Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan bangga petugas gigih percepat suntikan vaksin

SHAH ALAM, 22 JULAI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan rasa bangga dengan kegigihan pihak yang berusaha mempercepat proses vaksinasi penduduk negeri itu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga mendoakan pengorbanan mereka mendapat ganjaran setimpal.

“Setakat semalam sejumlah 2.95 juta dos vaksin diberikan kepada penduduk Selangor dengan 46.9 peratus rakyat terima suntikan pertama manakala 15.27 peratus telah lengkap pelalian.

“Baginda juga menzahirkan penghargaan khas kepada petugas hadapan dan sukarelawan di hospital dan pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh Selangor yang bertungkus lumus bertugas pada Hari Raya Aidiladha lalu,” menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Office malam ini.

Sultan Selangor turut menitahkan supaya kadar vaksinasi negeri ini diperluaskan lagi bagi mengurangkan jumlah kematian.

Semalam Selangor merekodkan kes kematian tertinggi dengan 84 kes membabitkan 45 kaum lelaki serta 39 wanita.

Daripada jumlah itu 63 pesakit meninggal dunia di hospital manakala selebihnya sebelum tiba di hospital (BID).

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bertugas di Aidilfitri bukan beban bagi petugas hadapan

KANGAR, 13 MEI: Ketika orang lain bersama keluarga di rumah menyambut 1 Syawal, ada insan yang terpaksa bertugas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Mereka adalah wira yang tidak pernah kenal erti penat dan lelah, terus memerah keringat sejak wabak pandemik mula mendarat di negara ini awal tahun lepas.

Seorang anggota polis Konstabel Ahmad Kamil Mohamad, 26, dari Balai Polis Kangar berkata tahun ini merupakan tahun ketiga beliau tidak dapat beraya bersama isteri dan keluarga di kampung.

“Bagi saya ia bukan satu beban tetapi satu amanah yang perlu dilaksana oleh seorang anggota polis…setiap kali bertugas ketika raya, isteri saya akan bekalkan juadah raya seperti ketupat dan rendang daging.

“Walaupun tidak dapat beraya bersama keluarga sekurang-kurangnya dapat makan masakan air tangan isteri sudah dapat memberi kegembiraan kepada saya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Turut berkongsi pengalaman yang sama, seorang jururawat di sebuah hospital kerajaan, Nur Zairah Mat Lazim, 30, yang bertugas pada hari raya buat kali kedua tahun ini.

“Pada awal dahulu saya rasa agak kekok, namun sekarang tidak rasa sedih sangat kerana dihiburkan oleh rakan-rakan sekerja,” katanya.

Ibu kepada seorang anak itu berkata walaupun terpaksa meninggalkan anak berusia empat tahun di rumah bersama adik, keadaan itu tidak mengganggu tumpuannya melakukan tugas di wad kecemasan.

Bagi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sani Abu Bakar, 43, ini adalah pengalaman pertama beliau tidak dapat beraya bersama keluarga kerana bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Sanglang.

“Oleh kerana ini adalah kali pertama dipilih bertugas, sudah pasti saya merasa sayu untuk tinggalkan empat orang anak dan isteri beraya sendirian di rumah, namun apa yang lebih penting bagi saya adalah tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas media juga anggota barisan hadapan – wartawan veteran

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Beberapa wartawan veteran mengatakan bahawa wartawan harus selalu berada di lapangan di mana aksi berlaku dan oleh yang demikian mereka juga boleh dikategorikan sebagai barisan hadapan.

Aksi tersebut mungkin berupa peristiwa, bencana alam, kemalangan jalan raya atau insiden penembakan, dan untuk melaporkan dengan sebaik-baiknya mereka terpaksa turun padang.

Tidak ada bezanya juga dalam hal meliputi peristiwa yang berkaitan dengan pandemik Covid-19 seperti sekatan pergerakan, sekatan jalan raya, pengedaran makanan dan sebagainya.

Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar berkata para petugas media ini mahu tidak mahu terpaksa melaporkan pelbagai kegiatan dan aktiviti membabitkan Covid-19.

Mengambil contoh situasi pandemik koronavirus kini, bekas Pengerusi Media Prima Bhd dan bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu itu berkata ini termasuk merisikokan diri berada di mana-mana tempat yang berlaku wabak berkenaan seperti hospital, kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan pusat kuarantin supaya apa yang berlaku di tempat ini dapat digambarkan dengan jelas kepada masyarakat.

“Tetapi tidak pula pernah disebut ‘frontliner’ (barisan hadapan) itu terdiri daripada para wartawan, ini sepatutnya berlaku sebab dalam apa keadaan sekali pun para wartawan akan berada di hadapan,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini dilaporkan beberapa petugas media dikesan positif Covid-19 selepas membuat liputan berita, termasuk seorang petugas media yang membuat liputan Pilihan Raya Negeri Sabah tahun lalu.

