Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Bunga tanjung identiti Batik Selangor

SHAH ALAM, 2 DIS: Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) sedang merancang membangunkan Batik Selangor bermotifkan bunga tanjung.

EXCO kebudayaan berkata penyediaan reka bentuk dan motif batik berkenaan sedang dalam tindakan oleh pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Selangor.

“Bagi tujuan pengiktirafan, rekaan yang sedang dibangunkan ini akan dijadikan identiti atau motif batik negeri Selangor dan dicadangkan untuk diisytiharkan sebagai Batik Selangor.

“Selanjutnya PADAT akan mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Negeri bagi pemakaian batik motif bunga tanjung kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan promosi kepada masyarakat” kata Borhan Aman Shah.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wakil rakyat, Kota Anggerik, Najwan Halimi mengenai usaha Kerajaan Negeri membantu mempromosikan batik pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Beliau berkata PADAT juga telah mengadakan perbincangan mengenai batik bunga tanjung dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) Selangor dan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Selangor.

Katanya ia bertujuan mempromosikan batik Selangor motif bunga tanjung dan pemakaian batik oleh penjawat awam di negeri ini.