Categories
AGENDA NASIONAL

Basikal lajak: Ibu bapa boleh didenda sehingga RM5,000, penjara

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Ibu bapa atau penjaga yang membiarkan anak jagaan mereka berusia 18 tahun ke bawah terlibat dalam aktiviti basikal lajak sehingga mengundang bahaya, boleh didenda antara RM1,000 sehingga RM5,000 atau dipenjara tidak lebih setahun.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata perkara itu merupakan antara yang terkandung di bawah pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, semalam.

“Tujuan kita tidak mahu menghukum. Kalau kita benarkan kenderaan ini (basikal lajak) yang tiada brek, bayangkan kemalangan akan berlaku bila-bila masa.

“Jadi itu yang kita nak buat pindaan, dahulu RM300 orang tidak takut. Sekarang kita ketatkan dan hukuman lebih berat. Jika di bawah 18 tahun, maka ibu bapa dan penjaga boleh dihukum,” katanya pada sidang media selepas taklimat rang undang-undang itu kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini.

Dalam pada itu, Wee berkata individu yang tertidur ketika memandu sehingga berlaku kemalangan yang menyebabkan kematian juga akan berdepan hukuman yang lebih berat.

Beliau berkata pemandu terbabit tertakluk kepada pindaan Seksyen 41 akta berkenaan iaitu penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 sehingga RM50,000 bagi kesalahan kali pertama.

Katanya, pemandu yang tertidur boleh dikategorikan dalam pemanduan secara melulu atau merbahaya.

“Ada ayat ‘memandu secara melulu’ bermaksud memandu dengan cuai… anda juga bertanggungjawab, anda boleh didakwa… jika ia (memandu) menyebabkan kematian, terdapat hukuman menanti anda, jadi kami memang serius. Anda tidak boleh mengawal kenderaan bermaksud anda memandu dengan cuai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Biar anak terbabit basikal lajak, enam penjaga ditahan

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Polis menahan enam penjaga selepas disyaki membiarkan anak mereka terbabit dalam aktiviti basikal lajak di sekitar Taman Kosas, Ampang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Noor Azmi Yusoff berkata, enam individu berusia antara 37 hingga 52 tahun itu antaranya bekerja sebagai pengawal keselamatan, peniaga dan penyelia hotel.

“Kesemua mereka ditahan kerana membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan berpatutan dan disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis sejurus keterangan diambil.

Terdahulu, enam remaja lelaki berusia 11 hingga 16 tahun ditahan ketika menunggang basikal lajak di jalan raya kira-kira 8.51 malam dan dibawa ke Balai Polis Trafik Pandan Indah, Ampang untuk siasatan.

Noor Azmi berkata, dua daripada remaja berkenaan berusia 15 dan 16 tahun didapati tidak bersekolah.

“Kesemua mereka dikenakan saman dan diserahkan kepada penjaga masing-masing manakala basikal disita mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Menurut Seksyen itu, seorang pegawai polis, pegawai pengangkutan jalan atau warden lalu lintas boleh menahan mana-mana basikal, basikal elektrik atau trisikal yang dalam pandangannya suatu kesalahan telah dilakukan berkenaan dengannya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Basikal lajak: Pendakwaan fail notis rayuan

JOHOR BAHRU, 10 NOV: Pihak pendakwaan hari ini menfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal, dua tahun lalu.

Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Amir Nasruddin berkata notis rayuan itu difailkan pihaknya selepas pihaknya mendapati dan percaya terdapat merit dalam menfailkan notis itu terhadap beberapa isu.

“Pendakwaan failkan notis rayuan terhadap keputusan majistret yang melepas dan membebaskan tertuduh di akhir kes pendakwaan.

“Kita percaya terdapatnya merit pada notis rayuan yang dibuat ini terutamanya dalam beberapa isu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan mahkamah di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Superintendan Mohd Yusop Mohd Ali.

Pihak pendakwaraya memfailkan notis rayuan berkenaan di kaunter Mahkamah Sesyen / Majistret di sini kira-kira 9.30 pagi.

