Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC dapat tajaan bas dua tingkat berwajah baharu

SHAH ALAM, 13 FEB: Selangor FC semalam menerima tajaan sebuah bas dua tingkat berwajah baharu hasil perjanjian bersama Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) sejak 2019.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Johan Kamal Hamidon berkata tajaan itu isyarat buat semua pihak dalam apa juga bidang untuk kekal bekerjasama dengan kelab bola sepak tempatan.

Beliau turut gembira dan berterima kasih atas sokongan berterusan syarikat E-Mutiara yang membantu pengangkutan pasukan itu sepanjang liga berlangsung.

“Selangor FC akan melakukan sedaya upaya untuk membalas kepercayaan yang diberikan.

“Kerjasama ini jelas membuktikan bola sepak masih relevan sebagai platform untuk syarikat melabur dan berkongsi kepakaran antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan di laman web Selangor FC.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif E-Mutiara Che Ibrahim Che Ismail berbesar hati dapat menaja Selangor FC selama empat musim dan komited menaikkan semula nama pasukan itu.

”E-Mutiara juga menjadi salah satu penaja jersi latihan pasukan Selangor FC musim ini selain mendapat penjenamaan di stadium, laman web dan media sosial mereka,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bas terbabas akibat tumpahan minyak, empat pelajar USIM cedera

SEREMBAN, 8 FEB: Empat pelajar perempuan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) cedera selepas bas persiaran yang dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok dalam kemalangan di Bandar Baru Nilai, di sini pagi tadi.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Raihan Che Mat berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada kira-kira 7.40 pagi.

Beliau berkata empat pelajar tersebut masing-masing mengalami kecederaan di tangan dan di bahagian tulang belakang.

“Bas itu membawa 17 pelajar dan sedang dalam perjalanan ke USIM. Kami menerima laporan mengenai tumpahan minyak di atas jalan raya berhadapan McDonald’s di Bandar Baru Nilai…dan bas dipercayai terbabas kemungkinan berpunca daripada tumpahan minyak itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya kesemua pelajar itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dengan ambulans unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) dan Kementerian Kesihatan.

— BERNAMA

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Seri Serdang sedia bas mudahkan orang ramai ke PPV esok

SHAH ALAM, 8 OGOS: Pengangkutan percuma disediakan kepada orang ramai untuk hadir ke program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang esok.

Pusat Khidmat Masyarakat menerusi Facebook memaklumkan terdapat enam stesen bas disediakan untuk pengunjung hadir tanpa janji temu ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Aurora Place Bukit Jalil yang bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Berdasarkan infografik yang dikongsi, pergerakan bas berlaku setiap dua jam sebanyak lima kali bermula dari jam 8 pagi dan berakhir 4 petang.

Antara individu yang dipelawa ialah warganegara dan bukan warganegara, berusia 18 tahun ke atas serta belum mendapat janji temu MySejahtera atau Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Penerima juga disarankan membuat prapendaftaran melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan mengisi kod baucar SELVAXAURORA.

Enam stesen bas yang disediakan:

1. Restoran Padi, Pusat Industri Puchong Utama

2. Masjid Istiqamah Kampung Sri Langkas

3. KRT Taman Seri Serdang

4. Caltex Pangsapuri Sri Indah, Lestari Perdana

5. Pangsapuri Seri Mas, Pinggiran Putra

6. Taman Lestari Putra.

Categories
PBT SELANGOR

Sedia bas mudahkan pesakit Covid-19 PKPD Apartment Damai ke CAC

SHAH ALAM, 24 JULAI: Sebuah bas disediakan untuk penduduk Apartment Damai mukim Damansara
yang positif Covid-19 untuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati.

Pegawai daerah Petaling berkata bas itu disediakan untuk kemudahan penduduk di kawasan tersebut yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Sebelum ini kita membuka CAC secara hibrid namun menutupnya sejurus proses saringan selesai Selasa lalu.

“Dengan adanya bas, penduduk yang positif Covid-19 sama ada bergejala atau tidak dibawa ke CAC untuk memudahkan pemantauan tahap kesihatan pesakit,” kata Datuk Johary Anuar ketika dihubungi.

Menurutnya, seramai 2,323 penduduk selesai disaring Selasa lalu dan 1,774 keputusan saringan telah diterima.

“Daripada 1,774 saringan, seramai 682 individu didapati positif Covid-19 dan menjadikan jumlah keseluruhan di PKPD Apartment Damai berjumlah 985 kes berbanding sebelum ini 303 kes.

“Kita menjangkakan kes positif meningkat apabila menerima baki keputusan 549 individu petang semalam. Proses vaksinasi bermula semalam dan dijangka seramai 500 individu menerima vaksin,” katanya.

Pada 16 Julai, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat kawasan baharu dalam empat daerah di Selangor akan dikuatkuasa PKPD selama dua minggu mulai 18 Julai.

