Categories
AGENDA NASIONAL

Kes lewat kesan barah meningkat, kesedaran rakyat masih rendah

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Kesedaran mengenai kanser dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah yang menjadi punca peningkatan kes lewat dikesan iaitu hanya setelah berada di tahap tiga dan empat.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kes lewat dikesan iaitu hanya setelah berada di tahap tiga dan empat telah meningkat daripada 58.7 peratus pada 2007 hingga 2011 kepada 63.7 peratus pada 2012 hingga 2016.

“Kalau kita dapat kesan kanser lebih awal maka kemungkinan kita dapat rawat dan pulih atau dapat mengawal kanser adalah lebih tinggi.

“Pengesanan lewat ini menjadi masalah, kadar peningkatan peratusan ini amat membimbangkan kerana Malaysian Study on Cancer Survival yang telah diterbitkan beberapa tahun lepas menunjukkan semakin lewat kanser dikesan, semakin rendah kadar survival pesakit,” katanya ketika berucap dalam Program Hari Bersama Pesakit Kanser sempena Sambutan Hari Kanser Sedunia 2022.

Beliau berkata kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan dalam mengenal pasti ruang penambahbaikan termasuk penerangan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pengesanan dan saringan awal kesihatan.

Berkongsi pengalaman kehilangan bapanya Datuk Jamaluddin Abu Bakar, yang meninggal dunia akibat kanser pada 1992, Khairy berkata keluarga pesakit kanser juga memerlukan sokongan terutama golongan B40 dan penjaga tunggal bagi pesakit kanser kerana mereka turut mengalami tekanan tinggi dari segi mental.

Beliau berkata kerajaan telah melaksanakan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) bagi membantu golongan itu menjalani saringan kesihatan secara percuma namun lebih sejuta individu yang layak iaitu golongan B40 berusia 40 tahun ke atas tidak memanfaatkan kemudahan tersebut.

Katanya Malaysia turut berdepan masalah penyakit tidak berjangkit yang tinggi seperti kencing manis, darah tinggi dan kardiovaskular yang seterusnya akan menyebabkan komplikasi jika mereka dijangkiti Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: CanSEL beri peluang orang ramai buat saringan cegah barah

SHAH ALAM, 5 FEB: Program Kanser Selangor (CanSEL) yang diperkenal Kerajaan Negeri memberi peluang kepada orang ramai membuat saringan bagi mencegah barah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata saringan itu meliputi ujian mamogram, kolorektal dan prostat sehingga ke tahap pengesahan penyakit.

“Bersama kita fahami dengan lebih mendalam dan libatkan diri dalam mencegah barah di kalangan keluarga dan komuniti kita,” katanya di Twitter.

Amirudin berkata Shah Alam, Petaling Jaya dan Subang Jaya dipilih sebagai bandar kedua di Asia menyertai City Cancer Challenge seperti diumum Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin Kanser Dunia di Nur-Sultan (Astana), Kazakhstan pada 15 Oktober 2019.

“Kawasan Greater Petaling ini menyertai gerakan bandar-bandar yang sedang membangun di serata dunia untuk berkolaborasi dengan semua pemegang taruh untuk membangunkan sistem pencegahan, pengawalan dan rawatan kanser yang lebih holistik dan berkesan kepada warga Selangor,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sambutan Hari Kanser Sedunia disambut 4 Februari setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan masyarakat mengambil bahagian dalam usaha pencegahan serta pengawalan barah.

“Tahun ini, tema “Close the Care Gap” dipilih dalam tujuan meningkatkan kesaksamaan rawatan pesakit kanser secara lebih umum,” katanya lagi.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Jersi Selangor FC miliki tema bermakna, moga tempa kejayaan musim baharu

SHAH ALAM, 4 FEB: Dato’ Menteri Besar menyifatkan jersi Selangor FC (SFC) di tempat lawan musim ini memiliki tema bermakna.

Dato’ Seri Amirudin Shari mengakui rata-rata peminat teruja dengan reka bentuk jersi pasukan berkenaan.

“Syabas pengurusan SFC ! Semoga musim ini berjaya menempa kejayaan,” tulisnya di Twitter malam ini.

Petang tadi, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor melancarkan jersi SFC di tempat lawan yang menampilkan reben penyakit barah sebagai simbol rasmi.

Tengku Amir Shah yang juga pengerusi SFC bertitah pemilihan reben diletakkan di belakang jersi itu sebagai sokongan kepada pesakit yang berjuang melawan penyakit kronik berkenaan.

Program itu turut menampilkan ketua pasukan SFC Brendan Gan yang berkongsi pengalamannya untuk sembuh barah testis dihidapinya pada Julai tahun lalu

Ketua Pasukan Selangor FC Brendan Gan merupakan bekas pesakit barah yang berjuang melawan penyakit itu sehingga sembuh. Foto Twitter Selangor FC

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Jersi ‘away’ Selangor FC tampil mesej sokong pejuang lawan barah

PETALING JAYA, 4 FEB: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor hari ini melancarkan jersi Selangor FC (SFC) di tempat lawan yang menampilkan reben penyakit barah sebagai simbol rasmi.

Tengku Amir Shah yang juga pengerusi SFC bertitah pemilihan reben yang diletakkan di belakang jersi itu sebagai sokongan kepada pesakit yang berjuang melawan penyakit kronik berkenaan.

“Ini juga menghargai sokongan keluarga dan rakan kepada pesakit barah yang bersama mengharungi saat sukar sepanjang rawatan.

“Diharap kempen ini meningkatkan kesedaran masyarakat untuk membuat saringan bagi mencegah sebarang penyakit dengan lebih awal,” titah Baginda pada majlis di Sunway Pyramid Convention Centre di sini.

