Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Dapat baju dan selimut, mangsa bah hargai bantuan ramai

SHAH ALAM, 9 JAN: Agihan baju dan selimut secara percuma selama dua hari mulai semalam dihargai mangsa banjir Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini.

Suri rumah yang juga warga asing Zienah Ziam, 32, berterima kasih dan bersyukur atas bantuan diberikan tanpa mengira status kerakyatan.

Dia yang menetap di Malaysia sejak lima tahun lalu juga memuji tindakan orang ramai yang tidak putus menghulurkan sumbangan sejak bencana pada Disember 2021.

Mangsa banjir, Zienah Ziam, 32, bersama anaknya Izam Zami Nurzalim, 5, memilih pakaian percuma ajuran Lead Up Malaysia di Kuil Sri Maha Mariamman, Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 8 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Ramai sangat membantu dan kini ada pihak sudi memberi pakaian untuk kegunaan anak-anak. Saya datang awal tetapi pulang kerana anak berusia 10 bulan menangis.

“Tetapi saya datang semula ke sini dan dapat baju dan selimut,” katanya ditemui pada program Bazaar Pakaian Percuma di Kuil Sri Maha Mariamman di sini semalam.

Pengawal keselamatan R.Subramaniam hadir bersama rakan mencari pakaian yang sesuai berikutan persalinan sedia ada hanyut dan rosak akibat banjir.

“Sumbangan ini meringankan beban kami dan wang yang ada boleh digunakan untuk membeli keperluan lain,” kata lelaki berusia 52 tahun itu.

Bazaar tersebut menyediakan pelbagai pakaian untuk wanita, lelaki dan kanak-kanak dengan orang ramai boleh hadir mulai 9 pagi hingga 3 petang ini.