Kawasan tersebut ialah Apartment Damai, mukim Damansara, Petaling; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, mukim Klang, Klang dan Taman Samudera, mukim Batu, Gombak.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Khidmat tren, bas Prasarana beroperasi seperti biasa

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Perkhidmatan tren dan bas Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan beroperasi seperti biasa mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuat kuasa.

Prasarana dalam kenyataan memaklumkan kekerapan bas pada waktu puncak pagi dan petang adalah kekal iaitu antara pukul 6.00 hingga 10 pagi dan antara pukul 4.00 petang hingga 8.00 malam manakala kekerapan untuk waktu bukan puncak dikurangkan kepada 50 peratus, namun akan berubah berdasarkan permintaan.

“Operasi bagi perkhidmatan sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel akan diselaraskan dengan kekerapan setiap 10 minit pada waktu puncak pagi dan petang pada hari biasa dan 30 minit pada hari minggu dan cuti umum namun ia akan diubah suai mengikut keperluan semasa operasi,” menurut kenyataan itu.

Prasarana dalam pada itu turut menyarankan pengguna Rapid KL memuat turun aplikasi PULSE untuk memeriksa jadual terkini perjalanan bas serta rel, dan bagi penumpang bas Rapid Penang, Rapid Kuantan dan Rapid Kamunting, mereka disaran menggunakan platform media sosial syarikat berkenaan untuk mendapatkan jadual terkini perjalanan.

Sekatan pergerakan penuh atau fasa pertama di seluruh negara akan berkuat kuasa selama 14 hari bermula tengah malam ini.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Pemandu bas bawa pesakit terbabas disahkan positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Pemandu bas yang membawa 40 pesakit Covid-19 dan terbabit dalam kemalangan di Plaza Tol UPM, Serdang petang tadi turut disahkan positif virus itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Superintenden Azman Shari’at berkata pemandu berusia 41 tahun yang cedera di kaki sebelum itu dihantar ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan dan disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan.

Ujian saringan air kencing pula mendapati lelaki itu negatif dadah namun siasatan masih diteruskan.

“Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, bas yang membawa 40 penumpang hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong Touch ‘n Go sebelum merempuh pondok tol tersebut.

“Kemalangan dipercayai berpunca akibat kegagalan sistem brek bas tersebut, berdasarkan kenyataan daripada pemandu bas itu,” katanya kepada Bernama.

Kenderaan itu antara 11 bas dalam konvoi membawa 431 pesakit Covid-19 dari Kluster Changkat Jong di Perak yang dalam perjalanan dari Teluk Intan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) MAEPS 2.0 di Selangor.

Kesemua penumpang, termasuk lapan yang cedera, dibawa ke PKRC MAEPS 2.0 untuk menerima rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Perkhidmatan rel, bas Prasarana terus operasi, patuhi SOP

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Perkhidmatan rel urban dan bas henti-henti kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) tetap beroperasi seperti biasa bermula 6 pagi hingga 12 tengah malam semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Prasarana dalam kenyataan semalam memaklumkan perkhidmatan itu termasuk rel dan bas Rapid KL di Kuala Lumpur dan Selangor; Rapid Penang di Pulau Pinang dan Seberang Prai; Rapid Kamunting di Taiping, Perak; serta Rapid Kuantan di Pahang.

Selain itu, perkhidmatan sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel akan beroperasi seperti jadual sedia ada dengan masa menunggu antara 2.8 dan tujuh minit bergantung kepada waktu puncak.

“Penumpang diingatkan agar sentiasa patuh kepada arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan mengamalkan norma baharu ketika menggunakan pengangkutan awam.

“Kami menggalakkan pelanggan untuk mendapatkan maklumat terkini daripada media sosial kendalian Prasarana,” menurut kenyataan itu.

Prasarana turut menggalakkan pengguna Rapid KL menggunakan aplikasi PULSE untuk mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan rel dan bas, yang boleh dimuat turun di Google Play Store dan Apple Store.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Had operasi bas, teksi dan e-panggilan di mukim Klang

SHAH ALAM, 8 OKT: Pengangkutan awam seperti bas, teksi dan perkhidmatan e-panggilan dibenarkan beroperasi dalam waktu terhad sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri berkata perkhidmatan tersebut dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam.

“Mesyuarat juga bersetuju Pelabuhan Klang beroperasi seperti biasa. Senarai lebih terperinci kegiatan ekonomi yang dibenarkan dan tidak dibenarkan akan diumumkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,” katanya menerusi siaran langsung Facebook hari ini.

Kerajaan memutuskan PKPB dikuatkuasa di mukim Klang mulai jam 12.01 pagi pada Jumaat ini.

Klang bertukar kepada zon merah semalam apabila mencatatkan 77 pesakit aktif yang sedang dirawat.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Naik LRT, bas Rapid RM5 sehari tanpa had bermula hari ini

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Pengguna semua perkhidmatan rel dan BRT Rapid KL dapat menikmati diskaun tambahan pas MyCity yang boleh didapati dengan harga RM5 sehari dan RM15 untuk tiga hari, bermula hari ini hingga 31 Disember depan.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Muhammad Nizam Alias berkata pas tersebut boleh didapati di semua 122 stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT.