Amir turut berkata, antara isu dan merit berkaitan kes seperti soal identiti tertuduh, lokasi kejadian yang gelap dan tertuduh orang yang tidak biasa dengan laluan di lokasi terbabit.

“Majistret kata tentang identiti tertuduh itu tidak dibuktikan oleh pendakwaan, sedangkan tertuduh sendiri melalui peguam bela tidak pernah pertikai isu ini.

“Tentang dapatan menyatakan lokasi kejadian itu gelap, sedangkan kita sudah kemukakan bukti bahawa tempat itu pencahayaannya adalah cukup,”katanya.

Tambahnya, isu lain mengenai dapatan bahawa mana-mana orang yang tidak biasa dengan laluan dilaluinya dianggap tidak bersalah disifatkan sebagai bukan satu benda yang tepat.

Amir dalam pada itu, menafikan dakwaan bahawa notis rayuan dibuat atas desakan pihak keluarga mangsa atau pihak lain malah menyifatkan ia proses biasa terhadap sesuatu keputusan mahkamah.

“Tiada desakan mana-mana pihak dan ini adalah proses biasa. Kita failkan notis rayuan terlebih dahulu, kemudian menunggu alasan penghakiman daripada majistret.

“Selepas alasan penghakiman dikeluarkan, kita akan fail petisyen dan kemudian menunggu mahkamah untuk menetapkan tarikh bagi proses selanjutnya,” katanya.

28 Oktober lalu, Majistret Siti Hajar Ali melepas dan membebaskan seorang jurujual, Sam Ke Ting, 24, daripada tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal pada 18 Februari 2017.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Perlu undang-undang ketat kekang aktiviti basikal lajak

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Undang-undang yang ketat diperlukan bagi mengekang aktiviti basikal lajak kerana ia melibatkan keselamatan pengguna jalan raya, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

“Pihak polis sebuah badan penguat kuasa, kami memerlukan undang undang yang ketat bagi isu ini (basikal lajak) dan lain yang boleh menjejaskan ketenteraman dan kesejahteraan awam.

“Kami melihat kepada peruntukan undang-undang dan kaedah terbaik yang boleh mengekang aktiviti ini,” katanya kepada pemberita selepas Upacara Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Program Latihan Asas Kepolisan (Plak) Kadet Inspektor Siri 1/2019 di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.

Isnin lepas, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata ibu bapa kepada anak yang terlibat dengan kegiatan basikal lajak sehingga mengundang bahaya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001.

Mereka yang disabitkan kesalahan di bawah undang-undang itu boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Azisman berkata sebanyak 116 basikal lajak dirampas dalam 13 operasi yang dilaksanakan bermula Januari hingga Oktober lalu dengan 26 lokasi tumpuan dikenal pasti dijadikan litar basikal lajak yang membabitkan lapan negeri iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Perak, Johor, Kelantan dan Sabah.

Terdahulu, seramai 170 anggota inspektor kadet berjaya menamatkan latihan menyertai perbarisan tamat kursus asas kadet.

Pada upacara itu, Kadet Inspektor Amirul Syafiq Mohd Noor diumumkan sebagai peserta terbaik keseluruhan latihan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

`Menteri Mat Lajak’ mahu dekati komuniti basikal lajak

MUAR, 8 NOV: Golongan generasi muda yang terlibat dengan kegiatan basikal lajak perlu diberi bimbingan bagi menjadikan mereka insan yang berjaya dan bukan dihukum, kerana terlibat dengan kegiatan tersebut, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Muar berkata, segelintir daripada masyarakat di negara ini suka menghukum dan gagal membimbing, namun sebaliknya generasi muda ini perlukan bantuan dan menjadi tanggungjawab masyarakat untuk menghulur bantuan tersebut.

Katanya di sebalik kutukan yang diterimanya kerana mengambil pendirian membimbing golongan ini, beliau memilih untuk terus melatih mereka dengan pendidikan TVET, mendidik tentang keselamatan jalan raya dan memasukkan mereka ke Program Pembangunan Berbasikal Negara.