Tidak keterlaluan juga, menurut Johan, sekiranya para petugas media ini diletakkan sebagai golongan terawal menerima suntikan vaksin Covid-19 atas faktor sifat pekerjaan mereka ini.

Turut senada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Chamil Wariya yang menzahirkan harapan kepada pihak berkuasa untuk mempertimbang cadangan menyenaraikan petugas media sebagai golongan terawal menerima suntikan itu.

Beliau berkata ia menjadi satu keperluan kepada golongan berkenaan kerana wujud kebarangkalian mereka bertembung pembawa Covid-19 yang tidak bergejala ketika menjalankan tugas.

“Misalnya, mereka (wartawan) mengikuti rombongan pemimpin melawat ke tempat tertentu, mislanya tempat yang menempatkan pesakit Covid-19. Secara langsung mereka ini terdedah (kepada Covid-19) walaupun mereka patuh segala tatacara operasi piawai (SOP).

“Mereka ini mempunyai tugas penting untuk mencari maklumat, menemu ramah, seterusnya menyalurkan maklumat itu kepada orang ramai. Itulah pentingnya vaksin ini kepada mereka,” katanya.

Menurut Chamil, sejumlah 2,000 sehingga 3,000 suntikan vaksin sudah memadai bagi menampung jumlah keseluruhan petugas media di Malaysia.

Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) Abdul Rashid Yusof tidak menolak bahawa teknologi boleh membantu petugas media membuat laporan tanpa turun padang, namun untuk menyampaikan gambaran sebenar sesuatu peristiwa, ‘sentuhan manusia’ tetap penting.

“Media diharap untuk menginsankan naratif. Bagi menginsankan sebuah cerita, anda sentiasa akan memerlukan petikan. Ya…teknologi telah membantu ini tetapi wartawan masih perlu turun untuk bersemuka.

‘Malah, teknologi telah memaksa had kelajuan bagi penyaluran berita sebanyak 100 kali ganda. Oleh itu, wartawan sentiasa perlu bergerak,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas barisan hadapan PKRC MAEPS 2.0 tabah melangkah tahun baharu

SERDANG, 1 JAN: “Mungkin kerana saya berkorban, Allah permudahkan urusan saya,” kata seorang petugas barisan hadapan, Intan Rosmawannie Adlan, yang bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (PKRC MAEPS 2.0).

Intan Rosmawannie, 34, yang merupakan pegawai penyelaras Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) PKRC MAEPS 2.0 bekerja di di pusat itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada Mac 2020.

Terdahulu dari bulan Oktober hingga Disember 2019, beliau membuat persiapan menghadapi monsun timur laut, sebelum jangkitan Covid-19 pertama dikesan dalam negara awal tahun 2020, yang meletakkan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai penyelaras data bagi individu di bawah pengawasan (PUS) yang baru tiba dari luar negara.

Menurut Intan, beliau masih melaksanakan tugas yang sama di KLIA sehingga sekarang, sebagai tambahan kepada kedudukan beliau sebagai penyelaras NADMA bagi PKRC MAEPS pertama dari Mac hingga Julai 2020 dan PKRC MAEPS 2.0 sejak awal Disember 2020.

“Cuti panjang tiada langsung, sejak Okt tahun lepas (2019). Cuti yang dibekukan pun tidak ‘cair’ lagi,” kata ibu kepada dua anak itu secara berseloroh.

“Saya harap diberi kekuatan untuk meneruskan kerja di sini. Sepanjang bekerja, Alhamdulillah saya tidak pernah sakit atau demam walaupun tempat yang saya pergi semua berisiko tinggi dan saya juga tidak pernah kena swab test sebab tiada gejala,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Intan mengakui bahawa ia merupakan tempoh yang sukar bagi keluarganya kerana beliau tidak dapat bersama untuk tempoh yang panjang seperti sebelumnya, dan pada masa yang sama suaminya yang bekerja dalam industri penerbangan pula telah kehilangan pekerjaan November lepas.

“Saya datang kerja, orang selalu nampak saya ‘happy’, tapi sebenarnya saya sedih sangat, keluarga macam terabai. Kalau ikutkan, saya juga ‘down’, suami saya juga ‘down’ sebab tiada kerja. Selalu terfikir mengenai kewangan kami,” katanya.

Bagi Timbalan Pengarah 2 PKRC MAEPS 2.0 Kol Dr Aeriza Mohd Yusak pula, beliau berharap para petugas barisan hadapan akan diberikan kesihatan dan kekuatan dalam menempuh saat yang sukar ini, dan menurutnya mereka yang bertugas memerangi pandemik semasa tempoh yang sukar ini, tidak kira sama ada petugas barisan hadapan atau sebaliknya, mereka telah melakukan pengorbanan yang amat besar kepada negara.