“Rangkaian rel dan BRT Rapid KL bersepadu kami yang strategik akan memberi anda peluang menikmati perjalanan tanpa had secara meluas di sekitar Lembah Klang dan Selangor.

“Kami berharap agar inisiatif ini dapat menyemarakkan aktiviti ekonomi dan perniagaan, khususnya di Lembah Klang dan Selangor selain membantu menjana semula sektor pelancongan domestik yang terkesan daripada wabak Covid-19 sejak Mac lalu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pas MyCity daripada kakitangan Rapid KL di stesen rel atau BRT, media sosial atau layari www.myrapid.com.my.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Nahas bas di Turki: Wisma Putra tekad bantu keluarga terlibat

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Wisma Putra akan terus berhubung dan membantu keluarga seorang rakyat Malaysia yang maut dalam kemalangan di Afyonkarahisar, Turki, malam tadi, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Katanya, wakil Wisma Putra di Turki juga akan turut membantu menguruskan 10 lagi rakyat Malaysia yang cedera dalam kemalangan sama.

“Bagi yang seorang rakyat Malaysia yang meninggal kita akan tunggu dulu apa permintaan keluarga (untuk langkah seterusnya),” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Seorang rakyat Malaysia maut, manakala 10 lagi cedera setelah bas yang mereka naiki ketika mengikuti satu rombongan terlibat dengan kemalangan di Afyonkarahisar, Turki.

Kemalangan itu berlaku ketika rombongan 35 rakyat Malaysia berkenaan dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappodokya.

Bahagian Komunikasi Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengesahkan bas yang terlibat dalam kemalangan itu membawa rombongan 35 kakitangannya yang sedang melancong ke negara berkenaan.

Sementara itu, seorang ahli keluarga yang tidak mahu dikenali memberitahu Bernama, pihak kedutaan sedang menguruskan proses untuk membawa balik jenazah yang dijangka memerlukan masa sekurang-kurangnya dua hari sebelum tiba di Kuala Lumpur.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lelaki maut tersepit, kereta bertembung bas ekspres

KUANTAN, 27 Mei: Seorang lelaki maut selepas tersepit di tempat duduk apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 333, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, dekat Kampung Gesing di Raub, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian 4.10 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Chan Tian Lai, 47, dari Kampung Baru Jerkoh di Benta, Raub.

“Kemalangan dipercayai berlaku selepas mangsa yang memandu kereta Proton Wira memasuki laluan bertentangan dan pemandu bas ekspres mendakwa tidak dapat mengelak ekoran jarak yang dekat,” katanya.

Wan Mohd Zahari berkata pemandu bas dan 13 penumpang yang dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -BERNAMA

Foto Ihsan Facebook Balai Bomba dan Penyelamat Raub

Categories
NASIONAL

Seorang maut, 37 cedera dalam kemalangan libatkan bas dan SUV

SEREMBAN, 23 Mei:Seorang pelajar kolej vokasional meninggal dunia sementara 37 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah bas henti-henti Mybas, dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), Nissan X-Trail di Jalan Pantai-Bukit Tangga, Jelebu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar mengesahkan seorang mangsa yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai Muhammad Firdaus Syahrul Azam, 17, pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang.

Beliau turut mengesahkan seramai 37 mangsa dilaporkan cedera termasuk empat orang kini dirawat di zon merah dalam kemalangan yang berlaku pada pukul 3.45 petang tadi.

Katanya seramai 14 orang mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban yang mana empat mangsa dirawat di zon merah, tujuh di zon kuning dan tiga dirawat sebagai pesakit luar.

“Selain itu, seramai 23 mangsa dibawa ke Hospital Jelebu iaitu 12 kini di zon kuning manakala 11 mangsa dirawat sebagai pesakit luar,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata pemandu bas lelaki yang berusia 51 tahun kini dirawat di Zon Kuning dan cedera di kepala dan patah kaki kirinya sementara pemandu X-Trail seorang wanita berusia 58 tahun mengalami luka di kepala.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian ini dipercayai berlaku apabila bas yang membawa penumpang terdiri daripada 11 pelajar MRSM Kuala Klawang, 20 pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang dan tiga orang awam manakala Nissan X-Trail terdiri dari tiga orang penumpang termasuk pemandu.

Kedua-dua kenderaan sedang bergerak dari Kuala Klawang menuju ke Seremban. Apabila sampai di tempat kejadian pemandu bas dipercayai gagal mengawal kenderaan dan melanggar Nissan X-Trail dari belakang dari arah yang sama meyebabkan kedua-dua kenderaan ini terbabas ke lereng bukit lalu terbalik,” katanya.

Akibat kemalangan salah seorang penumpang bas, pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan, katanya.

Mayat Muhammad Firdaus dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk post mortem.

Mohd Nor Marzukee berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. -BERNAMA