Categories
NASIONAL

Kerajaan Pusat patut percepat bantu mangsa banjir bukan tunggu hingga 4 bulan

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 14 JAN: Kerajaan Pusat patut bertindak adil dan pantas dalam menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kemaman dengan tidak berselindung di sebalik gimik politik.

Pengerusi Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu, Dr Azman Ibrahim, berkata antara ciri kebajikan adalah memberi ketika penerimanya berada dalam situasi memerlukan dan mempermudahkan urusan mereka.

Katanya, menyusahkan mangsa banjir dalam berurusan ibarat menambah batu kepada beban yang sedia digalas.

cap-keris“Kerajaan Terengganu dan Pusat mempunyai jentera pengurusan dan pentadbiran mencukupi untuk menguruskan semua ini.

“Kalau waktu Pilihanraya Kecil, biasa dilihat kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh masuk ke kampung-kampung, rumah ke rumah bagi mengagihkan bantuan ‘mi segera’ dalam tempoh kempen 10 hari atau 2 minggu,” kata Dr Azman dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata mangsa banjir mengeluh dengan karenah birokrasi untuk mendapatkan bantuan segera yang mengambil masa yang agak lama.

“Kena pergi jumpa JKKK untuk ambil borang, lepas tu kena pergi pula Pejabat Kebajikan Masyarakat untuk dapatkan pengesahan nama.

Kupon“Kemudian kena balik semula untuk dapatkan tandatangan JKKK akhir sekali kena pergi beratur di padang dari pagi sampai petang.

“Ada yang dapat barang tetapi ada yang cuma dapat baucar yang memaklumkan barangan akan diberi bulan April nanti,” kata beliau.

Dr Azman berkata, itu adalah keluhan mangsa banjir di Terengganu untuk mereka mendapatkan bantuan berupa TV, dapur, tilam, bantal dan peti sejuk yang dilekatkan dengan logo 1Malaysia, logo alat penimbang dan logo keris.

“Tak kan lah nak uruskan pembahagian TV, dapur, tilam dan peti sejuk sampai ambil masa tiga, empat bulan. Kecuali kalau di sebalik pemberian bantuan untuk rakyat ini, ada tangan- ghaib ‘di sebalik peti sejuk’ yang bersedia untuk mengenggam habuan.

“Mangsa banjir pula sebahagian besar mereka berada dalam situasi ‘total lost’ dan sangat memerlukan keperluan asas untuk meneruskan kehidupan,” kata beliau.

Dr Azman IbrahimKatanya, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada jentera bantuan banjir PAS dari awal mengagihkan periuk nasi elektrik (rice cooker) di samping barangan makanan kepada mangsa terlibat secara agihan terus rumah ke rumah tanpa mangsa banjir perlu ke sana ke mari bagi mendapatkan pengesahan itu dan ini yang menjengkelkan.

“Mangsa banjir pula bukannya tak dikenali kecuali kalau pemimpin Umno memang tak turun padang menyelami masalah rakyat, memang mereka tak akan kenal.

“Bermakna, kalau mangsa banjir nak tunggu dapur agihan Umno untuk buat memasak, jawabnya kebulur dululah rakyat, apa lagi yang terpaksa tunggu sehingga bulan April.

“Bantuan itu pula hak siapa? Kalau hak Umno, kenapa libatkan JKM? Kalau hak kerajaan, kenapa ada logo penimbang dan keris? Jangan lembu punya susu, sapi punya nama,” kata beliau.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kronologi misi bantuan kepada mangsa banjir di Rantau Panjang

Oleh  Nadia Syazneen

Hari ini, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Kelantan mengambil inisiatif di atas bencana alam yang berlaku di kawasan Rantau Panjang, Kelantan.

Turut hadir untuk misi ini ialah YB Ustaz Ahmad Marzuk Shaary dan YB Siti Zailah Mohd Yusuf. Misi kali ini juga di sertai oleh beberapa NGO lain termasuk Pemuda Pas Bachok dan unit Amal Bachok, AMK Kelantan, Doktor Papisma, NGO R, dan Ambang 13.

Misi Bantuan Mangsa Banjir Rantau Panjang 2Sebanyak 9 buah kenderaan telah berkonvoi ke Rantau Panjang dengan membawa bantuan bekalan makanan untuk di bahagikan kepada mangsa banjir. Misi pada kali ini mendapat sumbangan dari pihak NGO dan orang ramai.

Berikut merupakan kronologi Misi Bantuan kepada Mangsa Banjir Di Rantau Panjang, Kelantan:

12 tengah hari : Semua NGO  berkumpul di hadapan petronas Wakaf Che Yeh sebelum meneruskan perjalanan ke Rantau Panjang. Sebanyak 9 buah kenderaan berkonvoi menyertai misi bantuan kepada mangsa banjir di Rantau Panjang.