“.. dari segi tenaga, mental, fizikal dan serba serbi, ia adalah pengorbanan kepada setiap kita. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah, dan saya harapkan semua daripada kami petugas di sini dan semua ‘frontliners’ untuk meneruskan kerja,” katanya.

Dr Aeriza, 42, yang juga Pakar Perubatan Keluarga di Jabatan Perubatan Tentera Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, sebelum ini ditugaskan di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) pada bulan Jun lepas, sebelum ditukarkan ke PKRC MAEPS 2.0.

“Jadi tahun 2020 ini memang banyak yang berlaku dalam diri saya secara individu. Untuk PKRC MAEPS 2.0, ini lapangan baharu. Proses kerja dan pasukan sini semuanya baharu, jadi saya kena cepat adaptasi dengan apa yang baharu ini, supaya perjalanan menjadi lancar.

“Alhamdulillah, saya mempunyai suami yang sungguh memahami yang sokong saya daripada belakang, kerana tanpa dia sokongan ibu bapa, saya tidak akan sampai ke tahap saya berada hari ini,”katanya.

Terdahulu di PKRC MAEPS 2.0, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas) Datin Mastura Mohd Yazid melawat pusat kuarantin sementara, dan mengadakan mesyuarat dengan petugas barisan hadapan dari semua agensi.

Bercakap kepada media selepas lawatan itu Mastura berkata tahun 2020 merupakan tahun yang amat mencabar bagi seluruh rakyat Malaysia, terutama kepada petugas barisan hadapan yang berkhidmat kepada negara tanpa mengira waktu dan keselamatan sendiri.

Melihat kepada trend jangkitan Covid-19, beliau berkata rakyat Malaysia boleh membantu petugas barisan hadapan dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam memutuskan rantaian jangkitan, di samping menyuarakan empati.

– BERNAMA

 

Categories
PENDAPAT RENCANA

Jururawat wira barisan hadapan lawan Covid-19

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Berbeza dengan sambutan sebelum ini, Hari Jururawat Sedunia 2020 pastinya mencatat sejarah baharu dalam profesion kejururawatan termasuklah di Malaysia.

Ini kerana seluruh dunia sedang berperang melawan pandemik Covid-19 dan golongan jururawat merupakan antara wira barisan hadapan yang menjadi ‘benteng’ untuk membendung penularan wabak penyakit ‘pembunuh’ ini.

Mereka sebenarnya bukan sahaja berkorban masa, tenaga serta perasaan, bahkan ramai yang terpaksa berjauhan, meninggalkan anak isteri/suami serta insan-insan tersayang yang lainnya, demi menunaikan tugas untuk negara.

Tuntutan Tugas

“Kali terakhir saya pulang ke Perlis berjumpa isteri dan anak-anak ialah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

“Selalunya setiap minggu saya akan berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Perlis, tetapi kini sudah dua bulan saya tak dapat balik bertemu keluarga kerana tuntutan tugas selain arahan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tidak membenarkan rakyat merentas negeri kecuali atas urusan tertentu.

“Hanya panggilan telefon dan video menjadi pengubat rindu… Walaupun sedih, saya perlu tabah dan kuat demi tugas dan tanggungjawab,” demikian luahan hati Mohd Erwan Juslin, Ketua Jururawat Kesihatan yang bertugas di Unit Pemakanan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Dan Putrajaya.

Mohd Erwan adalah antara ribuan petugas kesihatan barisan hadapan yang bertugas menjalankan ujian saringan Covid-19 di Pusat Kesihatan Daerah Lembah Pantai, termasuk dalam bulan Ramadan ini.

Beliau yang sudah berkahwin berasal dari Beaufort Sabah. Isterinya, Zurina Hamdan yang berasal dari Perlis juga adalah seorang jururawat, kini bertugas di Unit Hemodialisis Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Pasangan ini yang sudah mendirikan rumah tangga selama 13 tahun mempunyai tiga orang cahaya mata iaitu dua orang putera dan seorang puteri, berusia dua hingga 10 tahun.

Paling Mencabar

Berhadapan krisis Covid-19, Mohd Erwan berkata ia adalah pengalaman paling mencabar serta menguji ketahanan mental dan fizikal sepanjang 15 tahun beliau bertugas sebagai jururawat.

“Kerinduan terhadap keluarga di samping tugas yang perlu diselesaikan. Berpanas dan berhujan, ujian saringan tetap perlu diteruskan termasuk pada bulan Ramadan memandangkan masih ada kes kluster baharu yang direkodkan.

