Categories
BERITA UTAMA

Bayi perempuan mati dengan 39 kesan cedera

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Seorang bayi perempuan berusia 12 bulan mati, disyaki akibat didera sebelum dibunuh dengan kejam oleh pengasuh dan suaminya dalam kejadian di Gombak, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Samsor Maarof berkata berdasarkan siasatan mendapati kematian bayi berkenaan berpunca daripada kecederaan parah di kepala disebabkan objek tumpul, selain terdapat 39 kesan kecederaan di bahagian badan mangsa.

“Pengasuh sebelum itu membawa mangsa ke klinik swasta berdekatan dalam keadaan tidak sedarkan diri, dan mendakwa mangsa terjatuh ketika berdiri dari atas sofa di rumahnya.

“Mangsa dikatakan jatuh terlangkup dan suspek mendakwa dia tidak sedar berhubung kejadian itu kerana berada di dapur, sebelum menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Samsor, bagaimanapun berkata dakwaan serta alasan diberikan suspek tidak konsisten, menyebabkan polis menahan pengasuh berkenaan bersama suaminya, serta ibu mangsa yang masing-masing berusia 28 hingga 34 tahun pada Selasa lalu, bagi membantu siasatan.

Beliau berkata hasil soal siasat mendapati pengasuh dan suaminya mengaku terbabit dalam kejadian itu.

“Semakan mendapati lelaki terbabit memiliki enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Ketiga-tiga mereka direman tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bapa pukul bayi hingga mati kemungkinan dibebaskan

 

ARAU, 31 Mei: Seorang bapa yang didakwa menampar hingga mati bayi perempuannya berusia enam bulan dijangka dibebaskan berikutan polis tidak mempunyai bukti kukuh untuk mendakwanya.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohamad berkata, bedah siasat terhadap bayi perempuan itu tidak menemui kecederaan atau pendarahan serius selain doktor mengesahkan suspek tidak mengalami masalah mental seperti yang dilaporkan.

“Polis tidak menolak kemungkinan bayi pasangan itu mempunyai sejarah penyakit yang tidak diketahui,” katanya kepada media selepas melancarkan Op Selamat 15 sempena Perayaan Aidilifitri di Kilometer 26 Jalan Kuala Perlis-Changlun di sini, hari ini.

Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan ujian deoksiribonukleik (DNA) pasangan itu daripada Jabatan Kimia, katanya”

Noor Mushar berkata ibu bayi itu yang merupakan rakyat Thailand kemungkinan ditahan di bawah Akta Imigresen 1963 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Sabtu lepas, lelaki berumur 44 tahun itu ditahan kerana disyaki menampar sehingga mati bayi itu selepas bertengkar dengan isterinya yang memaksa beliau makan ubat sakit mental di kediaman mereka di Kampung Baroh, Santan di sini.

Beliau direman sejak Rabu lepas dengan tempoh reman itu dijangka berakhir pada 4 Jun depan. -BERNAMA