Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PBT SELANGOR

65 keluarga terima baucar persekolahan RM300 sumbangan MBPJ

SUBANG JAYA, 4 MAC: Penerima baucar persekolahan program jom shopping kembali ke sekolah anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyifatkan bantuan diterima meringankan beban keluarganya.

Suri rumah Noorlaila Mat Jelani, 36, berkata pendapatan keluarganya terjejas selepas suaminya terbabit dalam kemalangan menyebabkan mereka hilang punca pendapatan.

“Kemalangan menyebabkan kaki suami saya patah, selain cedera pada tangan kanan menyebabkan beliau tidak boleh bekerja.

“Kini kami sekeluarga hanya bergantung pada gaji asas suami yang bekerja di sebuah hotel di Subang Jaya,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, pemandu teksi Mohd Ali Sharif, 51, berkata pendapatannya agak terjejas susulan pandemik Covid-19.

“Apabila ada bantuan seperti ini saya bersyukur kerana beban perbelanjaan persekolahan empat anak dapat dikurangkan,” katanya.

Terdahulu, MBPJ mengagihkan baucar persekolahan bernilai RM300 kepada 65 keluarga golongan berpendapatan rendah menerusi program jom shopping kembali ke sekolah di Pasaraya Mydin USJ, Subang Jaya semalam.

 

Categories
SELANGOR

Pelajar sekolah mangsa bah terus terima bantuan

SHAH ALAM, 4 FEB : Pemberian baucar bantuan persekolahan kepada pelajar terjejas banjir bukti Kerajaan Negeri melihat keperluan rakyat secara menyeluruh.

Mangsa banjir, Hasnida Mat Drus, 45, berkata beliau terkejut selepas mendengar pengumuman itu, memandangkan sudah menerima Bantuan Selangor Bangkit baru-baru ini.

Beliau yang mempunyai lima anak yang masih bersekolah turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana prihatin dengan nasib menimpa rakyat.

“Pemberian bantuan seumpama ini bukti bahawa kerajaan melihat seluruh aspek keperluan rakyat dan tidak hanya bantu sebahagian sahaja.

“Sebaliknya pada waktu sukar begini memang kami berharap sangat adanya bantuan sebegini. Terima kasih Kerajaan Negeri,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu, pemandu lori S Logeswaran, 40, berkata pemberian itu amat ditunggu-tunggu terutama mangsa banjir yang masih ada anak bersekolah.

“Saya amat bersyukur walaupun dilanda musibah, dan bantuan dari Kerajaan Negeri sedikit sebanyak melegakan. Terima kasih kerana memberi perhatian kepada nasib anak kami yang akan kembali ke sekolah.

“Tanpa bantuan ini mungkin segelintir mangsa banjir yang kurang berkemampuan terpaksa meminjam untuk membeli keperluan sekolah anak,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan baucar menerusi Bantuan Pakaian Sekolah Selangor diagih secara berperingkat mulai minggu ketiga Februari.

Beliau menjelaskan pelajar peringkat rendah, menengah dan sekolah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor boleh menebus baucar itu bagi mendapatkan pakaian dan peralatan sekolah dilokasi yang diumumkan nanti.

Categories
ADN SELANGOR

Baucar persekolahan ringan beban mangsa banjir, tepat pada masanya

SHAH ALAM, 4 FEB: Pemberian baucar persekolahan RM100 kepada kira-kira 40,000 pelajar dalam kalangan keluarga terjejas banjir disifatkan tepat pada masanya.

Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunarajah berkata bantuan itu amat diperlukan ketika ini, lebih-lebih lagi penduduk mengalami kerugian akibat bencana Disember tahun lalu.

“Segala jenis sumbangan daripada Kerajaan Selangor memang diperlukan masyarakat setempat ketika ini terutama mangsa bah yang berdepan banyak kerugian dan kemusnahan.

“Semoga inisiatif ini sedikit sebanyak meringankan beban ibu bapa untuk membeli kelengkapan sekolah anak mereka,” katanya ketika dihubungi.

Wakil rakyat Rawang Chua Wei Kiat turut senada selain memuji keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan rakyat selepas mengumumkan Bantuan Selangor Bangkit tahun lalu.

“Kali ini ada pula bantuan persekolahan kepada pelajar yang terjejas banjir, semoga inisiatif ini menceriakan pelajar untuk kembali ke sekolah,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan baucar menerusi Bantuan Pakaian Sekolah Selangor diagih secara berperingkat mulai minggu ketiga Februari.

Beliau menjelaskan pelajar peringkat rendah, menengah dan sekolah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor boleh menebus baucar itu bagi mendapatkan baju, seluar, kain, stoking dan kasut.