Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN buktikan misi jatuhkan BN tidak mustahil

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 9 MEI : Misi bagi menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan ketuanya, Datuk Seri Najib Tun Razak awalnya dianggap mustahil oleh semua pihak, kata Perdana Menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, hampir semua termasuk pakar politik, ahli akademik, kolumnis surat khabar dan ramai lagi yang tidak memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Ini jelas, pandangan mereka tidak seiring dengan rakyat yang awal-awal lagi sudah sedar dan tidak boleh menerima lagi kepimpinan yang digelar kleptokrat atau pencuri wang negara oleh dunia.

“Tanpa takut kepada ugutan, tekanan dan rasuah pilihan raya, rakyat menolak Kerajaan BN dan memberi mandat yang besar kepada PAKATAN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri-menteri kabinet, menteri besar negeri serta lebih 2,000 hadirin.

Tun Mahathir berkata, dengan mandat diterima, Kerajaan baharu PAKATAN memulakan langkah untuk memulih semula negara tercinta.

“Antara langkah pertama yang diambil ialah menyiasat skandal 1MDB dan berusaha untuk memperoleh kembali wang yang dicuri.

“Kita juga menguatkuasakan undang-undang dengan mendakwa mereka yang menyalahguna kuasa, melesapkan duit Kerajaan, dan menekan rakyat,” katanya.

Categories
SELANGOR

BN rampas DUN Semenyih

OLEH AFIX REDZUAN

KAJANG, 2 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) gagal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.24 Semenyih selepas calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi menang dengan majoriti tipis 1,914 undi.

Beliau memperoleh 19,780 undi menewaskan calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi.

Dua lagi calon, Nik Aziz Afiq Abdul daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendapat 847 undi manakala Kuan Chee Heng atau lebih dikenali Uncle Kentang yang mewakili BEBAS sekadar memperoleh 725 undi.

Jumlah undian pemilih 39,218 daripada 120 peti undi diterima, sebanyak 650 kertas undi ditolak manakala 50 lagi tidak dikembalikan dengan peratus pengundian 73.24 peratus.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.24 Semenyih, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar di Pusat Penjumlahan Rasminya di Dewan Seri Cempaka, Kajang.

PRK DUN Semenyih diadakan apabila wakil rakyatnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia akibat serangan jantung, 11 Januari lalu.

Pada PRU-14, Allahyarham Bakhtiar mengetepikan penyandangnya Datuk Johan Abdul Aziz (BN); Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Beliau menang dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

KEPUTUSAN RASMI PRK DUN N.24 SEMENYIH

BN – 19,780
PAKATAN – 17,866
PSM – 847
BEBAS – 725
Undi Ditolak – 650
Undi Tidak Dikembalikan – 50
Majoriti – 1,914

Categories
SELANGOR

MB: Selangor era BN gagal peduli kebajikan rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 8 SEPT: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mempedulikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat ketika mentadbir Selangor walaupun ekonomi negeri berkembang.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia terbukti apabila BN ketika itu gagal menzahirkan program pro rakyat dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi seperti dilaksanakan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PAKATAN) hari ini.

“BN dakwa Selangor ini tak payah buat apa-apa pun dah maju sebab dulu mereka dah asaskan pembangunan.

“Betul, kita tak tolak ada asasnya dan ada sumbangan tetapi rakyat Selangor ketika itu tidak dapat menikmati dan merasai kekayaan dan pembangunan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ceramah ‘Grand Finale’ PRK Seri Setia PAKATAN di tapak ceramah di sini.

Amirudin berkata, ini kerana di era pentadbiran BN tidak ada sebarang program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) seperti Skim Peduli Sihat, Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Hadiah Anak Masuk Universiti.

Katanya, Kerajaan Negeri terus konsisten melaksanakan program ini bagi memastikan kesejahteraan rakyat di negeri itu.

Categories
NASIONAL

Pahlawan dakwa pegawai kanan ATM terima rasuah PRU14

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 26 MEI: Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tujuh pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dipercayai menerima rasuah sepanjang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Presiden Pahlawan, Asri Buang berkata, pegawai-pegawai tersebut juga dipercayai menyalahguna kuasa dengan membuat paksaan undian bagi tujuan kemenangan Barisan Nasional (BN).

