Categories
NASIONAL

Kerajaan Perlu Panggil Balik Duta Dari Syria

SHAH ALAM,30 MEI : Pimpinan Pakatan Rakyat mendesak Kerajaan Pusat untuk mengambil pendirian tegas terhadap serangan kejam ke atas orang awam di Syria dengan mengusir duta Syria dan memanggil balik Duta Besar Malaysia dari negara Timur Tengah itu.

Dalam kenyataan media bersama, pemimpin tersebut menggesa Menteri Luar Negari, Datuk Seri Anifah Aman supaya mengeluarkan kenyataan dan pendirian mengutuk serangan kejam ke atas orang awam di Syria dengan segera.

“Pakatan Rakyat mengecam keras pembunuhan lebih daripada 90 orang awam di Syria Jumaat lepas di mana 32 adalah kanak-kanak di bawah umur 10 tahun.

“Kami seterusnya menuntut bahawa kerajaan Syria segera menghentikan penggunaan senjata berat di pusat penempatan penduduk, dan menyeru tentera kerajaan Syria dan militia untuk mematuhi sepenuhnya oleh pelan damai oleh Kofi Annan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha Antarabangsa DAP, Liew Chin Tong.

Dilaporkan bahawa lebih daripada 15,000 orang awam telah terbunuh di Syria dan lebih 1 juta telah  melarikan diri dari rumah dan kampung-kampung mereka sejak pemberontakan menentang Presiden Syria Bashar al-Assad.

“Selepas 15 bulan keganasan, kami menuntut kerajaan Syria untuk menghentikan keganasan dalam semua bentuk,” kata kenyataan itu.

Categories
NASIONAL

Himpunan 16 Mac, Bantah Kezaliman Di Syria

SHAH ALAM,13 MAC : Gabungan Selamatkan Syria mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kekejaman dan tidak berperikemanusiaan ke atas rakyat Syria oleh rejim Bashar al-Assad.

Menurut gabungan itu yang mewakili lebih 21 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam kenyataan medianya berkata kekejaman mereka lebih terserlah apabila mereka mencuri harta-harta rakyat, membunuh para ulama, melakukan pembunuhan beramai-ramai, merogol dan mencabul kehormatan wanita, menghalang perempuan beriman daripada memakai hijab serta menindas orang yang lemah seperti orang tua dan kanak-kanak.

Fakta kekejaman rejim Bashar terhadap rakyat di Syria sekarang menunjukkan kematian 8,500 orang rakyat, seramai 39,000 orang awam cedera dan 180,000 tahanan dalam penjara diseksa.

Hal ini berlaku hanya kerana rakyat menuntut kebebasan, keadilan, keamanan, demokrasi dan hak asasi.

Kebangkitan di Syria tercetus pada 15 Mac 2011 apabila sekumpulan kanak-kanak di Syria yang menulis perkataan (Rakyat menuntut kerajaan turun) di dinding, telah ditangkap dan diseksa dengan kejam oleh tentera rejim.

Akibat daripada tindakan tersebut, tercetuslah kebangkitan rakyat Syria yang inginkan kebebasan. Namun rejim membalas dengan peluru.

Kini, setelah hampir 12 bulan, penunjuk perasaan terus berjuang siang dan malam membela diri daripada kekejaman. Rejim Bashar al-Assad yang kejam telah menggunakan kekerasan ke atas rakyatnya seperti penggunaan kereta kebal, senjata-senjata berat dan memusnahkan bangunan-bangunan termasuk rumah dan masjid.

Perkara ini telah menarik perhatian dunia sehingga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil inisiatif mengutuk kekejaman rejim Bashar al-Assad yang tidak lagi dapat diselindungi.

Namun, pada 6 Februari 2012 kerajaan Russia dan China bertindak menggunakan kuasa veto masing-masing menghalang satu resolusi Majlis Keselamatan PBB yang bertujuan mengutuk tindakan keras kerajaan Syria terhadap rakyatnya.

Dengan penggunaan kuasa veto mereka, Russia dan China sedang bersekongkol dengan sebuah rejim yang zalim di Syria. Kedua-dua negara Majlis Keselamatan PBB ini mestilah bersikap adil dan membela mereka yang ditindas oleh regim zalim Bashar al-Assad.

Menurut Gabungan Selamatkan Syria itu lagi, utusan baru PBB-Liga Arab ke Syria, Kofi Annan yang juga merupakan bekas Setiausaha Agung PBB turut menggesa usaha antarabangsa secara sepadu untuk menghentikan keganasan di Syria.

“Dunia tidak harus membiarkan rakyat Syria terus ditindas dan dizalimi oleh Bashar al-Assad. Semua pihak, tanpa mengira kaum dan agama harus bangkit bagi menyatakan tentangan kepada Bashar al-Assad dan sokongan kepada perjuangan rakyat Syria.

Atas dasar itu, satu Gabungan Selamatkan Syria telah diusahakan di Malaysia untuk memobilisasi rakyat menunjukkan solidariti bersama-sama rakyat Syria menentang kezaliman rejim Bashar al-Assad,” katanya.

Gabungan ini terdiri daripada NGO pelbagai lapisan kaum dan agama yang bersatu hati bersama rakyat Syria menuntut kebebasan dan keamanan.

Gabungan Selamatakan Syria menuntut Bashar al-Assad menghentikan kezaliman dan pembunuhan rakyat Syria dengan serta merta ,Bashar al-Assad hendaklah berundur dengan serta-merta dan Kerajaan Malaysia menyatakan pendirian mengutuk kezaliman Bashar al-Assad dan memanggil balik Duta Malaysia di Syria.

“Dengan ini juga diumumkan bahawa satu perhimpunan rakyat akan diadakan pada hari Jumaat, 16 Mac 2012 jam 2.45 petang di Kedutaan Syria, Jalan U-thant, Ampang, Kuala Lumpur. Memorandum rakyat Malaysia yang diwakili oleh Gabungan Selamatkan Syria akan diserahkan kepada Kedutaan Syria.

Seluruh rakyat Malaysia tidak kira agama, kaum atau budaya dianjurkan untuk bersama-sama perhimpunan rakyat tersebut. Bagi umat Islam mereka boleh solat Jumaat di Masjid Tabung Haji atau Masjid Asy-Syakirin, KLCC dan terus bersama ke Kedutaan Syria selepas solat.” katanya.