Raja Muda turut berkenan merasmikan kempen ‘Lets Cope with A Neon Hope” sempena Hari Barah Sedunia yang disambut pada 4 Februari setiap tahun.

Baginda juga menyerahkan sumbangan RM15,000 daripada SFC kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Majlis Kanser Negara.

Program itu turut menampilkan ketua pasukan SFC Brendan Gan yang berkongsi pengalamannya untuk sembuh barah testis dihidapinya pada Julai tahun lalu.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Puluhan ribu terkorban, barah ancam nyawa

SHAH ALAM, 2 NOV: Sebanyak 48,639 kes baharu barah di Malaysia pada tahun 2020 melibatkan 29,530 kematian. Wanita merekod 25,587 kes berbanding 23,052 lelaki.

Menurut Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Barah (IARC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 128,018 orang menghidap pelbagai jenis kanser dalam tempoh lima tahun di negara ini.

Wartawan AFIX REDZUAN menyusun maklumat enam jenis barah yang banyak berlaku dalam tempoh lima tahun di Malaysia hingga 2020 walau kadar kematian berbeza-beza bagi setiap jenis.

Payudara

  • cenderung menyerang wanita
  • ketumbuhan baharu terjadi di organ lain jika sel barah merebak. Ia dikenali barah sekunder atau metastasis
  • tahap empat tidak boleh dirawat manakala tahap lain boleh sembuh
  • sebanyak 29,453 kes dalam lima tahun
  • kes tertinggi 8,418 melibatkan 3,503 kematian

Faktor

  • usia dan keturunan
  • wanita 100 kali ganda lebih berisiko
  • ada sejarah barah lain
  • masalah haid
  • penyusuan bayi
  • pengambilan alkohol
  • jarang bersenam

Gejala

  • ketulan atau bengkak tidak sakit, keras dan tidak sekata
  • bengkak sebahagian payudara
  • kulit jadi kedut
  • puting ke dalam atau sakit
  • kemerahan atau berkeruping pada puting atau kulit payudara
  • lelehan dari puting (kekuningan atau darah) selain susu
  • ketulan pada ketiak

Usus (KOLON)

  • usus besar terdiri daripada kolon (colon) dan rektum (rectum)untuk proses pembuangan najis
  • lima hingga enam kaki pertama usus besar adalah kolon dan rektum adalah enam inci panjang yang berakhir di dubur
  • sebanyak 9,892 kes dalam lima tahun
  • kes ketiga tertinggi 3,816 melibatkan 2,035 kematian

Faktor

  • usia dan keturunan
  • ada penyakit radang usus
  • ada sejarah barah lain

Gejala

  • kerap kembung, sebu dan kejang perut
  • turun berat badan
  • najis warna merah atau terlalu gelap
  • saiz najis kecil atau leper

Prostat

  • ketumbuhan bermula daripada kelenjar prostat
  • kerap berlaku dalam kalangan lelaki
  • sebanyak 7,916 kes dalam lima tahun
  • kes ketujuh tertinggi 2,146 melibatkan 900 kematian

Faktor

  • usia dan keturunan
  • hormon

Gejala

  • aliran air kencing tidak lancar
  • kerap rasa hendak kencing waktu malam
  • sakit atau pedih semasa kencing
  • sakit semasa ejakulasi (pancutan mani)
  • ada darah dalam air kencing atau air mani

Usus (Rektum)

  • usus besar terdiri daripada kolon dan rektum untuk proses pembuangan najis
  • lima hingga enam kaki pertama usus besar adalah kolon dan rektum adalah enam inci panjang yang berakhir di dubur
  • sejumlah 7,622 kes dicatat dalam tempoh lima tahun
  • kes keempat tertinggi sebanyak 2,690 melibatkan 1,385 kematian

Faktor

  • usia dan keturunan
  • ada penyakit radang usus
  • ada sejarah barah lain
  • pemakanan dan ubatan
  • tabiat merokok

Gejala

  • kerap kembung, sebu dan kejang perut
  • turun berat badan
  • najis warna merah atau terlalu gelap
  • saiz najis kecil atau leper

Hidung

  • bermula di pangkal hidung (nasopharynx)
  • sejumlah 6,985 kes dicatat dalam tempoh lima tahun
  • kes kelima tertinggi 2,222 melibatkan 1,450 kematian

Faktor

  • keturunan
  • diet
  • terdedah kepada habuk dan asap
  • pengambilan alkohol

Gejala

  • hidung berdarah, tersumbat atau berair
  • kurang pendengaran (sebelah telinga sahaja)
  • berdengung dalam telinga (tinnitus)
  • telinga tersumbat
  • bengkak di leher
  • sakit kepala
  • penglihatan berganda (diplopia)
  • kebas bahagian muka
  • sukar buka mulut
  • kelopak mata atas tertutup (drooping of upper eyelid)
  • suara serak

Leukemia

  • akibat lebihan sel darah putih dalam sum-sum tulang
  • sejumlah 6,113 kes dicatat dalam tempoh lima tahun
  • kes kesembilan tertinggi 1,905 melibatkan 1,481 kematian

Faktor

  • tinggal berhampiran bekalan kuasa voltan tinggi
  • persekitaran
  • keturunan
  • kurang daya tahan melawan penyakit (immunodeficiency)

Gejala

  • kerap demam dan mudah kena jangkitan
  • lemah, letih dan lesu
  • kurang selera makan dan berat badan menurun
  • bengkak dan gusi berdarah
  • sakit kepala
  • sakit tulang dan sendi
  • kelenjar bengkak