“Memakai Peralatan Perlindungan Diri (PPE) semasa berpuasa amatlah mencabar, peluh mencurah-curah dan basah lencun! Jika bukan pada bulan puasa memakai PPE selama satu jam pun sudah kepanasan, dahaga dan bermandi peluh, apatah lagi pada bulan puasa.

“Namun begitu, mungkin keberkatan bulan Ramadan, penat tu terasa tetapi Alllah beri kekuatan untuk terus bertugas. Alhamdulillah setakat hari ini saringan dapat dijalankan dengan lancar.
“Saya juga sebenarnya turut menjalani ujian saringan kerana contact dengan pesakit yang positif namun syukur kesemua ujian yang dijalani menunjukkan saya negatif,” kata Mohd Erwan berkongsi pengalamannya dengan Bernama menerusi perbualan telefon.

Saling Menyokong

Kekangan tidak boleh bertemu anak-anak serta isteri, Mohd Erwan berkata hanya doa dan kata-kata semangat sering diucapkan bagi memberi kekuatan antara satu sama lain.

“Selain kasihan terhadap isteri kerana perlu menguruskan anak-anak sendirian ,saya juga sedikit bimbang kerana Zurina secara tidak langsung turut terlibat dengan Covid-19 kerana ada pesakit Covid-19 yang diarahkan untuk melakukan rawatan dialisis.

“Saya sentiasa mengingatkannya (isteri) agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam mengendalikan tugas bagi mengelak dari terkena jangkitan virus. Seluruh masyarakat juga perlu sama-sama menjaga diri dan mengamalkan normal baharu seperti lebih menitikberatkan soal kebersihan diri, sentiasa mencuci tangan dan amalan penjarakan sosial dalam membendung penularan virus ini,” katanya.

Ditanya berhubung pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri untuk berjumpa keluarga, beliau berkata ia ibarat satu rahmat buat dirinya sekeluarga.

“Di bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri, pastinya pengumuman ini sesuatu yang amat kami nanti-nantikan,” katanya.

Kelmarin (10 Mei), dalam perutusan khas yang disiarkan di stesen televisyen, Muhyiddin berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk memberikan kelonggaran berkenaan kerana difahamkan ada pasangan yang terpaksa tinggal berjauhan atas urusan kerja.

Perdana Menteri turut memohon supaya kerajaan negeri Sabah dan Sarawak agar dapat memberikan kelonggaran yang sama dan menambah bahawa permohonan itu boleh dibuat melalui aplikasi Gerak Malaysia atau hadir sendiri ke balai polis yang berdekatan.

Korban Tinggal Berasingan

Sementara itu, seorang jururawat di sebuah klinik swasta di Damansara, Siti Zaleha Zahabah mengambil keputusan untuk tinggal berasingan daripada anak-anak serta suami, sepanjang bertugas sebagai sukarelawan untuk Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Beliau memilih untuk tinggal di asrama Kompleks Institut Kesihatan Negara (NIH) di Setia Alam, Selangor bagi tujuan keselamatan dan untuk mengelakkan ahli keluarganya daripada risiko terkena jangkitan Covid-19.

Ibu kepada tiga orang puteri yang berusia antara tujuh hingga 11 tahun ini menzahirkan rasa syukur kerana sokongan suami, keluarga serta keluarga mentua yang tidak berbelah-bahagi untuk beliau meneruskan kerjaya termasuk membantu menguruskan anak-anak.

“Saya bertugas menjalankan ujian saringan Covid-19 dan dihantar bertugas ke lapangan mengikut jadual yang ditetapkan oleh JKNS. Antaranya di pusat kuarantin dan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti Pasar Borong Kuala Lumpur dan Selayang Baru.

“Berhadapan situasi ini sememangnya memberi sebuah pengalaman baharu buat saya sepanjang 10 tahun berkhidmat sebagai jururawat. Bukan sahaja terdedah kepada risiko, kami juga pada masa sama perlu bijak memainkan peranan dalam membantu mengatasi rasa takut individu dalam pemantauan (PUS).

“Saya berharap agar seluruh pasukan barisan hadapan khususnya jururawat terus cekal berjuang dan berkorban masa, tenaga dan perasaan di medan peperangan Covid-19 demi rakyat dan negara,” katanya.

Semangat Juang Tinggi

Terdapat pelbagai lagi kisah di sebalik perjuangan dan pengorbanan golongan jururawat.

Antaranya termasuklah kisah jururawat yang sudah bersara tetapi bersedia kembali bertugas sebagai sukarelawan bagi membantu petugas barisan hadapan menangani wabak Covid-19.

