Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mangsa banjir guna wang sumbangan MBI beli baju sekolah, buku

KUALA SELANGOR, 22 JAN: Bantuan RM100 diterima menerusi Program Kembali ke Sekolah anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI digunakan untuk membeli keperluan sekolah yang rosak akibat banjir.

Marjina Nagor Assan Gani

Marjina Nagor Assan Gani,16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Selangor berkata pakaian serta buku hilang selepas rumahnya di Batu 6, Kampung Kuantan dinaiki air setinggi satu meter.

“Duit ini nak beli barangan persekolahan Mac ini. Kotak pensil, buku tulis semua tak ada. Baju seragam sekolah pun tiada, hanya tinggal baju sukan sahaja,” katanya ditemui pada program bantuan wang persekolahan DUN Bukit Melawati hari ini.

Ibu pelajar tingkatan empat itu Nagoor Begum, 46, berkata bantuan berkenaan meringankan beban suaminya Nagor Assan Gani Me Mohd Ibrahim Rowter, 55, yang bekerja sebagai buruh.

“Wang yang ada boleh gunakan untuk keperluan lain. Hanya suami yang kerja jadi semua perbelanjaan kena rancang elok-elok,” katanya.

S Tennarasi

Sementara itu suri rumah S Tennarasi, 36, berkata sumbangan terbabit digunakan untuk membeli pakaian sekolah tiga anaknya.

“Sepasang baju berharga RM30 hingga RM40. Jadi duit ini cukup untuk tiga anak yang bersekolah.

“Ini kali pertama anak saya dapat. Walaupun hanya seorang yang terima tapi bantuan boleh gunakan untuk dua lagi kakaknya. Harap bantuan seperti ini diadakan setiap tahun,” katanya.

Terdahulu Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli menyerahkan sumbangan daripada MBI kepada 300 pelajar kurang berkemampuan.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 400 warga emas, OKU diminta tuntut baucar beli-belah

SHAH ALAM, 15 NOV: Seramai 411 ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu diminta menuntut baucar Jom Shopping sebelum 22 Disember ini.

Wakil rakyatnya Lee Kee Hiong berkata mereka terdiri daripada warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) kelahiran Ogos hingga Disember.

Antara penerima baucar Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas DUN Kuala Kubu Bharu. Foto Facebook Lee Kee Hiong

“Kami mengalu-alukan warga emas dan OKU tampil ke Pusat Khidmat Masyarakat pada Isnin hingga Jumaat jam 10 pagi hingga 5 petang untuk mengambil baucar Jom Shopping,” katanya di Facebook.

Menurut Kee Hiong hampir separuh daripada 899 jumlah keseluruhan ahli yang lahir pada Ogos hingga Disember menuntut baucar tersebut baru-baru ini.

“Pusat khidmat saya telah menyerahkan baucar Jom Shopping SMUE kepada 488 warga emas dan OKU pada minggu lepas,” katanya.

Semakan boleh dibuat melalui laman sesawang http://smue.yawas.my/admin/online_semakan.php.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah (B40) sebagai inisiatif jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Penyerahan bantuan disalurkan kepada komponen utama kaum di Selangor mengikut perayaan masing-masing.

 

Categories
ADN SELANGOR

1,331 ahli SMUE Seri Kembangan boleh tuntut baucar Jom Shopping

SHAH ALAM, 8 NOV: Seramai 1,331 ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan boleh menuntut baucar Jom Shopping di pusat khidmat mulai hari ini.

Wakil rakyatnya Ean Yong Hian Wah berkata baucar bernilai RM100 itu khusus buat warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) berusia 21 tahun ke atas yang lahir pada Oktober hingga Disember.

“Mereka yang berdaftar boleh hadir ke Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Seri Kembangan hari ini untuk menuntut dan mula membeli-belah di pasar raya Grand Union Seri Kembangan pada 19 sehingga 30 November.

“Semoga bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban penerima dan menceriakan sambutan ulang tahun kelahiran mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Penerima boleh membuat semakan melalui laman sesawang http://smue.yawas.my/admin/online_semakan.php.

Pada 30 Oktober tahun lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan bantuan khairat kematian yang dihentikan pada Mei 2019 disambung semula.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejumlah RM7.5 juta disediakan bagi melayakkan waris berdaftar dengan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menerima bantuan RM500.

Kerajaan Negeri juga menyediakan dana RM20 juta bagi melaksanakan program Jom Shopping SMUE.

 

Categories
ADN SELANGOR

702 ahli SMUE DUN Kuala Kubu Bharu terima baucar beli-belah

SHAH ALAM, 8 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu memperuntuk RM70,200 menerusi baucar Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bagi Mei sehingga September.

Wakil Rakyat Lee Kee Hiong berkata seramai 702 orang terdiri dalam kalangan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) menerima baucar bernilai RM100 setiap seorang.

“Serahan baucar dilakukan secara berperingkat mulai hari ini sehingga 10 September di pekarangan pusat khidmat masyarakat saya.

“Kita mengalu-alukan penduduk sekitar yang berdaftar dengan SMUE hadir ke pusat khidmat kami dari jam 9 pagi sehingga 4 petang untuk mengambil baucar ini,” katanya kepada SelangorKini.

Kee Hiong berharap inisiatif itu mampu meringankan beban penerima untuk membeli barangan keperluan harian terutama ketika pandemik Covid-19 melanda.