“Pihak kami sudah mengumpul beberapa bukti untuk diserahkan kepada SPRM hari ini termasuk jumlah wang rasuah diterima serta senarai penyalahgunaan aset kerajaan sepanjang PRU14 dan juga PRU13.

“Buat masa ini kami tidak boleh mendedahkan lagi jumlah wang berkenaan kerana ia masih di peringkat awal laporan, namun apa yang boleh Pahlawan maklumkan ialah bukti Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) menjadikan bangunan mereka sebagai kem untuk BN ternyata adalah kesalahan paling ketara pada PRU14,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung Pahlawan, Husnal Az Hari Sanusi berkata, Pahlawan juga percaya terdapat pegawai kanan ATM yang memberi tekanan kepada anggota tentera untuk memilih hanya satu parti ketika membuat undian awal.

Katanya, ia jelas dilihat melalui keputusan undi awal yang memihak kemenangan kepada BN pada mulanya.

“Namun apabila undi rakyat dikira, kesemua calon BN kalah teruk, jadi kita menggesa supaya SPRM siasat segera kes ini kerana kami tidak mahu kepincangan berlaku di kalangan pegawai atasan ATM.

“Pahlawan melihat trend menekan anggota bawahan memilih parti tertentu bermula sejak PRU13, berbanding tahun 90an perkara sebegini tidak berlaku, sepatutnya anggota tentera mahupun penjawat awam berhak memilih parti yang mereka suka bukannya dipaksa,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB seru rakyat jangan takut buat perubahan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyeru seluruh rakyat supaya usah takut melakukan perubahan.

Mohamed Azmin berkata, Pakatan Harapan (PAKATAN) berazam memperjuangkan hak rakyat tanpa mengira kaum.

“Kita memberi jaminan kepada kaum pribumi khususnya Melayu bahawa selagi hayat dikandung badan, segala aspirasi dan hak mereka akan terus dipelihara.

“Saya dan pimpinan lain tidak akan membenarkan sesiapa sahaja, samada dari dalam atau luar menggugat teras agama, bangsa serta tanah air kita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, segala yang sudah dicapai di Selangor membuktikan keperluan dan layanan adil dapat diberikan kepada semua.

Bagaimanapun, katanya, rakyat akan menentukan samada Malaysia akan terus dijajah oleh kleptokrat atau dipimpin oleh pemimpin berintegriti yang akan mengembalikan maruah negara dan membina sebuah bangsa berwibawa.

“Apakah kita mahu sebuah kerajaan dipimpin oleh manusia yang bergelumang dengan rasuah dan mahu mengekalkan kuasa dengan apa cara sekali pun?.

“Apakah kita mahu kerajaan dipimpin oleh orang memunggah khazanah negara dan menyorok wang rakyat dalam akaun peribadi?,” soalnya.

Mohamed Azmin berkata, rakyat berhak mendapat pemimpin jujur, berintegriti dan peduli rakyat.

Malah, katanya, rakyat sudah tentu tidak mahu kerajaan menjanjikan kekayaan tetapi memiskinkan mereka melalui hutang 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan melupuskan nilai aset negara seperti Felda serta menggadai kedaulatan negara.

“Apakah kita mahu terus memikul beban GST yang dipaksakan oleh Barisan Nasional (BN) semata-mata supaya pemimpin korup menikmati kemewahan di atas kesusahan rakyat?

“Sudah pasti tidak. Sebaliknya, kami berjanji akan menghapuskan GST, cukai yang menghisap darah rakyat. Kita akan memerdekakan rakyat daripada belenggu ini,” katanya.

Katanya, Barisan Nasional (BN) cuba menakutkan rakyat kononnya perubahan membawa musibah dan kemusnahan hubungan antara kaum dan agama.

“Namun, Selangor membuktikan semua tohmahan ini adalah palsu.

“Perubahan membawa kebaikan kepada rakyat keseluruhannya. Selangor membuktikan rakyat terus hidup dalam rukun dan damai.

“Impaknya, negeri terus makmur malah dapat menarik pelaburan dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, segalanya terserah kepada rakyat samada mahu maju ke hadapan atau mundur ke belakang.

“Ia adalah pilihan antara demokrasi berpelembagaan, pemerintahan mengikut undang-undang dan keadilan dengan pemerintahan kleptokrasi, nafsu manusia serta kezaliman.