Biby Maideen, 68, menarik perhatian seluruh rakyat dengan semangat beliau untuk menabur bakti kepada negara.

Warga emas itu dikatakan berbincang dengan anak-anaknya sebelum menghantar permohonan menjadi sukarelawan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memohon agar doktor dan jururawat bersara kembali berkhidmat.

Antara kisah lain yang tular di media sosial juga ialah video bertajuk ‘Nurse Menangis Tinggal Keluarga Bertugas Perangi Covid-19’.

Video yang berdurasi 1.40 saat itu menunjukkan seorang wanita dengan pakaian jururawat menangis di luar rumah kerana tidak boleh mendekati ahli keluarganya.

Jururawat berkenaan dilihat mengesat air mata apabila dinasihati ibunya agar berhati-hati semasa bertugas dan sentiasa berserah kepada Allah.

“Tiap kali keluar rumah cakap kerana Allah Taala kerana cari rezeki… Jangan nangislah nak,” pesan ibunya di dalam video itu.

Semoga masyarakat terus menghormati serta menghargai jasa, bakti serta pengorbanan insan yang bernama jururawat ini.

Selamat Hari Jururawat Sedunia 2020. #KitaMestiMenang!

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Salam, pujian khas para ibu di barisan hadapan hadapi Covid-19

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Apabila Malaysia mula bergelut dengan Covid-19 sejak awal tahun ini dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seterusnya dalam mengawal pandemik itu, ramai ibu yang bekerja menyaksikan perubahan drastik dalam rutin harian mereka.

Sempena dengan Hari Ibu, salam dan pujian ditujukan kepada para ibu terutama yang terlibat di barisan hadapan dalam memerangi ancaman Covid-19.

Pengorbanan mereka sungguh tidak terkira, memandangkan mereka sanggup bekerja tanpa mengira siang dan malam di hospital dan di titikpanas jangkitan, berjauhan daripada ahli keluarga yang tersayang dan meletakkan diri mereka sendiri dalam risiko dijangkiti virus itu.

Bagi Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (Kanan) Nordayana Musa, 40, tugasan beliau tatkala negara dilanda pandemik Covid-19 pastinya jauh berbeza daripada sebelum ini apabila beliau diperlukan untuk bekerja 12 jam setiap hari tanpa mengira waktu selain mengorbankan cuti hujung minggu.

Beliau, yang bertugas di Unit Inspektorat dan Perundangan di Pejabat Kesihatan Titiwangsa di sini, bagaimanapun, berkata putus asa tidak pernah tertulis dalam kamus hidupnya memandangkan ia pengalaman berharga bersama rakan sejawatan dalam membantu negara menangani wabak ini.

“Semasa wabak Covid-19 ini, masa bersama keluarga agak terhad kerana bekerja tanpa mengira waktu. Alhamdulillah suami saya sedikit sebanyak membantu dalam meringankan tugasan rumah.

“Sebagai seorang ibu dan dalam masa yang sama seorang frontliner, dengan waktu yang terhad ini saya akan pastikan setiap hari akan berbual bersama keluarga dan memastikan anak menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru kelas mereka sepanjang tempoh PKP,” kata ibu kepada dua anak itu kepada Bernama.

Ditanya mengenai perancangan sambutan Hari Ibu, Nordayana berkata sambutan yang sebelum ini diraikan dengan makan di luar bersama keluarga mungkin tidak dapat dibuat untuk tahun ini kerana masih belum ada perancangan.

Namun sekiranya diberi peluang, wanita kelahiran Parit Buntar, Perak, itu hanya mahu menghabiskan masa bersama keluarga dan menyambut secara sederhana sebagai tanda memperingati tanggal itu.

Anggota polis Zawiyah Zakaria, 41, memberitahu Bernama beliau masih belum ada kesempatan untuk bersantai bersama anak, terutamanya ketika ditugaskan sebagai penyelia di kawasan Masjid India yang pernah diisytiharkan sebagai PKP Diperketatkan (PKPD).

Beliau, yang mempunyai lima orang anak berumur antara tiga hingga 17 tahun berkata sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lepas masih belum ada hari pelepasan buatnya menyebabkan beliau hanya sempat bersama dengan anak dalam masa dua atau tiga jam sahaja sehari.

“Anak memanglah merungut sebab kita tidak selalu ada. Semua sekarang bergantung kepada kakak (anak sulung), sebab saya kadang-kadang balik lambat atau tidak balik langsung. Mujur anak bongsu saya sudah terbiasa dengan kakak-kakaknya,” katanya yang bertugas di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Telah berkhidmat hampir 23 tahun sebagai anggota Polis Diraja Malaysia, Zawiyah menyifatkan pengalaman bertugas dalam tempoh pandemik ini sangat mencabar dari segi mental dan emosi.

