SHAH ALAM, 26 JAN: Kerja pembersihan pascabanjir fasa kedua yang dijadual selesai Mac mungkin berlarutan hingga lima bulan, kata pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM).
Ramli Mohd Tahir berkata kelewatan itu kerana orang ramai masih lagi membuang sampah banjir walaupun tempoh yang diberikan sudah berakhir pada 16 Januari lalu.
“Dalam tempoh sepuluh hari ini masih ada yang keluarkan sampah seperti katil, tilam, perabot yang diletak di tepi jalan, tetapi tidak mengapa ia sudah menjadi tanggungjawab KDEBWM.
“Kita tidak boleh terus begini kerana kita sudah masuk ke fasa kedua untuk kita lakukan kerja pembersihan longkang, belakang rumah tetapi bila berlaku begini kita perlu selesaikan juga sampah pukal ini,” katanya kepada SelangorKini.
Ramli berkata dalam tempoh 16 Januari hingga hari ini, KDEBWM mengutip lebih 3,000 tan sampah banjir.
“Kita takut sebenarnya, macam semalam hujan lebat kita tidak mahu dijadikan sebab punca saliran tidak mengalir.
“Kita kena fokus kepada pembersihan fasa kedua. Sebab masih ada lebihan tanah, selut yang tinggal di dalam longkang tetapi bila ada sampah pukal yang masih dibuang ia melambatkan proses fasa kedua,” katanya.
Bermula 8 Januari KDEBWM melaksanakan pembersihan fasa dua dengan memfokuskan pembasmian kuman selain kerja membersih parit tersumbat.
Usaha membasmi kuman mengikut keadah teknologi efektif mikrobiologi (EM) sebagai langkah mengelak wujud penyakit selepas banjir melanda.
KDEBWM merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri yang menguruskan sepenuhnya kutipan sampah domestik sejak tahun lalu giat membersihkan kawasan terjejas banjir mulai 20 Disember secara berperingkat.
Sebanyak 78,000 tan metrik sampah pukal dibersihkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi lain yang selesai sepenuhnya pada 7 Januari lalu.