“Saya akan terus mendekati komuniti ini. Saya mahu mereka jadi anak-anak yang berjaya. Saya mahu mereka berbasikal dengan selamat dan mengasah bakat mereka dengan cermat. Saya tidak mahu lihat tragedi yang sama berulang.

“Kehilangan nyawa yang menyedihkan semua. Kita harus belajar dari kesilapan. Marilah kita mencari jalan membantu dalam membimbing golongan muda ini sehingga berjaya. Kita perlu lakukan untuk Malaysia,” katanya menerusi kenyataan bertajuk ‘Menteri Mat Lajak’, di sini, hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ, MIROS lihat cara kawal selia basikal lajak

PUTRAJAYA, 5 NOV: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan melihat aspek cara mengawal selia basikal lajak, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Menurutnya, basikal lajak, yang fenomenanya menjadi satu masalah kepada orang awam serta membahayakan nyawa kanak-kanak dan pengguna jalan raya yang lain, pada masa ini tidak dikawal selia oleh mana-mana undang-undang dan ia turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet lepas.

Bercakap kepada media selepas perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini, Loke berkata perlu ada tindakan komprehensif yang meliputi pelbagai kementerian dan agensi untuk merangka satu peraturan dan rangka yang dapat mengatasi masalah basikal lajak itu.

“Kita kena lihat bagaimana untuk melaksanakan kawal selia itu, sama ada menggunakan undang-undang sedia ada, perlukan pindaan undang-undang atau undang-undang yang baharu.

“Belum sampai ke tahap itu (draf undang-undang),” katanya ditanya tentang perlunya wujud undang-undang untuk diambil tindakan terhadap pihak terlibat secara langsung mengubah suai basikal lajak.

Ditanya sama ada kawal selia itu turut membabitkan pindaan Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Loke berkata rangka penyelesaian masalah berkenaan perlu dilihat secara menyeluruh.

“Kebanyakan terlibat adalah kanak-kanak, bagaimana kita nak rampas basikal itu dan sebagainya, jadi kena lihat sama ada praktikal atau tidak. Itu sebabnya kita kena lihat keseluruhan akta itu dan juga apa lagi peruntukan atau pindaan yang diperlukan.

“Jadi rangka bagaimana untuk menguruskan dan mengawal selia termasuk tanggungjawab ibu bapa dan sebagainya perlu dilihat secara keseluruhan,” katanya.

Perbincangan dengan pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan dilakukan dan ia memerlukan masa untuk melihat hala tuju berkaitan basikal lajak itu, katanya.

Sementara itu, Loke berkata kerajaan komited mempertahankan kerusi Ahli Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) selepas berjaya mempertahankan kerusi Ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi penggal 2019-2022, untuk meningkatkan profil negara di arena antarabangsa.

Dengan kedudukan strategik Malaysia di Selat Melaka dan Laut China Selatan serta kepentingan sektor maritim menyumbang kepada ekonomi negara, Loke berkata adalah penting untuk Malaysia mempertahankan kerusi itu supaya dapat bersama-sama merangka undang-undang antarabangsa berkaitan maritim dengan ahli majlis.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Advokasi kesedaran bahaya basikal lajak akan libatkan ibu bapa – JKJR

KUANTAN, 5 NOV: Program advokasi kesedaran bahaya penggunaan basikal lajak oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan turut melibatkan golongan ibu bapa dalam usaha membanteras kegiatan itu.

Ketua Pengarahnya Mohd Nasri Ishak berkata penglibatan ibu bapa dalam program itu perlu kerana mereka adalah orang paling dekat berperanan mengawasi pergerakan anak-anak mereka.

“Mereka (ibu bapa) mampu memainkan peranan dalam mempengaruhi anak-anak supaya tidak terjebak dengan aktiviti basikal lajak yang membahayakan nyawa kerana aspek keselamatan basikal itu tidak dipatuhi.

“Program advokasi ini akan diadakan di sekolah dan kawasan perumahan yang dikenal pasti menjadi lokasi tumpuan kanak-kanak dan remaja bermain basikal lajak,” katanya.