Oleh itu, beliau berharap kepada pengakhiran wabak Covid-19 ini dan PKP dapat ditamatkan dengan jayanya supaya setiap keluarga dapat menikmati masa bersama.

“Sebab itu, saya memang sanjung kepada ibu-ibu barisan hadapan yang bijak bahagi masa demi tanggungjawab terhadap negara. Kerja kami memang berisiko tinggi, dan terdedah kepada bahaya. Jadi kalau kami balik rumah, macam mana dengan anak nanti?” katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, jururawat di bahagian Kecemasan dan Trauma Hospital Sungai Buloh, Anis Sabrina Shaharim, 29, berkata dengan keadaan semasa pandemik Covid-19 ini masa bersama keluarga sangat terhad kerana lebih banyak masa dihabiskan di tempat kerja.

Bagaimanapun, ibu kepada dua anak itu sentiasa bersyukur kerana masih pulang dengan disambut anak dan suami di rumah berbanding dengan mereka yang terpaksa tinggal berjauhan dari keluarga ketika tempoh sukar ini.

“Tapi kadang-kadang sedih kalau anak atau anggota keluarga kami kurang sihat sebab kami bukan boleh suka-suka ambil cuti untuk jaga mereka, jadi kena kuatkan hati fikir baik-baik dan urus sendiri. Kami kena berkorban demi menjaga pesakit yang memerlukan kami juga,” katanya.

Menceritakan tentang suasana di tempat kerjanya sekarang, beliau berkata keadaan telah banyak berubah sejak hospital itu ditukar menjadi tempat rawatan khusus untuk kawalan penyakit berjangkit.

Tambahnya, cabaran kerja juga semakin bertambah apabila mereka terpaksa akur menghadap pesakit yang belum pasti keputusan saringan, sekaligus memerlukan pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap sepanjang masa.

“Untuk pulang ke rumah pun kena jaga kebersihan diri betul-betul sebelum jumpa keluarga. Kadang-kadang jadi tidak yakin dengan diri sendiri sebab virus dan kuman kita tidak nampak. Saya hanya berserah dan tawakkal kepada Allah sahaja dan supaya virus ini lenyap daripada muka bumi.”

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Inovasi rakyat bantu lindungi petugas barisan hadapan

Categories
PENDAPAT RENCANA

Fikirlah: Terima kasih wira negara!

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 31 MAC: “Ibarat berada di medan perang”.

Mungkin tidak keterlaluan memberi gambaran ini untuk situasi yang perlu dihadapi oleh barisan petugas kesihatan dalam ketika negara berhadapan dengan penularan wabak penyakit Covid-19.

Berisiko untuk dijangkiti virus maut ini namun semangat mereka tetap kental untuk memberi rawatan terbaik kepada pesakit Covid-19.

Ketika orang lain santai di rumah, menonton televisyen, bergembira bersama keluarga, atau pun bertugas dari rumah kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pasukan petugas ini bagaikan berada di “medan perang”. Mereka terpaksa melawan “musuh” yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar, mempertaruhkan nyawa sendiri demi menyelamatkan nyawa orang lain.

Risiko mereka terdedah pada virus yang boleh membawa maut senantiasa ada ditambah pula dengan skala waktu kerja tanpa henti. Letih, lesu, tekanan, tidak perlu diulang kerana itulah hakikatnya. Saban hari ada sahaja kes Covid-19 yang baharu, sehinggakan ada yang terpaksa bekerja lebih masa.

Malah, gambar para petugas kesihatan yang tertidur di kerusi, lantai hospital akibat keletihan yang tular di media sosial sangat memilukan.

Terbaharu, satu video berdurasi 4.34 saat yang bertajuk “Dengar Doktor Menangis Terlalu Penat” di Facebook yang merayu orang ramai untuk beri kerjasama duduk di rumah sepanjang tempoh PKP, begitu meruntun hati sebahagian besar masyarakat.

Video yang dikongsi seramai 165,000 netizen setakat jam 12.32 tengah hari 24 Mac lepas, memaparkan pengorbanan besar petugas kesihatan untuk menyelamatkan nyawa pesakit, ada yang kelihatan begitu keletihan dan ada juga yang sedih tidak dapat menunaikan solat di awal waktu.

Sememangnya, segala keringat perih mereka ini tidak terhitung nilainya. Namun begitu, sebagai manusia biasa, mereka juga tidak terkecuali untuk berasa terkilan dengan sikap pentingkan diri segelintir masyarakat.

Dalam video itu, kedengaran sungguh jelas suara kesedihan meluahkan rasa kekecewaan dengan sikap beberapa individu yang tidak jujur ketika datang untuk mendapatkan rawatan dengan menyembunyikan maklumat berkaitan Covid-19.