“Maka, saya menyeru kepada semua untuk mengundi calon PAKATAN. Undilah dengan penuh keyakinan dan jiwa yang murni. Undilah untuk membuat perubahan di peringkat persekutuan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Ketua Umno sertai KEADILAN, kepimpinan BN semakin teruk

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 MEI : Ketua Cawangan Umno Sri Sarawak, Zakaria Samsudin mengumumkan keluar parti dan KEADILAN sekali gus membuktikan kepimpinan Barisan Nasional (BN) semakin kurang mendapat sokongan.

Zakaria mengakui antara faktor beliau meninggalkan BN kerana parti itu gagal membela nasib rakyat kesan daripada pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Saya tekad meninggalkan BN kerana terkilan dan kecewa dengan kepimpinan parti itu yang semakin lari daripada asas perjuangan membela dan menjaga kebajikan rakyat.

“Saya sebagai peniaga kecil-kecilan di Klang juga terasa beban ekonomi sehingga menyebabkan harga barangan meningkat,” katanya.

Beliau berkata pada Sidang Media Khas di bilik Gerakan Utama Harapan Dun Sungai Kandis, di sini, sebentar tadi.

Zakaria berkata, kepimpinan BN yang ada kini jauh berbeza jika dibandingkan dengan kepimpinan terdahulu yang lebih mengutamakan kepentingan rakyat.

Pada masa sama, beliau mengakui penyertaannya ke dalam KEADILAN Dun Sungai Kandis itu turut memberi signifikan dan tamparan hebat kepada Umno cawangan berkenaan.

“Saya tekad tinggalkan Umno untuk reformasi dan merasai denyut nadi rakyat bagi perubahan ekonomi daripada kepimpinan kerajaan BN kepada Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Saya melihat manifesto BN hanya retorik di atas kertas, sebaliknya pentadbiran kerajaan PAKATAN di Selangor lebih telus dan bijak untuk masa depan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Calon N.49 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei berkata, walaupun keputusan Zakaria sebagai ketua hanya di peringkat cawangan, namun beliau yakin BN akan tetap terkesan dengan tindakannya itu.

“Saya selaku wakil KEADILAN mengalu-alukan jika ada pihak yang mahu turut serta dan berjuang bersama-sama KEADILAN,” katanya.

Categories
NASIONAL

10 tahun PAKATAN lebih baik dari 60 tahun BN

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 2 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mahu rakyat di negara ini menolak politik perkauman yang dimainkan Barisan Nasional (BN) sejak 60 tahun lalu.

Beliau berkata kepimpinan Selangor dan Pulau Pinang sudah menunjukkan pentadbiran terbaik, sekali gus gabungan Pakatan Harapan (PAKATAN) menolak politik lapuk itu.

“PAKATAN sudah memerintah kedua-dua negeri ini dengan baik. Lihat di Pulau Pinang, walaupun Ketua Menteri, Lim Guan Eng tetapi beliau jaga semua rakyatnya.

“Kalau dengar ceramah UMNO, kena sokong melayu. Jangan sokong Cina ini. Saya kalau Melayu baik, Cina atau India baik sudah tentu saya sokong.

“Tapi kalau jahat, saya lawan. Lebih baik sokong Tony Pua, dia Cina tapi dia tidak curi tanah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 10,000 rakyat di program Jelajah Harapan Rakyat di Taman Sri Andalas, di sini.

Hadir sama Presiden Amanah yang juga calon Parlimen Kota Raja (P111) Mohamad Sabu dan calon KEADILAN DUN Sungai Kandis (N49), Shuhaimi Shafiei.

Turut hadir calon KEADILAN DUN Sentosa (N48), Dr G Gunaraj dan calon DUN Kota Kemuning (N50), V Ganabatirau.

Mohamed Azmin menyifatkan pentadbiran 10 tahun PAKATAN yang ditunjukkan, jauh lebih baik daripada pemerintahan BN selama 60 tahun.

“Saya pergi ke Pulau Pinang. Saya tanya pakcik bagaimana 10 tahun DAP pegang, Melayu susah tak? Ada makan ubi kayu? Pakcik kata dia tak makan ubi kayu tapi ‘banana split’.

“Hentikanlah politik perkauman dan murahan ini. Terbukti PAKATAN lebih baik daripada 60 tahun BN memerintah,” katanya.