Mohd Nasri berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya Sekolah Rendah Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang di sini, hari ini.

Modul pendidikan itu mula diperkenalkan pada tahun ini, dengan pendedahan aspek keselamatan jalan raya kepada murid diselitkan dalam subjek Bahasa Melayu untuk tempoh dua jam setiap bulan.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa untuk lebih peka dengan perubahan yang dilakukan pada basikal milik anak mereka untuk dijadikan basikal lajak, yang jelas tidak mematuhi undang-undang.

“Penggunaan basikal lajak bukan hanya membahayakan mereka yang menunggangnya, tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain kerana berisiko menyebabkan kemalangan yang boleh berakhir dengan kematian,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Basikal lajak: Ibu bapa boleh dikenakan tindakan – Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Ibu bapa kepada anak yang terlibat dengan kegiatan basikal lajak sehingga mengundang bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya boleh dikenakan tindakan undang-undang, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias

Beliau berkata pihaknya boleh mengambil tindakan terhadap ibu bapa berkenaan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001.

“Tindakan ini boleh diambil ke atas ibu bapa atau penjaga sekiranya gagal dalam tanggungjawab memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dalam kegiatan basikal lajak yang membahayakan.

“Seksyen itu memperuntukkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan untuk ibu bapa atau penjaga membiarkan anak-anak tanpa pengawasan yang berpatutan di mana jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam sidang akhbar isu ‘Basikal Lajak’ di Bukit Aman di sini, hari ini.

Azisman berkata setakat ini tindakan penguatkuasaan hanya dilaksanakan melalui rampasan dan sitaan basikal serta pengeluaran saman kepada penunggang basikal lajak berdasarkan beberapa peruntukan undang-undang.

“Berdasarkan undang-undang Kaedah 35(2) dan Kaedah 35(3) LN165/59, setiap basikal ditunggang perlu dipasang lampu di hadapan dan belakang bagi menunjukkan cahaya putih serta merah boleh dilihat dalam jarak munsabah.

“Sementara itu menerusi Kaedah 42(1) LN165/59, tiada seorang pun boleh menunggang basikal di atas jalan melainkan dilengkapi dengan brek efektif yang beroperasi secara berasingan pada kedua-dua tayar dan loceng,” katanya.

Beliau berkata tangkapan dan sitaan boleh dilakukan mengikut Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membolehkan penunggang basikal lajak ditangkap tanpa waran seperti diperuntukan Seksyen 112(1)(a) akta sama.

“Tindakan menangkap penuggang basikal lajak bagaimanapun tidak boleh diambil daripada segi undang-undang terhadap anak-anak yang terbabit merujuk kepada Seksyen 82 Kanun Keseksaan iaitu tidak menjadi kesalahan apa jua dilakukan anak-anak berusia kurang 10 tahun,” katanya.

Pada 1 November lepas, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mencari pendekatan baharu bagi menangani isu basikal lajak yang semakin berleluasa di negara ini.

Dalam pada itu, ketua pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata JPJ secara dasarnya mempunyai peruntukan Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 yang memberikan kuasa kepadanya untuk menilai isu itu sebelum sebarang tindakan diambil.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ cari pendekatan baharu tangani isu basikal lajak

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mencari pendekatan baharu bagi menangani isu basikal lajak yang semakin berleluasa di negara ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, JPJ secara dasarnya mempunyai peruntukan Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 yang memberikan kuasa kepadanya untuk menilai isu itu sebelum sebarang tindakan diambil.

“Dalam peraturan JPJ, setiap basikal yang berada di atas jalan raya hendaklah dikayuh secara beriringan, bersopan serta tidak melulu.

“Oleh itu, basikal yang dikayuh di atas jalan raya tanpa secara beriringan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengetuai operasi bersepadu JPJ Kuala Lumpur di Jalan Bangsar, di sini, awal pagi ini.

Selain itu, dalam terma JPJ sesebuah basikal mestilah bersifat secara menyeluruh atau sempurna iaitu perlu mempunyai brek, loceng, lampu, rantai serta tayar yang bersesuaian.