Petugas perubatan Hospital Sungai Buloh dan Kementerian Kesihatan berterima kasih kepada Raja Permaisuri Agong yang menyumbangkan pek makanan ketika mereka menjalankan tugas merawat pesakit Covid-19. Foto Facebook Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

“Lebih teruk, ada yang degil dan menipu. Ada yang kontak terus dengan pembawa Covid-19 enggan mengaku. Datang ke hospital tidak jujur bercerita dan setelah mereka disahkan Covid-19 positif, menangis doktor yang merawat mereka.

“Kini mereka pula yang kena kuarantin. Sedarlah semua. Ada nurse yang mengandung menangis teruk selepas ada kontak terus dengan pesakit yang kononnya demam biasa dan tiada hubungan dengan pembawa Covid-19. Kasihanilah mereka,” antara intipati mesej video tersebut.

Untuk rekod, setakat tengah hari 30 Mac, 91 orang pesakit Covid-19 pulih dan discaj, menjadikan jumlah kumulatif pesakit Covid-19 yang pulih adalah 479 kes.

Sebanyak 156 kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini meningkat kepada 2,626 kes. Angka kematian meningkat kepada 37 apabila tiga kematian baharu direkod. Seramai 94 orang pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Pastinya, perkembangan penyakit Covid-19 ini menakutkan mereka. Seperti mana anda semua, mereka juga mempunyai keluarga dan situasi itu tentunya memberi tekanan buat wira dan wirawati ini.

Apatah lagi, dengan penambahan kes saban hari membuatkan pasukan barisan hadapan ini juga tidak terkecuali berhadapan dengan keadaan lesu upaya. Sebagai manusia biasa, mereka juga sangat memerlukan sokongan moral dan motivasi sepanjang tempoh yang sangat kritikal ini.

Istimewanya, di sebalik masih ada yang degil tidak mahu mematuhi peraturan PKP, realitinya ramai daripada kita tidak mahu ketinggalan untuk menghulurkan pelbagai sumbangan sebagai menghargai khidmat bakti pasukan petugas kesihatan ini.

Amalan murni, ‘menderma’ yang terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia tidak senyap atau terhenti begitu sahaja sepanjang tempoh PKP. Bahkan, ia semakin berkembang mekar apabila ramai yang berganding bahu, tanpa mengira bangsa atau kedudukan, bersama-sama pasukan fontliners ini, menggalas satu misi iaitu untuk memerangi Covid-19.

Pelbagai cara dilakukan bagi menzahirkan rasa terima kasih serta penghargaan buat pejuang negara ini. Ada yang memasak sendiri makanan untuk diberikan kepada para petugas, sementara ada pula yang menyumbangkan peralatan yang diperlukan hospital.

Nur Muhd Razali (kiri) menyerahkan kotak makanan kepada wakil kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Klang untuk diedarkan buat keluarga pesakit Covid-19 di sini pada 24 Mac 2020. Foto ihsan Yide

Malah, ada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menubuhkan tabung khas, mengutip derma untuk disalurkan kepada pihak yang memerlukan bantuan dalam keadaan yang penuh kepayahan ini. Pada pek makanan yang disumbangkan, turut diselitkan kata-kata semangat.

Paling istimewa, apabila kesukaran petugas hospital ini turut mendapat perhatian jitu daripada Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang turut berkenan menyajikan beberapa jenis masakan hasil air tangan baginda yang diserahkan kepada beberapa buah hospital.

Antaranya, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), KKM di Putrajaya.

“The least I could do..for the government servants sacrificing their lifes..I salute them,” titah Raja Permaisuri Agong, menerusi hantaran di Instagram baginda pada satu gambar yang memaparkan kakitangan hospital begitu gembira dan berterima kasih atas sumbangan tersebut.

Tidak terkecuali, pelbagai NGO mahupun peniaga makanan turut sama tampil menggerakkan kerja mulia ini bersama orang ramai dengan menghulurkan sumbangan pek makanan kepada petugas kesihatan.

Misalnya, RM5 Everyday Lunch, perusahaan perniagaan penghantaran makanan di Facebook yang diusahakan sejak empat tahun lepas oleh Rozaidah Zainal Abidin turut menjadi perhatian orang ramai yang mahu menderma.

“Selepas kami membuat satu posting menghantar makanan kepada barisan hadapan kakitangan yang mengendalikan kes wabak Covid-19 di Hospital Sungai Buloh, kami mendapat maklum balas sangat positif, ramai yang ingin menghulurkan sumbangan serta bantuan tetapi tidak mengetahui caranya.