Categories
NASIONAL

Pertemuan Najib-Bloomberg tidak ubah keyakinan rakyat tolak BN

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KLANG, 27 APR: Keyakinan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa BN akan terus mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) dilihat hanya ‘syok sendiri’ apabila rata-rata rakyat kini menolak pentadbiran gagasan itu.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafie berkata demikian bagi mengulas sessi wacana Najib dengan Bloomberg.

Shuhaimi berkata, pertemuan beliau bersama media antarabangsa itu dilihat satu kaedah memusingkan fakta untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa kredibiliti beliau tidak lagi diragui diperingkat antarabangsa.

“Najib boleh membuat pertemuan bersama Bloomberg atau mana-mana pihak lain, namun rakyat Malaysia sebenarnya lebih bijak menilai pemimpin berwibawa.

“Secara keseluruhannya hari ini rakyat juga mahukan perubahan dan sehingga kini rata-rata masih terkesan dengan bebanan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta hutang negara melibatkan 1 Malaysian Development Berhad (1MDB).

“Saya yakin perubahan berlaku di banyak kawasan dan penolakan terhadap Najib tidak boleh dinafikan lagi.

“Lambat laun, Najib terpaksa akur rakyat tidak lagi menyokong beliau dan BN,” katanya ketika ditemui Selangor Kini dalam program turun padang di Klang, pagi tadi.

Baru-baru ini, Najib dalam pertemuannya dengan Bloomberg mendakwa BN akan terus mendapat mandat rakyat bagi menerajui negara dengan keputusan lebih baik dalam PRU14.

Najib juga menafikan beliau terlibat dalam masalah tadbir urus 1MDB kerana tiada bukti menyatakan bahawa beliau terlibat dengan penyelewengan dana itu.

Categories
SELANGOR

Dulu BN kutuk, sekarang diam-diam tiru program IPR

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 26 APR: KEADILAN secara sinis membidas Barisan Nasional (BN) yang kini dilihat meniru beberapa program membantu rakyat seperti yang dilakukan di Selangor.

Penyandang Kerusi N16 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Amirudin Shari berkata, sedangkan dahulu BN mendakwa Selangor bakal muflis dengan hanya melaksanakan program 20m3 air percuma.

Katanya, disebalik kritikan, BN turut meniru program diilhamkan Kerajaan Selangor seperti pemberian bas percuma dan air percuma di beberapa negeri ditadbir mereka.

“Tiada negeri yang mampu melawan rekod kita. Disamping kita pacu dan jana kemajuan, Selangor masih menjadi penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Kalau dulu Barisan Nasional (BN) kata populis, cuma nak menang pilihan raya tetapi selepas 10 tahun ditadbir dengan cermat, Kerajaan bersih, pemimpin amanah hingga rizab dari RM400 juta menjadi RM4 bilion,” katanya pada program Pelancaran Relawan Gombak Kita Setia, semalam.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri sudah membelanjakan hampir RM3 bilion buat rakyat menerusi program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Katanya, modul pentadbiran ditonjolkan Selangor sejak 10 tahun lalu merupakan contoh terbaik untuk Pakatan Harapan (PAKATAN) ke Putrajaya bagi mentadbir negara selain menyeru rakyat terus memberikan sokongan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Categories
NASIONAL

#TsunamiPHitnah: Najib kena ‘troll’ semula

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 APR: #TsunamiPHitnah yang diwujudkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak melalui laman twitter semalam diperli segelintir netizen alam maya berkenaan.

Najib kononnya mencipta hashtag #TsunamiPHitnah itu bagi mengelakkan fitnah yang dilontarkan kepada barisan kepimpinannya.

Katanya, beliau dan keluarga sering menjadi mangsa politik fitnah yang tidak langsung kenal erti kehormatan atau rasa bertanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat.

“Sebenarnya, sejak pilihan raya yang lepas sehingga kini, jika saya menyenaraikan setiap satu lemparan fitnah dibuat pembangkang, boleh jadi setebal Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, jumlah muka surat yang perlu diperuntukkan,” katanya menerusi catatan di blog rasmi beliau, www.najibrazak.com.

Bagaimanapun tinjauan SelangorKini di laman twitter mendapati penggunaan #TsunamiPHitnah di ‘troll’ pengguna laman berkenaan.

Salah seorangnya yang dikenali dengan nama ‘Nilam’ mempertikaikan penggunaan perkataan fitnah yang dieja sebagai Phitnah berbanding fitnah iaitu ayat yang sebetulnya.