Misi Bantuan Mangsa Banjir Rantau Panjang 72 petang : Selepas solat Zohor berjemaah kami meneruskan perjalanan dan singgah di salah sebuah pusat pemindahan mangsa banjir di SK Gual Tinggi. Seramai 550 mangsa di tempatkan di sini. Menurut salah seorang mangsa yang tinggal di Jalan Sekolah Cina, rumahnya dinaiki air sehingga paras dada.

3 petang : Misi kami meneruskan perjalanan ke kawasan lain yang juga mengalami masalah banjir. Destinasi kami adalah Kg Banggol Kulim. Walaupun paras air telah surut sedikit tetapi penduduk di sini masih memerlukan bantuan bekalan makanan kerana ada di antara mereka yang masih sukar untuk keluar mendapatkan bekalan makanan.

5 petang : Misi selesai apabila barang telah diagihkan kepada mangsa yang memerlukan. Semua NGO memulakan perjalanan pulang dan bersurai.

Misi Bantuan Mangsa Banjir Rantau Panjang 1Misi pada kali ini merupakan misi bantuan banjir sepertimana yang dilakukan oleh SAMM Pahang, SAMM Terengganu dan lain-lain. Insya-Allah, misi seperti ini akan menyusul di atas inisiatif dan sumbangan dari orang ramai.

SAMM Kelantan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua NGO yang turut terlibat pada misi kali ini dan kepada orang awam yang memberikan sumbangan.

Bagi yang ingin memberikan sumbangan sila salurkan sumbangan anda kepada akaun (Maybank) Solidariti Anak Muda 5550 4111 3224 (sila sms makluman kepada 012-6937908).

* Nadia Syazneen ialah Pengarah Propaganda SAMM Kelantan (7 Disember)

Categories
SELANGOR

Ibu Tunggal Terharu Terima Bantuan

PETALING JAYA 23 JUN : Seorang ibu tunggal melahirkan kesyukuran apabila kesusahan hidupnya mendapat perhatian DUN Taman Medan dengan menerima bantuan kewangan sejumlah RM500.

Suri rumah, Julieza Yahya, 41, berkata, beliau hanya bergantung pada upah menjahit yang diusahakan di rumah bagi menyara empat orang anaknya selepas kematian suami akibat sakit beberapa tahun lalu.

Malah katanya, bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Khidmat Masyarakat (JKM) untuk menyara keluarga juga tidak mencukupi memandangkan kos sara hidup kini semakin tinggi.

?Saya perlu bekerja keras bagi menanggung keluarga dan juga perbelanjaan rumah. Setelah kematian suami, segala beban dan tanggungjawab perlu digalas apatah lagi anak-anak masih bersekolah,” katanya.

Menurutnya, beliau sama sekali tidak menyangka permohonannya untuk mendapatkan bantuan diluluskan DUN dalam masa singkat.

Tambahnya, selain bantuan kewangan, DUN Taman Medan turut memberi bantuan cermin mata kepada salah seorang anaknya.

“Saya berasa terkejut dan sangat terharu apabila DUN memberi saya bantuan ini. Walaupun nilainya kecil, tetapi ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban. Saya amat berbesar hati,” ujarnya.

Sementara itu, Adun Taman Medan, Haniza Talha berkata, pemberian bantuan yang diserahkan kepada keluarga kurang bernasib baik itu adalah berdasarkan kepada permohonan yang diterima.

Selain bantuan kewangan katanya, DUN turut membantu insan kurang bernasib baik mendapatkan bantuan kebajikan lain sekiranya ia diperlukan dan ada keperluan mendesak.

?DUN memang ada menyediakan peruntukan kepada golongan kurang bernasib baik terutama ibu tunggal. Ini menunjukkan kerajaan Pakatan Rakyat benar-benar prihatin pada rakyat yang kurang bernasib baik,” jelasnya.

Categories
SELANGOR

Warga Emas, Kanak-kanak Miskin Sungai Kandis Terima Sumbangan

 

KLANG 27 MEI : Selari dengan matlamat Kerajaan Selangor yang mengutamakan kebajikan dan keprihatinan terhadap rakyat, Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar telah menyampaikan bantuan ke lapan buah keluarga warga emas di Sungai Kandis, di sini.

Dalam lawatannya ke Sungai Kandis baru baru ini, Dr Xavier juga sempat melawat pertandingan futsal di mana beliau menyampaikan sumbangan basikal kepada kanak kanak dari keluarga berpendapatan rendah.

Beliau diiringi di kedua-dua program oleh Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam Manap Yusoff dan orang kampung Sungai Kandis.

Pertandingan Futsal itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu dewasa, remaja dan kanak-kanak. Sebanyak 25 pasukan telah mengambil bahagian pada hari itu.

Dr Xavier menyerahkan sebanyak 3 buah basikal kepada 3 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah. Program sumbangan basikal dan subsidi yuran bas sekolah adalah program yang telah dijalankan secara berterusan sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor sejak Mac 2008 yang lalu.