“Kami telah menghubungi pihak yang mengendalikan sumbangan kepada hospital dan klinik yang terlibat dengan kes Wabak Covid-19. Banyak sumbangan diperlukan termasuklah makanan,” katanya dalam status di laman sosialnya itu.

Antara individu lain yang turut tampil menghulurkan sumbangan ialah pendakwah Ustaz Ebit Lew. Melalui paparan di Facebook, beliau bergerak ke beberapa tempatan untuk meyampaikan sendiri sumbangan beliau termasuk derma orang ramai menerusi Pertubuhan Kasih Umat Malaysia.

Antara yang disumbangkan ialah beberapa unit pendingin hawa bergerak untuk Hospital Ampang, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Klang dan Hospital Shah Alam. Barangan lain yang disumbangkan termasuk topeng muka dan makanan di samping tidak putus-putus mendoakan pasukan petugas dan semuanya agar dilindungi daripada wabak berkenaan.

Menariknya, ada juga yang tidak terkecuali menawarkan perkhidmatan menjaga anak pasukan barisan hadapan ini secara percuma seperti yang dilakukan oleh pasangan guru dari Seremban.

Guru pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Pantai, Seremban, Kamal Ismail, 50, dan isterinya, Noraini Mohamed Kassim (guru Pendidikan Seni dan Sains), 47, bersimpati dengan petugas tersebut yang berhadapan kesukaran menguruskan anak disebabkan kekangan waktu selain taska ditutup.

Perkhidmatan yang ditawarkan itu tidak mengira bangsa, agama turut menyediakan tempat tinggal, makan minum serta bagi yang beragama Islam akan diajar mengenai ilmu agama.

Manakala, Yayasan Petronas, cabang tanggungjawab sosial korporat Petronas juga menyumbang peralatan dan bekalan perubatan bernilai RM20 juta untuk membantu petugas barisan hadapan hospital dan penjaga kesihatan untuk mengurangkan penularan penyakit Covid-19.

Istimewanya, bantuan dihulurkan ini bukan sahaja daripada masyarakat kita bahkan juga warga asing. Sekumpulan pelarian dari Syria, Palestin, Yaman dan Iraq yang menetap di negara ini berganding bahu menyediakan makanan untuk petugas kesihatan di Hospital Ampang.

Dipetik dalam satu laporan akhbar, inisiatif hasil kerjasama antara Al-Hasan Volunteer Network dan Beyond Borders Malaysia ini dijadual menghantar makanan untuk 20 petugas itu bermula Isnin 23 Mac sehinggalah 31 Mac ini.

Bantuan juga melepasi sempadan apabila keakraban Malaysia dengan beberapa negara memudahkan negara ini menerima bantuan dalam usaha memerangi Covid-19 yang semakin membimbangkan. Misalnya, negara China menghulurkan bantuan peralatan perubatan seperti topeng muka, Covid-19 ‘test kits’ dan cecair pembasmi kuman untuk kegunaan petugas kesihatan.

Semuanya ini untuk satu tujuan, bersama bersatu memerangi Covid-19!

Kita mampu melakukannya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

MB: Penginapan hotel percuma hargai petugas barisan hadapan

SHAH ALAM, 29 MAC: Kerajaan Selangor menyediakan penginapan hotel percuma kepada petugas barisan hadapan yang berusaha mengekang penularan wabak Covid-19, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak 204 bilik di Hotel De Palma Ampang disediakan manakala 83 lagi di Hotel De Palma Shah Alam bagi memenuhi keperluan berkenaan.

Beliau berkata inisiatif hasil kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperuntukkan kemudahan itu kepada polis dan Angkatan Tentera Malaysia sebagai permulaan.

“Penawaran ini akan diperluas kepada kelompok lain yang bersesuaian berdasarkan keperluan semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, Amirudin mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai kewangan negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor bagi memperhalusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa ke-2.

Amirudin menerusi Twitter juga memaklumkan Kerajaan Selangor akan mengumumkan satu lagi pakej rangsangan kepada rakyat pada 1 April ini.

“Fokus Pakej Selangor Prihatin 2.0 kali ini, Kerajaan Negeri ingin memberi bantuan kepada rakyat bagi mengurangkan impak Covid-19,” katanya.

Pada 20 Mac lalu, Amirudin turut mengumumkan Pakej Selangor Prihatin Covid-19 kepada pelbagai golongan yang terkesan dengan pandemik berkenaan.

Ia membabitkan tujuh inisiatif dengan nilai peruntukan RM127.78 juta yang memberikan manfaat kepada petugas barisan hadapan Covid-19, mahasiswa, peniaga, penjaja, usahawan Hijrah dan rakyat.

Antara yang diberi ialah sumbangan RM200 kepada 6,000 petugas di semua hospital di Selangor.