“JPJ akan pergi secara teknikal dahulu dan sedang memikirkan pendekatan yang bersesuaian untuk memastikan bahawa kesejahteraan di atas jalan raya berhubung isu basikal lajak dapat ditangani secara menyeluruh dan advokasi,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata basikal lajak iaitu basikal yang diubah suai sehingga mendatangkan bahaya kepada penunggangnya dan pengguna jalan raya yang lain sememangnya haram berada di atas jalan raya.

Pada 29 Oktober lepas, media melaporkan satu klip rakaman video memaparkan sekumpulan remaja menunggang basikal lajak secara berbahaya yang tular di media sosial di Tasik Tambahan, Ampang, di sini.

Berikutan itu, perkara berkenaan mendapat respons daripada pihak polis yang menghantar anggota penguat kuasa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya untuk melakukan pemantauan di tasik berkenaan.

Hasil pemantauan berjaya membawa kepada penahanan empat buah basikal lajak bersama penunggang yang kesemuanya remaja lelaki tempatan berumur lingkungan 11 hingga 15 tahun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Basikal lajak memang diharam berada di jalan – TPM

KUALA LUMPUR, 31 OKT: ‘Basikal Lajak’ iaitu basikal yang diubah suai sehingga mendatangkan situasi bahaya, sememangnya haram berada di atas jalan raya, tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Basikal Lajak ini memang tiada brek, itu dah memang salah, sebarang kenderaan yang mempunyai masalah brek memang haram berada di atas jalan raya, jadi tak perlu nak haram-haram lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bengkel Usahawan Muda Parlimen Pandan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan media mengenai cadangan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) mengharamkan secara menyeluruh aktiviti basikal lajak yang menjadi trend remaja masa kini.

Basikal Lajak kembali menjadi tumpuan berikutan keputusan mahkamah membebaskan dan melepaskan seorang jurujual daripada pertuduhan menyebabkan kematian lapan kanak-kanak yang sedang berbasikal lajak pada 2017.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, ibu bapa seharusnya bertanggungjawab memantau keberadaan anak-anak agar tragedi seperti itu tidak berulang.

Terdahulu, berucap merasmikan program itu, Dr Wan Azizah berkata, usahawan perlu mampu mengambil risiko perniagaan dan mengurus risiko itu dengan betul.

Pada masa sama, golongan itu perlu mengurangkan rasa takut pada kegagalan dan berdisiplin.

“Satu cara untuk memastikan disiplin ini ialah dengan usahawan dibayar gaji bulanan oleh perniagaannya sendiri. Ini disiplin yang amat penting supaya kita tidak menyalahgunakan modal yang diperuntukkan untuk perniagaan, walaupun itu berupa perniagaan kita sendiri,” katanya.

Pada majlis sama Dr Wan Azizah turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Kit Simulasi Usahawan Muda Pandan.

Pertandingan itu disertai 100 pelajar dari lima sekolah menengah daripada Parlimen Pandan. Pada pertandingan itu, pelajar dibahagikan kepada kumpulan dan menyelesaikan masalah perniagaan menggunakan Kit Simulasi Usahawan yang direka untuk memudahkan usahawan membuat keputusan perniagaan mereka.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Empat penunggang basikal lajak ditahan di Ampang

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Polis menahan empat penunggang basikal lajak yang sedang leka bermain basikal di sekitar kawasan Tasik Tambahan, Ampang dekat sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendant Azman Shari’at berkata, kesemua mereka berusia 11 hingga 15 tahun itu ditahan dalam operasi selama tiga jam bermula 3 petang.

“Semakan mendapati kesemua basikal telah diubah suai dan tidak mempunyai brek. Polis turut menyita empat basikal,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Ampang Jaya dan kes disiasat mengikut Peraturan 42(1)(a) Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959.

Baru-baru ini satu rakaman video menunjukkan sekumpulan kanak-kanak bermain basikal lajak di jalan raya tular di laman sosial.

Perbuatan yang dipercayai berlaku di Ampang itu dirakam oleh pemandu teksi yang kebetulan melalui jalan berkenaan.

-BERNAMA