongan berpendapatan rendah (B40) menerima bantuan susu dan lampin pakai buang bayi atau dewasa.

Wakil rakyatnya Lau Weng San berkata sumbangan yang boleh dimohon secara dalam talian dan Facebook sejak Ahad lalu turut mengutamakan individu terkesan pandemik Covid-19.

“Beberapa permohonan diterima dan kita sedang menelitinya. Sekiranya mereka memenuhi syarat ditetapkan, bantuan akan segera dihantar kepada mereka yang layak.

“Kita juga mempertimbang untuk tambah jumlah penerima sekiranya peruntukan mencukupi,” katanya kepada SelangorKini.

Pusat Khidmat Masyarakat DUN Banting bekerjasama dengan Pusat Wanita Berdaya (PWB) Banting untuk memberi bantuan susu dan lampin pakai buang bayi atau dewasa.

Mereka yang ingin memohon boleh mengisi borang dalam talian menerusi pautan https://forms.gle/N8uGF4sZoe8XFuof7 atau hubungi 012-873 4724 / 012-692 4724 atau layari Facebook Lau Weng San.

Dokumen yang diperlukan semasa penyerahan ialah Salinan Kad Pengenalan dan Salinan MyKid (jika ada).

Hanya permohonan yang diluluskan akan menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp untuk makluman penyerahan bantuan tersebut.