Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

UAE sumbang hampir 10,000 barangan asas kepada mangsa banjir Selangor

SHAH ALAM, 4 JAN: Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyumbang 9,600 barangan keperluan asas kepada mangsa banjir di negeri ini semalam.

Barangan berupa beras, minyak masak, tepung gandum dan gula serta kit pencuci seperti berus gigi, tuala wanita dan cecair pencuci tangan diserahkan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Datuk bandar Shah Alam berkata kesemua barangan terbabit akan diedar kepada mangsa banjir yang dikenal pasti dalam tempoh terdekat khususnya mangsa di Taman Sri Muda.

“Kita berterima kasih kepada UAE yang melalui Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) mereka menyampaikan sumbangan ini bagi membantu mangsa yang terkesan.

“Kita mempunyai data mangsa yang benar-benar terkesan yang diperoleh dari ahli majlis. Kita akan serahkan dalam tempoh terdekat,” kata Dato’ Zamani Ahmad Mansor.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan berkenaan dari wakil PBSM UAE Mohamed Salim Aljunabi di Wisma MBSA semalam.

Sebelum ini, MBSA mengedar makanan asas dan keperluan diri kepada mangsa banjir yang berlindung di Dewan Dahlia, Seksyen 24 di sini.

Pihak berkuasa tempatan itu menerusi Twitter berkata bantuan berkenaan berupa minyak masak, biskut, air mineral, lampin pakai buang dan tuala wanita yang disampaikan oleh kakitangannya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dewan Rakyat tumpu isu kenaikan harga barangan asas

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Isu berkaitan kenaikan harga barang keperluan asas yang dialami rakyat ketika ini dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan itu diajukan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) kepada Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan Menteri.

Anwar ingin tahu mengenai tindakan segera dan langkah efektif bagi jangka pendek, sederhana dan panjang yang akan diambil Majlis Tindakan Kos Sara Hidup dalam menangani isu kenaikan harga barangan.

Pada sesi sama, Perdana Menteri turut diminta menyatakan tindakan diambil kerajaan agar umat Islam di negara ini tidak tertinggal dalam menyahut hasrat Gagasan Keluarga Malaysia yang dilancarkan pada 23 Okt lepas.

Soalan itu diajukan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang turut ingin tahu sama ada gagasan itu membantu usahawan Muslim yang terkesan akibat COVID-19 dalam tempoh 100 hari.

Selain itu, Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) bertanya kepada Menteri Perpaduan Negara mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang dirangka bagi sambutan Hari Thaipusam pada 18 Jan 2022 supaya pihak kuil terlibat serta penganut Hindu boleh membuat persediaan awal untuk sambutan perayaan itu.

Turut dijangka menjadi tumpuan pada sesi soal jawab, adalah soalan sama ada kerajaan berhasrat memberikan kuasa pendakwaan kepada penguat kuasa seperti Jabatan Alam Sekitar supaya tindakan dapat terus diambil terhadap pihak yang mencemari sungai dan udara.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) memohon penjelasan berhubung langkah kerajaan bagi meningkatkan pendapatan isi rumah khususnya golongan B40, namun dalam masa sama mengurangkan kebergantungan secara langsung terhadap bantuan tunai semata-mata.

Selesai sesi itu, Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat Jawatankuasa.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Disember ini.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPHS santuni 36 kakitangan India, serah sumbangan Deepavali

SHAH ALAM, 30 OKT: Seramai 36 kakitangan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) beragama Hindu menerima sumbangan sempena sambutan Deepavali minggu depan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkata pada program Ziarah Deepavali 2021, pihaknya menyerahkan sumbangan berupa barangan keperluan dan penyediaan bagi perayaan berkenaan.

“Yang DiPertua MPHS Mohd Hasry Nor Mohd meluangkan masa serta beramah mesra dengan kakitangan dan seterusnya menyampaikan sumbangan tersebut,” tulis PBT itu di Facebook.

Katanya, majlis tersebut turut dihadiri enam Ahli Majlis iaitu A Kanagarajah, S Murali, L Kamalesa Rao, A Durai, S Chinniah dan J Marina.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB tinjau bilik gerakan SM Sains Banting, salur bantuan barangan asas

KUALA LANGAT, 27 APRIL: Dato’ Menteri Besar turun padang meninjau bilik gerakan di Sekolah Menengah (SM) Sains Banting yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin mendengar taklimat tertutup oleh Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim berhubung situasi terkini.

Beliau kemudian menyampaikan bantuan barangan asas untuk menampung keperluan sepanjang tempoh PKPD.

Ketika ditemui pemberita, beliau berkata seramai 92 individu di sekolah itu positif Covid-19 setakat hari ini.

“Saya dimaklumkan ujian saringan kedua akan diadakan pada 29 April dan 1 Mei, sama-sama kita berdoa semoga tiada lagi kes positif, Insya-Allah,” katanya.

Pelaksanaan PKPD di SM Sains Banting bermula 24 April hingga 7 Mei.

Kuarantin melibatkan seramai 966 individu terdiri 836 pelajar, 70 guru, 21 kakitangan, enam warden asrama, 20 pekerja dewan makan, enam pekerja pembersihan dan tujuh pekerja keselamatan.

Kes indeks pertama melibatkan seorang pelajar tingkatan satu yang dikesan bergejala pada 12 April serta disahkan positif pada 15 April manakala kes kedua dan ketiga pula melibatkan kontak rapat kepada kes pertama.