Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat Banting edar 200 baucar Kembali Ke Sekolah

SHAH ALAM, 22 NOV: Seramai 200 pelajar sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting bakal menerima baucar pembelian barangan sekolah termasuk pakaian seragam, kata wakil rakyatnya.

Lau Weng San berkata baucar Kembali Ke Sekolah bernilai RM50 itu akan mula diagih Disember depan dan memfokuskan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.

“Program ini dijalankn bersama pihak pengendali Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) serta majlis pengurusan ketua kampung (MPKK).

“Senarai nama penerima dibincang bersama pihak sekolah bagi memastikan matlamat program sampai kepada golongan sasar,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata susulan pandemik Covid-19 pihaknya turut menambah jumlah baucar sekiranya lebih ramai pelajar memerlukan.

“Selalunya kita memang sediakan untuk 200 pelajar tetapi kali ini kita faham ramai terkesan wabak. Jadi kita sediakan peruntukan untuk tambah (baucar),” katanya.