Categories
NASIONAL SELANGOR

2 Tapak Bazar Ramadan Baru Ganti Bazar Reko Kajang Sentral

bazar ramadan reko sentral lori MPKj 004

KUALA LANGAT 15 JULAI : Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyediakan dua tapak bagi mengantikan bazar ramadan Reko Sentral Kajang yang ditutup awal minggu lalu.

Sehubungan itu, semua pihak yang berminat untuk menjalankan perniagaan bazar ramadan boleh berhubung terus dengan MPKj.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Kim menasihatkan semua pihak akur dengan keputusan MPKj menutup bazar ramadan di Jalan Reko Sentral 2 kawasan komersil itu dan tidak memanjangkan isu berkenaan.

“Saya telahpun mendapat maklumat daripada Yang Dipertua MPKj berkenaan dengan masalah bazar ramadan dimana di kawasan Reko telahpun ditutup dan ada dua kawasan di mana ada permohonan untuk menempatkan semula.

“Jadi saya nasihatkan supaya semua pihak yang berminat untuk menjalankan bazar ramadan ini berhubung terus dengan pihak Majlis dan akur kepada keputusan yang dibuat oleh Majlis,” ujarnya.

Sebelum ini, penutupan bazar ramadan mendapat cemuhan daripada penjaja setempat kerana mereka telah mengeluarkan modal dan membuat persiapan untuk menyertai bazar tersebut.

Bagaimanapun MPKj mempertahankan keputusan tersebut kerana mendapat aduan daripada pengurus kedai di kawasan komersil Reko Sentral Kajang.

Keputusan itu dilakukan bagi mengelak salah faham diantara pengurus kedai dan penjaja di bazar tersebut. Ia juga bagi mengelakkan kesesakkan lalulintas di kawasan komersil itu.

Mengulas lanjut, Chang Kim berkata, keputusan penutupan tapak berkenaan telah dilakukan di peringkat Exco Selangor pada tahun lalu.

“Jadi tahun ini kita akan ikut prinsip yang sama, ikut peraturan sama dan saya berharap semua pihak akur kerana YDP dan Ahli Majlis tahu apa yang terbaik untuk dilakukan,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MPKj Muktamad Tutup Bazar Ramadan Di Reko Sentral Kajang

MPKj 01

SHAH ALAM 11 JULAI : Keputusan untuk tidak membenarkan bazar Ramadan di Reko Sentral Kajang, Bangi adalah untuk mengelak daripada perselisihan faham antara pemilik kedai dan penganjur bazar selain kesesakan lalulintas di kawasan itu.

Pegawai Korporat Dan Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Kamarul Izlan Sulaiman berkata pihaknya membuatĀ  keputusan tersebut setelah mendapat aduan daripada peniaga pasaraya di situ.

MPKj juga membuat keputusan itu setelah merujuk kepada Kerajaan Negeri tetang bazar itu yang diadakan di situ sejak tiga tahun lalu.

“Kita ada membuat rujukan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang tidak menyokong untuk membenarkan Karnival Bazar Ramadan di situ kerana beberapa isu.

“Antaranya aduan daripada peniaga di kawasan tersebut dan adanya pasar raya besar di kawasan itu.

“Faktor-faktor inilah yang menjadi asas kepada penutupan bazar tersebut,” kata Izlan ketika dihubungi.

Beliau menambah penutupan itu juga kerana masalah aliran trafik di kawasan itu yang mengganggu kedai yang sedia ada.

Bazar Ramadan tersebut adalah anjuran Persatuan Penduduk Langat Jaya. Keputusan penutupan bazar tersebut dikecam oleh peniaga bazar dengan ada yang menyatakan mereka telah mengeluarkan modal untuk membeli barangan untuk berniaga.

“Keputusan ini adalah muktamad yang berdasarkan kepada keputusan mesyuarat dan sebarang keputusan sudah diputuskan dalam mesyuarat dan kita berpegang kepada keputusan itu,” kata Izlan.

Sementara itu, ADUN Bangi, Mohd Shafie Ngah merayu agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan nasib kira-kira 200 pejaja yang ingin menyertai bazar itu.

Katanya, peniaga tersebut sudah mengeluarkan modal yang besar untuk meniaga di kawasan itu dan penutupan itu akan menjejaskan peluang pendapatan mereka.

Ujarnya, masalah aliran trafik yang menjadi isu boleh diatasi kerana wujud jalan alternatif di kawasan itu.

Tambahnya, karnival ini sudah berjalan selama tiga tahun dan tapak perniagaan alternatif sudah penuh.

“Saya mohon dipertimbangkan dan diadakan perbincangan dengan para peniaga,” kata beliau.