Categories
NASIONAL

Manifesto BN Ketandusan Idea, Tiada Roh Reformasi

bn putrajaya

SHAH ALAM, 8 APR : PKR menyifatkan pembentangan manifesto oleh Umno-BN tempoh hari tidak mempunyai roh reformasi untuk merubah sistem pentadbiran yang penuh kepincangan, malah jelas membuktikan parti itu ketandusan idea baru.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, reformasi menyeluruh dan holistik dari segi sosio-ekonomi, struktur, institusi, politik, urus tadbir dan perundangan tdak mempunyai tempat dalam kerangka polisi Umno-BN.

Menurutnya, manifesto yang dibentang itu juga 90 peratus daripadanya merangkumi program yang telah dipakej semula dan berbentuk terlalu umum tanpa sebarang perincian khusus.

“Secara umumnya, saya tidak yakin Manifesto Umno-BN dapat membebaskan negara dan rakyat dari kesempitan ekonomi, politik dan sosial sedia ada yang begitu mencengkam dan menghimpit.

“Tanpa sebarang agenda reformasi yang komprehensif, usaha meningkatkan keberdayasaingan jangka panjang Malaysia di peringkat antarabangsa supaya setanding dengan negara-negara maju lain akan terus dikekang,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, ketandusan idea baru dalam manifesto Umno-BN memaksa parti itu ‘menciplak’ beberapa dasar utama Pakatan Rakyat (PR). Antaranya cadangan penurunan harga kereta melalui penghapusan cukai eksais secara berperingkat dengan merombak Dasar Automotif Nasional.

Selain itu, manifesto Umno-BN juga meniru cadangan PR untuk memberi permit teksi individu secara langsung kepada pemandu teksi dan penyeragaman harga barangan keperluan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, manifesto itu juga masih mencerminkan mentaliti lapuk dan kepercayaan usang Umno-BN bahawa hati dan pemikiran rakyat boleh dibeli dengan berpaksikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mahu ditingkatkan kepada RM 1,200 bagi keluarga dan RM 600 bagi individu bujang.

“Cadangan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM 7.2 bilion setiap tahun yang diyakini akan terus meningkat saban tahun sejajar dengan pertumbuhan semulajadi populasi dan kegagalan Umno-BN meningkatkan pendapatan bulanan isirumah.

“Bayaran secara langsung seperti BR1M, Baucar Buku 1Malaysia dan Bantuan Persekolahan yang terkandung dalam manifesto Umno-BN jelas merupakan langkah dasar ekonomi jangka pendek untuk meraih undi.

“Saya akan terus menghuraikan kritikan membina mengenai perkara ini dan menyerahkan kepada rakyat untuk mengadili keupayaan Manifesto Pakatan Rakyat dalam melaksanakan agenda perubahan berbanding manifesto Umno-BN,” katanya lagi.