Kerajaan Negeri menyediakan dana RM20 juta bagi melaksanakan program Jom Shopping SMUE kepada peserta warga emas berusia 60 tahun dan OKU. Untuk semakan status ahli boleh layari http://mesra.yawas.my/smue/.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Baucar Jom Shopping diagih kepada 1,600 peserta di Pandan Indah

SHAH ALAM, 3 OGOS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah memperuntuk RM160,000 bagi baucar Jom Shopping yang akan diagihkan pertengahan bulan ini.

Wakil rakyatnya berkata seramai 1,600 penerima terdiri daripada golongan orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas layak menerima manfaat tersebut.

“Semua penerima akan diberi baucar bernilai RM100 yang boleh dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan harian.

“Kita harap dengan sumbangan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban mereka terutama ketika pandemik melanda,” kata Ir Izham Hashim kepada SelangorKini.

Beliau berkata kaedah agihan akan dimaklum dalam masa terdekat sama ada secara terus ke kediaman penerima atau di pusat khidmat masyarakat yang akan dilakukan mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

Kerajaan Negeri menyediakan dana RM20 juta bagi melaksanakan program Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE) kepada peserta warga emas berusia 60 tahun dan OKU. Untuk semakan status ahli boleh layari http://mesra.yawas.my/smue/.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

RM65,000 bantu masyarakat India Pelabuhan Klang sambut Deepavali

SHAH ALAM, 18 OKT: Sejumlah RM65,000 diperuntuk kepada masyarakat India di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang sempena perayaan Deepavali bulan depan.

Ahli Dewan Negerinya, Azmizam Zaman Huri berkata bantuan melalui baucar Jom Shopping Deepavali melibatkan 650 penerima.

“Setiap seorang mendapat baucar bernilai RM100. Bantuan ini boleh digunakan untuk membeli barang keperluan.

“RM45,000 disumbangkan Kerajaan Selangor manakala bakinya dari dana DUN memandangkan tiada sambutan Deepavali tahun ini,” katanya pada SelangorKini.

Azmizam berkata pihaknya juga akan menyerahkan cecair pembasmi kuman kepada 36 sekolah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) sekitar daerah itu sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

Inisiatif Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan B40 sebagai inisiatif jangka panjang Kerajaan Negeri bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Categories
ADN SELANGOR

ADN: Bantu ahli SMUE tuntut baucar Jom Shopping

SHAH ALAM, 2 SEPT: Anak-anak atau saudara terdekat diminta tampil membantu ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang mendapatkan baucar Jom Shopping bernilai RM100 yang masih belum dituntut.

Wakil rakyatnya, Chua Wei Kiat berkata sehingga kini, kira-kira 3,203 daripada 5,405 warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) di kawasan itu belum mengambil baucar berkenaan sejak diperkenalkan September tahun lalu.

“Kebanyakan yang belum menuntut (baucar) mungkin berasa bahawa manfaat ini sepatutnya diberikan kepada orang lain yang lebih susah.

“Namun, kita ada menggerakkan sukarelawan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Rawang untuk mengagihkan baucar ini dari rumah ke rumah ahli selain menghubungi dan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kerana faham golongan itu kurang mahir dengan teknologi,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau turut menjangka permohonan bantuan itu meningkat dari semasa ke semasa kerana baucar tersebut membolehkan warga emas dan OKU membeli barang keperluan asas atau ubat-ubatan.

“Kita dapati ramai warga emas gembira terutama mereka yang pertama kali menikmati manfaat daripada Kerajaan Negeri, jadi kita jangka permohonan bertambah kerana sudah ramai tahu mengenai program ini,” katanya.

Ahli keluarga atau penerima boleh mengambil baucar tersebut di PKM DUN Rawang pada 7 hingga 11 September ini bermula 10 pagi hingga 4 petang dengan membawa kad pengenalan.

Pada Mei tahun lalu, Kerajaan Selangor menamatkan pemberian khairat kematian berjumlah RM2,500 kepada setiap warga emas susulan pelaksanaan pelarasan SMUE yang memperuntukkan RM100 setiap tahun kepada golongan berkenaan menerusi program Jom Shopping Warga Emas.

Categories
SELANGOR

Baucar Jom Shopping kepada 17,300 sempena Deepavali

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 10 SEPT: Kerajaan Selangor akan mengagihkan baucar Jom Shopping kepada 17,300 penerima berbangsa India sempena sambutan Deepavali yang akan berlangsung pada Oktober depan.

Exco Belia, Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata program itu adalah kesinambungan kepada program yang pernah dianjurkan sebelum ini setiap kali menjelangnya musim perayaan.

MB jom shopping 31 jul 01Katanya baucar berkenaan akan diagihkan kepada penerima di setiap DUN berdasarkan beberapa kategori yang ditetapkan.

“Jumlah pengundi yang kurang daripada 10,000 kita akan beri 300 baucar untuk setiap Dun manakala tambahan 100 baucar akan dibuat bagi jumlah pengundi melebihi 10,000 dan 15,000.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 52 DUN akan menerima 300 baucar, tiga DUN akan menerima 400 baucar sementara hanya satu DUN sahaja akan terima 500 baucar iaitu di Seri Andalas,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco hari ini.

Beliau berkata jumlah penerima baucar bagi tahun ini juga meningkat berbanding 13,900 penerima pada tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa had operasi bagi pusat mencuci kenderaan yang berkuatkuasa sebelum ini ditamatkan serta-merta.

“Penamatan had masa pusat cuci kereta kerana Selangor pada ketika itu memiliki sumber air mentah yang terhad, tetapi kita putuskan ia ditamatkan dan mereka boleh meneruskan aktiviti seperti biasa,” katanya lagi.

EZY