Sementara itu pengendali blog ‘Milo Suam’ pula memerli Najib kononnya sudah menjadi budak wechat gara-gara ejaan tidak mengikut tatabahasa betul.

“Najib sekarang dah jadi budak Wicet (wechat), sebut fitnah pun gaya budak wicet, PHitnah #TsunamiPHitnah kononnya,” tulis blogger tersebut.

Penggunaan hashtag itu juga kurang mendapat sambutan daripada orang ramai, namun hanya digunakan oleh pemimpin utama BN termasuk individu yang dipercayai keyboard warrior yang diwujudkan parti itu.

Categories
NASIONAL

Zuraida: Rakyat diseru tidak tunduk kepada tekanan BN

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 APR: Rakyat diseru untuk tidak tunduk kepada tekanan Kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Ketua Wanita Pakatan Harapan (PAKATAN), Zuraida Kamaruddin.

Zuraida berkata, ini kerana BN akan melakukan apa sahaja dalam usahanya memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) termasuk menyerang tokoh perniagaan yang cenderung kepada perjuangan rakyat.

“Taktik menakut-nakutkan penyokong dan rakyat untuk tidak menyokong PAKATAN sememangnya sudah dijangka.

“Namun begitu, saya percaya rakyat Malaysia serta pemilik perniagaan yang menyokong perjuangan rakyat akan terus setia bersama PAKATAN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zuraida berkata demikian sebagai mengulas permohonan maaf pemilik Supermax sebuah syarikat konglomerat Malaysia dan serangan bermotifkan politik terhadap sebuah peniagaan bakeri, The Loaf.

Malah, Zuraida berkata, secara tiba-tiba The Loaf yang dikatakan dimiliki Tun Dr Mahathir Mohammad menjadi topik hangat dalam media rasmi kerajaan sedangkan sebelum ini perniagaan itu tidak diambil peduli oleh media massa.

“Tindakan Pengarah Urusan Supermax Corporation Berhad, Stanley Thai memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Razak dan BN adalah satu tindakan amat pelik.

“Apatah lagi situasi apabila Pengerusi Supermax Corporation Berhad, Tan Sri Rafidah Aziz sejak kebelakangan ini mengkritik secara terbuka Datuk Seri Najib Razak atas tindakan beliau yang dikatakan menjadi punca Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kehilangan pemilikan tanah,” katanya.

Zuraida berkata, kehidupan rakyat lebih selesa dan suasana ekonomi bertambah baik sekiranya PAKATAN berjaya menawan Putrajaya dalam PRU14 akan datang.

“Jangan gentar dan takut. Dengan kemenangan PAKATAN, kita pastikan ekonomi negara akan menjadi lebih makmur dan berdaya saing,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kempen Bebas Plastik, rakyat lebih bijak

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 FEB: Rakyat Selangor tidak mudah terpengaruh dengan sogokan Barisan Nasional (BN) kononnya akan mengkaji semula dasar penggunaan beg plastik sekiranya menang pada pilihan raya umum ke 14 (PRU14).

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, rakyat kini semakin prihatin terhadap isu alam sekitar dan memahami keperluan untuk mengurangkan penggunaan beg plastik hasil daripada kempen Bebas Plastik.

Katanya, kesan positif pelaksanaan kempen itu boleh dilihat dengan air sungai yang kini lebih bersih.

“Manakala kutipan beg plastik terbuang dalam Sungai Klang juga semakin berkurangan sekaligus menyebabkan pelbagai fauna seperti memerang dan buaya juga muncul.

“Kenyataan Pengerusi Umno, bahawa BN akan mengkaji semula dasar itu menunjukkan bahawa pembangkang negeri sudah ketandusan isu dan idea,” katanya dalam kenyataan.

Elizabeth berkata kempen terbabit selaras dengan prinsip ‘fastabiqul khairat’ (berlumba-lumba melakukan kebaikan) seperti yang diamalkan Dato’ Menteri Besar.

“Selangor merupakan salah satu negeri yang sedang berlumba-lumba untuk mengurangkan penggunaan beg plastik di Malaysia.

“Ia termasuk beberapa negeri yang ditadbir BN seperti Wilayah Persekutuan, Melaka dan Johor,” katanya.

Terdahulu, Tan Sri Noh Omar berkata, dasar yang dilaksanakan Kerajaan Negeri itu hanya menyusahkan rakyat dan menguntungkan sesetengah pihak.